Assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Friday, April 9, 2010

SHAR’MAN QABLANA

PENGENALAN

Syariat Islam yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW untuk umatnya merupakan syariat Islam yang paling lengkap dan tiada lagi nabi selepasnya yang akan diutuskan oleh Allah ke muka bumi ini.

Melalui para rasul, Allah menyampaikan sesuatu perintah yang dikatakan sebagai syariat. Namun timbul persoalan adakah syariat rasul-rasul terdahulu boleh dipakai atau digunakan untuk umat Nabi Muhammad SAW. Hal ini menyebabkan para ulama berselisih pendapat dengan hujah masing-masing. ( Sulaiman Abdullah 1995: 6).

Para ulama usul fiqh bersepakat menyatakan bahawa seluruh syariat sebelum Islam melalui para rasul telah dibatalkan secara umum oleh syariat terkemudian. Mereka juga bersepakat mengatakan bahawa pembatalan syariat-syariat sebelum Islam itu secara tidak menyeluruh dan terperinci, kerana masih banyak hukum yang disyariat sebelum Islam masih berlaku dalam syariat Islam seperti beriman kepada Allah, hukuman qisas dan hukuman bagi orang yang berzina serta lain-lain (Hasrun Haroan 1996: 149)

DEFINISI SHAR’ MAN QABLANA

Shar’ man qablana ialah syariat umat-umat terdahulu iaitu segala hukum-hakam yang disyariatkan Allah kepada umat-umat terdahulu melalui para rasul dan nabi yang diutuskan kepada mereka. ( Zaidan Abdul Karim 2009: 209).

Syariat Islam yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW untuk umatnya merupakan sebuah syariat yang bukan sahaja lengkap, tetapi bersifat tetap dan anjal, sesuai untuk semua zaman sehinggalah ke hari kiamat. Ini amat sesuai dengan kedudukan Nabi Muhammad SAW sendiri sebagai rasul utusan yang terakhir. (Amir Husin Mohd.Nor et al. 2002 : 155).

Sebelum Baginda SAW diutuskan, Allah telah mengutuskan rasul-rasul untuk umat-umat terdahulu. Contohnya Nabi Musa dan Nabi Isa diutuskan kepada kaum Bani Israil, Nabi Ibrahim kepada kaum Namrud, Nabi Saleh kepada kaum Thamud, Nabi Hud kepada kaum ‘Ad dan Nabi Shuaib kepada kaum Madyan (Amir Husin Mohd. Nor et al. 2002: 155).

Semua rasul yang diutuskan itu membawa syariat Allah yang tertentu sama ada dalam bentuk perintah pengesaan Allah, amalan ibadah, larangan, dan lain-lain. Hakikatnya, semua syariat tidak kira syariat terdahulu mahupun syariat Nabi Muhammad SAW adalah sama, iaitu menyeru kepada Tauhid dan melarang menyekutukan Allah. Cuma terdapat sedikit perbezaan dari segi pendekatan yang digunakan, iaitu merujuk kepada wahyu yang diturunkan buat rasul-rasul pada zaman-zaman tertentu (Amir Husin Mohd et al. 2002: 155).

SEPINTAS LALU SHAR’ MAN QABLANA

Perkataan serta pengertian syariat bukan hanya digunakan di dalam Islam, bahkan ia juga pernah digunakan sebelum kedatangan Islam. Contohnya, ajaran yang diturunkan kepada Nabi Ibrahim dikenali dengan syariah Ibrahim, manakala ajaran yang diturunkan kepada Nabi Musa dikenali dengan syariat Musa. Seterusnya, syariat Islam diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW yang merupakan rasul utusan terakhir sekaligus sebagai pelengkap dan akan berkekalan hingga ke hari kiamat ( Abdul Latif Muda 2003: 31).

Firman Allah:
           
Maksudnya: Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu,dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku telah reda akan Islam itu menjadi agama untuk kamu. ( Al-Maidah 5: 3)

Syariat terdahulu ialah segala agama Allah dan Syariah Samawi yang telah diturunkan kepada para rasul sebelum Nabi Muhammad SAW semua ajaran tersebut termaktub di dalam empat buah kitab serta 100 suhuf atau lembaran ( Abdul Latif Muda 2003: 31).

Antara kitab tersebut ialah Kitab Taurat diturunkan kepada Nabi Musa yang dicatat dalam Bahasa Ibrani, Kitab Zabur diturunkan kepada Nabi Daud di dalam bahasa Qibti, Kitab Injil diturunkan kepada Nabi Isa yang ditulis dalam Bahasa Suryani, dan yang terakhir dan terpakai untuk selama-lamanya ialah kitab al-Qur’an yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW, ditulis di dalam bahasa Arab (Roestam et al. 1992: 411).

Para nabi dan rasul utusan Allah membawa ajaran Allah yang benar dari aspek akidah seperti: menyeru umat manusia agar menyembah Allah dan mengEsakan-Nya. Sudut amali atau syariah yang dibawa mempunyai perbezaan antara para rasul dan utusan kerana perbezaan suasana, keadaan dan umat mereka. Hal itu telah dijelaskan di dalam Al-Qur’an, salah satu darinya ialah, Allah telah berfirman berkenaan syariat Nabi Hud (Abdul Latif Muda 2003: 32).

Firman Allah: di dalam surah Al-A’raf 65:

                  
Maksudnya: Dan kepada kaum Aad, (Kami utuskan) saudara mereka: Nabi Hud. ia berkata: "Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripadanya. oleh itu, tidakkah kamu mahu bertaqwa kepadanya? “
Terdapat beberapa contoh ajaran dalam agama Samawi antaranya agama Yahudi (Nabi Musa) dan Nasrani (Nabi Isa).

CONTOH-CONTOH AJARAN DALAM AGAMA SAMAWI

1. Agama Yahudi

Agama ini menggunakan kitab Taurat sebagai panduan hidup umatnya. Menurut sejarah, kitab Taurat diturunkan kepada Nabi Musa sewaktu Baginda bermunajat di bukit Tursina. Pada peringkat awal, khasnya sewaktu Nabi Musa masih hidup, umat Baginda berpegang serta mengikuti segala ajaran yang terkandung di dalam kitab tersebut. (Sobhi Razab Mahmassani 2009 : 167)

Kandungan ajaran agama Yahudi juga merangkumi syariah yang terperinci dan cukup jelas. Ia mencakupi bidang ibadat, muamalah serta peraturan hidup lain secara berasingan.( Sobhi Razab Mahmassani 2009: 167).

Firman Allah:
       •              
Maksudnya: Dan bagi Nabi Musa dan Kami telah menuliskan pada Lauh-lauh (Taurat) itu, dari pelbagai jenis nasihat pengajaran dan penjelasan bagi tiap-tiap sesuatu (dasar syariat dan hukum-hukumnya). Oleh itu, Terimalah Dia (dan amalkanlah Wahai Musa) Dengan bersungguh-sungguh, dan suruhlah kaummu berpegang (serta mengamalkan) Yang sebaik-baiknya (iaitu suruhan-suruhannya). Aku akan perlihatkan kepada kamu akan negeri orang-orang Yang fasik - derhaka".( Al-A’raf 7: 145)

Ayat di atas menerangkan kandungan kitab Taurat yang mengandungi unsur-unsur nasihat dan pengajaran dan menyuruh Nabi Musa dan kaumnya berpegang teguh dan mengamalkan segala suruhan Allah SWT.

Selain itu ialah penyelewengan terhadap kitab Taurat. Setelah masa berlalu, lama kelamaan Bani Israil mulai meninggalkannya yang sekali gus lahir perselisihan di kalangan mereka ekoran sesetengahnya bertindak mengubah dan menukar gantikan isi kandungan kitab Taurat itu. Perselisihan di kalangan penganut agama Yahudi sampai ke peringkat kemuncak dengan terciptanya kitab Talmud, yang isi kandungannya sudah jauh menyimpang dari kandungan asal kitab Taurat. (Sobhi Razab Mahmassani 2009: 167)
Firman Allah:

      •               •                  
Maksudnya: Di antara orang-orang Yahudi ada Yang mengubah (atau menukar ganti) Kalamullah (isi Kitab Taurat), dari tempat dan maksudnya Yang sebenar, dan berkata (kepada Nabi Muhammad): "Kami dengar", (sedang mereka berkata Dalam hati): "Kami tidak akan menurut". (Mereka juga berkata): "Tolonglah dengar, tuan tidak diperdengarkan sesuatu yang buruk", serta (Mereka mengatakan): "Raaeina"; (Tujuan kata-kata mereka Yang tersebut) hanya memutar belitkan perkataan mereka dan mencela ugama Islam. dan kalaulah mereka berkata: "Kami dengar dan Kami taat, dan dengarlah serta berilah perhatian kepada kami", tentulah Yang demikian itu lebih baik bagi mereka dan lebih betul. akan tetapi Allah melaknat mereka Dengan sebab kekufuran mereka. oleh itu, mereka tidak beriman kecuali sedikit sahaja (di antara mereka). ( Al-Nisa’ 4: 46)

Beberapa penyelewengan yang dilakukan oleh golongan Yahudi ialah mereka menyatakan bahawa kedudukan Bani Israil dan golongan Yahudi amat berbeza dengan umat-umat lain. Antaranya ialah mereka menyatakan bahawa golongan Yahudi ialah umat terbaik dan dikurniakan dengan pelbagai kelebihan serta sebagai anak-anak Tuhan, serta menganggap semua bangsa lain hina, iaitu mereka berhak melakukan apa sahaja terhadap umat lain, tetapi bangsa lain tidak boleh melakukan sedemikian terhadap mereka.( Abdul Latif Muda 2003: 39)

Selain itu, Orang Yahudi dan Bani Israil ditegah melakukan muamalah riba, gadaian,dan hutang sesama mereka, namun mereka harus melakukannya terhadap bangsa lain. Mereka mendakwa bahawa ajaran Yahudi telah menetapkan bahawa puak Kan’an hanya layak menjadi hamba kepada kaum Yahudi dan Bani Israil. Oleh itu, jika mereka enggan atau memberontak, mereka wajib dibunuh.( Abdul Latif Muda 2003: 36)

Mereka menyelewengkan kandungan asal kitab mereka dengan mengenepikan sudut rohani dan mengutamakan secara jelas sudut kebendaan semata-mata. Mereka tidak mementingkan ajaran agama dan ibadat serta kehidupan selepas mati. Justeru, tiada pendedahan dan galakan tentang zikir, perkara berkaitan kiamat dan hari akhirat dan sebagainya. Sebaliknya hanyalah gesaan dan dorongan supaya merebut ganjaran berbentuk kebendaan dan balasan keduniaan semata-mata seperti mengumpulkan harta sebanyak mungkin. ( Abdul Latif Muda 2003: 38)

Antara sudut pembentukan akhlak kurang dititikberatkan, khususnya pendedahan mengenai tegahan dan perintah syariah, sedangkan ajaran Islam dan Al-Qur’an menitik beratkan perkara tersebut seperti balasan seksaan akibat melanggar perintah Allah.
Ciri-ciri lain dalam syariah Yahudi ekoran kezaliman dan kedegilan mereka ialah membawa ajaran dan hukum yang membebankan, sehingga menyukarkan mukallaf untuk melaksanakannya, seperti diharamkan terhadap mereka sesetengah makanan yang halal sebelumnya. Diharamkan ke atas mereka binatang yang berkuku seperti unta dan kuda. Semua itu kesan tindakan dan sikap mereka yang keji. (Abdul Latif Muda 2003: 38)

Sifat degil dan penderhakaan mereka terhadap perintah Allah serta para nabi menyebabkan mereka terpaksa menghadapi kesulitan dalam melaksanakan hukum hakam, seperti banyak soal dan berdolak dalih ketika diperintahkan oleh Allah.

Firman Allah:
            •        •        •             
Maksudnya: kemudian sesudah itu, hati kamu juga menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. padahal di antara batu-batu itu ada Yang terpancar dan mengalir air sungai daripadanya; dan ada pula di antaranya Yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya; dan ada juga di antaranya Yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah; sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa Yang kamu kerjakan. ( Al-Baqarah 2: 74)

2. Agama Nasrani

Agama dan syariat tersebut dibawa oleh Nabi Isa ketika orang-orang Yahudi berada dalam kesesatan dan kegelapan serta jauh menyimpang dari landasan yang benar. Oleh itu Nabi Isa diutuskan bagi membaiki keadaan mereka serta mengajak kembali ke jalan yang benar. ( Roestam et al. 1992: 393)

Nabi Isa menyebarkan ajarannya menerusi kitab Injil. Walau bagaiamanapun, ajaran yang dibawa baginda ditentang golongan Yahudi. Mereka bertindak menentang Nabi Isa secara kekerasan dan terang-terangan . ( Roestam et al. 1992: 393)

Setelah peninggalan Baginda, ada di kalangan pengikut Baginda yang dikenali dengan puak Nasrani bertindak mengubah isi kandungan kitab Injil seperti mendakwa Nabi Isa sebagai anak Tuhan.

Justeru, syariat serta kitab Injil yang dibawa Nabi Isa juga telah diselewengkan. Semua kitab Injil yang tersebar sekarang seperti Barnaba dan Yuhana dikira tidak asli lagi kerana berlaku penyelewengan terhadap ajaran Nabi Isa. Antaranya contoh penyelewengan tersebut ialah mengharamkan sesetengah jenis daging yang dihalalkan sebelumnya, juga menggantikan hukuman rejam terhadap penzina dengan hukuman lain, dan mengharamkan perlaksanaan talak serta pengharaman terhadap mana-mana lelaki yang menceraikan isterinya.( Abdul Latif Muda 2003: 42)

SEMUA SYARIAT TERDAHULU MENYERU KEPADA TAUHID DAN MELARANG MENYEKUTUKAN ALLAH.

Walaupun pada dasarnya setiap rasul pada setiap zaman membawa syariat yang berbeza, Namun, terdapat persamaan pada syariat semua rasul, iaitu menyeru umatnya mentauhidkan Allah dan tidak menyembah selain Allah. (Amir Husin Mohd.Nor et al. 2002 : 158)

Setiap rasul berpegang dengan syariat yang diutuskan oleh Allah kepadanya yang sesuai dengan masa dan masyarakatnya. Begitulah juga Nabi Muhammad SAW diutuskan oleh Allah bagi menegakkan aqidah nabi-nabi terdahulu dan melaksanakan syariat yang diutuskan kepada Baginda SAW untuk seluruh umat manusia sehingga berlakunya hari kiamat. (Amir Husin Mohd.Nor et al. 2002 : 158)

Berdasarkan keterangan ini jelas menunjukan agama para rasul terdahulu adalah Islam kerana mereka menyeru manusia ke arah ketundukkan dan kepatuhan kepada segala yang diperintahkan oleh Allah SWT, sebagaimana juga Nabi Muhammad SAW diperintahkan menyeru manusia ke arah ketundukan dan kepatuhan kepada segala yang diperintahkan oleh Allah SWT.

Pada prinsipnya semua rasul memeluk dan mengajar agama Tauhid atau Islam. Antara contohnya ialah Nabi Adam as. Baginda merupakan nabi yang diperkirakan hidup lebih kurang 930 tahun merupakan manusia pertama yang bergelar khalifah Allah dimuliakan dan ditinggikan darjatnya menjadi nabi yang pertama. Baginda diutuskan kepada anak cucunya agar menyembah Allah, Tuhan Yang Maha Esa. Maka diantara mereka ada yang taat dan ada pula yang membangkang.( Abdul Latif Muda & Rosmawati Ali @ Md Zain 1998 : 47)

Seterusnya ialah Nabi Hud as dan Baginda adalah keturunan Yafit bin Nuh, tempat tinggalnya di Hadharat al-Maut Utara. Baginda diutus Allah kepada kaum Aad yang terkenal dengan kegagahan jasmani serta mempunyai tubuh badan yang besar dan keras. Mereka berkemahiran dalam membina bangunan-bangunan tinggi, istana, dan benteng-benteng.

Kepandaian mereka tiada bandingnya pada ketika itu sehingga mereka menjadi takbur sebagaimana yang digambarkan dalam firman Allah:

•          •                 
Maksudnya: Adapun kaum Aad, maka mereka berlaku sombong takbur di muka bumi Dengan tiada sebarang alasan yang benar, serta berkata: "Siapakah Yang lebih kuat dari kami?" dan (Mengapa mereka bersikap demikian?) tidakkah mereka memerhatikan Bahawa Allah Yang menciptakan mereka (dari tiada kepada ada) adalah lebih besar kekuatanNya dari mereka? dan sememangnya mereka sengaja mengingkari tanda-tanda kekuatan Kami (sedang mereka sedia mengetahuinya).( Fussilat 41: 15)

Kemudian Nabi Nuh menyuruh mereka supaya menyembah Allah, tetapi mereka ingkar, akhirnya mereka menerima seksaan dengan ditimpa badai dan udara yang sangat dingin selama tujuh hari lapan malam. .(Abdul Latif Muda dan Rosmawati Ali @ Md Zain 1998 : 47)

Selain itu, kisah Nabi Yunus as. Baginda merupakan keturunan Nabi Ya’kub as. Baginda diutuskan oleh Allah kepada bangsa Ninawa di daerah Mansul dalam kerajaan Babil. Semasa baginda menyebarkan dakwah, baginda mengajak kaumnya agar menyembah Allah, namun ajakan beliau bukan sahaja ditentang, bahkan diejek. Akhirnya Nabi Yunus meninggalkan kaumnya dan berdoa kepada Allah agar diturunkan azab kepada mereka. (Amir Husin Mohd.Nor et al. 2002 : 159).

Ketika tanda-tanda azab akan turun, maka seluruh penduduk mencari Nabi Yunus kerana ingin bertaubat, namun Nabi Yunus tetap meneruskan pelayarannya. Kemudian, mereka semua beriman kepada Allah serta menyesal kerana melawan segala yang disampaikan oleh Rasul Allah. Nabi Yunus diuji Allah ketika berada di dalam perut ikan Nun. Setelah kembali ke Ninawa, dilihatnya mereka semua telah beriman. Maka Nabi Yunus meneruskan dakwahnya sehingga negeri tersebut menjadi aman dan makmur. (Abdul Latif Muda dan Rosmawati Ali @ Md Zain 1998 : 48)

Disamping itu ialah kisah Nabi Luth, Baginda adalah bersaudara dengan Nabi Ibrahim yang diutuskan kepada kaumnya di negeri Sadum supaya kaumnya menyembah Allah SWT. Hal ini kerana pada ketika itu, masalah akhlak di sana amat teruk. Biarpun telah diseru agar beriaman kepada Allah, mereka tetap ingkar. (Amir Husin Mohd Nor et al. 2002 : 160).

Firman Allah:
       
Maksudnya: Ketika saudara mereka - Nabi Lut, berkata kepada mereka: "Hendaknya kamu mematuhi perintah Allah dan menjauhi laranganNya".( Asy-Syuara’ 26: 161)

Akhirnya, atas kedegilan mereka, Allah SWT membalas keingkaran mereka dengan dibalikkan bumi Sadum sehingga musnah negeri tersebut.

Sebagaimana yang telah dibincangkan di atas, jelaslah bahawa semua nabi dan rasul menyeru kepada umat masing-masing agar menyembah Allah, melaksanakan suruhan-Nya serta meninggalkan larangan-Nya.

SYARIAT TERDAHULU DALAM BENTUK LARANGAN DAN HUKUMAN

Selain dalam perkara ibadah serta kekeluargaan, beberapa syariat yang lain juga telah ada pada masa sebelum syariat Nabi Muhammad SAW.

Antaranya ialah mengenai timbang dan sukat. Dalam hal penetapan timbangan, Allah sejak dahulu lagi telah mengingatkan agar seseorang itu tidak menipu. Nabi Syu’aib misalnya telah memerintahkan kaumnya agar bersifat jujur dalam urusan perniagaan.

Firman Allah:
         •     ••        •    • 
Maksudnya: Hendaklah kamu menyempurnakan sukatan cupak gantang, dan janganlah kamu menjadi golongan yang merugikan orang lain. Dan timbanglah dengan neraca yang betul timbangannya. Dan janganlah kamu bermaharajalela melakukan kerosakan di muka bumi. Dan (sebaliknya) berbaktilah kepada Allah yang telah menciptakan kamu dan umat yang telah lalu.

Seterusnya ialah larangan daripada berzina yang mana juga telah wujud sebelum Nabi Muhammad SAW. Hal ini berdasarkan dari kisah Siti Maryam ketika dia didatangi oleh Malaikat Jibril untuk menyampaikan berita bahawa Maryam akan memperolehi seorang putera, Maryam terkejut lantas mengatakan bahawa dia belum pernah disentuh oleh mana-mana lelaki dan dia berkata : ‘Aku bukan seorang perempuan yang jahat’.

Firman Allah :

           
Maksudnya: Maryam bertanya (dengan cemas): Bagaimanakah Aku akan beroleh seorang anak lelaki, padahal Aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun, dan Aku pula bukan perempuan jahat?" (Maryam 19: 20)
Kisah ini jelas menunjukkan bahawa perbuatan zina itu ditegah oleh syariat Islam masa itu (syariat Nabi Musa) dan mereka yang berzina akan dikutuk oleh masyarakat. (Roestam et al. 1992: 411)

KEHUJAHAN SHAR’MAN QABLANA

Ulama berselisih pendapat dalam hal yang berkaitan syariat terdahulu dengan syariat yang terkemudiannya. Sebelum membahaskan pendapat-pendapat mereka, perlu dijelaskan terlebih dahulu pokok perbahasan Shar’man Qablana. Sesungguhnya ia dibahagikan kepada beberapa bahagian. (Abdu Karim Zaidan 2009: 209)

Bahagian pertama ialah hukum-hukam yang terdapat di dalam Al-Quran dan ada dalil yang menjelaskan bahawa hukum-hukum tersebut turut difardhukan kepada kita sama seperti yang telah difardhukan kepada umat dan kaum terdahulu. Bahagian pertama ini tiada perselisihan dalam kalangan ulama dan mereka menerima Shar’man Qablana. Hal ini kerana terdapat dalil yang menjelaskan pensyariatan tersebut. Contohnya pensyariatan puasa. (Abdul Karim Zaidan 2009: 209)

Firman Allah:
              
Maksudnya : Wahai orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas umat sebelummu. Semoga kamu menjadi orang yang bertaqwa. (Al-Baqarah 2: 183)

Berdasarkan ayat tersebut jelas menunjukkan diwajibkan berpuasa atas semua umat Islam seperti yang disyariatkan kepada umat terdahulu. (Sulaiman Abdullah 1995: 70)

Seterusnya ialah hukum-hukum yang terdapat dalam Al-Quran atau dijelaskan Rasul di dalam Sunnahnya dan terdapat dalil yang menjelaskan bahawa hukuman tersebut telah dinasakhkan iaitu hukuman tersebut memang dikhususkan pensyariatannya untuk umat terdahulu sahaja. Sesungguhnya dalam bahagian ulama sepakat menolak Shar’man Qablana. Hal ini kerana hukum-hukum tersebut telah dinasakhkan dan hanya terpakai untuk umat terdahulu sahaja. Contohnya : (Abdul Karim Zaidan 2009: 209)

Sabda Rasulullah SAW :
وأحلت لي الخنائم ولم تحل لأحد قبلي
Maksudnya: Telah dihalalkan kepadaku harta rampasan (perang), dan tidaklah dihalalkan kepada seorang pun sebelumku.

Hadis di atas menunjukkan pengharaman sesuatu perkara pada umat-umat terdahulu, dimana pada zaman kita, diperbolehkan untuk mengambil manfaat darinya, contohnya harta rampasan perang. (Abdul Karim Zaidan2009: 210)

Selain bahagian ketiga pula ialah hukum-hakam yang tidak disebut di dalam al-Quran dan tidak dijelaskan oleh Rasulullah SAW di dalam hadis Baginda. Para ulama bersepakat bahawa ia bukanlah satu hukum yang disyariatkan kepada umatnya. (Abdul Karim Zaidan 2009: 210)

Di samping itu, bahagian keempat ialah hukum-hukum yang terdapat dalam al-Quran atau hadis terdapat dalil yang memperakui mahupun menolaknya. Para ulama berselisih pendapat mengenainya. (Abdul Karim Zaidan 2009: 210)

Sesungguhnya berdasarkan perbahasan yang dinyatakan di atas, kehujahan Shar’man Qablana dapat dibahagikan kepada dua pendapat. Pendapat pertama iaitu yang terdiri daripada Mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali mengatakan bahawa ia adalah hujah dan mesti beramal dengan hukum tersebut. Manakala pendapat kedua iaitu yang terdiri daripada Syafie dan sebahagian ulama Hanbali mengatakan bukan sebagai hujah. (Muhammad Abu Zahrah 1958: 286)

Pendapat pertama:
Ulama Mazhab Hanafi, Maliki dan Ahmad yang mengatakan bahawa ia adalah hujah. Mereka berpendapat bahawa syariat Islam itu perlulah diamalkan oleh semua umat Islam kerana semua syariat Samawi itu adalah satu. ( Sulaiman Abdullah 1995: 73)

i) Firman Allah SWT:
        
Maksudnya : Dia syariatkan bagimu dari agama, apa yang ia telah wasiatkan kepada Nuh dan apa yang Kami wahyukan kepadamu, apa yang kami wasiatkan kepada Ibrahim, Musa, dan Isa supaya kamu menegakkan agama dan jangan kamu berpecah belah dalam agama.( Asy-Syuara’ 26: 13)

Ayat ini menetapkan kesatuan agama atau syariat Nabi Muhammad SAW dan kesatuan hukum-Nya iaitu sama seperti syariat Nabi Nuh turut juga diwahyukan kepada Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan Nabi Isa. Hal ini menunjukkan bahawa syariat terdahulu masih terpakai, maka wajiblah beramal mengikut hukum-hukum dari syariat terdahulu, kecuali terdapat dalil yang menunjukkan bahawa ia telah dinasakhkan dalam syariat Islam. ( Hasrun Haroan 1996: 150)

ii) Selain itu, mereka juga berhujah mengatakan bahawa Allah telah menurunkan Taurat kepada para nabi sebagai panduan dalam mengeluarkan hukum.

Firman Allah SWT:

         • ……… 
Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab Taurat, Yang mengandungi petunjuk dan cahaya Yang menerangi; Dengan Kitab itu Nabi-nabi ….(Al-Maidah 5: 44)
Ayat ini menjelaskan bahawa Allah telah menurunkan kitab Taurat kepada para nabi termasuklah Nabi Muhammad SAW kerana baginda juga merupakan seorang nabi, maka mengikuti syariat dalam Taurat atau syariat terdahulu adalah wajib kepada baginda dalam mengeluarkan hukum. Sebagai contoh, sesungguhnya pernah diriwayatkan bahawa Nabi SAW merujuk kitab Taurat bagi hukuman rejam terhadap salah seorang Yahudi atas hukuman zina. Oleh yang demikian, ulama berpendapat syariat terdahulu adalah wajib diikuti. (Abd Rabbah Muhammad Said Ali 1990: 229)

iii) Nabi Muhammad SAW pernah menjatuhkan hukuman qisas ke atas kesalahan mematahkan gigi. Hukuman tersebut hanya terdapat di dalam kitab Taurat sahaja. Maka wajiblah merujuk kitab Taurat kerana ia adalah sama seperti yang diceritakan oleh Allah SWT dalam al-Quran. Buktinya firman Allah SWT : (Abd Rabbah Muhammad Said Ali 1990: 227).

   • • •            ….. 
Maksudnya: dan Kami telah tetapkan atas mereka di Dalam Kitab Taurat itu, Bahawa jiwa dibalas Dengan jiwa, dan mata dibalas Dengan mata, dan hidung dibalas Dengan hidung, dan telinga dibalas Dengan telinga, dan gigi dibalas Dengan gigi, dan luka-luka hendaklah dibalas (seimbang). (Al-Maidah 5: 45).

Ayat ini menunjukkan hukuman qisas yang disyariatkan dalam kitab Taurat kepada Nabi Musa tetapi hukuman tersebut masih lagi terpakai sehingga Nabi Muhammad SAW. Oleh yang demikian, berdasarkan ayat ini, syariat terdahulu merupakan satu hujah.

iv) Imam Hanafi dan Maliki mengatakan ia adalah hujah dan mesti beramal dengannya berdasarkan firman Allah SWT:

        …
Maksudnya: mereka (Nabi-nabi) itulah, orang-orang Yang telah diberi petunjuk oleh Allah, maka Turutlah olehmu (Wahai Muhammad) akan petunjuk mereka…….(Al-An’am 6: 90)

Berdasarkan ayat di atas, sesungguhnya Allah SWT telah memerintahkan supaya Nabi Muhammad SAW mengikut petunjuk mereka (nabi-nabi terdahulu). Syariat nabi-nabi terdahulu merupakan sebahagian petunjuk yang merangkumi iman dan syariat keseluruhannya. Hal ini bermaksud segala yang disyariatkan kepada nabi-nabi terdahulu menjadi wajib ke atas kita untuk mengikutinya. (Abd Rabbah Muhammad Said Ali 1990: 228).

v) Selain itu, Shara’ man qablana dikatakan hujah menurut Imam Hanafi dan Maliki. Berdasarkan firman Allah SWT:

        •   
Maksudnya: Sungguhnya Kami telah memberikan wahyu kepadamu (Wahai Muhammad), sebagaimana Kami telah memberikan wahyu kepada Nabi Nuh, dan Nabi-nabi Yang diutus kemudian daripadanya; (An-Nisa’ 4: 163)

Dan firman Allah SWT:

         …….. 
Maksudnya: Allah telah menerangkan kepada kamu - di antara perkara-perkara ugama Yang ia tetapkan hukumNya - apa Yang telah diperintahkanNya kepada Nabi Nuh…(As-Syura 42: 13)

Kedua-dua ayat di atas menerangkan bahawa agama ialah ketundukan kepada Allah yang merangkumi iman dan syariat. Syariat tersebut telah diturunakan kepada Nabi Nuh dan syariat tersebut turut juga disyariatkan kepada Nabi Muhammad SAW. Hal ini menunjukkan bahawa sesungguhnya syariat terdahulu masih terpakai sehingga sekarang, maka wajib beramal dengannya. (Abd Rabbah Muhammad Said Ali 1990: 228)

v) Allah SWT memrintahkan nabi Muhammad SAW mengikut ajaran Nabi Ibrahim as seperti firman Allah SWT :

    •         
Maksudnya: kemudian Kami wahyukan kepadamu (Wahai Muhammad): hendaklah Engkau menurut ugama Nabi Ibrahim, Yang berdiri teguh di atas jalan Yang benar; dan tiadalah ia dari orang-orang musyrik. (An-Nahl 14: 123)

Ayat diatas menunjukkan, bahawa Allah SWT telah memerintahkan Nabi Muhammad SAW supaya mengikuti agama Nabi Ibrahim a.s dan ia menunjukkan perintah (al-amr) menunjukkan kepada wajib. Agama itu juga adalah nama lain bagi syariat. ( Abdu Rubuh Muhammad Said Ali 1990 : 229 )

vi) Selain itu, hujah ini diperkuatkan lagi dengan mengatakan bahawa syariat yang diwahyukan kepada seorang rasul yang terdahulu adalah sama dengan syariat Rasul yang terkemudian. Firman Allah SWT :

               
Maksudnya: (Mereka berkata): "Kami tidak membezakan antara seorang Dengan Yang lain Rasul-rasulnya". mereka berkata lagi: Kami dengar dan Kami taat (Kami pohonkan) keampunanMu Wahai Tuhan kami, dan kepadamu jualah tempat kembali".(Al-Baqarah 2:285)

Ayat di atas menunjukkan bahawa rasul yang diutuskan bersama syariat mempunyai tanggungjawab yang sama. Maka tiada bezanya diantara utusan seorang rasul terdahulu dengan rasul terkemudian. Oleh itu, syariat juga turut diamalkan walaupun datang rasul selepas itu selagi tidak ada dalil yang menasakhkannya.

Oleh yang demikian, syariat terdahulu masih lagi terpakai dalam perundangan Islam dan diperakui sehingga terdapat dalil yang menasakhkannya. (Abd Rabbah Muhammad Said Ali 1990 23).

Pendapat kedua :

Manakala menurut Imam Syafie dan Ahmad mengatakan bahawa syara’ man qablana tidak boleh dijadikan hujah. Salah satu hujah mereka ialah berdasarkan dalil al-Quran.

i) Firman Allah SWT:

     …….. 
Maksudnya: bagi tiap-tiap umat Yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu syariat dan jalan ugama (yang wajib diikuti oleh masing-masing).(Al-Maidah 5: 48)

Melalui ayat ini dapat difahami bahawa setiap nabi membawa syariatnya yang tersendiri. Oleh yang demikian, setiap umat mempunyai syariat tersendiri yang dibawa oleh nabi mereka. Setiap nabi itu mempunyai perundangan dan syariatnya tersendiri serta syariat mereka wajib diikuti umat mereka. (Abdu Rubuh Muhammad Said Ali 1990 : 231).

ii) Hal ini juga diperkuatkan lagi bahawa syariat terdahulu bukan hujah berdasarkan hadis Rasulullah SAW:
أن رسول الله صلى الله عليه وسلم بعث معاذ إلى اليمن فقال كيف تقضي فقال أقضي بما في كتاب الله قال فإن لم في كتاب الله قال فسنة رسول الله صلى الله عليه وسلم قال فإن لم يكن في سنة رسول الله عليه وسلم قال أجتحد رأي

Maksudnya: Bahawasanya Rasulullah SAW mengutus Mu’az ke Yaman. Maka beliau bersabda : “ Bagaimana engkau menghukum (sesuatu)?”. Mu’az menjawab : “ Saya akan menghukum dengan apa-apa yang terdapat Kitabullah ?”. Beliau bersabda : “ Apabila tidak terdapat dalam Kitabullah?”. Mu’az menjawab : “Maka (saya akan menghukum) dengan Sunnah Rasulullah SAW”. Beliau bersabda kembali : “Apabila tidak terdapat dalam Sunnah Rasulullah SAW?”. Mu’az menjawab : “Saya akan berijtihad dengan fikiran saya….”.(Riwayat Tarmizi)

Hadis tersebut menceritakan mengenai sumber perundangan Islam iaitu al-Quran, Sunnah dan Ijtihad sahaja dan Shar’man qablana tidak pula dinyatakan dalam hadis tersebut. Sekiranya syariat terdahulu merupakan salah satu sumber syarak, nescaya ia pasti disebut selepas al-Quran dan al-Sunnah. (Abdu Rubuh Muhammad Said Ali 1990 : 231).

iii) Mereka juga turut mengeluarkan hujah berdasarkan ijmak ulama iaitu sesungguhnya kaum Muslimin bersepakat bahawa syariat Nabi Muhammad SAW telah menasakhkkan syariat terdahulu. Oleh itu, syariat terdahulu merupakan bukan hujah dan tidak wajib diikuti.

iv) Selain itu, mereka juga mengemukakan hujah berdasarkan dalil naqli iaitu sekiranya dituntut beramal dengan syariat terdahulu, nescaya mempelajarinya adalah fardhu kifayah, Nabi sendiri akan merujuk syariat itu serta tidak memadai dengan hukum yang diturunkan.

Keduanya pula ialah asal kepada perlaksanaan syariat terdahulu ialah khusus dan terbatas kepada umat tertentu sahaja. Nabi Muhammad SAW bersabda : ( Abdu Rubuh Muhammad Said Ali 1990: 232).

كان النبي يبعث إلى قومه خاصة وبعثت إلى الناس عامة

Maksudnya: Nabi-nabi yang dahulu itu diutus kepada kaumnya sahaja, sedangkan aku diutuskan kepada manusia seluruhnya.

Oleh yang demikian, sekiranya sesuatu syariat itu masih berterusan dengan kedatangan yang syariat lain, maka rasul yang kedua itu tidak membawa syariat yang baru. Oleh yang demikian, umat tidak memerlukan penjelasan daripada rasul tersebut kerana tiada faedah sedangkan Allah tidak mengutuskan seseorang rasul tanpa faedah. (Abd Rabbah Muhammad Said Ali 1990: 232).

Selain itu, mereka juga mengatakan terdapat kebarangkalian bahawa syariat terdahulu dikhususkan untuk tempat tertentu. Contohnya, Nabi Syuaib dikhususkan kepada ahli Madyan, al-Aikah. Seterusnya, Nabi Musa diutuskan kepada Bani Israel. Oleh yang demikian, kewajipan beramal dengan sesuatu syariat terdahulu adalah terbatas kerana dikhususkan kepada sesuatu zaman dan syariat terhenti dengan utusan rasul yang lain. ( Abd Rabbah Muhammad Said Ali 1990: 232-233).

KESIMPULAN

Hukum-hakam terdahulu yang ditetapkan Allah Taala kepada umat-umat terdahulu. Penetapan tersebut adalah melalui para nabi dan rasul yang terpilih, contohnya Nabi Musa, Nabi Daud, Nabi Isa dan juga junjungan besar kita iaitu Nabi Muhammad SAW.

Sebahagian dari syariat umat-umat terdahulu itu masih diguna pakai, manakala sebahagiannya yang lain telah dimansuhkan.

Selain itu, terdapat juga syariat yang asalnya daripada Allah Taala, namun diselewengkan oleh para jahilin , contohnya : syariat yang dibawa Nabi Musa telah diselewengkan bangsa Yahudi, dan syariat yang diselewengkan tersebut masih kekal sehingga ke hari ini.

Namun, yang pastinya, syariat Nabi Muhammad adalah terpakai untuk manusia keseluruhannya dan merupakan pelengkap kepada syariat-syariat sebelumnya.

Oleh itu, kita hendaklah mengamalkan syariat yang dibawa oleh Nabi Muhammad di samping berusaha memeliharanya dari diselewengkan para jahilin yang sememangnya sedaya upaya untuk meroskkan akidah umat Islam.

RUJUKAN

Abdul Latif Muda. 2003. Pengantar syariah dan teori fiqh. Kuala Lumpur: Pustaka Darul
Salam.

Abdul Latif Muda. Rosmawati Ali @ Md Zin. 1998. Pengantar ilmu tauhid. Kuala Lumpur:
Pustaka Darul Salam .

Abdu Rabbah Muhammad Said Ali. 1990. Mabhath fi al-adillahal al-mukhtalaf fiha ‘ind al-usulliyyin. Kaherah : Dar al-Kitab al-Jamiyy.

Abu Zahrah Muhammad. 1958. Usul al-fiqh. Kaherah: t.pt.

Amir Husin Mohd Nor. Abdul Basir Mohamad. Mohmad Nasran Mohammad. Zaini Nasohah. 2002. Falsafah perundangan Islam. Selangor: Mahzum Book Servis.

Hasrun Haroan. 1996. Usul al-fiqh. Jakarta: Logos Publishing.

St. Roestam. Zafrullah Salim. M.S.Wijaya. 1992. Hukum dan syariat Islam. Jakarta. Penerbit Kalam Mulia.

Sulaiman Abdullah. 1995. Sumber Hukum Islam. Jakarta: Sma Grafik.

Zaidan Abdul Karim. 2009. Al-wajiz fi usul al-fiqh. Lubnan: Resalah Publisher.



Semoga yg sedikit memberi munafaat :-

1) Saudah Bt Mahamud
2) Che Mursyidah Bt Che Ibrahim @ Mamat
3) Siti Nur Najiyah Bt. Abdul Muttalib
4) Mazlinda Bte Mohd Fahmi Tan
5) Maisya Azila Bte Ismaon

Wallahua'lam..

0 comments: