Thursday, April 15, 2010

PROSEDUR PENGELUARAN FATWA PERINGKAT KEBANGSAAN

PENDAHULUAN

Pada era masa kini, fatwa dilihat begitu penting dalam menyelesaikan permasalahan atau isu yang timbul di kalangan umat Islam. Sesuatu isu yang timbul itu berlaku adalah rentetan daripada perubahan zaman yang makin bertambah maju. Ianya adalah amat berbeza sekali jika dibandingkan dengan situasi zaman dahulu seperti zaman kehidupan junjungan besar yang mulia iaitu Rasulullah S.A.W. Pada zaman tersebut isu-isu yang menjadi kesamaran bagi umat Islam agak sedikit. Sekiranya sesuatu isu itu timbul, umat Islam akan terus merujuk perkara tersebut pada Baginda yang merupakan satu-satunya sumber rujukan utama dalam segala permasalahan.

Kembali semula pada era masa kini, pengeluaran sesuatu fatwa itu mempunyai adab, kaedah dan juga cara serta syarat yang telah ditetapkan bagi membolehkan sesuatu fatwa itu dikeluarkan. Perkara-perkara yang telah ditetapkan ini adalah untuk mengelakkan daripada berlakunya sebarang kesilapan atau kekhilafan dalam memberikan jawapan pada sesuatu masalah yang timbul.

Di negara Malaysia ini sendiri turut mengaplikasikan cara ataupun kaedah seperti di atas dalam melakukan proses mengeluarkan sesuatu fatwa. Oleh hal demikian, telah ditubuhkan satu institusi fatwa dalam negara ini. Ia adalah satu badan yang ditubuhkan untuk menguruskan penjelasan hukum mengenai masalah yang berkaitan dengan agama Islam di Malaysia.

PENGERTIAN FATWA

Setiap istilah yang ada di muka bumi ini mempunyai maksud yang tersendiri, begitu juga dengan fatwa. Fatwa boleh dibahagikan kepada dua, iaitu dari sudut bahasa dan dari sudut istilahnya. Perkataan fatwa sebenarnya berasal daripada bahawa Arab, oleh yang demikian segala rujukan makna dan maksudnya diambil dan dipetik daripada buku-buku bahasa Arab yang muktabar. Perkataan fatwa mempunyai tiga perkataan bagi menunjukkan makna tersebut iaitu fatwa, futya dan futwa.( Zulkifli Mohamad al-Bakri 2008:3)

Dalam ketiga-tiga perkataan yang dinyatakan, kesemuanya menunjukkan maksud yang hampir sama. Pertama ialah memberi penjelasan tentang sesuatu perkara oleh seseorang yang faqih. Dalam hal ini, mereka yang bergelar faqih akan menerangkan dan menjelaskan masalah atau sesuatu perkara sama ada yang telah berlaku mahupun yang belum berlaku. Maksud yang kedua ialah penerangan perkara yang musykil dan kesamaran tentang hukum. Manakala yang terakhir pula ialah memberi jawapan bagi sesuatu masalah oleh seorang faqih.

Asal ketiga-tiga sebutan di atas adalah daripada perkataan fatwa yang bermaksud pemuda yang sihat, cergas dan gagah (Zulkifli Mohamad al-Bakri 2008:4). Hal ini dikaitkan dengan fatwa kerana apabila seseorang mufti mengeluarkan fatwa kepada perkara yang menjadi kesamaran, maka fatwanya itu menjadikan suatu hukum tersebut lebih kuat dan kukuh. Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa perkataan fatwa itu seperti pemuda yang berusia muda. Lantaran itu, seseorang mufti yang mengeluarkan fatwa tentang sesuatu hukum akan turut memberi maksud telah memperbaharui hukum tersebut. (Zulkifli Mohamad al-Bakri 2008:4)

Manakala apabila dilihat fatwa menurut istilah pula, ulama usul telah memberikan pelbagai definisi mengenai fatwa. Antaranya ialah fatwa merupakan hasil ijtihad. Hal ini kerana apabila mufti ingin mengeluarkan sesuatu hukum maka perlu kepada usaha ijtihad bagi menyelesaikan sesuatu perkara. Fatwa juga didefinisikan sebagai jawapan kepada soalan terhadap perkara yang berlaku. Selain itu, fatwa dianggap sebagai mengkhabarkan hukum Allah pada sesuatu perkara yang mesti atau harus. (Zulkifli Mohamad al-Bakri 2008:5)

HUKUM FATWA

Dalam konteks masyarakat Islam sekarang ini, fatwa sangat diperlukan dan penting bagi mengetahui satu-satu hukum syarak dengan tepat dan benar. Hukum fatwa mengikut pandangan kebanyakan ulama adalah fardhu kifayah. Hal ini kerana fatwa termasuk sebahagian daripada keperluan agama yang sepatutnya dan semestinya wujud demi maslahah dan manfaat umum. Dengan adanya fatwa, masyarakat dapat menyelesaikan banyak masalah dan kemusykilan hidup yang berkaitan dengan agama. (Zulkifli Mohamad al-Bakri 2008:3)

MUFTI DAN KELAYAKANNYA

Pada zaman kehidupan Rasullah S.A.W dan para Sahabat, Baginda merupakan satu-satunya mufti yang berkelayakan dalam mengeluarkan sesuatu fatwa dalam sesuatu masalah atau isu yang timbul. Baginda juga merupakan utusan Allah S.W.T yang terakhir dan kebanyakkan perkataan yang diucapkan adalah wahyu yang telah diturunkan oleh Allah kepada Baginda. Begitulah juga hal keadaan Baginda dalam mengeluarkan fatwa pada ketika itu yang sememangnya tidak boleh dinafikan dari segi kelayakan Baginda selaku mufti. Selepas kewafatan Baginda, kedudukan mufti ini telah disandang oleh para sahabat dalam menyelesaikan sesuatu masalah yang timbul.

Selepas sekian lama, zaman dan masa turut berubah. Kelayakan seseorang sebagai mufti juga telah berubah kerana tidak ada lagi individu-individu yang mampu mengeluarkan fatwa sebagaimana kemampuan yang telah dimiliki oleh para Sahabat dan zaman selepasnya. Maka tugas seorang mufti bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan kerana seseorang yang menjadi mufti mestilah mempunyai kelayakan untuk memegang jawatan tersebut. Ini adalah kerana seseorang yang menjadi mufti perlu mempunyai pengetahuan dan ilmu yang tinggi dalam menyelesaikan sesuatu masalah atau isu yang timbul.

Seseorang yang menjadi mufti juga hendaklah celik dan mahir tentang realiti kehidupan semasa disamping dapat mengaitkan fatwanya dengan kehidupan manusia. Mufti juga tidak boleh hanya sekadar menulis teori-teori yang bersifat kosong ataupun memberikan fatwa yang bersifat tergantung. Dengan hasil usahanya untuk membuat penelitian dan juga memahami realiti semasa kehidupan masyarakat. Secara tidak langsungnya juga, ia dapat membuat batasan yang tertentu serta menetapkan kepentingan-kepentingan yang perlu dijaga. (Hasnan Kasan 2008:52)

Dari segi kelayakan seseorang mufti untuk mengeluarkan fatwa, ia telah dikategorikan oleh Ibnu ‘Abidin kepada tujuh jenis: (Hasnan Kasan 2008:54)

i) Mufti bertaraf mujtahid yang telah mewujudkan kaedah perundangan Islam sendiri (qawa’id al-usul) dan cara mengeluarkan hukum furuk melalui al-Quran, al-Sunnah, Ijmak dan qiyas tanpa berpegang kepada mana-mana dasar yang diamalkan oleh seseorang imam mujtahid lain. Imam mazhab yang empat telah termasuk dalam kategori ini.

ii) Mufti yang mampu mengeluarkan hukum melalui dalil-dalil dan kaedah-kaedah yang telah diterangkan oleh imam mereka yang bertaraf mujtahid. Kadangkala mereka mengeluarkan hukum furuk yang bercanggah dengan hukum yang telah ditetapkan oleh imam yang mereka ikuti. Namun demikian, mufti kategori ini masih berpegang dengan kaedah perundangan telah ditetapkan oleh imam mereka yang bertaraf mujtahid.

iii) Mufti yang hanya mengeluarkan fatwa mengenai masalah furuk tanpa bercanggah dengan kaedah yang telah ditetapkan oleh imam mereka serta tidak lari dari kaedah-kaedah perundangan yang telah dijelaskan oleh imam mereka. Fatwa yang telah dikeluarkan oleh mufti kategori ini hanylah berkenaan masalah yang belum jelas hukumnya dengan berlandaskan kaedah yang telah ditetapkan oleh imam mereka.

iv) Mufti yang bertaraf muqallid. Mereka ini tidak boleh melakukan ijtihad, akan tetapi disebabkan oleh mereka telah menguasai kaedah-kaedah dan tempat sandaran hukum yang telah ditetapkan oleh imam mereka, maka mereka berkemampuan untuk mentafsirkan hukum yang tidak jelas dan yang ada andaian dua tafsiran yang telah diasaskan oleh imam mereka. Mufti kategori ini boleh mengeluarkan hukum berdasarkan al-Qiyas terhadap masalah yang berlaku.

v) Mufti yang tidak boleh melakukan ijtihad tetapi berupaya mentarjihkan pendapat imam yang perlu diutamakan dan sesuai dengan kepentingan masyarakat.

vi) Mufti yang bertaraf muqallid serta tidak boleh melakukan ijtihad dan tidak dapat mengeluarkan fatwa secara sendiri. Mereka hanya mampu membezakan tingkatan pendapat imam mereka. Selain itu, mereka lebih mirip kepada orang yang memberitahu fatwa yang telah ditetapkan oleh imam mereka.

vii) Mufti muqallid yang tidak boleh melakukan ijtihad dalam mengeluarkan fatwa serta tidak berupaya langsung membezakan antara tingkatan pendapat imam mereka serta tidak mengetahui kaedah perundangan dan dalil yang digunakan oleh imam mereka. Mufti kategori ini adalah tidak diiktiraf oleh syarak dan orang awam dilarang mengikut fatwa yang dikeluarkannya.

Kategori-kategori mufti yang telah dinyatakan seperti di atas sudah berkurangan pada masa kini akibat daripada perubahan masa yang berlaku. Selain itu, tidak ada mufti yang mujtahid dalam mengeluarkan fatwa pada masa kini. Maka dalam konteks Malaysia, kerajaan telah menubuhkan jawatankuasa fatwa seperti Majlis Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan bagi menyelaras serta menguruskan hal ehwal fatwa dalam negara ini. Melalui jawatankuasa ini juga dilihat lebih sesuai berbanding dari pernyataan individu seperti mufti dalam mengeluarkan sesuatu fatwa.

KAEDAH PENGELUARAN FATWA

Di dalam mengeluarkan sesuatu fatwa ianya terdapat beberapa kaedah atau prosedur yang perlu dipatuhi. Di antaranya ialah terdapat satu badan yang menjadi penyelaras bagi mengendalikan urusan pengeluaran sesuatu fatwa. Berikut adalah penerangan mengenai kaedah ini:

Organisasi

Struktur organisasi di dalam setiap pentadbiran melibatkan beberapa jawatankuasa yang mempunyai peranan dan tugas masing-masing. Setiap institusi pula mempunyai organisasi untuk mentadbir dan mengurus perjalanannya, begitu juga dengan fatwa. Perkara yang ingin disentuh dalam perkara ini ialah mengenai jawatankuasa bagi Majlis Fatwa Peringkat Kebangsaan dan ia diketuai oleh seorang pengerusi. Skop tugas pengerusi tersebut ialah bertanggungjawab untuk memanggil ahli-ahli majlis untuk bermuzakarah sekiranya terdapat sesuatu isu yang timbul.

Seterusnya, tugas setiausaha pula ialah bertanggungjawab untuk mengendalikan urusan memanggil atau menjemput setiap ahli majlis untuk bermuzakarah. Ahli-ahli majlis ini pula terdiri daripada mufti bagi setiap negeri di Malaysia. Setiap daripada mereka akan dipanggil jika ada sesuatu isu baru yang timbul dan kemudiannya akan pulang ke negeri masing-masing dengan membawa keputusan hasil daripada muzakarah peringkat kebangsaan. Urusetia turut tersenarai dalam organisasi ini dan ia dipertanggungjawabkan kepada Bahagian Keurusetiaan dan Perhubungan Antarabangsa, JAKIM. (Zaini Nasohah 2005:9)

Prosedur mengeluarkan fatwa pada peringkat kebangsaan pula adalah berbeza berbanding dengan prosedur mengeluarkan fatwa bagi setiap negeri. Ia adalah membabitkan fatwa bagi sebuah negara dan negeri-negeri yang ada akan terletak di bawah bidang kuasa fatwa kebangsaan ini. Selain itu, telah wujud satu Majlis Fatwa Kebangssan bagi memantau dan menyelaraskan Jawatankuasa Fatwa peringkat negeri-negeri khususnya dalam sesuatu permasalahan atau isu yang besar yang melibatkan persoalan negara ataupun akidah umat Islam itu sendiri. Di antara isu yang telah diselesaikan atau diputuskan ialah sama ada halal atau haram Amanah Saham Malaysia, pegangan al-Arqam, golongan anti hadis dan lain-lain lagi.(Zaini Nasohah 2005:8).

Langkah-langkah pengeluaran fatwa

Berikut adalah langkah-langkah yang perlu ada dalam prosedur pengeluaran fatwa peringkat kebangsaan :

1) Permohonan keputusan fatwa.

Pada peringkat ini, sesuatu isu yang timbul sama ada dari masyarakat mahupun mufti akan dibawa oleh pengerusi untuk diperbincangkan dalam sesi muzakarah yang diadakan. Sebelum isu tersebut dibawa dalam sesi muzakarah, ianya telah melalui satu proses kajian atau penyelidikan oleh beberapa ahli yang dilantik seperti panel kajian. Golongan ini akan melakukan semakan hasil draf atau kertas kerja yang mengandungi masalah atau isu yang timbul. Mereka juga akan memperbaiki kesalahan yang berlaku pada draf atau kertas kerja tersebut. Seterusnya, selepas draf atau kertas kerja mengenai isu itu lengkap, ia akan diperbahaskan dengan baik pada sesi muzakarah.

2) Pertimbangan oleh jawatankuasa fatwa

Pada peringkat ini, semua ahli majlis akan bermuzakarah bagi kes atau isu yang timbul dan selanjutnya akan membuat keputusan yang sewajarnya hasil daripada sesi muzakarah tersebut. Di sini setiap ahli akan menggunakan kepakaran masing-masing dalam mencari jawapan bagi kes atau isu yang timbul berdasarkan kepada sumber-sumber pengeluaran hukum seperti al-Quran, al-Sunnah, Ijmak, qiyas dan Ijtihad ahli fuqaha semasa.

3) Keputusan fatwa dikeluarkan

Pada peringkat ini pula, hasil keputusan muzakarah tersebut akan dikeluarkan oleh Pengerusi Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan dan hasil keputusan tadi hanya disebut sebagai pemberitahuan hukum walaupun ia telah diumumkan pada masyarakat.

4) Keputusan fatwa dibawa ke peringkat negeri

Pada peringkat ini, setiap mufti yang mewakili negeri masing-masing akan membawa keputusan muzakarah pada peringkat kebangsaan ini untuk diperbincangkan atau diperbahaskan dengan setiap ahli majlis pada peringkat negeri.

Walaupun sudah terdapatnya fatwa yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, tetapi masih berlaku kecenderungan bagi setiap negeri untuk meminda teks fatwa tersebut selepas ia dibawa balik ke negeri masing-masing dan ditentukan oleh jawatankuasa fatwa negeri masing-masing. Biarpun keputusan fatwa yang dibuat di peringkat Kebangsaan itu merupakan keputusan majoriti para mufti yang menjadi anggota, namun perubahan masih berlaku apabila ia dibincangkan semula di peringkat negeri walaupun fatwa tersebut adalah keputusan majoriti dari para mufti. (Zaini Nasohah 2005:8)

Pada peringkat yang terakhir, fatwa tersebut akan disiarkan sama ada melalui media elektronik dan media cetak selepas diwartakan. Ia bertujuan bagi mengelakkan dari berlakunya lagi kesamaran di kalangan masyarakat terhadap sesuatu permasalahan isu yang baru timbul.

PERCANGGAHAN FATWA

Mengenai hal percanggahan fatwa-fatwa yang dikeluarkan, ia sebenarnya telah berlaku semenjak zaman para Sahabat lagi. Percanggahan yang berlaku pada zaman itu adalah disebabkan beberapa faktor dan di antara faktor yang kebanyakannya berlaku ialah perbezaan sumber hadis yang diterima. Perkara ini berlaku kerana ada setengah sahabat yang menerima hadis tertentu tetapi hadis yang sama tidak diterima oleh sahabat yang lain. (Hasnan Kasan 2008:58)

Dalam soal percanggahan fatwa yang melibatkan dua orang mufti atau lebih dalam masalah yang sama, hendaklah kita memilih fatwa yang telah diputuskan oleh mufti yang lebih alim dan warak. Apabila kedua-dua mufti mempunyai persamaan dalam sifat-sifat tersebut hendaklah pula mengikut fatwa yang telah diputuskan oleh mufti yang lebih tegas dan berhati-hati dalam mengeluarkan fatwa. Sekiranya kedua-dua mufti ini sama juga dalam perkara-perkara ini, maka boleh memilih fatwa apa yang hendak dituruti. (Hasnan Kasan 2008:58)

Jikalau seorang mufti yang mengikut fatwanya telah meninggal dunia, kedudukannya akan diganti oleh mufti lain yang baru. Apabila ia mengeluarkan fatwa yang baru dan ternyata berbeza fatwa dengan yang telah dibuat oleh mufti yang sebelumnya mengenai masalah yang sama, maka para ulama usul telah berselisih pendapat dalam menentukan fatwa mana yang perlu diikuti. Bagi yang berpendapat perlu mengikuti hukum fatwa yang dibuat oleh mufti yang telah meninggal, mereka memberi alasan bahawa hukum tersebut tidak terbatal kerana yang meninggal ialah mufti bukannya fatwa. Manakala yang berpendapat perlu mengikut hukum yang telah dibuat oleh mufti baru berpendapat mufti yang ada pada masa itu adalah lebih mengetahui tentang suasana dan keperluan semasa. Hal ini kerana hidup atau mati seorang mufti itu bukanlah faktor utama sama ada untuk menggunakan atau meninggalkan fatwa tersebut.

Para ulama usul mempunyai lima pendapat dalam masalah ini, yang pertamanya ialah mengambil fatwa yang paling ketat. Kedua ialah mengambil fatwa yang paling ringan. Ketiga, hendaklah berijtihad untuk menentukan mufti mana yang lebih utama untuk diikut. Keempat, hendaklah bertanya kepada mufti lain dan mengikut salah satu mufti yang bercanggah dan menepati sebagaimana fatwa yang ketiga. Kelima ialah boleh memilih mana-mana fatwa yang disukai dan dianggap sesuai pada masalah yang dihadapi. (Hasnan Kasan 2008:59)

Percanggahan fatwa juga kadangkala berlaku hanya hasil daripada seorang mufti sahaja. Ianya berlaku kerana adanya perubahan pada fatwa yang dikeluarkan. Sekiranya mufti ini berijtihad dan menetapkan hukum bagi satu-satu masalah dan kemudiannya telah berubah ijtihad lalu menetapkan hukum yang berlainan dengan hukum yang telah diputuskan sebelum ini. (Hasnan Kasan 2008:59)

KESIMPULAN

Penetapan fatwa yang telah ditetapkan pada hukum yang telah diputuskan dahulu berdasarkan dalil qat’ie maka tidak perlu lagi seseorang itu merujuk fatwa. Hal ini kerana secara jelasnya fatwa terbatal hukum yang diputuskan berdasarkan dalil yang qat’ie lebih jelas dan benar.

Selain itu juga, fatwa yang diputuskan hanya dirujuk pada masalah yang masih belum ada hukum. Hal ini adalah sebagai usaha mengeluarkan fatwa dan menjaga kemaslahatan manusia agar tidak terlalu menyusahkan. Oleh itu, hukum yang diputuskan hendaklah dihormati dan dijaga agar dapat dijadikan rujukan kepada waris akan datang.

Oleh itu, dapatlah kita ketahui bahawa institusi fatwa adalah satu institusi yang sangat berguna dan sangat diperlukan dalam menyelesaikan setiap masalah masyarakat sama ada masalah itu kecil mahupun besar, Institusi fatwa juga akan turut mengeluarkan hukum bagi masalah yang baru. Oleh yang demikian, institusi fatwa negara perlu sentiasa diangkat martabatnya sebagai sebuah institusi yang penting dalam negara dan ia juga menunjukkan satu kepentingan bagi sebuah negara yang mempunyai majoriti masyarakat Islam untuk memelihara undang-undang syariah dalam kehidupan mereka.


RUJUKAN

Ahmad Hidayat Buang (pyt.). 2004. Fatwa di Malaysia. Kuala Lumpur: Jabatan Syariah

dan Undang-Undang Akademi Islam Universiti Malaya.

Hasnan Kasan. 2008. Institusi fatwa di Malaysia. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Hasnan Kasan. 2010. Institusi fatwa di Malaysia, Temu Bual, 16 Mac.

Jamaluddin al-Qasimi. 1986. Kitab al-fatwa fi al-Islam. Beirut: Dar al-Kutub al-cIlmi .

Zaini Nasohah. 2005. Undang-undang Penguatkuasaan Fatwa di Malaysia. http://pkukmweb.ukm.my/~penerbit/jurnal [1 Mac 2010].

Zulkifli Mohamad al-Bakri. 2008. Fatwa dan mufti: hukum, etika dan sejarah. Nilai: Universiti Sains Islam Malaysia.



hasil :

MUHAMMAD HAIKAL BIN SUBAHIR

MOHD LUTFI BIN AHMAD KHUZAINI

LUQMAN BIN MAHADI

0 comments: