Assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Saturday, April 10, 2010

AL-NASKH

Pendahuluan

Al-Quran sebagai mukjizat Nabi Muhammad, yang merupakan panduan dasar bagi umat Islam selain hadis dalam menetapkan hukum Islam. Di dalam al-Quran terdapat pelbagai hukum-hukum. Dalam menetapkan dan mendalami hukum Islam, manusia perlu mempelajari banyak ilmu-ilmu yang berkaitan dengan ilmu al-Quran seperti ilmu tafsir, muhkam, mutashabih, al-naskh wa al-mansukh dan lain-lain. Naskh wa al-Mansukh sebagai salah satu bahagian dalam kajian ‘ulum al-Quran. Oleh yang demikian, adalah penting untuk kita mengetahui ayat-ayat yang telah dimansukhkan bagi mengelakkan kekeliruan dalam mengeluarkan sesuatu hukum.

Selepas kewafatan Nabi Muhammad S.A.W, tidak ada lagi hukum syarak yang dinaskhkan. Bagi menggugurkan atau menaskhkan sesuatu hukum, ia mestilah berkaitan dengan dalil yang sarih iaitu nyata dan terang. Walau bagaimanapun, terdapat juga hukum yang tidak boleh dinaskhkan.

Di dalam tugasan ini, akan dibincangkan dengan lebih lanjut mengenai naskh. Antara tajuk yang akan dibincangkan adalah mengenai jenis, pembahagian, syarat, bentuk dan contoh-contoh ayat yang telah dinaskhkan. Sebelum membincangkan dengan lebih lanjut mengenai naskh, maka adalah baik jika dilihat terlebih dahulu definisi naskh untuk memahami dengan lebih jelas konsep naskh.

Definisi Naskh

Naskh dari segi bahasa bermaksud, menghilangkan atau memindahkan (al-Rhazi 1992: 273). Ia juga bermaksud mengangkat hukum syarak dengan dalil syarak yang diturunkan terkemudian. Dalil yang terkemudian itu dinamakan sebagai nasikh dan yang terdahulu ialah mansukh (Abdul Karim Zaydan 1983: 306).

Naskh juga didefinisikan sebagai membatalkan sesuatu perbuatan dengan hukum syarak dengan dalil yang terkemudian, ia menunjukkan pembatalan secara sarih atau damniyy, pembatalan secara kulliy atau juz’iyy, atau menunjukkan dalil mengikut naskh secara damniyy dengan dalil terdahulu (Wahbah al-Zuhayly 1994: 101).

Tidak berlakunya naskh pada al-Quran atau sunnah selepas kewafatan Rasulullah S.A.W. Semasa hayat baginda, syariat Islam telah diturunkan secara berperingkat. Ini bertujuan untuk memudahkan umat Islam pada zaman jahiliah menerima ajaran Islam secara berperingkat. Ini juga merupakan salah satu tujuan naskh itu sendiri untuk memudahkan umat-Nya menjalankan segala perintah-Nya.

Dalil Pensyariatan Naskh

Dalil mengenai pensyariatan naskh boleh dilihat dalam surah al-Baqarah ayat 106.

              •      

Maksudnya: Ayat mana saja yang kami naskhkan, atau kami jadikan (manusia) lupa kepadanya, kami datangkan yang lebih baik daripadanya atau yang sebanding dengannya. Tidakkah kamu mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu? (al-Baqarah 2: 106).

Ayat di atas menyatakan bahawa setiap ayat yang dinaskhkan itu ada maslahah dan keperluan kepada manusia, sama ada ia akan membawa kepada yang lebih baik atau yang sama taraf dengannya.

Dalil pensyariatan yang lain ialah berdasarkan surah an-Nahl ayat 101.

   •                

Maksudnya: Dan apabila kami letakkan suatu ayat di tempat ayat yang lain sebagai penggantinya padahal Allah lebih mengetahui apa yang diturunkan-Nya, mereka berkata: "sesungguhnya kamu adalah orang yang mengada-adakan saja". Bahkan kebanyakan mereka tiada mengetahui ( al-Nahl 16: 101 ).

Dalil nas di atas menunjukkan bahawa memang berlaku pertukaran dalam hukum yang diturunkan dari masa ke semasa dan perkataan badal dalam ayat di atas bermaksud pertukaran.

Hikmah Naskh

Setiap perkara yang berlaku sama ada baik atau buruk, pasti ada hikmah di sebaliknya. Ia terpulang kepada manusia untuk menilainya dan kadangkala mungkin hikmah itu diketahui ataupun ia tersembunyi. Justeru itu, perbincangan seterusnya mengenai hikmah naskh.

Pertama iaitu, untuk menjaga maslahah hamba. Maslahah kadangkala berubah mengikut kepada perubahan sesuatu keadaan. Ia bermaksud keperluan hamba itu sentiasa terpelihara dalam semua keadaan dan juga untuk sepanjang zaman (Manna’ Khalil al-Qattan 1998 : 219).

Di samping itu, naskh juga bertujuan untuk memberi keringanan bagi umat Islam. Ini kerana dalam beberapa ayat yang dinaskhkan terdapat hukum-hukum yang telah diringankan. Ini menunjukkan bahawa Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang ( Ibid).

Ia juga bertujuan untuk menunjukkan bahawa syariat Islam adalah syariat yang sempurna. Seterusnya, dapatlah dikatakan bahawa hikmah naskh ialah untuk menguji orang mukallaf. Ini kerana dengan adanya penggantian dari naskh itu mereka tetap taat mengamalkan hukum-hukum Allah S.W.T ataupun mereka ingkar (Ibid).

Selain itu, ia juga untuk menjaga perkembangan hukum Islam agar sentiasa relevan dengan keadaan semasa. Bermula dari peringkat yang sederhana hinggalah ke peringkat yang lebih sempurna. Akhirnya, ia adalah untuk menambah kebaikan dan pahala bagi hamba yang tetap patuh mengamalkan hukum-hukum yang berubah (Ibid).

Selepas melihat kepada definisi dan juga hikmah naskh, seterusnya kita beralih kepada syarat-syarat naskh.

Syarat-syarat Naskh

Setiap yang dinaskhkan hendaklah memenuhi syarat tertentu. Antara syarat naskh adalah seperti berikut:

1. Hukum yang dinaskhkan itu merupakan hukum syarak yang bukan hukum wad’iyy atau bukan yang telah diwajibkan kerana zat-Nya. Contohnya perkara yang berkaitan dengan akidah dan iman ( Wahbah al-Zuhayly 1986 : 955 ).

2. Selain itu, ia juga bukan perkara yang dilarang kerana zat-Nya. Contohnya seperti kufur. Begitu juga mengenai hukum akal yang telah ditetapkan. Contohnya, setiap yang hidup pasti akan mati. Maka semua perkara tersebut tidak boleh dinaskhkan (Abd Latif Muda et.al 1997: 234).

3. Tuntutan pembatalan hukum itu bukan ketentuan hukum yang berkaitan dengan waktu, iaitu apabila berakhirnya waktu maka berakhir pula berlakunya hukum tersebut. Contohnya dalam firman Allah S.W.T yang berbunyi:

     

Maksudnya: Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (al-Baqarah 2: 187).

Ayat di atas menerangkan bahawa apabila berakhirnya puasa dengan datangnya malam hari kerana dalam ayat itu sendiri telah menetapkan bahawa puasa itu akan berakhir apabila tiba waktu malam (Ibnu al- Jawziyy 1992: 29).

4. Hukum yang dinaskhkan itu hendaklah berkenaan dengan mereka yang mempunyai keahlian taklif, supaya hukum yang dimansukhkan itu dapat dilaksanakan, di samping menaskhkan hukum sebelumnya ( Abd. Latif Muda 1997: 235 ).

Bentuk-bentuk Naskh

Selepas mengetahui syarat-syarat naskh, perbincangan seterusnya adalah mengenai bentuk-bentuk naskh. Ia terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu:

1. Naskh bacaan dan hukum

Menurut al-Amidiyy, ulama bersepakat bahawa harus naskh bacaan tanpa hukum dan sebaliknya dan kedua-duanya sekali. Dalil yang mengharuskan naskh bacaan dan hukum ialah menaskhkan suhuf Ibrahim yang diutuskan kepada para Nabi yang terdahulu ( Wahbah al-Zuhayly 1986: 979). Firman Allah S.W.T:

•         

Maksudnya: Sesungguhnya ini benar-benar terdapat dalam kitab-kitab yang dahulu. Iaitu kitab-kitab Ibrahim dan Musa (al-A‘ala 87: 18-19).

   • 


Maksudnya: Dan sesungguhnya al-Quran itu benar-benar (tersebut) dalam kitab-kitab orang yang dahulu.


Ayat di atas menunjukkan bahawa, bacaan dan hukum-hukum dalam kitab-kitab terdahulu telah dinaskhkan.

2. Naskh hukum tanpa bacaan

Harus untuk menaskhkan hukum dalam ayat tetapi tidak pada bacaannya (Manna’ Khalil al-Qattan 1998: 218).

Contohnya:

        •         

Maksudnya: Diwajibkan atas kamu, apabila seorang di antara kamu kedatangan (tanda-tanda) maut, jika ia meninggalkan harta yang banyak, berwasiat untuk ibu-bapa dan kaum kerabatnya secara ma'ruf, ini adalah kewajiban atas orang-orang yang bertakwa.

Hukum bagi ayat di atas ini telah dinaskhkan dengan hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud dan Tirmizi:

Maksudnya: Tiada wasiat untuk waris.

Hukum asal bagi wasiat kepada ibubapa dan kaum kerabat adalah wajib tetapi telah dinaskhkan hukumnya (diangkat) melalui hadis di atas. Walau bagaimanapun, bacaannya tidak dinaskhkan dan ia kekal.

Hikmah hukum itu diangkat dan bacaan ayat tersebut kekal ialah untuk mengetahui hukum dan beramal dengannya. Selain itu, untuk meringankan hukum maka dikekalkan bacaan untuk peringatan dengan memberi nikmat dalam mengangkat sesuatu kesusahan (Manna’ Khalil al-Qattan 1998: 218).

3. Naskh bacaan tanpa hukum

Contohnya:

كانت سورة الأحزاب توازي سورة البقرة وكان فيها الشيخ والشيخة إذا زنيا فارجموهما البتة

Maksudnya: Adalah dahulu surah al-Ahzab panjangnya menyamai surah al-Baqarah, di antara surah al-Ahzab ada ayat, penzina lelaki dan perempuan yang telah berkahwin, maka hendaklah kamu merejam mereka, dan ini adalah sebuah hukuman dari Allah.

Bacaan ayat di atas telah dinaskhkan tetapi hukumnya adalah kekal.

Cara-cara mengetahui naskh

Nas naskh dan mansukh merupakan nas yang bertentangan, ia dapat diketahui dengan beberapa cara. Antara cara untuk mengetahui ayat tersebut merupakan ayat naskh ialah seperti berikut:

i. Penegasan yang berbentuk lafaz yang memang menunjukkan naskh (Wahbah al-Zuhayly 1986 : 2/ 995 ). Seperti firman Allah S.W.T:

             
               

Maksudnya: Sekarang Allah telah meringankan daripada kamu (apa yang telah diwajibkan dahulu) kerana ia mengetahui bahawa pada kamu ada kelemahan; oleh itu jika ada di antara kamu seratus orang yang sabar, nescaya mereka akan dapat menewaskan dua ratus orang; dan jika ada di antara kamu seribu orang, nescaya mereka dapat menewaskan dua ribu orang dengan izin Allah. Dan (ingatlah) Allah beserta orang-orang yang sabar. ( al-Anfal 8: 66 )


Ayat di atas merupakan ayat yang menaskhkan atau menjadi nasikh terhadap penetapan hukum terhadap orang Islam yang mesti menentang atau melawan orang kafir yang nisbahnya 1: 10. Lafaz pada ayat di atas yang menunjukkan ia ayat naskh ialah pada kalimah خَفَّفَ الله yang bermaksud Allah S.W.T telah meringankan bilangan orang Islam yang mesti menentang orang kafir dari nisbah 1: 10 kepada nisbah 1: 2. Ayat yang dinaskh itu ialah pada firman Allah S.W.T:

…            
        

Maksudnya: Wahai Nabi, peransangkanlah orang-orang yang beriman itu untuk berperang. jika ada di antara kamu dua puluh yang sabar, nescaya mereka dapat menewaskan dua ratus orang (dari pihak musuh yang kafir itu); dan jika ada di antara kamu seratus orang, nescaya mereka dapat menewaskan seribu orang dari golongan yang kafir, disebabkan mereka (yang kafir itu) orang-orang yang tidak mengerti. ( al-Anfal 8: 65 )

ii. Salah satu daripada dua nas sama ada nasikh atau mansukh itu terbukti datangnya terkemudian di antara keduanya (Wahbah al-Zuhayly 1986: 995 ) melalui kenyataan yang dibuat oleh Rasulullah S.A.W. yang berbunyi:

كنت نهيتكم عن زيارة القبور، ألا فزوروها.فاءنها تذكركم الحياة الأخرة .
( رواه الحاكم )

Maksudnya : Sebelumnya aku menegah kamu daripada menziarahi kubur, maka sekarang ziarahilah.

Pada hadis di atas, Rasulullah S.A.W telah melarang umatnya daripada menziarahi kubur. Kemudian hukum tersebut telah dinaskhkan dalam hadis yang sama dengan memberi keizinan kepada umatnya untuk menziarahi kubur.

iii. Penegasan ijmak ulama bahawa salah satu daripada nas nasikh dan mansukh itu memang datang kemudian di antara satu sama lain (Mohd. Siddiq Hasan Khan al-Qanuji 1889: 316). Contohnya ialah menaskhkan hukum berpuasa pada hari Asyura dengan berpuasa pada bulan Ramadhan.

iv. Naskh juga boleh diketahui dengan melihat kepada segala amalan dan perbuatan Rasulullah S.A.W. Contohnya dapat dilihat dalam perbuatan Rasulullah S.A.W merejam Ma’iz al-Aslami tanpa menyebatnya 100 kali telah menaskhkan hukum mengenai lelaki dan perempuan yang telah berkahwin dan telah melakukan zina (Ibid). Nas yang dinaskhkan itu ialah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim:

جلد مائة والرجم.
Maksudnya : Sebatan 100 kali dan rejam.

v. Ia juga boleh diketahui melalui kata-kata Rasulullah S.A.W. (Ibid) Contohnya, Rasulullah S.A.W pernah bersabda:

كنت نهيتكم عن زيارة القبور، ألا فزوروها. فاءنها تذكركم الحياة الأخرة .
Maksudnya: “ Sebelumnya aku menegah kamu daripada menziarahi kubur, maka sekarang ziarahilah kerana ia akan mengingatkan kamu akan akhirat”.

Bahagian-Bahagian Naskh

Naskh dapat dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu:-

1. Naskh secara terang:

Naskh secara terang atau sarih iaitu syarak telah menjelaskan dan menyatakan secara terang berkaitan ayat yang diturunkan dan kemudian syariat membatalkan atau menaskhkan syariat terdahulu (Abd. al-Wahhab Khallaf 1995: 207). Ia dapat dibuktikan melalui kenyataan yang dibuat oleh Rasulullah S.A.W. dalam hadis berikut:

كنت نهيتكم عن زيارة القبور، الا فزوروها. فاءنها تذكركم الحياة الأخرة .

Maksudnya: “ Sebelumnya aku menegah kamu daripada menziarahi kubur, maka sekarang ziarahilah kerana ia akan mengingatkan kamu akan akhirat”.

Pada hadis di atas, Rasulullah S.A.W telah melarang umatnya daripada menziarahi kubur. Kemudian hukum tersebut telah dinaskhkan dalam hadis yang sama dengan memberi keizinan kepada umatnya untuk menziarahi kubur.

2. Naskh secara kandungan atau Dimniyy:

Naskh secara kandungan atau dimniyy ini pula adalah naskh yang telah syarak mensyariatkan satu hukum yang bertentangan dengan hukum terdahulu sehingga tidak mungkin disatukan kedua-dua hukum tersebut melainkan ia perlu dibatalkan salah satu daripadanya. Justeru itu, hukum terkemudian dianggap menaskhkan hukum terdahulu walaupun ia tidak dinyatakan secara terang (Abd Karim Zaidan 1983: 307).

Contohnya dalam firman Allah S.W.T.:

       ••      

Maksudnya: Dan orang-orang yang (hampir) mati di antara kamu serta meninggalkan isteri, hendaklah berwasiat untuk isteri-isteri mereka, iaitu diberi nafkah saguhati (makanan, pakaian dan tempat tinggal) hingga setahun lamanya, dengan tidak disuruh pindah dari tempat tinggalnya. ( al-Baqarah 2: 240)

Ayat ini menerangkan bahawa iddah isteri yang kematian suaminya adalah setahun tanpa keluar daripada rumah. Sesungguhnya ini adalah hukum yang pertama diturunkan oleh Allah S.W.T. untuk wanita yang beriddah kerana kematian suami. Kemudian Allah S.W.T. telah menurunkan ayat lain untuk menggantikan ayat di atas. Kemudian Allah S.W.T telah meringankan beban wanita yang kematian suami yang iddahnya setahun kepada empat bulan sepuluh hari ( Abd. Karim Zaidan 1983: 307 ) seperti yang dilihat pada ayat di bawah:

          

Maksudnya: Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beriddah) selama empat bulan sepuluh hari.( al-Baqarah 2: 234)

Naskh secara kandungan atau Dimniyy itu pula terbahagi kepada dua bahagian yang lain iaitu naskh secara keseluruhan dan naskh sebahagian atau juz’iyy.

i. Naskh secara keseluruhan:

Naskh secara keseluruhan adalah naskh yang syarak telah membatalkan keseluruhan hukum terdahulu dan ia merangkumi setiap mukallaf. Contohnya, Allah S.W.T. telah membatalkan kewajipan memberi wasiat kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat kerana mereka adalah tergolong dalam ahli waris ( Wahbah al-Zuhayly 1986: 241 ).

Sabda Rasulullah S.A.W.:

لا وصية لوارث
Maksudnya: “Janganlah kamu berwasiat kepada ahli waris”.

Antara contoh yang lain bagi naskh secara keseluruhan ialah terdapat pada hukum iddah isteri yang kematian suami dari setahun kepada empat bulan sepuluh hari sahaja.

Firman Allah S.W.T:

       ••    

Maksudnya: Dan orang-orang yang (hampir) mati di antara kamu serta meninggalkan isteri, hendaklah berwasiat untuk isteri-isteri mereka, iaitu diberi nafkah saguhati (makanan, pakaian dan tempat tinggal ) hingga setahun lamanya, dengan tidak disuruh pindah dari tempat tinggalnya. ( al-Baqarah 2: 240 )


Kemudian hukum tersebut digantikan dengan hukum yang baru seperti yang terdapat pada Firman Allah S.W.T:

          

Maksudnya: Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka ( beriddah ) selama empat bulan sepuluh hari. ( al-Baqarah 2: 234 )

ii. Naskh sebahagian atau juz’iyy:

Naskh sebahagian pula ialah syarak telah mensyariatkan hukum secara umum yang merangkumi setiap mukallaf. Kemudiannya, syarak membatalkan hukum tersebut untuk sebahagian mukallaf sahaja ( Wahbah al-Zuhayly 1986 : 241 ). Contohnya dalam bab had qazaf .

Firman Allah S.W.T. yang berbunyi:

          

Maksudnya: Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebat ( al-Nur 24: 4 ).

Ayat di atas menerangkan tentang perlu kepada saksi apabila mahu melemparkan tuduhan zina kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya. Jika ketiadaan empat orang saksi, maka hukuman sebatan sebanyak 80 kali akan dikenakan terhadap penuduh tersebut. Kemudian turun pula ayat yang menyebut sekiranya penuduh itu seorang suami, tetapi suami tersebut tidak dapat mengemukakan empat orang saksi, maka suami tersebut hendaklah bersumpah dengan nama Allah S.W.T sebanyak empat kali (Wahbah al-Zuhayly 1986 : 241 ).

Firman Allah S.W.T:

                  

Maksudnya: Dan orang-orang yang menuduh isterinya berzina, sedang mereka tidak ada saksi-saksi (yang mengesahkan tuduhannya itu) hanya dirinya sendiri, maka persaksian (sah pada Syarak) bagi seseorang yang menuduh itu hendaklah ia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa sesungguhnya ia dari orang-orang yang benar ( al-Nur 24: 6 ).

Ayat di atas diturunkan bagi menaskhkan ayat yang pertama iaitu perlunya membawa empat orang saksi jika hendak menuduh seorang perempuan yang suci melakukan zina. Kemudian telah turunnya ayat bagi menaskhkan hukum yang terdapat pada ayat pertama tadi. Hukum tersebut diganti dengan hukum yang baru iaitu jika penuduh itu seorang suami yang menuduh isterinya berzina, maka perlu bersumpah dengan nama Allah S.W.T sebanyak empat kali.

Dalil-dalil Yang Menaskhkan

Berdasarkan kaedah umum syariat Islam, sesuatu dalil itu tidak boleh dinaskhkan kecuali dengan dalil yang sama kuat atau lebih kuat daripadanya. Berdasarkan kaedah-kaedah umum tersebut, akan dijelaskan dalil-dalil yang menaskhkan serta pandangan ulama mengenai kaedah-kaedah tersebut. Terdapat dua jenis dalil yang menaskhkan iaitu naskh dengan dalil syarak berbentuk nas dan naskh dengan dalil syarak yang bukan berbentuk nas.


1. Naskh dengan dalil syarak yang berbentuk nas.

i. Naskh al-Quran dengan al-Quran.

Ulama bersepakat mengatakan nas al-Quran harus menaskhkan nas al-Quran yang lain apabila dalalah kedua-duanya adalah sama, kerana ia dikira sama dari segi kekuatan (Manna’ Khalil al-Qattan 1998 : 216).

ii. Naskh al-Quran dengan hadis.

Manakala menaskhkan al-Quran dengan hadis, ulama berselisih pendapat tentang keharusannya.

Pendapat ulama tersebut ialah:

a. Pendapat jumhur ulama: Harus al-Quran dinaskhkan dengan hadis mutawatir, kerana ia diiktiraf dari segi kekuatan ( Abbas Mutawalli 1986: 533 ). Hujah yang menyokong pendapat mereka adalah berdasarkan pada hukum wasiat kepada ibubapa dan kerabat.

Firman Allah S.W.T:

        •  
     

Maksudnya: Kamu diwajibkan, apabila seseorang dari kamu hampir mati, jika ia ada meninggalkan harta, (hendaklah ia) membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat dengan cara yang baik (menurut peraturan ugama), sebagai suatu kewajipan atas orang-orang yang bertaqwa. ( al-Anfal 2: 180 )


Hukum wajib wasiat tersebut telah dinaskhkan oleh hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud dan Tirmizi:

لا وصية لوارث.
Maksudnya: Tiada wasiat untuk waris.

b. Pendapat ulama Hanafi: Harus al-Quran dinaskhkan dengan hadith mutawatir dan hadis mashhur kerana ia dikira hampir setaraf dengan al-Quran dari segi kekuatan. Walaupun begitu, al-Quran tidak boleh dinaskhkan dengan hadis ahad, kerana ia lebih rendah dari segi kekuatan. Ini adalah pendapat yang rajih ( Abbas Mutawalli 1986: 533 ).

c. Pendapat sebahagian ulama dan Imam Syafie: Tidak harus menaskhkan al-Quran dengan hadis walaupun hadis tersebut hadis mutawatir ataupun mashhur (Ibid : 534 ). Hujah Imam Syafie adalah berdasarkan firman Allah S.W.T:


              •      

Maksudnya: Apa sahaja ayat keterangan yang kami mansukhkan (batalkan), atau yang kami tinggalkan (atau tangguhkan), kami datangkan ganti yang lebih baik daripadanya, atau yang sebanding dengannya. Tidakkah engkau mengetahui bahawasanya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. ( al-Baqarah 2: 106 )

Ayat tersebut menjelaskan bahawa Allah menyandarkan gantian ayat yang dinaskhkan itu pada diri-Nya sahaja, dan mendatangkan al-Quran sahaja sebagai ganti. Oleh itu, al-Quran hanya boleh dinaskhkan dengan al-Quran sahaja.

iii. Naskh hadis dengan hadis.

Dalam menaskhkan hadis dengan hadis, terdapat dua perselisihan antara ulama jumhur dan Hanafi ( Wahbah al-Zuhayly 1995 : 239 ). Perselisihan tersebut adalah seperti berikut:

a. Pendapat jumhur: Mereka bersepakat mengatakan bahawa harus menaskhkan hadis dengan hadis tetapi dengan syarat ia mestilah setaraf dari segi pensabitan dan dalalahnya. Dalam perkara ini, ulama bersepakat mengatakan bahawa hadis mutawatir boleh dinaskhkan dengan hadis mutawatir dan hadis ahad. Sebaliknya hadis ahad hanya dapat menaskhkan hadis ahad sahaja dan tidak dapat menaskhkan hadis mutawatir ( Wahbah al-Zuhayly 1995 : 239 ).

Contoh hadis yang menaskhkan hadis ialah Rasulullah S.A.W pernah menegah Sahabat-Sahabat daripada menziarahi kubur kerana sebab-sebab tertentu. Namun selepas itu, Rasulullah S.A.W tidak lagi menegah perbuatan tersebut.

Seperti dalam sebuah hadis:

كنت نهيتكم عن زيارة القبور، الا فزوروها.

Maksudnya: Aku telah menegah kamu daripada menziarahi kubur, maka sekarang ziarahilah.

b. Pendapat ulama Hanafi: hadis ahad harus dinaskhkan dengan hadis mutawatir dan mashhur kerana kedua-duanya lebih kuat dari hadis ahad ( Abd. Latif Muda 1997: 248 ).

iv. Naskh hadis dengan al-Quran.

Jumhur ulama berpendapat bahawa al-Quran harus menaskhkan hadis. Contohnya dalam perbuatan Rasulullah S.A.W dan Sahabat menghadap ke arah Baitul Maqdis ketika sembahyang (Manna’ Khalil al-Qattan 1998 : 216). Seperti hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim:

أن النبي (ص) أقام يستقبل بيت المقدس في الصلاة ستة عشر شهرا ثم نسخ ذلك بطلب التوجه الى الكعبة

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi pernah menghadap kearah Baitul Maqdis selama 16 bulan, selepas itu ia dinaskhkan dan Nabi diarahkan menukar kiblat ke arah Kaabah pula.

Nas al-Quran yang menaskhkan hadis tersebut adalah seperti firman Allah S.W.T:

…      …

Maksudnya: Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah Masjid al-Haram ( tempat letaknya Kaabah) ( al-Baqarah 2: 144 ).


2. Naskh dengan dalil syarak yang bukan berbentuk nas.


i. Naskh dengan ijmak

Jumhur ulama mengatakan ijmak tidak harus menaskhkan al-Quran dengan hadis kerana apabila sesuatu nas itu qat’i maka tidak mungkin berlaku ijmak yang menyalahinya. Seandainya pula apabila nas itu nas zanni, maka kemungkinan berlaku ijmak menyalahinya. Namun begitu, ijmak hanya berlaku dengan berdasarkan dalil yang kuat menurut pandangan ulama yang telah bersepakat mengenai nas-nas tertentu (Muhammad al- Hudari 2001: 261 ).

ii. Naskh ijmak dengan al-Quran atau hadis

Apabila ijmak tidak harus menaskhkan al-Quran atau hadis, begitu juga sebaliknya, iaitu tidak harus al-Quran atau hadis menaskhkan ijmak. Hal ini kerana, yang menaskhkan itu mestilah terkemudian daripada yang dinaskhkan. Sedangkan al-Quran dan hadis mendahului ijmak, kerana ijmak diperlukan selepas kewafatan Rasulullah S.A.W. dan nasakh punya hanya berlaku ketika Rasulullah S.A.W masih hidup dan tidak berlaku selepas kewafatannya ( Abbas Mutawalli 1986: 536 ).

iii. Naskh ijmak dengan ijmak

Jumhur ulama berpendapat bahawa ijmak tidak harus menaskhkan ijmak yang lain. Hal ini kerana apabila ijmak terlaksana, maka wajib beramal dengannya dan tidak sah menyalahinya ( Wahbah al-Zuhayly 1995: 239 ).

iv. Naskh al-Quran atau hadis atau ijmak dengan qiyas

Mengikut pendapat jumhur, adalah tidak harus dinaskhkan al-Quran atau hadis atau ijmak dengan qiyas. Begitu juga tidak harus dinaskhkan qiyas dengan al-Quran atau hadis atau ijmak. Hal tersebut kerana syarat sah qiyas itu ialah dengan tidak menyalahi nas al-Quran dan hadis dan ijmak. Sekiranya qiyas itu menyalahi nas-nas tersebut, maka ia tidak sah dan tidak boleh beramal dengannya ( Wahbah al-Zuhayly 1995: 239 ).

v. Naskh qiyas dengan qiyas

Adalah tidak harus qiyas menaskhkan qiyas yang lain (Muhammad al- Hudari 2001: 261).


Perkara yang tidak boleh dimansuhkkan

Ada beberapa naskh yang boleh diterima dan ada naskh yang tidak boleh diterima. Naskh yang boleh diterima ialah naskh itu mempunyai kebaikan. Manakala, manurut Wahbah al-Zuhayly naskh yang tidak boleh dimansukhkan ada tiga jenis: ( Wahbah al-Zuhayly 1994: 241-242).

1- Teks-teks yang mengandungi maksud atau maknanya secara kekal.

Contohnya:

  

Maksudnya: Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya ( al-Baiyyinah 8: 98 ).


Contoh yang lain:

     

Maksudnya: Dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-selamanya ( al-Nur 4: 24 ).

Begitu juga:

  •       

Maksudnya: Dan menjadikan orang-orang yang mengikuti kamu di atas orang-orang yang kafir hingga hari kiamat ( al-Imran 5 : 33 ).


2- Perkhabaran mengenai masa lalu

•     •      

Maksudnya: Adapun kaum Tsamud, maka mereka telah dibinasakan dengan kejadian yang luar biasa adapun kaum 'Aad maka mereka telah dibinasakan dengan angin yang sangat dingin lagi amat kencang ( al-Haqah 69: 5-6 ).

3- Hukum-hukum yang merupakan maslahah ataupun manfaat pada setiap zaman dan tempat seperti Tauhid, dasar-dasar Iman, dasar-dasar ibadat, kemuliaan akhlak seperti benar, kehormatan diri, budiman, keberanian dan sebagainya. Perkara-perkara ini tidak boleh dimansukhkan. Begitu juga dengan larangan terhadap semua perkara keji pada setiap zaman dan tempat seperti syirik, kufur, kekejian akhlak seperti menipu, sombong, bakhil, penakut dan lain-lain. Ini kerana, semua aspek Syariat adalah demi membawa manfaat kepada hamba dan menolak kefasidan daripada mereka ( Abd. Latif Muda 1997: 251 ).

4- Ayat mengenai sejarah dan perkara-perkara yang mnentuh tentang Nabi-Nabi dan umat Islam yang terdahulu yang diterima oleh Rasulullah S.A.W melalui wahyu. Contohnya kisah Ashab al-Kahf, Dhu al-Qarnain, Nabi Musa dan Firaun, Nabi Nuh dan kaumnya (Ibid : 250).

Cara-cara Berlaku Naskh

Cara-cara berlaku naskh dapat dibahagikan kepada dua bahagian utama iaitu naskh ada ganti dan naskh tiada ganti.

Naskh Ada Ganti

Naskh cara ini ialah dengan menaskhkan hukum terdahulu, kemudian digantikan dengan hukum yang baru. Ia dapat dibahagikan pula kepada tiga bahagian (Wahbah al-Zuhayly 1994: 239) iaitu:

a. Ganti hukum sama dengan yang dinaskhkan
b. Ganti hukum lebih ringan daripada yang dinaskhkan
c. Ganti hukum lebih berat daripada yang dinaskhkan


Ganti hukum sama dengan yang dinaskhkan

Jumhur bersepakat bahawa harus naskh dengan hukum yang sama ( Wahbah al-Zuhayly 1986: 961). Naskh bentuk ini berlaku seperti contohnya : dinaskhkan hukum mengadap kiblat ke Baitul Maqdis dan digantikan dengan mengadap kiblat ke BaitulAllah (Kaabah) ketika sembahyang.

Hadis tersebut berbunyi:

أن النبي (ص) أقام يستقبل بيت المقدس في الصلاة ستة عشر شهرا ثم نسخ ذلك بطلب التوجه الى الكعبة.

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi pernah menghadap kearah Baitul Maqdis selama 16 bulan, selepas itu ia dinaskhkan dan Nabi diarahkan menukar kiblat ke arah Kaabah pula.

Seperti firman Allah S.W.T :

      
Maksudnya: Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah Masjid Al-Haraam (tempat letaknya Kaabah) ( al-Baqarah 2:144).

Sebelum datang ayat di atas, Rasulullah S.A.W telah mengarahkan supaya menghadap ke arah Baitul Maqdis ketika solat. Kemudian, datang ayat yang menaskhkan hadis tersebut iaitu Allah S.A.W telah memerintahkan supaya menukar kiblat dari Baitul Maqdis ke Masjidil Haram ketika solat.

Ganti Hukum Lebih Ringan Daripada Yang Dinaskhkan

Naskh bentuk ini iaitu hukum awal dan dahulu ada dalam nas al-Quran. Contoh ayat yang menyatakan berlaku naskh jenis ini seperti firman Allah S.W.T :

 •                           

Maksudnya: Wahai Nabi, peransangkanlah orang-orang yang beriman itu untuk berperang. jika ada di antara kamu dua puluh yang sabar, nescaya mereka dapat menewaskan dua ratus orang (dari pihak musuh yang kafir itu); dan jika ada di antara kamu seratus orang, nescaya mereka dapat menewaskan seribu orang dari golongan yang kafir, disebabkan mereka (yang kafir itu) orang-orang yang tidak mengerti ( al-Anfal 8: 65 ).

Dalam ayat tersebut, Allah mewajibkan orang Islam melawan musuh dan tidak boleh meninggalkan medan peperangan apabila nisbah tentera Islam dan musuh ialah 1:10. Kemudiannya hukum ini digantikan dengan hukum yang lebih ringan iaitu nisbah 1:2.

Seperti firman Allah S.W.T:

                             

Maksudnya: Sekarang Allah telah meringankan daripada kamu (apa yang telah diwajibkan dahulu) kerana ia mengetahui bahawa pada kamu ada kelemahan; oleh itu jika ada di antara kamu seratus orang yang sabar, nescaya mereka akan dapat menewaskan dua ratus orang; dan jika ada di antara kamu seribu orang, nescaya mereka dapat menewaskan dua ribu orang Dengan izin Allah. dan (ingatlah) Allah beserta orang-orang yang sabar. ( al-Anfal 8:66 ).

Ganti Hukum Lebih Berat Daripada Yang Dinaskhkan

Menurut pandangan Imam Syafie, tidak harus naskh kepada hukum yang lebih berat. Ini bertepatan dengan konsep Islam yang tidak mahu membebankan umat-Nya dalam melaksanakan perintah-Nya ( Wahbah al-Zuhayly 1986: 962).

Contoh naskh seperti ini boleh dilihat melalui hukum pengharaman arak dan ia melalui empat peringkat dalam pengharamannya (Abd. Latif Muda 1997: 243).

a) Peringkat Pertama: Pada peringkat ini arak tidak diharamkan lagi. Namun terdapat ayat al-Quran yang berbentuk sindiran berkenaan manfaat arak. Firman Allah S.W.T :

  •      •  •      

Maksudnya : Dan dari buah tamar (kurma) dan anggur kamu jadikan daripadanya minuman haram dan makanan serta minuman yang halal; Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang mahu menggunakan akalnya (al-Nahl 16 : 67).

b) Peringkat Kedua : Kemudian, pada peringkat kedua ini arak masih lagi tidak diharamkan secara pasti lagi walaupun terdapat sindiran tentang arak melalui ayat al-Quran yang diturunkan pada peringkat pertama pengharaman arak. Namun pada peringkat ini terdapatnya ayat yang menerangkan banyak keburukan terhadap arak daripada kebaikan atau manfaatnya. Firman Allah S.W.T :

           ••                   

Maksudnya: Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. katakanlah: "Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya dan mereka bertanya pula kepadamu: apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)? katakanlah: "Dermakanlah apa-apa) yang berlebih dari keperluan (kamu). Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya (keterangan-keterangan hukum-Nya) supaya kamu berfikir (al-Baqarah 2: 219).

c) Peringkat Ketiga: Pada peringkat ketiga pula, umat Islam ditegah untuk minum arak ketika hendak menunaikan solat. Hal ini kerana terdapat Sahabat yang menunaikan solat dalam keadaan mabuk dan menyebabkan bacaan ayat al-Quran tersilap.

Firman Allah S.W.T :

           

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan (al-Nisa 4: 43).

d) Peringkat Keempat: Pada peringkat inilah berlakunya pengharaman arak sepenuhnya ke atas semua umat Islam.

Firman Allah S.W.T :

               

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya (al-Maidah 5: 90).

Naskh Tiada Ganti

Naskh yang tiada ganti ialah ayat-ayat atau nas-nas yang telah dimansuhkan dari segi hukumnya dan tidak ada apa-apa gantian dengan hukum baru ( Abd. Latif Muda 1997: 245).

Ini dapat dilihat dalam firman Allah S.W.T:

           

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! apabila kamu hendak mengadap dan bertanyakan sesuatu kepada Rasulullah, maka hendaklah kamu bersedekah (kepada fakir miskin) sebelum kamu mengadapnya. (al-Mujadalah 57: 12 ).

Dalam ayat ini Allah menyatakan hukum bagi sahabat yang hendak menemui Rasulullah S.A.W perlulah membawa buah tangan. Ayat tersebut, hukumnya dimansukhkan melalui ayat berikutnya.

Seperti firman Allah S.A.W. :

                 •         

Maksudnya: Adakah kamu takut (akan kemiskinan) kerana kerap kali kamu memberi sedekah sebelum kamu mengadap? kalau kamu tidak melakukan (perintah) itu, dan Allah pun memaafkan kamu (kerana kamu tidak mampu), maka dirikanlah sembahyang dan berikanlah zakat (sebagaimana yang sewajibnya), serta taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya. dan (ingatlah), Allah Maha mendalam pengetahuannya akan segala amalan yang kamu lakukan (al-Mujadalah 57: 13 )

Ayat ini menyatakan mereka yang ingin menemui Rasulullah S.A.W tidak perlu membawa sebarang buah tangan. Hukum dalam ayat sebelumnya telah dinaskhkan tanpa sebarang gantian dengan hukum yang lain.

Perbezaan Di antara Takhsis Dan Naskh

Terdapat beberapa perbezaan di antara takhsis dan naskh. Antaranya ialah:

1. Bagi takhsis, hukum yang dikhususkan itu tidak dikehendaki walaupun terdapat dalam lafaz ayat tersebut. Manakala naskh, hukum yang dinaskhkan itu ada dan dikehendaki atau dimaksudkan sebelum dinaskhkan tetapi tidak selepas dinaskhkan ( Abdul Jalil al- Qaranshawiyy et.al 1963: 177 ).

2. Takhsis boleh berlaku dengan dalil-dalil yang bukan berbentuk nas, tetapi naskh pula mesti melalui dalil-dalil berbentuk nas ( Ibid ).

3. Al- mukhassis boleh datang dahulu, semasa atau kemudian daripada al-am‘. Manakala, nasikh itu mesti datang kemudian dan tidak boleh sebelumnya ( Ibid ).

Perbezaan Antara Naskh dan Taqyid

Sesetengah ulama berpendapat bahawa tiada perbezaan antara taqyid dan naskh. Namun, sesetengah ulama yang lain pula berpendapat terdapat beberapa perbezaan di antara naskh dan taqyid. Contohnya:

1. Qayd tidak bercanggah dengan lafaz mutlaq tetapi hanya menyempitkan dan memperincikan skop ayat yang mutlaq. Manakala, naskh bercanggah antara ayat yang turun dahulu dan kemudian serta ia membatalkan hukum yang dinaskhkan ( Badran Abu al-Ainin 1965: 450).

2. Taqyid boleh juga berlaku bukan dalam bentuk hukum tetapi naskh mesti dalam bentuk hukum ( Ibid ).

3. Selain itu, dalil yang mengqaydkan boleh datang sama ada pada masa dahulu, semasa atau terkemudian. Ini berbeza dengan nasikh, ia hanya berlaku kemudian ( Ibid ).

KESIMPULAN

Terdapat banyak ayat al-Quran yang telah dimansukhkan dan diganti dengan ayat yang baru. Pemansukhan ini kebanyakannya memberi keringanan kepada umatnya dan ada juga yang memberikan hukum yang lebih berat daripada hukum yang sebelumnya. Pemansukhan ayat terdahulu itu sama ada hanya pada hukum sahaja, pada bacaan sahaja atau pada kedua-duanya sekali. Oleh itu, kita sebagai umat Islam perlu mendalami ilmu naskh dan mansukh untuk mengelakkan daripada melakukan kesilapan dalam mengeluarkan hukum.


DI SEDIAKAN OLEH:

NUR HATIKA BINTI ISMAIL ( A 126918 )
NORANIZAN BINTI MOHD SUFIAN ( A 130245 )
NORSALWA BINTI ABDULLAH THANI ( A 128058 )
MAZURA BINTI MD. DALI ( A 130850 )
NORFARIHA BINTI DARUS ( A 130841 )
LIYANA BINTI YUSOF ( A 130800 )
ABIDAH BINTI KA’AB ( A 127987 )

INILAH HASIL KERJA KAMI....JIKA ADA SEBARANG CADANGAN PENAMBAHBAIKKAN, BOLEHLAH TINGGALKAN KOMEN ANDA...KAMI MENERIMA KOMEN ANDA ASALKAN KOMEN TERSEBUT ADALAH KOMEN YANG MEMBINA.....DAN SEMOGA HASIL KERJA KAMI INI DAPAT MEMBERIKAN MANFAAT KEPADA SEMUA.....AMIN....

0 comments: