Assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Monday, April 26, 2010

ஜ۩۞۩ஜPROSEDUR PENGELUARAN FATWA PERINGAKAT NEGERIஜ۩۞۩ஜ

Bismillahirrahmannirrahim...

1.0 PENDAHULUAN


1.1 DEFINISI FATWA


Kalimah fatwa ialah satu perkataan arab yang berasal daripada fata-yaftu-fatwan. Fatwa atau futya yang memberi pengertian ifta bererti perbuatan yang dikeluarkan oleh seorang yang alim mengenai hukum-hukum yang berkaitan dengan hal syariah. Ibn Manzur menerangkan bahawa fatwa ialah satu perbuatan yang dilakukan oleh Mufti mengenai sesuatu hukum, atau satu keputusan hukum yang dikeluarkan oleh faqih (seorang yang berpengetahuan luas lagi mendalam dalam perundangan Islam (Othman 1981 : 9).

Fatwa ialah ism masdar yang bermaksud ‘ifta’ atau mengeluarkan fatwa, dengan jamaknya iaitu ‘al-fatawa’ atau ‘al-fatawi’. ‘Al-istifta’ pula ialah meminta jawapan terhadap suatu perkara yang dimusykilkan atau memberi erti pertanyaan. Fatwa dalam hukum syarak ialah memberi penerangan tentang hukum syarak berdasarkan kepada dalil bagi orang yang bertanya tentangnya (Uthman 2006 : 1)

Di Malaysia, maksud fatwa adalah kenyataan Mufti yang diterbitkan melalui Warta Undang-Undang (Ahmad Hidayat Buang 2006 : 44). Maksud ini berbeza dengan istilah yang terdapat dalam fiqh. Oleh yang demikian, fatwa di Malaysia telah menjadi urusan rasmi pemerintah yang dikawal pengeluarannya dan dikuatkuasakan peruntukannya.

1.2 SYARAT-SYARAT MUFTI

Fatwa dikeluarkan oleh mufti. Mufti adalah ahli ilmu yang memberi fatwa. Perkataan ‘mufti’ adalah ism fa’il bagi ‘afta’ (Uthman 2006 : 2). Imam al-Shirazi menerangkan bahawa mufti wajib mengetahui sumber-sumber hukum daripada al-Quran dan Hadis. Beliau juga hendaklah memahami isi yang terkandung di dalam kedua-duanya tentang halal dan haram, cerita-cerita, contoh-contoh, mengetahui tentang ilmu bahasa Arab seperti al-balaghah, al-haqiqah, al-majaz, al-am, al-khas, al-mujmal, al-mufasal, al-mutlaq, al-muqayyad, al-mantuq, al-mafhum, mengetahui ilmu nahu Arab, nasikh mansukh, hal-hal persetujuan dan perbalahan pendapat ulama yang terdahulu, adat yang diamalkan dan adat yang tidak digunakan lagi, mengetahui al-qiyas dan ijtihad, serta kedudukan tingkatan autoriti sumber-sumber perundangan Islam (Othman 1981 : 12).

Imam al-Shafi’iyy menegaskan bahawa seseorang tidak boleh mengeluarkan fatwa kecuali jika beliau benar-benar memahami al-Quran. Beliau hendaklah mengetahui tentang al-nasikh dan al-mansukh, hukum-hukum syariat, takwil dan sebab-sebab turunnya ayat (asbab al-nuzul), serta ayat Makiyyah dan ayat Madaniyyah. Ia juga mestilah benar-benar mengetahui hadis seperti beliau mengetahui al-Quran, mengetahui dengan baik tentang ilmu bahasa Arab, dan memahami kehendak sesuatu masyarakat semasa di dalam negeri yang tertentu mengenai sesuatu hukum (Othman 1981 : 13).

1.3 HUKUM FATWA DAN MUFTI


Mengikut pandangan kebanyakan ulama, hukum fatwa adalah fardhu kifayah, kecuali jika tiada yang layak (melainkan seorang sahaja), maka ketika itu hukumnya adalah wajib atau fardhu ain ke atasnya. Hal ini adalah kerana fatwa termasuk dalam keperluan-keperluan agama yang sepatutunya wujud bagi manfaat dan maslahat umum. Dengan adanya fatwa, masyarakat dapat menyelesaikan banyak kemusykilan hidup dengan agama dan mencapai keredaan Allah. Gugurnya dosa ummah dengan sebab wujudnya fatwa, sebaliknya semua ummah akan menanggung dosa jika menafikannya (Zulkifli Mohamad 2008 : 13).

2.0 FATWA DI MALAYSIA


Setelah membincangkan fatwa secara umum, kini beralih pula pengkhususan perbincangan fatwa di Malaysia iaitu bidangkuasa yang berkaitan dengan fatwa dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya. Perbincangan ini hanya berkaitan dengan fatwa di peringkat negeri sahaja.

2.1 BIDANG KUASA MENGELUARKAN FATWA DI MALAYSIA

Dalam pengeluaran sesuatu fatwa, mufti sebenarnya tidak bertindak berseorangan. Mufti akan menjalankan tugasnya bersama dengan Jawatankuasa Fatwa. Nama jawatankuasa ini berbeza-beza mengikut negeri (Zaini Nasohah 2005 : 28).

Di negeri Pahang dan Wilayah Persekutuan, ia dipanggil Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak. Bagi negeri Perlis, ia dipanggil Jawatankuasa Syariah.

Di negeri Johor, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Terengganu, ia dipanggil Jawatankuasa Fatwa. Sabah pula dikenali sebagai Majlis Fatwa dan di Kelantan sebagai Jemaah Ulama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan. Sementara di Negeri Sarawak dikenali sebagai Lembaga Fatwa (OMI Sarawak, chapter 105 seksyen 36).

2.2 ANGGOTA JAWATANKUASA FATWA


Salah satu badan yang bersama-sama Mufti dalam proses mengeluarkan fatwa adalah Jawatankuasa Fatwa. Seperti yang dimaklumi, nama jawatankuasa ini berbeza-beza megikut negeri, tetapi fungsinya adalah sama sahaja iaitu membantu Mufti dalam proses mengeluarkan fatwa. Seksyen 33 (2) menyebut, “jawatankuasa hendaklah terdiri daripada :

i) Mufti sebagai pengerusi
ii) Dua orang ahli Majlis yang dilantik oleh Majlis
iii) Seorang pegawai dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam yang mahir dalam hukum syarak yang akan dilantik oleh Majlis
iv) Orang –orang yang mahir dan berwibawa dalam hukum syarak yang dilantik oleh Majlis, sekurang-kurangnya tiga orang, tetapi tidak melebihi daripada lima orang

Mengikut peruntukan di atas, anggota Jawatankuasa Fatwa adalah seramai tujuh orang iaitu :

i) Seorang mufti sebagai pengerusi
ii) Seorang pegawai daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam
iii) Sekurang-kurangnya tiga orang tetapi tidak melebihi lima orang yang dilantik oleh Majlis

Anggota Jawatankuasa Fatwa telah diberi kuasa mengeluarkan fatwa yang dipengerusikan oleh Mufti mengikut peruntukan undang-undang. Tujuan pelantikan bukan daripada kumpulan yang sama adalah untuk memastikan bahawa semua keputusan yang dicapai bebas daripada sebarang kecenderungan dan kepentingan sesuatu pihak (Zulkifli Mohamad 2008 : 47).

3.0 PROSEDUR PENGELUARAN FATWA PERINGKAT NEGERI

Sebelum sesuatu fatwa dikeluarkan, beberapa prosedur perlu diikuti. Disebabkan perbincangan ini adalah melibatkan prosedur pengeluaran fatwa peringkat negeri sahaja, maka penulis hanya memilih satu negeri untuk tujuan fokus perbincangan. Negeri yang dipilih untuk kajian ini ialah Negeri Selangor. Berikut adalah prosedur-prosedur yang perlu diikuti sekiranya sesuatu fatwa ingin dikeluarkan :

i) Isu yang timbul
ii) Penghantaran kepada Mufti
iii) Penyelidikan
iv) Mesyuarat
v) Perkenan daripada Sultan atau Raja bagi negeri
vi) Pewartaan




3.1 ISU YANG TIMBUL

Sesuatu fatwa dikeluarkan apabila suatu perkara baru muncul ataupun sesuatu isu itu timbul, dimana ia memerlukan Mufti untuk mengeluarkan hukum tersebut.

Seksyen 30 menyatakan : “ seksyen 30(1) tertakluk kepada subseksyen (5) dan (6) dan seksyen 33. Mufti boleh atas daya usahanya sendiri atau atas permintaan daripada mana-mana orang yang dibuat melalui surat yang dialamatkan kepada Mufti, atau atas perintah Yang di-Pertuan Besar, membuat dan memberitahu dalam Warta Fatwa atau pendapat atas sesuatu soalan yang belum terputus atau soalan yang menimbulkan pertikaian berkaitan dengan hukum syarak.”

Untuk memahami seksyen 30(1) secara keseluruhan dan menepati maksud yang dikehendaki, ia mestilah dibaca bersama subseksyen (5) dan (6) daripada seksyen 33(5), “apabila Mufti bercadang hendak membuat fatwa di bawah seksyen 30, dia hendaklah memanggil satu mesyuarat jawatankuasa bagi maksud membincangkan fatwa yang dicadangkan itu”

Sementara seksyen 33 (6) menyebut : “Jawatankuasa hendaklah menimbangkan cadangan tersebut dan hendaklah, melainkan pada pandangan Jawatankuasa persoalan yang dirujukkan itu adalah remeh atas sebab-sebab lain tidak sepatutnya diputuskan, menyediakan satu rang fatwa berkenaan. Jika rang fatwa yang disediakan itu diluluskan dengan sebulat suara oleh Jawatankuasa, Mufti hendaklah bagi pihak atas nama Jawatankuasa memutuskan fatwa berkenaan.”

Menurut seksyen-seksyen yang telah diperuntukkan, jelas menunjukkan bahawa kemungkinan sesuatu isu itu timbul adalah datang daripada pihak sultan, pihak perseorangan atau atas kehendak Mufti sendiri (Zulkifli 2008 : 32).

Hal ini bermakna, sultan boleh meminta Mufti mengeluarkan fatwa. Baginda berhak mengemukakan sebarang masalah agama kepada Mufti bagi memahaminya dengan lebih baik dan mendalam sama ada untuk peribadinya ataupun untuk maslahah umum yang difikirkan perlu. Ini kerana, sultan adalah Ketua Agama bagi Negeri (Zulkifli 2008 : 33).

Selain itu, fatwa juga dikeluarkan jika terdapat soalan daripada orang ramai tetapi ia hendaklah dibuat melalui surat yang dialamatkan kepada Mufti. Persoalan yang ditanya atau diminta fatwa tersebut perlu diteliti terlebih dahulu untuk menimbangkan sama ada persoalan itu wajar untuk difatwakan. Sebaliknya, jika persoalan itu dianggap remeh, maka Mufti berhak untuk tidak menjawabnya. Ini berpandukan kepada seksyen 33 (6) (Zulkifli 2008 : 33).

Mufti juga boleh mengeluarkan fatwa atas usahanya sendiri sekalipun tidak diminta oleh mana-mana pihak. Mungkin Mufti sendiri melihat terdapat kewajaran untuk diputuskan berdasarkan maslahah umum (Zulkifli 2008 : 32).

3.2 PENGHANTARAN KEPADA MUFTI

Seksyen 41(1) memperuntukkan :

“Siapa-siapa pun boleh dengan bersurat kepada setiausaha meminta Majlis mengeluarkan fatwa di atas apa-apa perkara agama Islam atau nas atau Undang-Undang Adat Istiadat Melayu, apabila diterima permintaan yang demikian hendaklah setiausaha dengan serta-merta menghantar permintaan itu kepada Pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang Agama”

Walau bagaimanapun, peruntukan tersebut telah dipinda pada tahun 1989. Seksyen 31(1) Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam Selangor 1989 memperuntukkan :

“Mufti boleh atas daya usahanya sendiri atau atas permintaan daripada mana-mana orang yang dibuat dengan surat yang dialamatkan kepada Mufti”

Perbezaan antara kedua-dua peruntukan ini adalah dari segi kepada siapa permintaan fatwa ditujukan. Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam Selangor 1989 memperuntukkan bahawa surat yang dihantar mesti dialamatkan kepada Mufti, sedangkan peruntukan pada tahun 1952, surat yang dihantar perlu dialamatkan kepada Majlis dan Majlis akan mengemukakannya kepada Mufti (Mazni 2004 : 124).

Peruntukan tersebut juga menunjukkan bahawa permintaan boleh dibuat dengan surat sahaja, akan tetapi dari segi praktikalnya pertanyaan boleh dikemukakan dengan apa sahaja termasuk faks, telefon dan sebagainya (Mazni 2004 : 124).

3.3 PENYELIDIKAN

Apabila mufti bercadang hendak membuat fatwa, ia hendaklah memanggil suatu mesyuarat Jawatankuasa bagi maksud membincangkan perkara yang hendak diberi fatwa itu. Sebelum itu, ia boleh mengarahkan supaya satu kajian atau penyelidikan dibuat dan kertas kerja disediakan. Perkara ini telah disebut secara jelas dalam Enakmen Negeri :

"Sebelum Mufti membuat fatwa, dia boleh menyebabkan kajian-kajian atau penyelidikan dibuat sebagaimana yang diarahkan olehnya dan kertas kerja disediakan."

Peruntukan seumpama ini menjadi perkara yang asas dan penting dalam amalan fatwa, kerana dengan kajian dan penyelidikan, keputusan fatwa yang diambil akan lebih matang dan meyakinkan. Dengan kajian ini juga pihak berkuasa fatwa negeri sama ada Mufti atau pun Jawatankuasa Fatwa akan mempunyai ruang yang mencukupi untuk membuat semakan dan penilaian yang teliti terhadap butiran isu yang berbangkit. Proses kajian dan penyelidikan yang sistematik itu amat penting dalam membuat keputusan fatwa, ketana fatwa itu sendiri bukan merupakan pandangan hukurn yang 'spontan' dan tanpa disiplin tertentu, bahkan ia adalah satu proses pemetikan hukum yang bersistematik ( Noor Naemah 2002 : 23).

Dengan peruntukan ini juga, dapat difahami bahawa penyelidikan dan kajian tersebut tidak hanya terhad dilakukan oleh pihak-pihak berkuasa fatwa, bahkan ia juga boleh dilakukan dengan bantuan pihak lain ( Noor Naemah 2002 : 24).

Menurut laporan Projek Penganalisaan Fatwa-fatwa Semasa Di Malaysia, pihak-pihak berkuasa fatwa dibantu oleh tenaga kepakaran dari luar dengan program-program penyelidikan. Antara bentuk penyelidikan yang dilakukan adalah seperti kajian perpustakaan, kajian lapangan, meminta penjelasan dan penerangan dari pihak-pihak yang berkaitan, meminta bantuan penyelidikan dari Institusi-institusi Pengajian Tinggi dan lain-lain. Antara cara yang paling kerap digunakan adalah dalam bentuk perbincangan, kajian perpustakaan dan kajian lapangan ( Noor Naemah 2002 : 24).

Membuat kajian dan penyelidikan sebenamya menjadi perkara dasar dalam amalan fatwa kerana penyelidikan yang mendalam menjadi tabiat kepada amalan fatwa dalam Islam. Oleh yang demikian, peluang untuk membuat kajian dan penyelidikan yang diperuntukkan bagi amalan fatwa negeri-negeri seharusnya dimanfaatkan dengan optimum. Dengan peluang tersebut, proses pengembangan hukum akan terus berlaku kerana fatwa akan berkembang dengan berkembangnya isu dan permasalahan dalam masyarakat. Bahkan ia merupakan terjemahan kepada realiti perhukuman yang berlaku dalam masyarakat ( Noor Naemah 2002 : 24).

3.4 MESYUARAT

Setelah diteliti dan dibuat kajian bahawa sesuatu permasalahan itu perlu kepada pengeluaran fatwa, persoalan tersebut akan dibawa ke dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak terlebih dahulu. Pemberitahuan mengenai adanya mesyuarat dibuat secara bertulis dan juga lisan. Pada kebiasaannya, notis mesyuarat akan diberitahu sebulan lebih awal kepada para ahli. Kehadiran ahli adalah penting memandangkan jumlah 1/3 dari jumlah keseluruhan ahli perlu ada ketika perbincangan. Jika ahlinya tidak mencukupi, iaitu kurang daripada 1/3, maka mesyuarat tersebut akan dibatalkan (Mazni 2004 : 125).

3.5 MAKLUMAN KEPUTUSAN DAN DRAF WARTA


Selepas keputusan fatwa diperoleh melalui mesyuarat, Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak akan memaklumkan keputusan tersebut kepada Majlis Agama Islam Selangor. Sekiranya Majlis Agama Islam bersetuju untuk mewartakannya, keputusan fatwa tersebut akan didraf untuk penelitian YB Undang-Undang Negeri. YB Penasihat Undang-Undang Negeri akan memastikan bahasa yang digunakan adalah bahasa undang-undang kerana ia adalah untuk pewartaan (Mazni 2004 : 126).

3.6 PERKENAN DARIPADA SULTAN ATAU RAJA

Draf warta yang telah dihantarkan kepada YB Penasihat Undang-Undang akan diperbetulkan sekiranya terdapat kesalahan dalam draf tersebut. Satu surat akan dihantar dan dihadapkan kepada Sultan atau Pemangku Sultan untuk mohon perkenan. Sultan atau Pemangku Sultan boleh atas pertimbangannya membenarkan atau tidak membenarkan fatwa tersebut diwartakan. Sekiranya perkenan Sultan atau Pemangku Sultan telah diperoleh, fatwa tersebut akan dihantar sekali lagi kepada YB Penasihat Undang-Undang untuk diwartakan dalam Warta Kerajaan Negeri secara rasmi (Mazni 2004 : 127)

3.7 PEWARTAAN

Menurut peruntukan di dalam Akta, Enakmen dan Ordinan Pentadbiran Undang-undang Islam yang ada sekarang, suatu keputusan yang dibuat tidak dikatakan sebagai fatwa sekiranya ia tidak dikeluarkan mengikut prosedur atau tatacara yang ditetapkan, iaitu dikeluarkan oleh orang atau jawatankuasa yang diberi kuasa dan disiarkan di dalam Warta. Setelah fatwa itu disiarkan dalam Warta, barulah ia boleh dikuatkuasakan. Oleh kerana Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa perkara agama terletak di bawah bidang kuasa negeri, maka sesuatu fatwa yang dikeluarkan oleh negeri tertentu hanya mengikat orang yang tinggal di mana fatwa tersebut diperuntukkan (Zaini Nasohah 2005 : 28)

Apabila disiarkan dalam Warta, sesuatu fatwa hendaklah mengikat tiap-tiap orang Islam yang bermastautin di negeri berkenaan sebagai ajaran agamanya dan hendaklah menjadi kewajipannya di sisi agama untuk mematuhi dan berpegang dengan fatwa itu melainkan jika ia dibenarkan oleh hukum syarak untuk tidak mengikuti fatwa itu dalam perkara-perkara amalan, kepercayaan atau pendapat peribadi (Zaini Nasohah 2005 : 29).

Pada kebiasaannya, fatwa akan diwartakan apabila melihat kepentingan umum. Contohnya, kes-kes ajaran sesat sering diwartakan kerana hanya dengan cara ini pencegahan dan tindakan undang-undang boleh dilaksanakan kepada mereka. Di samping itu juga, dapat menghindari masyarakat daripada terjebak dengan sesuatu ajaran sesat. Satu lagi contoh fatwa yang diwarta melibatkan kepentingan umum ialah penetapan harga zakat fitrah dimana nilainya telah ditentukan bagi mengelakkan sebarang pertikaian mengenainya (Mazni 2004 : 129)

Di samping itu juga, fatwa akan diwartakan apabila ia dikira sebagai sesuatu yang baru dan tiada nas mengenainya sama ada dalam al-Quran atau al-Hadith. Contohnya fatwa mengenai kedudukan masjid baru yang akan dibina dan juga kedudukan masjid lama. Dalam fatwa ini, tindakan yang harus dilakukan adalah mendirikan masjid baru serta mengelakkan tapak masjid yang lama daripada tercemar. Beberapa etika perlu diambil kira seperti membina masjid baru di tapak yang sama serta mendapatkan tanah yang berada berhampirannya jika ia ingin membesarkan masjid. Oleh kerana perkara ini tidak terdapat dalam mana-mana nas, maka ia telah diwartakan oleh Kerajaan Negeri (Mazni 2004 : 129)

Fatwa pengharaman rokok merupakan satu lagi contoh fatwa yang tidak disebut nasnya secara terang dalam al-Quran mahupun al-Hadith. Fatwa mengenainya telah diwartakan memandangkan tabiat merokok memberi kesan negatif dan tidak mendatangkan sebarang manfaat (Mazni 2004 : 13

3.8 PINDAAN, UBAH SUAIAN ATAU PEMBATALAN FATWA


Seksyen 32(1) memperuntukkan, “Mufti boleh meminda, mengubah atau membatalkan mana-mana fatwa yang terlebih dahulu dikeluarkan olehnya atau mana-mana mufti terdahulu daripadanya”.

Melalui peruntukan ini, Mufti boleh membuat keputusan yang berlawanan dengan fatwa yang ada, membatal, meminda atau mengubahsuai fatwa yang telah dibuat oleh mana-mana mufti sebelumnya. Namun demikian, segala bentuk pelaksanaan fatwa baru hendaklah dilakukan dengan cara syura (bermesyuarat) bersama-sama Jawatankuasa Syariah (Zulkifli Mohamad 2008 : 39).

Prosedur melaksanakan perubahan, pemindaan dan pembatalan fatwa sama seperti mengadakan satu fatwa baru. Untuk mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat Islam, fatwa yang dibatalkan atau dipinda hendaklah dinyatakan bersama-sama dalam Warta bahawa ia telah dipinda, dibatal atau diubah kepada fatwa baru. Cara ini akan memudahkan masyarakat memahami fatwa yang terdahulu tidak boleh lagi diterima pakai oleh masyarakat Islam negeri tersebut (Zulkifli Mohamad 2008 : 42).

4.0 ISU-ISU BERBANGKIT TENTANG FATWA

Setelah membincangkan prosedur-prosedur yang perlu dilakukan untuk mengeluarkan fatwa, kini akan disusuli pula isu-isu berbangkit yang berkaitan dengan fatwa peringkat negeri. Antara isu yang diketengahkan adalah :

i) Penerimaan terhadap fatwa
ii) Fatwa tidak selaras
iii) Tempoh pengeluaran fatwa yang lama



4.1 PENERIMAAN TERHADAP FATWA


Penerimaan masyarakat terhadap fatwa-fatwa yang telah dikeluarkan oleh institusi fatwa rasmi ini adalah berbeza-beza. Sebahagian daripada kalangan mereka menerima sahaja fatwa yang dikeluarkan oleh institusi fatwa tersebut. Manakala sebahagian yang lain pula hanya menerima sebahagian sahaja daripada fatwa-fatwa yang dikeluarkan dan menolak sebahagian yang lain (Hasnan 2008 : 128).

Penolakan terhadap fatwa yang dikeluarkan oleh institusi fatwa ini tidak seharusnya berlaku. Hal ini adalah kerana fatwa mengikut erti kata yang sebenarnya adalah satu keputusan syarak yang muktamad dan mesti dipatuhi oleh semua pihak termasuk kerajaan, raja, rakyat dan mahlamah. Fatwa yang dikeluarkan itu sepatutnya hendaklah mempunyai autoriti penuh dan boleh dikuatkuasakan mengikut prosedur undang-undang negara (Hasnan 2008 : 131).

4.2 FATWA TIDAK SELARAS


Faktor fatwa yang tidak selaras ini akan menyebabkan berlaku percanggahan dan ketidakselarasan antara beberapa fatwa yang dikeluarkan oleh institusi-institusi fatwa di Malaysia. Fatwa atau pendapat persendirian atau badan lain berkenaan satu-satu masalah agama yang ditimbulkan oleh masyarakat turut diperkatakan. Kadang-kadang orang ramai berpindah kepada individu atau badan yang lain untuk mendapatkan fatwa atau pendapat berkenaan hukum satu-satu masalah yang mereka hadapi. Tindakan ini dilakukan sama ada mereka tidak meyakini keupayaan dan keadilan institusi fatwa rasmi atau kerana mereka mengalami kesukaran untuk berhubung dengan institusi fatwa rasmi di negeri mereka. Kadang-kadang fatwa yang dikeluarkan oleh individu atau badan ini adalah bercanggah serta tidak selaras dengan fatwa yang dikeluarkan oleh institusi fatwa rasmi negeri tersebut. Percanggahan antara fatwa ini akan menyebabkan kekeliruan orang awam untuk mengikuti keputusan fatwa yang perlu diikuti (Hasnan 2008 : 133).

Ketidakselarasan dan percanggahan fatwa ini adalah berpunca daripada setiap buah negeri di Malaysia mempunyai institusi fatwa yang terdiri daripada mufti dan Ahli Jawatankuasa Fatwanya sendiri. Setiap institusi fatwa ini bebas mengeluarkan pendapat masing-masing mengenai hukum satu-satu masalah tanpa terikat dengan mana-mana institusi fatwa negeri lain (Hasnan, 2008, hlm. 134).

4.3 TEMPOH PENGELUARAN FATWA YANG LAMA


Pewartaan fatwa merupakan titik tolak sesuatu fatwa itu mesti diikuti. Namun demikian, tidak semua fatwa dapat diwartakan dengan cepat. Terdapat beberapa halangan masa sama ada di peringkat mengeluarkan atau mewartakan fatwa.

Perkara yang menjadi isu mengenai tempoh untuk mengeluarkan fatwa ialah pengeluaran sesuatu fatwa bergantung kepada isu yang dibincangkan. Contohnya isu ajaran sesat. Masalah ini memerlukan kajian dan penyelidikan yang memakan masa beberapa bulan. Hal ini kerana sebelum mengambil tindakan, pihak penguatkuasa perlu melakukan penyiasatan termasuk menyamar sebagai ahli sesuatu ajaran sesat untuk memastikan kebenaran laporan dari mana-mana pihak dan juga untuk mengumpulkan bahan bukti. Oleh kerana hal-hal tersebut, maka sesuatu fatwa yang hendak dikeluarkan mengambil masa berbulan-bulan lamanya.

Masalah kedua yang melibatkan tempoh untuk mengeluarkan fatwa menjadi lama adalah kerana kegagalan mengumpulkan ahli dalam mesyuarat Jawatankuasa. Pada kebiasaannya, notis mesyuarat akan diberitahu sebulan lebih awal kepada para ahli sama ada secara bertulis atau lisan. Kehadiran ahli mesyuarat amat penting bagi menentukan keberhasilan sesuatu mesyuarat. Kegagalan ahli untuk menghadiri mesyuarat daripada jumlah 1/3 ahli dewan meyebabkan mesyuarat tidak dapat dijalankan. Oleh itu fatwa tidak dapat dikeluarkan.

Konflik seterusnya adalah sikap tidak prihatin pihak kerajaan dalam mewartakan sesuatu fatwa yang telah dikeluarkan. Sebagai contoh pengharaman ajaran Tarikat Naqsyabandiah Kadirun Yahya yang difatwa pada 3 Ogos 1985 tetapi diwartakan pada 14 September 1995. Ini bermakna selepas 10 tahun barulah fatwa ini diwartakan. Begitu juga dengan pengharaman Aurad Muhammadiah pegangan Darul Arqam yang diwartakan pada tahun 1993 sedangkan fatwa mengenainya telah dikeluarkan pada 1988 lagi (http://myais.fsktm.um.edu.my/6981/).

5.0 CADANGAN TERHADAP INSTITUSI FATWA

Berdasarkan kepada isu-isu berbangkit yang dapat dilihat sepanjang tempoh mengeluarkan fatwa, penulis mencadangkan beberapa perkara yang dapat membantu memudahkan Institusi-Institusi Fatwa di Malaysia menjalankan tugas-tugas mereka untuk mendapatkan hasil keputusan fatwa yang berkualiti. Antara cadangan-cadangan yang dikemukakan ialah :

i) Menambahkan keanggotaan ahli dalam Jawatankuasa Fatwa
ii) Mengkhususkan skop-skop isu kepada kumpulan ahli
iii) Penghebahan terhadap fatwa yang telah diwartakan

5.1 MENAMBAH KEANGGOTAAN AHLI DALAM JAWATANKUASA
FATWA


Disebabkan terdapat beberapa permasalahan yang didapati dalam prosedur pengeluaran fatwa, penulis mencadangkan agar penambahan keanggotaan ahli dalam Jawatankuasa Fatwa dibuat supaya dapat memudahkan dan mempercepatkan proses tersebut. Natijahnya, ahli Jawatankuasa yang ada tidak terburu-buru dalam membincangkan sesuatu fatwa kerana terdapat ahli lain yang turut membantu dalam proses mengeluarkan fatwa.

5.2 MENGKHUSUSKAN SKOP-SKOP ISU KEPADA KUMPULAN AHLI

Penulis juga mencadangkan agar Institusi Fatwa membahagikan ahli Jawatankuasa kepada pengkhususan bidang-bidang tertentu. Contohnya pembahagian dari bidang akidah, ekonomi, muamalat dan sebagainya. Kaedah ini juga dapat memudahkan dan melicinkan urusan kerana pengkhususan bidang-bidang tertentu dapat menampakkan lagi kerja-kerja yang lebih tersusun dan sistematik.

5.3 PENGHEBAHAN TERHADAP FATWA YANG TELAH DIWARTAKAN

Antara cadangan lain penulis adalah menghebahkan fatwa yang telah diwartakan seluas-luasnya menggunakan medium yang dapat diketahui oleh setiap masyarakat Islam, tidak hanya diketahui oleh pihak yang meminta fatwa sahaja. Penghebahan secara meluas ini dapat membuka mata masyarakat Islam dalam mengetahui hukum-hukum syarak yang sentiasa berkembang mengikut peredaran masa dan masalah yang berlaku. Cara ini juga adalah sebagai salah satu cara untuk menunjukkan bahawa peranan Institusi fatwa bukanlah sekadar cerita sahaja.
Setiap fatwa yang dikeluarkan mestilah menepati segala kehendak syariah dan pada masa yang sama mengekalkan kredibilitinya selaku institusi syariah. Penghebahan fatwa boleh dibuat melalui media cetak dan media elektronik yang sedia ada, contohnya melalui akhbar, internet atau memberikan peluang yang khas kepada Mufti untuk menghebahkan fatwa yang di wartakan melalui rancangan yang khusus tentang ini di dalam televisyen. Selain itu juga penghebahan juga boleh dilakukan melalui forum atau Bicara Mufti dan sebagainya. Dengan ini, masyarakat dapat mengetahui tentang fatwa yang di wartakan. Pada masa yang sama, segala fatwa yang diwartakan perlulah dilaksanakan secara profesional dan program pendidikan fatwa perlu ditingkatkan secara menyeluruh dalam setiap lapisan masyarakat demi mengelakkan sebarang pertikaian terhadap fatwa yang telah dikeluarkan.
Selain itu juga, fatwa yang diperolehi perlulah dicetak dalam bentuk penerbitan seperti jurnal dan buku koleksi fatwa. Fatwa-fatwa baru sewajarnya disebarkan melalui khutbah Jumaat (Abdul Monir Yaacob 2006 : 214).



6.0 PENUTUP

Antara dilema institusi fatwa di Malaysia yang masih belum ada penyelesaian ialah tentang penyeragaman dan penguatkuasaannya. Fatwa berbeza pada negeri dan isu yang sama boleh menimbulkan kecelaruan pemahaman kepada masyarakat awam. Ia juga menyukarkan proses penguatkuasaannya. Oleh itu, usaha lebih keras perlu dibuat oleh pihak yang bertanggungjawab untuk mencari serta melaksanakan kaedah terbaik bagi tujuan penyeragaman fatwa (Zaini Nasohah 2005 : 41).

Walaupun undang-undang khusus berhubung fatwa dan Mufti belum diwujudkan secara khusus dan berasingan, tetapi peruntukan yang sedia ada adalah memadai dan tidak menimbulkan apa-apa masalah dalam pelaksanaannya. Peruntukan mengenainya sentiasa dikaji dan diperbaiki mengikut peredaran masa dan keperluan semasa (Nooh Gadot 2006 : 77).




















RUJUKAN


Abdul Samat Musa, Adel M. Abdul Aziz, Haliza Harun & Nik Salida Nik Saleh. 2006. Prinsip pengurusan fatwa di negara-negara ASEAN. Nilai : Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia.


Hasnan Kasan. 2008. Institusi fatwa di Malaysia. Selangor : Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.


http://myais.fsktm.um.edu.my/6981/ (17 Mac 2010).


JAKIM. http://www.e-fatwa.gov.my/e-fatwa.asp (16 Mac 2010).


Mazni Abdul Wahab. 2004. Pewartaan fatwa menurut Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam Selangor 1989 dan penguatkuasaannya. Jurnal Syariah 12(2) : 123-147.


Noor Naemah Abd. Rahman. 2002. Ruang ijtihad dalam amalan fatwa di Malaysia, sorotan dari sudut pentadbiran fatwa. Jurnal Syariah 10(2) : 19-30


Othman Haji Ishak. 1981. Fatwa dalam perundangan Islam. Selangor : Penerbit Fajar Bakti Sdn.Bhd.


Zaini Nasohah. 2005. Undang-undang penguatkuasaan fatwa di Malaysia. Jurnal Islamiyyat 27(1) : 25-44.


Zulkifli Mohamad al-Bakri. 2008. Fatwa dan mufti, hukum, etika dan sejarah. Nilai : Penerbit Universiti Sains Islam Malaysia.


Zulkifli Mohamad al-Bakri. 2008. Institusi fatwa dalam enakmen pentadbiran perundangan Islam Negeri Sembilan. Nilai : Penerbit Universiti Sains Islam Malaysia.



Disediakan oleh kami,,


Cik Anis Filzah Bt Abd Rahman
Cik Siti Zakiah Bt Abd Rahman
Cik Siti Khalijah Bt Abd Rahman
Cik Azmanira Bt Ismail@Zanudin
Cik Nor Fatihah Bt Abu Bakar
Cik Nurliyana Bt Asmani

1 comments:

Unknown said...

Strange "water hack" burns 2lbs overnight

Over 160 thousand women and men are trying a easy and secret "water hack" to lose 1-2 lbs every night while they sleep.

It is painless and works every time.

This is how to do it yourself:

1) Hold a drinking glass and fill it half glass

2) Then do this amazing HACK

and be 1-2 lbs lighter in the morning!