Assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Monday, April 26, 2010

AL-ISTIHSAN

1.0 PENDAHULUAN

Allah S.W.T. sahajalah sebagai penetap hukum atau hakim mutlak yang menetapkan peraturan dan undang-undang yang lengkap kepada manusia. Penetapan hukum syarak bertujuan supaya manusia dapat menjalani kehidupan yang harmoni dan mentadbir muka bumi ini dengan mendapat keredhaan Allah serta mendapat kebahagian dunia dan Akhirat.

Peraturan atau undang-undang yang telah Allah S.W.T. tetapkan dan tentukan kepada manusia adalah lengkap, iaitu dengan meliputi aspek akhlak, ibadat, muamalat, politik dan sosial. Hal tersebut kerana Allah S.W.T. yang mencipta manusia dan amat mengetahui apa yang diperlukan dan sesuai dengan manusia itu. Dalam hal itu segala peraturan agama dan hukum yang datang daripada Allah dinamakan hukum syarak ( Abd Latif Muda 1997 : 14 ).

Sumber-sumber perundangan Islam yang menjadi tempat pengambilan hukum syarak pada asasnya dapat dibahagikan kepada dua bahagian iaitu sumber yang disepakati dan sumber yang tidak disepakati. Sumber yang disepakati atau yang dipersetujui oleh semua ulama tanpa sebarang pertikaian iaitu al-Quran, al-Sunnah, al-ijma’ dan al-qiyas. Manakala sumber yang tidak disepakati atau yang menjadi perselisihan dalam kalangan ulama iaitu al-istihsan, masalih al-mursalah, al-istishab dan sebagainya ( Ruzian Markom 2004 : 31 )

Kertas kerja ini sedikit sebanyak akan menerangkan tentang salah satu daripada sumber yang tidak disepakati oleh ulama iaitu al-istihsan. Al-istihsan walaupun sebagai sumber yang tidak disepakati oleh ulama dan sebagai sumber sampingan perundangan Islam, ia banyak memberi sumbangan kepada umat Islam terutamanya dalam bidang jual beli ( Ruzian Markom 2004 : 70 ).


2.0 PENGERTIAN AL-ISTIHSAN

Al-Istihsan dari sudut bahasa ialah menganggap sesuatu itu baik atau sesuatu yang disukai oleh seseorang serta cenderung ke arahnya sekalipun dipandang buruk ( tidak disukai ) oleh orang lain. (Hassan Ahmad 1998:300). Al-Istihsan dari segi istilah juga dapat dibahagi kepada beberapa pandangan mengikut mazhab.

1) Menurut Mazhab Hanafi terdapat dua pengertian (Hassan Ahmad 1998:299) iaitu :
a) Qiyas yang tersembunyi illahnya kerana sukar untuk memahaminya dan berlaku di dalam keadaan berlawanan dengan qiyas yang jelas illahnya kerana bersegeranya dan cepat untuk memahaminya pada peringkat permulaan.

b) Dikecualikan masalah juz’iyyah daripada konsep menyeluruh atau kaedah umum kerana ada dalil khusus yang mengkehendaki pengecualian itu sama ada dalil khusus itu terdiri daripada nas, darurah, urf, maslahah atau lainnya.

2) Menurut Mazhab Maliki al-istihsan ialah :
Cenderung untuk meninggalkan sesuatu dalil dan membolehkan dalil itu menyalahinya kerana ada dalil lain yang bertentangan sebahagian daripada kehendak asal sesuatu hukum. Iaitu berpaling di dalam menghukum sesuatu masalah daripada masalah-masalah yang sebanding dengannya kerana ada dalil yang khusus terdiri dari Al-Quran atau Sunnah.(Hassan Ahmad 1998:303)

Rumusannya, al-istihsan ialah beralih daripada hukum yang diistinbatkan melalui qiyas jaliyy kepada hukum yang dikeluarkan melalui qiyas khafiyy atau pengecualian satu-satu masalah juz’iyyah daripada kaedah yang berbentuk kulliyy kerana terdapat dalil lain yang lebih disenangi oleh seseorang mujtahid untuk berbuat demikian.
Contohnya ialah pada masalah seseorang yang masuk bilik air dengan menjelaskan bayaran yang tertentu tetapi air dan masa tidak ditentukan kadarnya dan bayaran yang dikenakan adalah sama. Kaedah asalnya menyatakan tidak harus kerana tidak diketahui kadar air yang digunakan dan masa yang diperuntukkan untuk berada di dalam bilik air tersebut. Ia akan merosakkan aqad. Namun demikian, ulama mujtahid menggunakan kaedah al-istihsan dengan urf iaitu dengan melihat kepada sudah menjadi kebiasaan. ( Hasan bin Ahmad 2002 : 306)

3.0 PEMBAHAGIAN AL-ISTIHSAN

3.1 AL-ISTIHSAN DENGAN NAS

Al-Istihsan dengan nas bermaksud perkara pada setiap masalah yang menunjukkan hukum yang bertentangan dan berbeza dengan kaedah yang ditetapkan yang mempunyai nas daripada Allah SWT. (Abdul Latif Muda 1997 : 55 ). Dengan kata lain, al-istihsan ialah suatu nas khusus daripada Allah SWT tentang sesuatu perkara. Hukum asal perkara tersebut adalah ditegah dan tidak dibenarkan oleh syara’ tetapi diharuskan kerana terdapat nas daripada Allah SWT dan ia menjadi kaedah umum.

Di antara contohnya, jual beli secara bertempah ( bai’ al-salam ), ia merupakan kegiatan jual beli sesuatu barang yang belum ada di tangan penjualnya. Qiyas pada asalnya haram menjalankan kegiatan jual beli yang belum ada barang di tangan penjual, kerana ia tidak sah di sisi syarak. Rasulullah s.a.w melarang jual beli sesuatu barang yang tidak ada di tangan penjual ketika akad. Rasullah s.a.w bersabda kepada Hakim bin Hazam.

"لا تبع ما ليس عندك"
Maksudnya : “Jangan engkau jual sesuatu yang tidak ada di sisi engkau”
(Riwayat Abu Daud)

Hadis di atas menunjukkan bahawasanya Rasulullah s.a.w melarang kegiatan jual beli sesuatu barang yang belum ada di tangan penjual tetapi jual salam ini dikecualikan daripada kehendak dalil umum atau hukum asalnya ini kerana ada nas lain yang mengharuskannya iaitu melalui hadis bahawa Rasullah s.a.w datang ke Madinah sedangkan penduduknya pada masa itu melaksanakan kegiatan jual salam buah-buahan dalam masa setahun dan dua tahun kemudian baginda bersabda:

مَعْلُوْمٍ أجَلٍ إلى مَعْلُومٍ وَوَزْنٍ مَعْلُومٍ كَيْلٍ فِيْ فَلْيُسْلِفْ شَيْءٍ فِيْ أَسْلَفَ مَنْ

Maksudnya :
“ Barang siapa yang berjual salam dikalangan kamu maka hendaklah dia berjual salam dengan sukatan yang jelas dan timbangannya yang diketahui sehingga tempoh yang jelas.”
(Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Contoh yang kedua ialah seseorang yang berpuasa tidak akan batal ibadah puasanya dan akan terus berkekalan hukum bagi seseorang itu untuk menyempurnakan ibadah puasa tersebut, sekiranya seseorang itu makan atau minum secara tidak sengaja disebabkan terlupa. Menurut qiyas iaitu kaedah umum dan hukum asalnya batal puasa seseorang itu disebabkan tidak menahan diri daripada memasukkan sesuatu ke dalam rongganya. Namum hukum itu dikecualikan daripada kehendak hukum asal tersebut kerana ada nas hadis yang mengecualikan:


إذا أكل الصائم ناسيا أو شرب ناسيا فليتم صيامه فإنما أطعمه الله وسقاه

Maksudnya;

Barang siapa yang terlupa sedangkan dia berpuasa lalu dia makan atau minum, maka hendaklah dia menyempunakan puasanya. Sesungguhnya Allah memberi makan dan minum kepadanya.

( Riwayat Al-Bukhari dan Muslim dan At-Tarmizi dan Abu Daud dan Ibnu Majah)

3.2 AL-ISTIHSAN DENGAN IJMAK

Al-Istihsan dengan ijmak terhasil setelah semua mujtahid bersepakat tentang sesuatu masalah yang berlawanan dengan kaedah umum pada masalah yang serupa dengannya. Para mujtahid berdiam diri dan tidak mengingkari perkara tersebut pada hal ia bertentangan dengan kaedah asal atau kaedah umum yang telah ditetapkan ( Hasan bin Ahmad 2002 : 306 ).

Contohnya ialah tidak sah jual salam jika diqiyaskan dengan akad jual beli. Ini kerana benda yang diakadkan belum wujud dan tiada semasa pelaksanaan akad berlangsung. Oleh kerana jual salam adalah sesuatu yang baik dan menjadi satu keperluan kepada masyarakat, maka ulama telah bersepakat bahawa hukum jual salam adalah harus dan boleh diamalkan. (Hasan bin Ahmad 2002 : 306 ).

Contoh yang kedua ialah pada masalah menggunakan bilik air awam yang dikenakan bayaran yang sama. Namun air dan masa tidak ditentukan. Kaedah asal menyatakan bahawa haram menggunakan bilik air tersebut kerana tidak diketahui kadar air yang digunakan dan masa yang diperuntukkan untuk berada di dalam bilik air tersebut. Namun demikian, mujtahid menggunakan kaedah al-istihsan iaitu dengan melihat kepada sudah menjadi kebiasaan orang ramai melakukannya tanpa diingkari oleh seorang dari kalangan mujtahid. Maka ia menunjukkan bahawa mereka bersepakat bahawa menggunakan bilik air yang tidak sama kadar masa dan bayaran yang dikenakan adalah tidak haram kerana meraikan keperluan orang ramai dan menolak kesukaran dari mereka. Maka natijah hukum tersebut ialah harus untuk menggunakan bilik air awam tersebut kerana melihat kepada al-istihsan.


3.3 AL-ISTIHSAN BERDASARKAN ‘URF

Istihsan berdasarkan ‘urf berlaku pada masalah yang menjadi amalan dan kebiasaan masyarakat dan ia bertentangan dengan kaedah umum.

Contohnya, menurut fiqh mazhab Hanafi, antara prinsip umum harta wakaf hendaklah berkekalan dalam tempoh yang panjang. Berdasarkan prinsip ini, maka tidak harus mewakafkan harta alih kerana ia cepat rosak. Sebaliknya, Imam Muhammad bin Hassan daripada mazhab Hanafi mengharuskan wakaf harta alih kerana ia menjadi kebiasaan atau adat masyarakat mewakafkannya seperti buku-buku. Oleh itu ia dibolehkan atas dasar istihsan yang menyalahi prinsip umum dan pegangan Imam Abu Hanifah sendiri. (Abd. Latif Muda & Rosmawati Ali@Mat Zin 1997 : 123)

Begitu juga sekiranya seseorang bersumpah untuk tidak masuk ke dalam rumah tetapi tidak bermakna seseorang itu tidak boleh memasuki masjid meskipun Allah menyebut masjid dengan sebutan rumah (al-bait) dalam firman-Nya :

              
Maksudnya:
(Nur hidayah petunjuk Allah itu bersinar dengan nyatanya terutama sekali) di rumah-rumah Ibadat Yang diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan keadaannya dan disebut serta diperingat nama Allah padanya; di situ juga dikerjakan ibadat mensuci dan memuji Allah pada waktu pagi dan petang.
( Surah al-Nur: 36)

Walaupun dalam ayat di atas menunjukkan penggunaan perkataan “rumah” (al-bait) membawa maksud masjid dan dikuatkan lagi dengan menyatakannya sebagai tempat yang dikerjakan ibadat serta mensuci dan memuji Allah pada waktu pagi dan petang tetapi penggunaan tersebut bertentangan dengan penggunaan dari sudut ‘urf.
Ini menunjukkan ‘urf yang berlaku di dalam masyarakat menunjukkan perkataan “rumah” (al-bait) secara mutlak dan tidak digunakan untuk masjid. Oleh itu, seseorang yang bersumpah untuk tidak masuk ke dalam rumah tidak dianggap melanggar sumpahnya sekiranya seseorang itu masuk ke dalam masjid.

3.4 AL-ISTIHSAN BERDASARKAN DARURAT

Iaitu berpindah daripada hukum asal yang telah ditetapkan pada sesuatu masalah kerana terdapat darurat yang mengkehendakinya berpindah daripada hukum asal tersebut. (Ruzian Markom 2004:68)

Ulama menyatakan bahawa puasa seseorang tidak terbatal jika seseorang itu menelan sesuatu yang sangat sukar untuk dihindari seperti tertelan debu dan asap. Sekiranya perkara seperti itu masuk ke dalam rongga orang yang berpuasa, puasanya masih sah dan tidak terbatal sedangkan mengikut hukum asal, sekiranya rongga orang yang berpuasa dimasuki sesuatu yang tidak lazim baginya maka terbatallah puasa tersebut. Ini kerana untuk mengelak daripada tertelan debu dan asap adalah begitu sukar dan mustahil untuk dielakkan walaupun seseorang itu sedaya upaya untuk menjauhinya. Oleh itu, puasa seseorang itu dikira sebagai tidak terbatal kerana darurat tersebut. (Mohammad Hashim Kamali 2004:12)

Begitu juga membersihkan perigi bernajis atau dimasuki oleh sesuatu yang bernajis. Mengikut kaedah umum atau al-qiyas, perigi tersebut tidak akan bersih walaupun ditimba sebahagian atau semua air dalamnya. Hal tersebut kerana, menimba sebahagian air di dalamnya tidak memberi kesan atau tidak menyebabkan baki air yang ada itu bersih. Begitu juga jika ditimba semua air pun tidak akan membersihkan air yang baru keluar dari mata air dalam perigi tersebut. Justeru itu, air dalam perigi tersebut tidak akan bersih walaupun ditimba semua air bernajis. Ini akan menyebabkan kesukaran dan kepayahan sekiranya perigi tersebut menjadi sumber air utama kepada sesebuah masyarakat atau individu. Oleh itu diharuskan mengambil air dari perigi tersebut kerana keperluan dan darurat. (Abd. Latif Muda, Rosmawati Ali @ Mat Zin 1997:123)

3.5 AL-ISTIHSAN DENGAN MASLAHAH

Maksud al-istihsan dengan maslahah ialah beralih daripada satu hukum pada satu-satu masalah yang telah menjadi kaedah umum kepada hukum yang lain kerana maslahah yang tertentu. Contohnya, kerosakan yang dilakukan oleh pekerja perlu diganti. Mengikut kaedah umum, pekerja adalah amanah, maka dengan itu penggantian itu atas konsep menjaga kemaslahatan manusia (Abd. Latif Muda & Rosmawati Ali 1997 : 130 ).

Antara contoh lain ialah mengikut prinsip umum, tidak harus diberikan zakat kepada Bani Hashim kerana pada masa dahulu golongan tersebut mendapat habuan daripada harta rampasan perang. Apabila sudah tidak ada lagi peperangan, mereka menjadi golongan yang tidak mampu dan mesti dibantu dan diberi zakat. Maksud di sini ialah pada dasarnya tidak dibolehkan memberi apa-apa mahupun berkenaan dengan zakat kepada golongan ini tetapi sebaliknya Abu Hanifah mengharuskan memberi zakat kepada mereka pada zaman beliau berdasarkan al-istihsan. Ini bermakna, mana-mana perkara jika dilihat al-istihsan berasaskan maslahat adalah demi menjaga kepentingan mereka serta kemaslahatan harta manusia daripada diabaikan.

Antara prinsip yang ditetapkan dalam mazhab Hanafi ialah akad muzara’ah (مزارعة) dengan mati salah seorang daripada dua yang berakad atau mati kedua-duanya seperti yang berlaku di dalam sewa menyewa, tetapi mereka mengecualikan daripadanya sebahagian daripada masalah-masalah. Antaranya ialah apabila mati pemilik tanah sedangkan tanamannya belum boleh diambil, mereka menghukum kekal akad padanya kerana berdasarkan istihsan yang menyalahi prinsip umum untuk memelihara kepentingan pekerja dan menolak kemudharatan daripadanya.



3.6 AL-ISTIHSAN DENGAN QIYAS AL-KHAFFIYY

Maksudnya beralih daripada satu hukum pada satu-satu masalah yang sabit melalui qiyas jaliyy kepada hukum yang lain yang diistiinbatkan melalui qiyas khafiyy. Qiyas khaffiyy ialah qiyas yang kurang jelas ‘illahnya manakala qiyas jaliyy ialah qiyas yang lebih jelas ‘illahnya. Apabila qiyas khaffiyy berhadapan dengan qiyas jaliyy, qiyas khaffiyy ini dikira lebih kuat dari qiyas jaliyy bila ianya mempunyai kesan yang lebih kuat dan lebih sahih pada dasarnya. (Hasan bin Ahmad 2002 : 298 ).
Menurut istilah ulama Usul Fiqh, istihsan jenis ini ialah berpindah daripada pengambilan al- qiyas jaliyy kepada qiyas khafiyy ataupun berpindah daripada sesuatu hukum yang asal kepada hukum yang lain ekoran terdapat dalil yang membolehkan para mujtahid bertindak sedemikian demi menjaga kemaslahatan umum.

Contohnya ialah baki minuman yang diminum oleh burung liar seperti anak hering atau helang. Mengikut qiyas jaliyy, baki air tersebut adalah najis kerana dikategorikan sama seperti saki bekas minum binatang liar darat dengan alasan yang sama iaitu kedua-dua jenis binatang tersebut najis dagingnya. Saki baki minuman dikira berdasarkan daging yang darinya lahir air liur binatang tersebut, maka semua binatang yang najis dagingnya baki minumnya juga adalah najis. Dalil najisnya daging binatang tersebut ialah sama seperti dalil yang mengharamkan memakannya. Kesimpulan yang dapat dibuat daripada qiyas jaliyy ini ialah baki minum burung liar adalah najis kerana dagingnya najis; sama seperti binatang liar darat.

Namun mengikut istihsan, iaitu dengan qiyas khaffiyy, baki daripada minuman burung-burung tersebut adalah suci, sama seperti baki minuman manusia dengan alasan bahawa air liur burung dan manusia tidak bercampur dengan air ketika air tersebut diminum. Ini kerana burung minum menggunakan paruhnya yang merupakan tulang keras yang suci dan tidak menyerap najis. Maka air yang terkena paruh tersebut tidak menjadi najis.

Maka ‘illah yang jelas (zahir) dalam qiyas pertama (qiyas jaliyy) iaitu bercampurnya air liur yang najis dengan air kerana ia menghirup air dengan lidahnya adalah jelas tidak boleh dipakai dan rendah jika dibandingkan dengan qiyas yang kedua (qiyas khaffiyy), kerana burung liar minum dengan paruhnya yang merupakan tulang yang suci. Maka hukum baki minum burung liar adalah suci kerana air liurnya tidak bercampur dengan air (Hasan bin Ahmad 2002 : 289 ).

4.0 KEHUJAHAN ISTIHSAN

Ulama berselisih pendapat tentang kehujahan al-istihsan. Sebahagian ulama menerima istihsan sebagai hujah manakala sebahagian lagi tidak menerima istihsan sebagai hujah.

4.1 ULAMA YANG MENOLAK

Imam Syafi`ie dan ulama Syafie serta sebahagian ulama Hanbali menolak berhujah dengan al-istihsan, dan ia tidak boleh digunakan sebagai dalil untuk mengeluarkan sesuatu hukum. Mereka menolak al-istihsan sebagai hujah berdasarkan ayat al-Quran yang bebunyi:

         
Maksudnya ;
Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisih) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada kitab Allah yakni Al-Quran dan Sunnah rasul-Nya.
) Surah al-Nisa 4 : 59 )

Istihsan bukanlah sebahagian daripada al-Quran atau Hadis dan tidak ada sebarang dalil yang menunjukkan ia diterima sebagai hujjah. Oleh itu, menggunakan istihsan sebagai dalil bererti mengeluarkan hukum yang berlawanan dengan hukum al-Quran dan Hadis.

Sekiranya mujtahid boleh mengeluarkan hukum yang tiada nas dalam al-Quran dan Hadis berdasarkan setiap yang dikira baik pada akal mereka, maka sudah tentu orang awam juga boleh berbuat begitu, sedangkan ijmak ulama’ menyatakan bahawa orang awam tidak harus berbuat begitu. Selain itu, Imam Syafi`e berpendapat bahawa berhujjah dengan al-Istihsan bererti menetapkan hukum berdasarkan nafsu dan fikiran, sedangkan yang berhak membuat hukum hanyalah Allah sahaja. (Ruzian Markom 2004:98)


4.2 ULAMA YANG MENERIMA

Ulama mazhab Hanafi, Imam Malik dan sebahagian ulama mazhab Hanbali menerima konsep berhujjah dengan al-istihsan dan menggunakannya sebagai dalil hukum. Antara hujah mereka ialah;

A) Sabda Nabi S.A.W. ;

ما راه المسلمون حسنا فهو عند الله حسن ، وما راه المسلمون قبيحا فهو عند الله قبيح
Maksudnya ; Apa yang dinilai oleh orang-orang Islam itu baik, maka ia adalah baik di sisi Allah. Dan apa yang dinilai oleh orang-orang Islam itu buruk, maka ia adalah buruk di sisi Allah.
Riwayat al-Bukhari

Nas ini menunjukkan bahawa setiap yang baik pada umat manusia adalah baik di sisi Allah. Dasar penggunaan al-istihsan sebagai hujah adalah bertujuan untuk memelihara kemaslahatan atau kebaikan orang Islam. Oleh yang demikian, dengan merujuk kepada dalil hadith ini dan tujuan al-istihsan itu sendiri, maka boleh disimpulkan istihsan boleh digunakan sebagai hujah.

B) Dalil Ijmak

Antara contoh penggunaan al-istihsan berasaskan ijmak ialah tidak sah jual salam jika diqiyaskan dengan jual beli, ini adalah kerana benda yang diakadkan belum wujud lagi ketika akad berlaku dalam kontrak. Oleh kerana jual salam adalah baik dan perlu dalam masyarakat, maka ulama mengira baik dan harus hukumnya berdasarkan konsep al-istihsan.
C) Dalil akal

Antara alasan lain yang diberikan oleh golongan yang menerima al-istihsan sebagai hujah adalah seperti berikut :

1. Penerimaan al-istihsan sebagai hujah adalah bertujuan untuk menolak kepayahan dengan mewujudkan kemaslahatan dan ini adalah selari dengan matlamat syarak.

2. Sabitnya al-istihsan adalah bergantung pada dalil-dalil yang disepakati iaitu dengan nas atau ijmak atau darurah atau qiyas khaffiyy atau ‘uruf atau maslahah seperti mana yang dibincangkan terlebih dahulu sebelum ini dan setiap daripadanya memerlukan pentarjihan qiyas khafiyy terhadap qiyas jaliyy dan pengasingan antara hukum yang juziyy daripada hukum yang kulliyy.


5.0 KESIMPULAN

Apabila dikaji dan diteliti pengertian yang diberikan oleh ulama dalam Mazhab Hanafi dan Mazhab Maliki, penggunaan al-istihsan menurut pendapat mereka bukanlah dengan berdasarkan akal dan nafsu semata-mata. Justeru itu, penggunaan al-istihsan ini menurut mereka adalah berdasarkan dalil-dalil syarak juga. Apabila diteliti pengertian al-istihsan menurut Imam Syafi`i pula adalah berlainan dengan pengertian yang diberikan oleh ulama dalam Mazhab Hanafi dan Mazhab Maliki iaitu Imam Syafi`i menggambarkan penggunaan al-istihsan dengan berpandukan akal semata-mata tanpa dalil syarak, sebab itulah beliau menolak berhujah dengannya.

Dari situ dapatlah dirumuskan di sini bahawa perselisihan yang berlaku antara mazhab-mazhab mengenai kehujahan al-istihsan merupakan perselisihan dari segi lafaz sahaja. Hal itu terjadi disebabkan tidak sama pengertian yang mereka berikan. Sebenarnya antara mereka tidak ada perselisihan kerana matlamat mereka adalah satu iaitu membawa kebaikan untuk masyarakat, agama dan membawa kebenaran serta berhati-hati atau teliti dalam mengeluarkan sesuatu hukum.


RUJUKAN

Al-Quran.
Abdul Karim Zaidan. 2009. Al-Wajiz fi usul al-fiqh. Damsyik: Muassasah al-Risalah Nashirun.
Abd. Latif Muda & Rosmawati Mohd Ali. 1997. Kuala Lumpur. Pengantar usul fiqh. Pustaka Salam Sdn. Bhd.
Hasan bin Haji Ahmad. 2002. Usul fiqh dan qawa’id fiqhiyyah. Kuala Lumpur: Pustaka Haji Abdul Majid.
Ruzian Markom. 2004. Apa itu undang-undang Islam. Pahang: PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Mohammad Hashim Kamali. 2004. Istihsan and the renewal of Islamic Law.
Kuala Lumpur: International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia.


DISEDIAKAN OLEH:

AHMAD SAHARUDIN BIN ABDULLAH (A129757)
MOHD ABDUS SALAM BIN YUSOFF (A129766)
WAN MD SHAFIQ ANSARI WAN MOHD NAWI (A130845)
MOHD SUFFIAN BIN MOHD ZAURAH (A127351)
ABDUL WAFI BIN RAMLI ( A127808 )

6 comments:

Kripac said...

Syukran akhi

nadhirahtajudin said...

Syukran sangat membantu

Unknown said...

Assalamualaikum maaf nak bertanya..pendapat mengikut mazhab syafie dan mazhab hanbali tiada ka?

Unknown said...

Assalamualaikum maaf nak bertanya..pendapat mengikut mazhab syafie dan mazhab hanbali tiada ka?

Unknown said...

Imam syafie dan imam hambali tidak menggunakan istihsan sbg sumber hukum hnya imam hanafi dan Imam Malik shj yg guna, tpi lebih ketara menggunakan sumber istihsan adalah imam hanafi

Unknown said...

Do you understand there is a 12 word phrase you can communicate to your crush... that will trigger intense feelings of love and impulsive attractiveness to you buried within his chest?

Because hidden in these 12 words is a "secret signal" that triggers a man's instinct to love, admire and care for you with all his heart...

===> 12 Words That Fuel A Man's Desire Impulse

This instinct is so hardwired into a man's brain that it will make him try harder than before to do his best at looking after your relationship.

Matter-of-fact, triggering this dominant instinct is absolutely important to getting the best possible relationship with your man that once you send your man a "Secret Signal"...

...You'll instantly find him open his soul and heart to you in a way he's never expressed before and he'll recognize you as the only woman in the universe who has ever truly tempted him.