Assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Sunday, April 11, 2010

Al-Ahliyyah

PENDAHULUAN
Segala puji dan syukur bagi Allah S.W.T yang telah melimpahkan ke atas kita berbagai-bagai nikmat yang tidak terhingga, memuliakan kita di atas sekalian umat dengan iman dan Islam dan memandu kita melalui syariat-Nya ke jalan keselamatan dan kebahagiaan dunia dan akhirat.
Selawat dan salam dipohonkan bagi junjungan kita Muhammad s.a.w yang telah diutus sebagai rahmat bagi semesta alam dan sebagai cahaya yang menerangi segala kegelapan, begitu juga bagi seluruh keluarga, para sahabat dan pengikut-pengikutnya hingga ke akhir zaman.
Tugasan yang diberikan kepada saya ini bertajuk “Ahliyyah”. Ahliyyah menjadi satu pekara yang penting dalam kebanyakan aspek seperti jual beli, perkahwinan, dan sebagainya malah ia juga merupakan salah satu syarat yang menjadikan sesuatu perbuatan itu sah disisi Islam.
Perbincangan mengenai ahliyyah berkisar tentang kedudukan ahliyyah itu sendiri seperti kelayakan bagi seseorang untuk melakukan sesuatu perbuatan yang sah dengan mengira beberapa aspek termasuklah halangan-halangan yang menghalang seseorang dari melakukan perbuatan tersebut. Ahliyyah merupakan salah satu unsur dan keperluan utama yang ditetapkan dalam menetapkan hukum. Keseluruhan tindakan menuntut kepada kelayakan dan kelayakan ini diambil kira bagi setiap orang yang melaksanakan sesuatu akad. Syarat ahliyyah al-tasaruf dikenakan terhadap orang yang ingin melakukan sesuatu akad. Syarat tersebut mestilah terdiri daripada dua pihak yang berakad yang mana keduanya mestilah berkeahlian dan berkelayakan. Oleh sebab itu ahliyyah menjadi sangat penting dalam penetapan hukum untuk menimbangkan sesuatu perbuatan itu sah atau tidak di sisi syarak.
Akhir kata, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Ustaz. Muhammad Adib bin Samsudin kerana telah banyak mengajar dan membantu kami dalam subjek usul fiqh II ini. Sekiranya ada kesilapan diharap ustaz dapat memberi teguran agar kami dapat memperbaikinya di masa akan datang. Sekian, Wasalam.


DEFINISI AL-AHLIYYAH
Ahliyyah dapat didefinisikan kepada dua bahagian iaitu definisi dari segi bahasa dan istilah.
a. Bahasa
Al-Ahliyyah berasal daripada perkataan ahl yang bermaksud orang yang berkelayakan.
(Ishak Abas. 1986: 39) Ia juga bermaksud kesesuaian (Abdul Karim Zaidan. 2009: 72) (salahiyyah).
b. Istilah
Menurut Abdul Karim Zaidan ( 2009: 72), al-ahliyyah dari sudut istilah bermaksud kelayakan seseorang untuk menerima segala hak dan tanggungjawab yang disyariatkan kepadanya.

PEMBAHAGIAN AL-AHLIYYAH
Syarat dalam sah pentaklifan adalah seseorang mukallaf itu layak memikul tanggungjawab. Kelayakan pentaklifan ini ditetapkan untuk manusia dalam keadaan dia menjadi baligh dan berakal. ulama usul telah berbincang tentang ahliyyah dan penghalang-penghalang ahliyyah dengan gambaran umum seperti berikut:
1) Ahliyyah
a) Ahliyyah al-wujub
b) Ahliyyah al-ada’
2) cAwarid ahliyyah
a) Samawiyyah
b) Muktasabah




a) Ahliyyah al-wujub

Menurut Ali Hasbullah (1964: 356) Ahliyyah al-wujub ialah kelayakan manusia untuk menerima hak dan tanggungjawab padanya dari segi syarak.

Menurut Hailani Mujir Tahir (1998:48) Ahliyyah al-wujub bermaksud juga seperti keahlian wajib (ahliyyah al-wujub atau capacity to acquire right), kelayakan seseorang bagi mendapat hak-hak yang ditentukan oleh syarak atau undang-undang.

Menurut Abdul Karim Zaidan (2009: 72). Ahliyyah al-wujub merupakan kelayakan seseorang manusia untuk diwajibkan hak-hak yang disyariatkan baginya. Kelayakan yang ditetapkan baginya hak-hak dan mewajibkan ke atasnya untuk memikul tanggungjawab tersebut. Keahlian ini sabit dengan zimmah iaitu kelayakan yang dikenakan kepada manusia yang berasaskan pensabitan zimmah.

Zimmah dari segi bahasa ialah perjanjian sebagaimana dalam firman Allah s.w.t :
      • ۰۰۰
( Surah al-taubah 9:10)
Maksudnya: mereka tidak memelihara (hubungan) kerabat terhadap orang-orang mukmin dan tidak (pula mengindahkan) perjanjian.

Berdasarkan ayat al-Quran di atas , zimmah ini dinamakan untuk orang-orang kafir yang menetap di negara Islam secara berterusan berasaskan kepada perjanjian antara negara Islam dengan mereka.
Zimmah dari segi istilah satu sifat yang ada nilai syarak yang menjadikan seseorang itu berkelayakan dari segi hak dan tanggungjawab. Makna istilah ini terpakai kepada setiap manusia sekiranya dia dilahirkan dalam keadaan bernyawa. Oleh yang demikian, asas-asas ahliyyah al-wujub bagi manusia ialah nyawa. Sekiranya manusia bernyawa maka dia berhak memperolehi zimmah dan mempunyai ahliyyah wujub. Dengan itu ahliyyah sabit kepada janin sekalipun kejadiannya tidak sempurna. Oleh itu nyawa merupakan satu asas penetapan ahliyyah al-wujub dan kelayakan ini akan kekal sepanjang hidupnya dan tidak terpisah sehingga dia meninggal dunia.

b) Ahliyyah al-ada’

Menurut Ali Hasbullah (1964: 357) Ahliyyah al-ada’ merupakan kelayakan seseorang melakukan perbuatan yang diterima syarak.

Menurut Hailani Mujir Tahir (1998: 48) ahliyyah al-ada’ bermaksud juga keahlian bertindak (ahliyyah al-ada’ atau capacity to exercise) dan kelayakan seseorang mengeluarkan tindakan percakapan (al-tasarruf al-qawli) yang diakui oleh syarak.

Menurut Abdul Karim Zaidan (2009: 73), ahliyyah al-ada’ ialah kelayakan seseorang manusia untuk dituntut bertanggungjawab. Oleh itu, setiap percakapan dan perbuatannya diambil kira dan mempunyai kesan di sisi syarak. Kelayakan ini bermaksud kewajipan dan tanggungjawab untuk ditunaikan seperti solat. (Hassan Ayob 2008:69).

Klasifikasi ahliyyah al-wujub dan ahliyyah al-ada’
Setiap daripada ahliyyah al-wujub dan ahliyyah al-ada’ adakalanya tidak sempurna (naqisah) dan adakalanya sempurna (kamilah). Melihat kepada perkembangan yang dilalui oleh manusia dalam kehidupan bermula daripada kejadiannya sehingga sempurna akalnya kemudian meninggal dunia. Peringkat perkembangan ini terbahagi kepada empat iaitu :
1) Peringkat janin
2) Peringkat dilahirkan sehingga mumayyiz
3) Peringkat mumayyiz sehingga baligh
4) Peringkat selepas baligh
1) Peringkat janin.
Menurut Hassan Ayob (2008: 69) dan Abdul Karim Zaidan (2009: 74), janin mempunyai ahliyyah wujub naqisah apabila dia dianggap sebagai manusia yang tersendiri dan terpisah daripada ibunya maka janin tersebut mempunyai zimmah. Maka dia hanya memperolehi sebahagian daripada hak kerana pensabitan zimmah padanya adalah tidak sempurna.
Oleh itu, Janin tersebut memperolehi hak tetapi tidak dipertanggungjawabkan seperti sabitlah hak-hak yang tidak memerlukan kepada qabul seperti:
a) Harta pusaka
b) Wasiat
c) Hak daripada wakaf


2) Peringkat dilahirkan sehingga mumayyiz
Menurut Abdul Karim Zaidan (2009: 74), janin apabila lahir dalam keadaan hidup maka sabitlah baginya ahliyyah wujub kamilah dan dia mempunyai zimmah yang sempurna. Oleh itu, dia diberikan hak dan tanggungjawab yang sepatutnya tetapi tidak sama dengan orang dewasa. Hak-hak kanak-kanak peringkat ini adalah seperti berikut:

a) Hak-hak hamba
Hak-hak hamba terbahagi kepada dua iaitu hak yang berkaitan dengan kewangan dan qisas. Hak-hak yang berkaitan dengan kewangan seperti hak membayar ganti rugi terhadap barang yang telah dirosakkan, memberi upah kepada orang yang mengambil upah ataupun memberi nafkah kepada isteri dan kaum kerabat. Hak-hak ini dipertanggungjawabkan kepada kanak-kanak kerana pelaksanaannya boleh diganti oleh walinya. Manakala hak-hak hamba yang berkaitan balasan qisas tidak dipertanggungjawabkan kepada kanak-kanak kerana pelaksanaannya tidak boleh diganti oleh walinya tetapi berbeza sekiranya ia berkait dengan diyat kerana ia berkait dengan kewangan.

b) Hak-hak Allah s.w.t:
Perkara asal yang berkaitan dengan ibadah iaitu iman sama ada berbentuk fizikal semata-mata seperti solat atau kewangan semata-mata seperti zakat atau gabungan daripada ibadah dan harta seperti haji maka tidak wajib kepada kanak-kanak untuk melakukannya. Ini kerana tanggungjawab menunaikan ibadah tersebut perlu ditunaikan secara pilihan tanpa paksaan.


3) Peringkat mumayyiz sehingga baligh
Menurut Abdul Karim Zaidan (2009: 76), peringkat ini bermula ketika kanak-kanak berumur tujuh tahun sehingga dia baligh. Pada peringkat ini, sabit kepada seseorang itu ahliyyah wujub kamilah serta pensabitannya adalah lebih baik daripada peringkat sebelum mumayyiz dan ditetapkan ahliyyah al-ada’ padanya. Manakala ahliyyah al-ada’ adalah naqisah kerana akalnya tidak sempurna. Maka, ibadah yang dilakukan oleh kanak-kanak adalah sah tetapi tidak dituntut.

Manakala tindakan mereka yang berkaitan dengan urusan kewangan adalah seperti berikut:

a) Tindakan yang mendatangkan manfaat penuh kepada kanak-kanak seperti penerimaan hibah, sedekah dan wasiat. Bentuk transaksi seperti ini sah bagi kanak-kanak itu tanpa tertakluk kepada kebenaran wali atau pemegang wasiat. Ini kerana membenarkan transaksi yang dilakukan kanak-kanak itu hukumnya harus kerana ia membawa maslahah kepada kanak-kanak itu.

b) Tindakan yang mendatangkan mudarat kepada kanak-kanak seperti terkeluar sesuatu daripada hak miliknya tanpa sebarang pulangan seperti hibah dan wakaf. Transaksi seperti ini tidak sah dan wali tidak berhak untuk mengesahkan transaksi itu. Ini kerana wali itu tidak layak melakukannya bagi pihak kanak-kanak disebabkan asas perwalian itu ialah menjaga kemaslahatan kanak-kanak dan tidak dinamakan menjaga sekiranya mendatangkan kemudaratan kepada kanak-kanak.

c) Tindakan yang tidak ada kepastian antara manfaat dan mudarat dari sudut asal kejadian (ada kebarangkalian manfaat atau mudarat) seperti jual beli dan sewa. Transaksi seperti ini ada kebarangkalian untung dan rugi dan sekiranya perbuatan itu dilakukan sendiri oleh kanak-kanak yang mumayyiz maka sah tindakannya itu berdasarkan ahliyyah al-ada’ yang dimilikinya tetapi tindakannya masih tertakluk kepada kebenaran wali kerana ahliyyah al-ada’ yang tidak sempurna.


4) Peringkat selepas baligh
Peringkat ini bermula dari waktu baligh sehinggalah meninggal dunia. Ini berdasarkan kepada firman Allah s.w.t.:
  •    ۰۰۰
(Surah al-Nisā’ 4: 6)
Maksudnya: “ Dan ujilah anak-anak yatim itu sampai mereka cukup umur untuk menikah (dewasa)”.
Berdasarkan ayat al-Quran di atas, orang yang baligh mempunyai keahlian untuk menunaikan kewajipan agama. Dia dituntut beriman sepenuhnya dengan menunaikan rukun Islam. Dia juga dituntut melaksanakan hukum-hukum syarak yang lain yang terdiri daripada suruhan kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran, berjihad ke jalan Allah, menghormati jiwa, harta, dan lain-lain.
Menurut Abdul Karim Zaidan (2009: 77). Apabila seseorang itu baligh dan berakal maka sabit baginya ahliyyah al-ada’ kamilah dan ia berkelayakan untuk menjalankan segala perintah Allah swt dan dipertanggungjawabkan dengan semua bebanan syarak serta sah semua akad dan tindakan tanpa tertakluk kepada kebenaran sesiapa untuk melaksanakannya.

Sebagai rumusannya, peringkat kehidupan dan peringkat kelayakan adalah seperti berikut:
1) Peringkat janin terdiri daripada ahliyyah al-wujub naqisah.
2) Peringkat dilahirkan sehingga mumayyiz terdiri daripada ahliyyah al-wujub al-kamilah.
3) Peringkat mumayyiz sehingga baligh terdiri daripada ahliyyah al-wujub al-kamilah dan ahliyyah al-ada’ al-naqisah.
4) Peringkat selepas baligh terdiri daripada ahliyyah al-wujub al-kamilah dan ahliyyah al-ada’ al-kamilah.

HALANGAN-HALANGAN KELAYAKAN
Tidak dinafikan, apabila seseorang telah sempurna kelayakannya, kadangkala berlaku juga halangan-halangan yang mengurangi atau menghilangkan kelayakan. Hal ini disebut dengan halangan kelayakan (cawarid al-ahliyyah). (Muhammad Abu Zahrah 1994: 514)
Halangan ini terbahagi kepada dua iaitu , halangan yang berlaku di luar kemampuan manusia (cawarid al-samawiyyah) dan halangan yang berlaku disebabkan oleh perbuatan manusia itu sendiri (cawarid al-ahliyyah).

I. cAwarid al-samawiyyah
‘Awarid al-samawiyyah merupakan halangan yang datangnya daripada Allah atau ketentuan syarak (semula jadi) dan bukan disebabkan perbuatan manusia.
Antara halangan tersebut adalah seperti berikut:
1. Gila, hilang akal atau rosak akal sama ada gila secara berterusan atau gila sementara.
2. cAtah (nyanyuk) iaitu gangguan akal, hilang keupayaan menilai dan menimbang sesuatu (sukar untuk memahami sesuatu).
3. Pelupa
4. Tidur dan pengsan
5. Marad al-maut, sakit yang tiada harapan sembuh dan kesudahannya adalah mati.
6. Mati.


1. Gila
Gila ialah hilang akal, rosak atau kecacatan pada akal ialah berlaku kerencatan pada akal yang menyebabkan percakapan dan perbuatan tidak seperti orang yang berakal kecuali dalam keadaan sedikit sahaja iaitu banyak keadaan yang di luar kewarasannya. Gila atau hilang akal ini terbahagi kepada dua bahagian; gila disebabkan asal dan gila kerana yang mendatang.
Gila asal ialah seseorang itu baligh dalam keadaan gila. Gila yang mendatang pula ialah seseorang itu baligh dalam keadaan berakal kemudian menjadi gila sama ada mumtadd atau ghayr mumtadd. Gila mumtadd ialah apabila seseorang itu hilang kewarasannya yang mengambil tempoh masa satu-satu waktu ibadat manakala gila ghayr mumtadd ialah keadaan gila yang tidak mengambil tempoh masa sesuatu ibadat. Kedua-dua keadaan ini tidak menghilangkan ahliyyah al-wujub kerana masih ada nyawa tetapi tiada ahliyyah al-ada’ kerana tidak berakal. ( Abdul Karim Zaidan 2009: 79)

2. cAtah (nyanyuk)
cAtah ialah gangguan akal, hilang keupayaan untuk menilai atau menimbang sesuatu itu baik atau buruk. Ia terbahagi kepada dua.

Bahagian pertama ialah catah yang langsung tidak boleh menimbang dan menilai baik dan buruk. Orang nyanyuk seperti ini sama hukumnya dengan orang yang gila iaitu hanya hilang ahliyyah al-ada’ tetapi ahliyyah al-wujub masih ada kerana masih bernyawa.
Bahagian kedua pula, catah yang masih ada lagi pertimbangan dan boleh menilai baik atau buruk. Dia mempunyai ahliyyah al-ada’ tetapi tidak sama dengan orang yang sempurna akalnya. Manakala ahliyyah al-wujub sempurna kerana masih bernyawa.
( Abdul Karim Zaidan 2009: 80)
3. Pelupa
Pelupa disebabkan gangguan pada akal seketika yang menyebabkannya tidak mengingati sesuatu pentaklifan. Ia adalah halangan yang mendatang, bukan yang asal. Ahliyyah al-wujub dan ahliyyah al-ada’ masih ada kerana keupayaannya kekal dan akalnya juga sempurna, cuma ia berlaku seketika. Ia tidak boleh menjadi satu alasan untuk menggugurkan hak-hak hamba.
Contohnya, jika seseorang yang pelupa itu merosakkan harta orang lain, maka wajib ke atasnya menggantikan barang tersebut. Ini kerana hak hamba merupakan satu penghormatan dan kemuliaan. Oleh itu, lupa tidak menghilangkan kemuliaan tersebut. Adapun hak-hak Allah SWT, lupa dianggap satu bentuk alasan untuk melepaskan diri daripada mendapat dosa dan mengelak daripada mendapat hukuman. ( Abdul Karim Zaidan 2009: 81)

4. Tidur dan pengsan
Tidur dan pengsan menafikan ahliyyah al-ada’ kerana orang yang tidur dan pengsan akalnya tidak berfungsi. Oleh itu, percakapannya tidak diambil kira dan perbuatannya tidak dibalas secara fizikal. Manakala ahliyyah al-wujub sempurna kerana dia masih bernyawa.
Contohnya, jika seseorang itu pengsan atau tidur dia terjatuh ke atas seseorang sehingga menyebabkan kematian orang tersebut, dia tidak dikenakan qisas tetapi wajib membayar diyat. Dari segi ibadat pula, dia tidak dipertanggungjawabkan melainkan setelah sedar. Sekiranya sedar selepas waktu(solat) itu berlalu, maka ibadat tersebut wajib diganti.
( Abdul Karim Zaidan 2009: 82)

5. Marad al-maut
Marad al-maut ialah sakit yang tiada harapan untuk sembuh dan berkesudahan dengan kematian. Dalam keadaan ini, ahliyyahnya sempurna, sama ada ahliyyah al-wujub atau ahliyyah al-ada’ tetapi tindakannya disekat. Warisnya perlu menguruskan harta dan mengawal segala tindakannya serta menjaga hartanya sebagai amanah. (Abdul Karim Zaidan 2009:83)


6. Mati
Mati ialah terpisahnya nyawa seseorang manusia daripada jasad. Maka, hilanglah ahliyyah al-ada’. ( Abdul Karim Zaidan 2009: 85)

II. Awarid al-muktasabah

1. Al-jahl
Al-jahl terbahagi kepada dua bahagian iaitu dalam negara Islam dan negara bukan Islam:
i. Dalam negara Islam
Hukum Islam yang ditetapkan dalam al-Quran, al-sunnah mahupun ijmak tidak memberikan peluang kepada seseorang untuk melanggar atau meninggalkannya dengan alasan tidak tahu (al-jahl). Maksudnya, Islam tidak membenarkan sama sekali seseorang yang tinggal dalam lingkungan masyarakat Islam menjadikan kejahilan sebagai alasan untuk tidak mengetahui hukum Islam. Inilah yang dimaksudkan oleh Imam Syafi’iyy sebagai sesuatu perkara yang umum yang sepatutnya diketahui tidak boleh dijadikan alasan oleh seseorang untuk tidak mengetahuinya” (al-ammah la yasac ahadan an yajhalahu). (Muhammad Abu Zahrah 1994: 347)

ii. Negara bukan Islam
Ini kerana ilmu terdapat dua bentuk. Pertama ; Ilmu yang umum iaitu setiap orang yang berakal tidak mungkin tidak mengetahuinya. Misalnya, wajib solat lima waktu, puasa Ramadhan, haji bagi yang mampu, zakat, haramnya membunuh, haram berzina, mencuri dan minum minuman yang memabukkan serta lain-lain yang menjadi kewajipan dan larangan atas diri atau harta seseorang. Ilmu seumpama ini telah ditetapkan dalam al-Quran dan telah diketahui secara umum oleh semua umat Islam melalui berita yang selalu disebarkan dari satu generasi ke generasi seterusnya sejak dari zaman Rasulullah s.a.w. lagi dengan tidak ada pertentangan tentang isi dan riwayatnya. Pengetahuan seumpama ini tidak mungkin salah, baik dari segi riwayat mahupun penafsirannya kerana diambil daripada dalil yang jelas dalam al-Quran dan sunnah mutawatir yang telah disepakati hukumnya oleh umat Islam. (Muhammad Abu Zahrah 1994: 347)

Manakala ilmu yang kedua, adalah ilmu khusus, iaitu ilmu yang berkaitan dengan perkara furu’ serta tiada nas yang sarih daripada al-Quran, al-Sunnah mahupun ijmac. Ilmu seumpama ini dikhususkan untuk para ahli fiqh dan orang tertentu sahaja yang menguasai kajian-kajian masalah fiqhiyyah secara mendalam. Ilmu yang kedua ini juga tidak dituntut kepada orang awam untuk mengetahuinya.

1. Tersilap (al-khata’)
Menurut Muhammad Abu Zahrah (1994 : 353) Tersilap ialah berlakunya sesuatu perbuatan atau perkataan yang tidak disengajakan dan tidak seperti kemahuan pelakunya. Umpamanya, orang yang berpuasa sedang berkumur dan secara tidak sengaja air masuk ke dalam kerongkongnya. Hal ini dapat dilihat daripada sabda Nabi s.a.w:

"رفع عن أمتى الخطأ والنسيان وما استكرهوا عليه"

(Riwayat Bukhari, Ibnu Majah, Tarmizi dan Abu Daud)

Maksudnya: Diangkatkan (dosa) daripada umatku dengan sebab tersilap, lupa dan dipaksa.


Berdasarkan hadis di atas, jelas menunjukkan Allah mengampunkan tersilap, lupa, dan dipaksa kerana tersilap merupakan suatu perbuatan yang dimaafkan dan merupakan halangan daripada halangan-halangan seseorang. Para ulama bersepakat bahawa tersilap tidak berdosa dan tidak diseksa di akhirat. Hal ini juga dinyatakan oleh Allah s.w.t yang berfirman di dalam al-Quran dan menjadi doa orang-orang bertaqwa.




       
(al-Baqarah 2 : 286)
Maksudnya: “Ya Tuhan kami, janganlah Engkau menyeksa kami bila kami lupa atau tersilap”.

Ayat al-Quran di atas menunjukkan bahawa orang mukmin berdoa memohon kepada Allah s.w.t supaya mereka tidak diseksa apabila mereka lupa dan tersilap kerana ketidaksengajaan dalam melakukan sesuatu perkara. (Muhammad Abu Zahrah 1994 : 353)

Perbuatan yang tidak disengajakan tidak menafikan kelayakan seseorang sebagai mukallaf kerana akalnya tetap berfungsi, tetapi boleh dijadikan alasan untuk mengugurkan hak-hak Allah seperti tersilapnya fatwa seseorang mufti, tidak sengaja melakukan kesalahan dalam menentukan arah kiblat dan juga perkara yang berkaitan dengan hukum hudud seperti had zina.

Bagi menjaga jiwa dan keamanan, sekiranya melakukan perbuatan secara tidak sengaja yang melibatkan hak jenayah (denda) seperti qisas, maka dia tidak wajib dikenakan hukuman dan boleh dimaafkan kerana qisas merupakan hukuman semata-mata dan bukan berkaitan kewangan. Namun demikian, dia dikenakan bayaran diyat ganti kepada nyawa yang telah hilang.

Manakala dalam kesilapan yang berkaitan dengan hak hamba, seseorang itu tidak dikenakan qisas tetapi dikenakan diyat. Misalnya sekiranya seseorang yang melakukan kerosakan ke atas harta orang lain, maka dia wajib membayar ganti rugi sebagai ganti kepada harta yang telah dirosakkannya. Ini kerana, alasan ketidaksegajaan yang diberikan oleh pelaku dalam melakukan sesuatu tindakan seperti ini adalah ditolak. ( Abdul Karim Zaidan 2009: 89)



2. Mabuk
Mabuk ialah keadaan akal yang tidak berfungsi dengan waras kerana minum arak atau setiap yang memabukkan, sekira-kira selepas sedar daripada mabuk itu, seseorang tidak mengetahui perkara yang telah dilakukan semasa mabuk. Seseorang yang mabuk bolehlah dibahagikan kepada dua keadaan:

i. Mabuk dengan cara yang harus (mubah) iaitu seseorang yang minum sesuatu yang memabukkan kerana terpaksa, atau dipaksa atau dengan sebab tidak tahu sesuatu itu boleh memabukkan, atau minum ubat yang boleh menyebabkan mabuk atau sebagainya. Sekiranya seseorang tidak sedar sesuatu yang dikatakan dan dilakukan semasa mabuk, maka hukumnya adalah seperti hukum seseorang yang pengsan.
ii. Mabuknya seseorang itu dengan pilihannya sendiri. Apakah dia bertanggungjawab sepenuhnya atau tidak, maka dalam hal ini, para fuqaha’ berselisih pendapat mengenai orang yang mabuk dalam keadaan ini. (Abdul Karim Zaidan. 2009: 99)

Berikut merupakan beberapa pendapat mengenai orang yang mabuk dengan pilihannya sendiri:

Pendapat pertama mengatakan: Orang yang mabuk itu dikenakan hukuman bertanggungjawab sepenuhnya atas perkataan dan perbuatannya. Jadi, akad yang dilakukannya tetap berlaku. Begitu juga, talak yang dilafaznya akan gugur dan dia akan diqisas atau dihukum hudud apabila dia melakukan perbuatan jenayah yang mewajibkannya dihukum dengan hukuman tersebut. Hal ini merupakan risiko di atas perbuatannya sendiri iaitu mabuk atas kehendaknya dan dia mengetahui kesan dan akibat daripada mabuk itu. (Muhammad Abu Zahrah. 1994: 345)



Pendapat kedua mengatakan : Orang yang mabuk yang tidak sedar akan perkataannya. Maka akad yang dilakukannya adalah tidak sah kerana asas sah akad adalah dengan kerelaan. Begitu juga, dia tidak dikenakan hukuman yang boleh digugurkan kerana adanya unsur syubhat seperti qisas dan had. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:

" إدرءوا الحدود بالشبهات ما استطعتم "

( Riwayat Tarmizi dan Ibnu Majah)

Maksudnya: Tolaklah hudud itu dengan kesamaran (syubhat) selama mana kamu mampu.

Hadis berikut menjelaskan bahawa hudud tidak akan berlaku dalam perkara-perkara yang tidak jelas sehinggalah kesamaran itu dapat dibuktikan. Hadis ini dijadikan hujah pendapat yang kedua yang meletakkan kesamaran untuk tidak dipertanggungjawabkan kerana mabuk yang menyebabkan tidak sedar akan perbuatan dan percakapannya untuk menolak pendapat pertama yang menyatakan setiap orang yang mabuk dipertanggungjawabkan atas segala perbuatan dan percakapannya. (Muhammad Abu Zahrah 1994: 346)


KESIMPULAN
Al-ahliyyah merupakan kelayakan yang ditaklifkan kepada setiap manusia yang hidup. Ia merupakan satu kelayakan yang dituntut kepada setiap manusia yang berkelayakan untuk menerima atau melaksanakan tanggungjawab tersebut sama ada dalam aspek muamalah ictiqadiyyah ibadah dan sebagainya. Kelayakan yang ditaklifkan bergantung kepada peringkat serta tahap perkembangan manusia iaitu dari peringkat janin, peringkat belum mumayyiz, peringkat mumayyiz, peringkat baligh dan peringkat rushd atau dipanggil sebagai tahap kecerdikan akal.
Jenis al-ahliyyah yang telah digariskan mengikut peringkat ialah al-ahliyyah al-wujub dan al-ahliyyah al-ada’. Dua jenis al-ahliyyah ini dibahagikan pula kepada dua cabang iaitu wujub naqisah dan wujub kamilah, begitu juga al-ahliyyah al-ada’ sama seperti yang tersebut. Terdapat dua kategori halangan yang akan menyebabkan seseorang manusia itu terangkat dalam senarai al-ahliyyah antaranya halangan samawiyyah dan halangan muktasabah. Contoh halangan samawiyyah ialah kanak-kanak, gila, dungu, pengsan, tidur, marad al-maut dan mati manakala halangan muktasabah ialah jahil, bodoh, mabuk, murtad dan muflis.

RUJUKAN
Al-Quran
Al-Quran Dan Terjemahannya. 2007. Kuala Lumpur: Terbitan Pustaka Darul Iman.
Abdul Karim Zaidan. 2009. Al-Wajiz fi usul al-fiqh. Lebanon: Terbitan Resalah Publisher.
Ali Hasbullah. 1964. Usul al-tashri’ al-Islam. Mesir: Dar al-Ma’arif.
Hailani Mujir Tahir. 1998. Isu syariah dan undang-undang. Abdul Basir Mohamad & Jafril
Khalil (pnyt). Siri 4. Bangi: Pusat Teknologi Pendidikan UKM.

Hassan Ayob. 2008. Fiqh muamalah, terj. Abdurrahman Saleh Siregar. Selangor: Terbitan
Berlian Publications Sdn. Bhd.

Ishak Abas. 1986. Kamus al-jadid. Kuala Lumpur. Terbitan Seri Kota.

Muhammad Abu Zahrah. 1994. Usul Fiqih. Cetak ulang. Jakarta: Terbitan PT Pustaka Firdaus.


DISEDIAKAN OLEH:
NOORHANA BINTI TUKIRAN
SITI JUWAIRIAH BINTI ZAKARIA
RAJA NORATIAH BINTI RAJA SULAIMAN
NOR ROSNANI BINTI AHMAD
TENGKU MAIZURA BINTI TENGKU YAHYA
SITI SALIHAH BINTI ISMAIL

0 comments: