Assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Saturday, April 10, 2010

Sadd al-Dharai'

PENGENALAN

Ilmu usul fiqh ialah ilmu yang membahaskan tentang kaedah-kaedah yang digunakan oleh para mujtahid untuk mengeluarkan hukum syarak yang berkaitan dengan perbuatan mukallaf daripada dalil-dalil yang tafsili (Abdul Latif Muda & Rosmawati Ali 1997 : 3). Dalam mengeluarkan hukum syarak, para mujtahid telah berpegang kepada dua sumber hukum iaitu sumber hukum yang disepakati dan sumber hukum yang tidak disepakati oleh para ulama.
Sumber hukum atau dalil perundangan ialah sumber pengambilan dalam menetapkan sesuatu hukum syarak, samada ia berasaskan sumber yang disepakati oleh ulama mujtahid ataupun sumber yang tidak disepakati oleh mereka. Sumber hukum dalam perundangan Islam secara umumnya dapat dibahagikan kepada dua bahagian iaitu dalil qatciyy dan dalil zanniyy.
Dalil qatiyy ialah dalil-dalil yang disepakati oleh para ulama iaitu al-Quran, al-Sunnah, Ijmac dan al-Qiyas. Manakala dalil zanniyy iaitu dalil-dalil yang tidak disepakati di kalangan ulama. Antaranya ialah al-Istihsan, al-Masalih al-Mursalah, al-Istishab, cUrf, Sadd al-Dharaic, Qawl Sahabiyy, Sharcman Qablana. (Abdul Latif Muda & Rosmawati Ali 1997:116).
Penulisan ini membincangkan salah satu daripada sumber hukum yang tidak disepakati di kalangan ulama iaitu sadd al-dharaic. Perkara yang akan dibincangkan meliputi pengertian sadd al-dharaic dari segi bahasa dan istilah, bahagian-bahagiannya serta kehujahan sadd al-dharaic.







PENGERTIAN

Menurut Kamus Mucjam al-Tullab, sadd membawa maksud mendapat, tegap dan lurus. Sadd juga membawa maksud menentukan tujuan, membetulkan dan mendidik. (2000: 263)
Manakala dharaic menurut bahasa bermaksud sesuatu yang membawa kepada sesuatu sama ada baik atau buruk, tetapi menurut penggunaan di kalangan ulama usul ia hanya khusus kepada sesuatu yang membawa kepada keburukan. (Mohd Nasran Mohamad et.al 2001: 100)
Pengertian yang lain menurut bahasa Arab, al-dharaic merupakan kata jamak daripada al-dharicah yang membawa maksud jalan-jalan atau lorong-lorong. (cAbbas Mutawalli Hamadah 1968:265). Selain itu, al-dharaic juga bermaksud perantara yang menjadi penghubung kepada sesuatu, sama ada sesuatu yang boleh dicapai dengan pancaindera atau makna, baik atau buruk. (Badran Abu Al-cAinin Badran 1965: 333). Kebiasaanya perkataan al-dharaic ini menunjukkan kepada keburukan. (Abdul Karim Zaidan 2009: 195).
Al-dharaic juga membawa maksud jalan-jalan yang membawa ke arah hukum halal atau haram. Diambil daripada hukum ini, jalan-jalan yang menuju ke arah sesuatu perbuatan yang haram, maka ia adalah haram dan sesuatu perbuatan yang menunjukkan kepada harus, maka ia adalah harus. (cAbbas Mutawalli Hamadah 1968: 265)
Menurut ahli-ahli usul, sadd al-dharaic ialah jalan yang membawa kepada sesuatu yang dilarang yang merangkumi sesuatu yang menyebabkan kerosakan. Contohnya melihat aurat wanita ajnabi. Sesungguhnya ia boleh membawa kepada zina. Maka mencegah daripada melihat aurat itu dinamakan sadd al-dharaic. (Badran Abu Al-cAinin Badran 1965: 333)
Selain itu, sadd al-dharaic juga ialah (الحيلولة دون الوصول الى المفسدة) yang membawa maksud menghalang daripada berlakunya perkara yang fasad. (Mohd Nasran Mohamad et.al 2001: 100)


BAHAGIAN-BAHAGIAN AL-DHARAIC DAN HUKUM SETIAP PEMBAHAGIAN
Para ulama telah membahagikan al-dharaic kepada beberapa bahagian dan memberi hukum setiap bahagian tersebut mengikut kesesuaian matlamat syariat. Antara ulama yang banyak membicarakan hal ini ialah Imam Al-Qarafi, Al-Shatibi dan Ibn al-Qayyim. Secara umumnya, pengkategorian yang dibuat oleh Imam al-Qarafi dan Al-Shatibi adalah hampir sama.
Kajian ini akan menyatakan pembahagian menurut Imam Al- Shatibi dan Imam Al-Qarafi. Imam Al-Shatibi membahagikan al-dharaic kepada empat bahagian. Setiap satu daripada bahagian itu mengandungi akibat, tahap kemudaratan serta hukumnya :

i. Perbuatan yang harus tetapi pasti membawa kepada mafsadah.
Ini bermaksud seseorang mukallaf itu dapat merasakan secara yakin bahawa perbuatan yang dilakukannya itu boleh mendorong ke arah kerosakan sama ada kepada dirinya mahupun kepada orang lain. Contohnya ialah menggali lubang seperti perigi atau telaga di tempat yang gelap dan menjadi laluan orang ramai. Maka diandaikan sesiapa sahaja yang melalui jalan tersebut pasti akan terjatuh ke dalam perigi tersebut.
Para ulama bersepakat mengatakan bahawa perbuatan itu ditegah. Ini kerana kerosakan yang akan berlaku hasil daripada perbuatan tersebut adalah suatu yang pasti. (Amir Syarifudin 2004 : 121)

ii. Perbuatan yang harus tetapi jarang membawa kepada mafsadah.
Contohnya menggali lubang di tempat yang tidak dilalui oleh manusia. Perbuatan ini pada kebiasaannya tidak menyebabkan orang ramai terjatuh ke dalamnya. Begitu juga menanam anggur untuk dimakan buahnya. Namun, buah anggur tersebut mungkin juga akan diproses oleh orang lain untuk dijadikan arak.
Hukumnya adalah harus kerana syariat melihat terdapat banyak kebaikan yang akan terhasil dan kerosakan yang terjadi juga adalah minima. ( Hamadah 1968 : 273)
iii. Perbuatan yang harus tetapi biasanya akan membawa kepada mafsadah. ( l972 : 578)
Contohnya menjual senjata kepada musuh pada waktu peperangan dan menjual anggur kepada pembuat arak.
Para ulama berselisih pendapat pada bahagian ini. Sebahagian daripada mereka seperti al-Shatibi telah menghukum bahagian ini seperti bahagian pertama iaitu ditegah, kerana terdapat sangkaan yang kuat senjata itu akan digunakan untuk memerangi umat Islam dan anggur digunakan untuk membuat arak. Manakala segelintir yang lain pula berpendapat sebaliknya kerana kemudaratan itu dianggap tidak berlaku. (Amir Syarifudin 2004 : 122 )

iv. Perbuatan yang harus tetapi seringkali membawa kepada mafsadah.

Dengan kata lain, perkara ini jika dilakukan, kemungkinan besar akan mendatangkan mafsadah, tetapi tidak sampai ke tahap persangkaan yang kuat apatah lagi ke tahap keyakinan secara pasti.

Contohnya jual beli secara tangguh (buyuc al-ajal ) atau juga dinamakan sebagai bayc al-cinah. Jual beli ini dipercayai boleh membawa kepada berlakunya riba, tetapi tidak sampai kepada keyakinan pasti. Para ulama telah berselisih pendapat mengenai hukum masalah ini seperti berikut. ( Nazih Hammad 1995 :103) :

a) Imam Abu Hanifah dan al-Shafici (r.h) mengharuskan jual beli tersebut kerana kerosakan yang timbul itu tidak semestinya berlaku dan tidak mempunyai persangkaan yang kuat akan berlakunya mafsadah. Ia hanyalah sekadar andaian kemungkinan berlakunya mafsadah dan kemungkinan tidak. Maka hukum asal iaitu harus ( jual beli secara tangguh ) tidak bertukar kepada haram kecuali jika terdapat kemudaratan. (Muhammad bin Idris al-Shafici 1983 : 33)


b) Imam Malik dan Ahmad (r.h) menetapkan bahawa perbuatan itu haram ( jual beli secara tangguh ) dan akadnya batal sebagai langkah berhati-hati daripada berlakunya riba. Dalam rangka ihtiyat, riba sering berlaku dalam jual beli ini walaupun tidak bertujuan sedemikian. Oleh itu, wajib ihtiyat dengan mendahulukan mafsadah, kerana dalam konteks ihtiyat apabila banyak berlaku mafsadah biasanya ia sampai ke peringkat ( zann ) sangkaan yang kuat. Maka dalam hal ini perlulah diutamakan kemudaratan, kerana menolak kemudaratan itu perlu didahulukan untuk menjamin kemaslahatan. (Abdullah bin Ahmad Ibn Qudamah 1969 : 133)

Pembahagian yang telah dibuat oleh Ibn Qayyim (r.h) terhadap al-dharaic juga terbahagi kepada empat iaitu : ( Wahbah Zuhaili t.th : 184 )

i. Melakukan perbuatan yang pasti akan mendatangkan mafsadah.

Contohnya perbuatan zina menjadi penyebab kepada percampuran nasab dan ketidakpastian status nasab seseorang. Perbuatan ini sudah pasti merupakan jalan yang membawa ke arah kerosakan.

ii. Asal perbuatan itu harus tetapi niatnya untuk keburukan.

Misalnya nikah al-tahlil. Perbuatan bernikah pada asalnya diharuskan kerana ia boleh membawa kepada kebaikan. Namun, dalam konteks situasi nikah tahlil ini, seseorang yang melakukan akad nikah tersebut tidak berhasrat untuk mendapatkan kebaikan daripada akad nikah, tetapi bertujuan untuk membolehkan isteri tersebut berkahwin semula dengan suaminya yang pertama. Perbuatan seperti ini adalah dilarang kerana perbuatan tersebut membawa kepada keburukan di sisi syariat iaitu melakukan pernikahan hanya sebagai prasyarat bagi membolehkan wanita yang dinikahi itu berkahwin semula dengan bekas suaminya. Perbuatan seperti ini ( nikah tahlil ) adalah bertentangan dengan hikmah pensyariatan pernikahan itu. Ibn Qayyim (r.h) berpendapat bahawa perbuatan ini turut dilarang oleh syarak seperti bahagian pertama. (Ibn Qayyim t.th : 109)
iii. Perbuatan itu diharuskan tetapi kebiasaannya ia membawa kepada kerosakan.
Contohnya perbuatan orang Islam yang mencerca Tuhan orang-orang musyrikin di hadapan mereka. Asal perbuatan ini adalah untuk kebaikan dan pelakunya tidak mempunyai sebarang niat jahat. Namun, pada kebiasaannya perbuatan mencerca ini boleh membawa kepada keburukan iaitu orang musyrikin akan mencerca kembali Allah s.w.t sedangkan mereka tidak tahu. Perbuatan ini turut dilarang oleh syariat daripada melakukannya. ( Wahbah Zuhaili 1969 : 568)

iv. Perbuatan itu diharuskan tetapi kadang-kadang membawa kepada kerosakan.

Perbuatan seperti ini dihukumkan harus atau sunat atau wajib bergantung kepada kadar kemaslahatannya.
Contohnya seorang lelaki melihat wajah tunangnya. Hukum asal perbuatan ini harus kerana ia mendatangkan kebaikan. Tambahan pula, si pelaku tidak berniat jahat. Kebaikan daripada perbuatan itu juga lebih banyak terhasil daripada kerosakan yang mungkin timbul daripada perbuatan ini. Islam mengharuskan perbuatan seperti ini, iaitu dengan melihat kepada kebaikan yang diperolehi berbanding dengan kerosakan yang dihasilkan. ( Wahbah Zuhaili 1969 : 568)







KEHUJAHAN SADD AL-DHARAIC
Para ulama berbeza pendapat mengenai penerimaan sadd al-dharaic sebagai sumber hukum. Antara ulama yang menerima sadd al-dharaic sebagai sumber hukum ialah ulama mazhab Maliki dan Hanbali, manakala ulama yang menolak sadd al-dharaic sebagai sumber hukum ialah ulama mazhab Syafici dan Zahiri.
Dalil yang menyokong Sadd al-Dharaic sebagai hujah:
Jumhur ulama yang mengisbatkan sadd al-dharaic dan menggunakannya sebagai salah satu sumber rujukan dalam membina suatu hukum berhujah berdasarkan beberapa dalil yang terdapat dalam al-Quran, al-Sunnah dan al-Ijmac.(Asjad Mohamed 2003 : 30)

Al-Quran
Terdapat banyak ayat al-Quran menunjukkan sadd al-dharaic sebagai hujah yang diambil kira dalam mengisbatkan sesuatu hukum. Antaranya:
     •              (Al-Baqarah 2 : 35)
Maksudnya: Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu dalam syurga, dan makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok ini, (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang zalim.
Ayat ini menerangkan bahawa Allah melarang Adam dan Hawa daripada mendekati pokok tersebut dengan lafaz (ولا تقربا) sedangkan maksud sebenar daripada larangan ayat ini adalah memakan buah daripada pohon tersebut. Lafaz ini menunjukkan bahawa larangan Allah itu mendekati pohon tersebut adalah sebagai langkah sadd al-dharaic.

Antara nas al-Quran lain yang menunjukkan sadd al-dharaic diterima sebagai hujah ialah berdasarkan firman Allah:
               •            (Al-Mai’dah 5 : 101)
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu bertanyakan (kepada Nabi) perkara-perkara yang jika diterangkan kepada kamu akan menyusahkan kamu, dan jika kamu bertanya mengenainya ketika diturunkan al-Quran, tentulah akan diterangkan kepada kamu. Allah maafkan (kamu) dari (kesalahan bertanyakan) perkara-perkara itu (yang tidak dinyatakan di dalam al-Quran); kerana Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar.

Ayat ini menerangkan bahawa Allah melarang orang-orang beriman daripada bertanya kerana dengan pertanyaan tersebut dikhuatiri akan menyusahkan orang yang bertanya dan umat Islam yang lain. Bertanya itu hukumnya adalah harus, tetapi apabila ia seringkali menyusahkan, maka ia menjadi haram. Oleh itu, larangan ini adalah sebagai langkah sadd al-dharaic. (Asjad Mohamed 2003 : 32)

Al-Sunnah
Para ulama telah mengisbatkan tentang sadd al-dharaic sebagai satu hujah berdasarkan kepada puluhan hadis Nabi (s.a.w). Antaranya:
مروا أولادكم بالصلاة وهم أبناء سبع واضربوهم عليها وهم أبناء عشر وفرقوا بينهم في المضاجع
(Sahih Muslim)

Maksudnya: Suruhlah anak-anakmu mendirikan solat sewaktu mereka berumur tujuh tahun, dan pukullah mereka sekiranya mereka meninggalkannya sewaktu berumur sepuluh tahun, dan asingkanlah tempat tidur mereka.

Hadis ini menjelaskan Nabi Muhammad memerintah umat Islam agar mengasingkan tempat tidur anak lelaki dan anak perempuan. Hal ini kerana, kadangkala tidur bersama di antara anak lelaki dan perempuan memberi ruang kepada syaitan untuk mempengaruhi mereka agar berzina. Walaupun tidak berlaku hubungan seks tetapi besar kemungkinan ia membawa ke arah mafsadah lebih-lebih lagi waktu tidur itu panjang. (Asjad Mohamed 2003 : 35)

Al-Ijmac
Banyak permasalahan yang timbul pada zaman para Sahabat telah diselesaikan dengan kesepakatan mereka berdasarkan kepada sadd al-dharaic. Sebagai contoh peristiwa pengumpulan al-Quran dalam satu mushaf.
Pada zaman Saidina Uthman, ayat-ayat al-Quran yang tertulis pada tulang-tulang, batu-batu, kulit-kulit binatang dan pelepah-pelepah tamar telah dikumpulkan dan disalin semula menjadi satu mushaf al-Quran. Selepas ayat al-Quran itu disalin semula dalam satu mushaf, ayat-ayat al-Quran pada tulang-tulang, batu-batu, kulit-kulit binatang dan pelepah-pelepah tamar telah dibakar. Ini bertujuan agar tidak berlaku perselisihan bacaan antara masyarakat Islam ketika itu. Oleh itu, sadd al-dharaic merupakan langkah untuk menghalang daripada berlaku perselisihan bacaan. (Asjad Mohamed 2003 : 36)

Akal
Jika Allah mengharamkan sesuatu perkara, maka jalan serta penyebabnya turut dilarang dan diharamkan sebagai langkah berhati-hati agar ia tidak dilakukan. Sekiranya jalan ke arah perkara haram diharuskan, ini menimbulkan percanggahan dengan pengharaman tersebut dan seolah-olah pada masa yang sama membuka ruang kepada seseorang untuk melakukannya.
Contohnya jika doktor ingin menyekat sesuatu penyakit daripada terus merebak, mereka akan melarang pesakit daripada melakukan perkara yang dianggap sebagai punca yang boleh menyebabkan penyakit tersebut berlaku. Sekiranya tidak, ia akan merosakkan segala jenis rawatan yang diberikan. Oleh itu, setiap perkara yang diharuskan oleh Allah maka, jalan untuk melaksanakannnya juga diharuskan. (Asjad Mohamed 2003 : 37)

Dalil Yang Menolak Sadd al-Dharaic Sebagai Hujah
Selain itu, terdapat dalil yang menolak sadd al-dharaic sebagai hujah. Ibn Hazm serta pengikutnya daripada mazhab al-Zahiri telah menggunakan dalil-dalil daripada al-Quran, al-Sunnah, dan akal dalam menolak sadd al-dharaic sebagai satu hujah.

Al-Quran
Firman Allah:
               •         (Al-Nahl 16 : 116) Maksudnya: Dan janganlah kamu berdusta dengan sebab apa yang disifatkan oleh lidah kamu, ini halal dan ini haram, untuk mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah, sesungguhnya orang-orang yang berdusta terhadap Allah tidak akan berjaya.
Firman Allah:
  •                    (Yunus 10 : 59)
Maksudnya: Katakanlah (kepada kaum yang mengada-adakan sesuatu hukum), sudahkah kamu nampak baik-buruknya sesuatu yang diturunkan Allah untuk manfaat kamu itu sehingga dapat kamu jadikan sebahagian daripadanya haram, dan sebahagian lagi halal? Katakanlah lagi (kepada mereka), adakah Allah izinkan bagi kamu berbuat demikian, atau kamu hanya mengada-adakan secara dusta terhadap Allah?.

Ibn Hazm menyatakan kedua-dua ayat tersebut menunjukkan sesiapa yang menghalalkan atau mengharamkan sesuatu dengan tidak bersumberkan daripada Allah, maka dia telah melakukan pembohongan terhadap Allah. Umat Islam seharusnya yakin bahawa Allah menghalalkan segala ciptaanNya kecuali dalam beberapa perkara yang dijelaskan pengharamannya.
Berdasarkan kepada dua nas di atas, sesuatu pandangan mesti berdasarkan kepada keyakinan dan bukan andaian. Oleh itu, tidak boleh mengandaikan sesuatu perkara itu menjadi harus atau haram. justeru, sadd al-dharaic yang berdasarkan kepada andaian sesuatu yang harus akan bertukar menjadi mafsadah ditolak. ( Ibn Hazm t.th : 754)

Al-Sunnah
Antara hadis sahih yang yang menolak sadd al-dharaic ialah seperti berikut:
أنه شكي إليه الرجل يخيل إليه أنه يجد الشيء في الصلاة أو في المسجد. فقال: لا ينصرف حتى يسمع صوتا أو يجد ريحا
(Sahih Ibn Khuzaimah)
Maksudnya: seorang lelaki mengadu kepada Rasulullah bahawa dia berasa sesuatu(hadas) sewaktu di dalam solat. Kata Rasulullah, jangan tinggal(keluar) solatnya sehingga dia mendengar bunyi atau menghidu bau.
Hadis ini menerangkan bahawa Nabi Muhammad memerintahkan sesiapa yang berasa ragu-ragu sama ada berhadas atau tidak sewaktu menunaikan solat supaya menjauhi perasaan tersebut. Individu tersebut hendaklah meneruskan solat sehingga ia benar-benar pasti mendengar bunyi atau terhidu bau. Dengan ini terbukti bahawa menghasilkan hukum atas dasar sesuatu yang diragui adalah tidak boleh. Oleh itu, sadd al-dharaic yang bukan pasti berlaku dan hanya sekadar andaian adalah ditolak. (Ibn Hazm t.th: 754)



Akal
Beramal dengan sadd al-dharaic sama seperti beramal dengan perkara zann (perkara yang diragui) kerana ia tidak mempunyai asas dalil yang khusus daripada al-Quran, al-Sunnah dan al-qiyas.
Terdapat perselisihan pendapat antara para ulama berkaitan sumber ini kerana ia sekadar dalil zaniyy. Oleh itu, segala amalan berdasarkan kepada zann yang tidak mempunyai dalil, di samping ia masih dipertikaikan, maka amalan tersebut adalah amalan yang batil. Hakikatnya, pengistinbatan hukum berdalilkan sadd al-dharaic yang bersifat zann, serta beramal dengannya adalah salah. Ibn Hazm (r.h) menyatakan dengan maksud:
Sesiapa yang menghukum atas alasan “berjaga-jaga” dengan tidak meyakini perkara tersebut, maka dia telah menghukum dengan zann iaitu dia melakukan demikian semata-mata berdasarkan kepada penipuan dan kebatilan. Perbuatan ini dilarang sama sekali kerana ia adalah hukuman dengan hawa nafsu serta jauh daripada kebenaran. (Ibn Hazm t.th : 755)


KESIMPULAN
Sadd al-dharaic merupakan salah satu kaedah yang dibincangkan sebagai sumber dalam penetapan bagi sesuatu hukum yang tidak dinyatakan secara jelas di dalam al-Quran atau hadis. Dalam menetapkan sadd al-dharaic sebagai sumber hukum, ulama telah berselisih pendapat sama ada kaedah ini diterima sebagai sumber hukum atau tidak.
Antara ulama yang menerima sadd al-dharaic sebagai sumber hukum adalah ulama dari mazhab Maliki dan Hanbali manakala ulama yang tidak menerima sadd al-dharaic pula adalah dari mazhab Shafici dan Zahiri. Setiap pandangan yang dikemukakan oleh para ulama dalam menetapkan sadd al-dharaic sebagai sumber hukum atau tidak adalah berdasarkan alasan serta kehujahan yang tersendiri.

RUJUKAN

Al-Quran dan Terjemahan. 1971. Yayasan Penyelengaraan Penterjemahan /Pentafsir Al-Quran.
Abbas Mutawalli Hamadah. 1968. Usul al-fiqh. Mesir: Jamiah al-Qahirah.
Abdullah bin Ahmad Ibn Qudamah. 1969. al-Mughni. Mesir: Maktabat al-Qahirah.
Abdul Latif Muda & Rosmawati Ali @ Mat Zin. 1997. Pengantar usul fiqh. Kuala Lumpur: Pustaka Salam Sdn. Bhd.
Amir Syarifudin. 2004. Ushul fiqh. Jakarta: Penerbit Zikrul Hakim.
Asjad Mohamed. 2003. Sadd al-dharaic terhadap jenayah zina dalam syariat Islam. Tesis Sarjana, Jabatan Syariah, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Badran Abu Al-cAinain Badran. 1965. Usul al-fiqh. Jamiah Iskandariah: Dar Al-Ma’rif.
Hammadah. 1968. Usul al-fiqh. Qahirah: Dar al-Nadsah al- Arabiyyah.
Ibn Hazm, Muhammad Ali bin Hazm. t.th. Al-Ihkam fi usul al-ahkam. Al-Qahirah: Matbacat al-Asimah.
Ibn Qayyim, Muhammad bin Abi Bakr. 1414H/1993. Aclam al-muwaqqcin can al-calamin: Dar al-Kutub al-cIlmiyyah.
Al-Mucjam al-Tullab. 2000. Beirut: Dar al-Kutub al-cIlmiyyah
Al-Mucjam al-Wasit. 1392H/l972. Istanbul: Dar al-Dacwah.
Muslim bin Hajjaj. t.th. Sahih Muslim bi sharh al-Nawawi. Beirut: Dar al-Kutub Al-cIlmiyyah.
Nazih Hammad. 1995. Mucjam al-mustalahat al-iqtisadiyyah fi lughat al-fuqaha’. Riyadh: Dar al-Alamiyyah Li al-Kitab al-Islamiyy.
Mohd Nasran Mohamad, Anuar Fakhri Omar, Mohd Zamro Muda & Mohammad Zaini Yahya. 2001. Metodologi fiqh(Program Jarak Jauh). Selangor: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Al- Zuhaily, Wahbah. 1969. Usul al-fiqh al-Islamiyy. Al-Matbacah al-cIlmiyyah.

created by:

1)Nur Hidayah binti Abu Yaziz (A127702)
2)Siti Nor Afiqa binti Abdul Aziz (A127870)
3)Nur Hayati binti Rasmin (A127403)
4)Khalilah binti Salleh (A127110)
5)Yasmin binti Yusuf (A126782)
6)Nurul Aklima binti Saffeai(A127437)

Selamat Membaca dan mendalami ilmu ISLAM!!!!

0 comments: