Monday, April 19, 2010

QAWL AL-SAHABIYY

PENDAHULUAN

Perundangan dalam Islam adalah bersumberkan dalil-dalil. Dalil-dalil ini terbahagi kepada dua iaitu dalil naqliyy dan dalil Caqliyy. Oleh yang demikian, perundangan Islam wujud dengan bersumberkan dalil-dalil tersebut. Sumber-sumber dalam mengeluarkan hukum terbahagi kepada dua iaitu dalil-dalil yang disepakati dan juga dalil-dalil yang tidak disepakati. Dalil yang disepakati pula ialah al-Quran al-Karim, al-Sunnah al-Nabawiyyah, ijmak dan qiyas. Manakala dalil-dalil yang tidak disepakati pula ialah istihsan, masalih al-mursalah, sadd al-dharaic, al-Curf, qawl al-sahabiyy, shar’ man qablana, istishab dan lain-lain.
Qawl al-sahabiyy adalah salah satu daripada dalil-dalil yang tidak disepakati yang merupakan salah satu daripada sumber perundangan dalam Islam. Qawl al-sahabiyy ialah kata-kata daripada para Sahabat Rasulullah s.a.w selepas kewafatan Baginda yang sampai taraf mujtahid. Sebelum kewafatan Rasulullah s.a.w, para Sahabat tidak terlalu memerlukan kepada ijtihad secara bersendirian. Dalam tempoh tersebut, Rasulullah s.a.w merupakan sumber rujukan yang utama selain daripada Kitab Allah Ta’ala. Oleh yang demikian, jika terdapat sebarang masalah dan persoalan yang timbul, mereka akan terus bertemu Rasulullah s.a.w untuk mendapatkan penjelasan tentang masalah tersebut.
Hal yang demikian berlainan pula keadaannya setelah kewafatan Rasulullah s.a.w. Dalam tempoh ini para Sahabat mula berijtihad dalam kebanyakan permasalahan dan perselisihan yang timbul. Hal ini berikutan terdapat banyak masalah dan isu-isu baru yang memerlukan kepada pengeluaran hukum syarak. Oleh itu, golongan Sahabat bangkit untuk memberi fatwa dan pandangan mereka dalam isu-isu yang timbul. Rentetan daripada situasi tersebut, demi untuk menjaga maslahah umat Islam, maka wujudlah pandangan dan kata-kata dari para Sahabat Rasulullah s.a.w yang dinamakan sebagai qawl al-sahabiyy.

DEFINISI

Definisi al-Sahabiyy dari segi bahasa.
Al-Sahabiyy adalah kata terbitan daripada sahaba, yashabu, suhbatan, sahabatan. Al-Baqlaniyy berkata tidak ada perselisihan di antara ahli-ahli bahasa daripada sebutan (sahabiyy). Ia adalah kata terbitan daripada al-suhbah. (cAli Jumcah 2004 : 8)

Definisi al-Sahabiyy dari segi istilah.
Oleh yang demikian, menurut jumhur ulama usul fiqh, al-Sahabiyy bermaksud sesiapa yang berjumpa atau bertemu Nabi Muhammad s.a.w dan beriman dengan Baginda serta melazimi (bergaul) dengan Baginda dalam satu jangka masa yang pada adatnya boleh dipanggil Sahabat. Di antaranya ialah Khulafa’ al-Rashidin, cAbd Allah bin Mascud, cAbd Allah bin cAbbas dan selain daripada mereka yang beriman kepada Nabi Muhammad s.a.w, menolong, mendengar dan mendapat tunjuk ajar daripada Baginda. (cAbd al-Karim bin Zaidan 2009 : 207)

Imam Bukhari juga ada meriwayatkan hadith Rasulullah s.a.w dalam Hadith sahihnya:
"ومن صحب النبي (ص) , أو رآه من المسلمين فهو من أصحابه"
Maksudnya: Dan sesiapa yang berdamping dengan Nabi s.a.w, atau melihatnya dari kalangan muslimin, maka mereka adalah Sahabat-Sahabat Nabi s.a.w. (Sahih al-Bukhari)

Namun, Sahabat-Sahabat Rasulullah s.a.w mempunyai tahap-tahap tertentu. Di antaranya ialah Khulafa’ al-Rashidin, cAbd Allah bin Mascud, cAbd Allah bin cAbbas dan selain daripada mereka yang beriman kepada Nabi Muhammad s.a.w, menolong, mendengar dan mendapat tunjuk ajar daripada Baginda. (cAbd al-Karim bin Zaidan 2009 : 207)

Setelah kewafatan Nabi Muhammad s.a.w para Sahabat r.a yang pakar dan mengetahui secara mendalam tentang ilmu fiqh telah bangkit untuk mengeluarkan fatwa dan hukum bagi menyelesaikan permasalahan yang timbul dalam kalangan umat Islam. Oleh yang demikian, timbul persoalan, adakah sah hukumnya jika kita bertaklid dengan fatwa dan hukum yang dikeluarkan oleh para Sahabat, sekiranya hukum penyelesaian bagi satu-satu masalah tidak terdapat dalam al-Quran, al-Sunnah mahupun ijmak? Dan inilah yang menyebabkan para ulama berselisih pendapat. (cAbd al-Karim bin Zaidan 2009 : 207)

KEHUJAHAN QAWL AL-SAHABIYY

Masalah yang keluar daripada perselisihan
Sebelum menjelaskan perselisihan ulama berkaitan kedudukan dan kehujahan fatwa Sahabat, terlebih dahulu dijelaskan di sini tentang masalah yang keluar daripada medan perselisihan, antaranya ialah:

a) Fatwa dan pendapat Sahabat yang berdasarkan kepada perkara yang berlaku pada zaman hayat Baginda menjadi hujah tanpa sebarang perselisihan di kalangan ulama. Alasannya ialah kerana ia dilihat sebagai suatu sunnah yang diriwayatkan oleh Sahabat daripada Rasulullah s.a.w. (Abd Latif Muda & Rosmawati Ali @ Mat Zin 2001 : 140)

b) Ulama bersepakat bahawa perkara yang berkaitan dengan pendapat para Sahabat yang tidak dapat ditanggap melalui akal pemikiran serta tidak ada ruang ijtihad juga adalah dikira sebagai hujah kepada umat Islam. Hujah dan alasannya kerana para Sahabat pastinya menerima perkara itu daripada Baginda Rasulullah s.a.w iaitu bukan berdasarkan pemikiran dan nafsu mereka. Contohnya seperti pandangan daripada ulama Mazhab Hanafiyy meriwayatkan daripada Ibn Mascud yang mengatakan mengenai tempoh seorang wanita dalam keadaan haid yang paling singkat adalah selama tiga hari. (Abd Latif Muda & Rosmawati Ali @ Mat Zin 2001 : 140)

c) Seterusnya adalah pendapat Sahabat yang tidak ada sebarang percanggahan serta tidak diketahui ada perselisihan daripada Sahabat lain dan ia juga tersebar luas. Pendapat sedemikian adalah diterima dan dikira sebagai hujah secara sepakat. Alasannya, tidak ada percanggahan di kalangan para Sahabat secara kukuh serta dikira juga sebagai ijmak para Sahabat. Ini kerana tidak mungkin para Sahabat yang mendapat didikan daripada Baginda Rasulullah s.a.w dan kekal keimanannya berdiam diri sahaja jika terdapat fatwa dan pendapat sebahagian Sahabat yang bercanggah dengan nas atau syariat. Sebagai contoh, para Sahabat telah bersepakat bahawa seorang nenek akan mendapat satu perenam daripada harta peninggalan cucunya. Oleh yang demikian, persepakatan para Sahabat ini adalah wajib diikuti. (Abd Latif Muda & Rosmawati Ali @ Mat Zin 2001 : 140)

d) Selain itu jumhur ulama juga telah bersepakat bahawa pendapat para Sahabat ini tidak menjadi hujah terhadap Sahabat lain. Lantaran itulah terdapat di kalangan Sahabat yang berselisih pendapat di antara mereka. Rentetan daripada itu, setiap orang di antara Sahabat tidak mewajibkan Sahabat lain untuk mengikut pendapatnya. (Abd Latif Muda & Rosmawati Ali @ Mat Zin 2001 : 140)

Masalah yang menjadi perselisihan
Perbahasan yang menjadi medan perselisihan kepada ulama usul ialah adakah pendapat dan fatwa para Sahabat yang bersumberkan daripada ijtihad Sahabat itu sendiri diwajibkan untuk mengamalkannya lantas menjadi hujah kepada umat Islam yang lahir selepas daripada zaman sahabat ataupun tidak menjadi hujah? Untuk menjelaskan perkara itu adalah seperti berikut.

Pendapat para ulama’ tentang kehujahan qawl al-sahabiyy.
Terdapat dua pendapat yang berbeza tentang kehujahan qawl al-sahabiyy untuk diamalkan kepada golongan selepas mereka. Perbezaan dua pendapat ini telah berlaku dalam kalangan para ulama. Dua pendapat tersebut ialah:

a) Pendapat yang pertama mengatakan bahawa qawl al-sahabiyy bukan hujah secara mutlak. Ianya merupakan pendapat al-Shaficiyyah, jumhur al-Ashacirah, Muctazilah dan Syicah. (Wahbah al-Zuhailiyy 2005 : 105)

Terdapat bukti bagi pendapat yang pertama yang mengatakan bahawa qawl al-sahabiyy bukan hujah yang mutlak. Bukti kepada pendapat ini ialah sesungguhnya pendapat Sahabat daripada ijtihadnya secara berseorangan adalah sumber yang tidak macsum, dan setiap mujtahid yang melakukan ijtihad berkemungkinan salah dalam ijtihad mereka. Oleh itu, tidak wajib ke atas golongan Tabicin yang juga merupakan mujtahid untuk mengikut ijtihad para Sahabat sekiranya ijtihad mereka bersalahan antara satu sama lain. Namun, qawl al-sahabiyy merupakan hujah bagi selain daripada mujtahid dari golongan Tabicin. (Wahbah al-Zuhailiyy 2005 : 106)

Para Sahabat tetap memperakui ijtihad para Tabicin, meskipun Tabicin itu mempunyai ijtihad yang berbeza dengan pendapat para Sahabat. Ini dapat dilihat ketika Saidina cAli bin Abi Thalib r.a. mengemukakan kes kepada qadinya iaitu Shuraih bagi menuntut baju besi beliau yang berada di tangan seorang Yahudi. Perselisihan pendapat berlaku pada masalah kelayakan Saidina Hasan menjadi saksi kepada ayahnya sendiri iaitu Saidina cAli r.a. Namun Saidina cAli r.a mematuhi keputusan Shuraih iaitu seorang menjadi saksi kepada ayahnya sendiri. (Wahbah al-Zuhailiyy 2005 : 106)

Terdapat contoh yang lain seperti perbezaan pendapat antara Masruq r.a. dengan Ibn cAbbas r.a. pada masalah orang yang bernazar menyembelih anaknya. Masruq r.a. berpendapat bahawa wajib menyembelih seekor kibas. Ibn cAbbas berpendapat bahawa wajib menyembelih seratus ekor unta. Maka berkata Masruq r.a.: “Anak orang yang bernazar itu, tentunya tidak lebih baik berbanding Ismacil a.s. Lalu Ibn cAbbas r.a. mengikut kepada pendapat Masruq r.a. (Wahbah al-Zuhailiyy 2005 : 106)

b) Pendapat yang kedua pula mengatakan bahawa kata-kata Sahabat adalah menjadi hujah. Pendapat ini merupakan pendapat al-Hanafiyyah, al-Malikiyyah dan al-Hanabilah. (Wahbah al-Zuhailiyy 2005 : 106)

Sesungguhnya Sahabat juga melakukan kesilapan dalam mengeluarkan ijtihad sama seperti para mujtahid yang lain mengeluarkan ijtihad, juga berlaku kesilapan dalam ijtihad mereka. Pada kebiasaannya, ijtihad yang dikeluarkan tidak lain tidak bukan hanya untuk mencari hak dan kebenaran. Selain itu, para Sahabat mahir dalam ilmu bahasa Arab dan bersifat adil dan mulia. Mereka juga mengetahui sebab penurunan sesuatu ayat al-Quran al-Karim serta mengetahui sebab sesuatu hadis itu disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. Tambahan lagi, Mereka juga menjadi saksi perlakuan Nabi, dan mempunyai ilmu tentang maqasid al-sharciyyah. Kesemua keistimewaan ini tidak terdapat pada mujtahid yang terkemudian daripada mereka. (Wahbah al-Zuhailiyy 2005 : 106)

Maka dengan ini, kata-kata para Sahabat lebih rajih jika dinisbahkan dengan para mujtahid yang terkemudian daripada mereka. Maka, qawl al-sahabiyy mesti diikuti oleh mujtahid selepas para Sahabat. (Wahbah al-Zuhailiyy 2005 : 106)

c) Timbul persoalan yang menyatakan bahawa adakah para mujtahid perlu merujuk kepada qawl al-sahabiyy sebelum merujuk kepada qiyas? Dan adakah qawl al-sahabiyy itu hanya ijtihad individu sahaja dan bukan hujah bagi orang Islam?

Kesimpulan daripada persoalan ini:

i. Abu Hanifah dan ulama yang bersependapat dengan beliau tidak hanya melihat Sahabat tertentu sahaja untuk menjadi hujah. Dengan kata lain, Abu Hanifah mungkin mengambil pendapat daripada seorang Sahabat yang dipilih, namun pada masa yang sama beliau melarang daripada menolak atau menentang pendapat mereka secara keseluruhannya. Abu Hanifah juga berpendapat tidak harus menggunakan qiyas dalam sesuatu permasalahan apabila terdapat ijtihad Sahabat pada masalah tersebut, malahan Abu Hanifah akan mendahulukan qawl al-sahabiyy jika bertembung dengan qiyas. ( cAbd al-Wahhab Khallaf 1970 : 95)

ii. Menurut pendapat Imam Shaficiyy, beliau tidak melihat qawl al-sahabiyy sebagai hujah dan beliau menolak secara mutlak qawl al-sahabiyy dalam mengistinbat hukum. Ini kerana ijtihad para Sahabat adalah sama sahaja dengan para mujtahid yang lain yang bukan daripada kalangan Sahabat. Beliau berkata: “Tidak dibolehkan mengistinbatkan hukum atau fatwa melainkan dengan nas-nas daripada al-Quran dan al-Sunnah, atau setiap yang disepakati oleh para ulama atau dengan qiyas.” (cAbd al-Wahhab Khallaf 1970 : 95)
Nas di atas menunjukkan bahawa sumber perundangan Islam adalah terbatas kepada al-Quran, al-Sunnah, ijmak dan qiyas.

CONTOH-CONTOH QAWL AL-SAHABIYY DALAM MASALAH FURUK FIQH

Masalah pewarisan harta kepada isteri yang diceraikan ketika suami sakit hendak mati.
Menurut Imam Abu Hanifah, Imam Malik, dan Imam Ahmad, isteri berhak menerima pewarisan harta daripada suaminya. Begitu juga pendapat Imam Shaficiyy mazhab qadim (sebelum berhijrah ke Mesir). (cAli Jumcah 2004 : 118)

Ini kerana terdapat kata-kata Saidina cUthman r.a. yang diriwayat oleh Ibn Abi Shaibah:

عن عثمان رضي الله عنه: ورث امرأة عبد الرحمن بن عوف رضي الله عنه حين طلقها في مرضه بعد انقضاء عدتها.

Maksudnya: Daripada cUthman r.a: “Diwariskan harta kepada isteri cAbd al-Rahman bin cAuf ketika diceraikannya dalam keadaannya yang sakit selepas tamat tempoh idahnya.” (Musnaf Ibn Abi Shaibah. (176/4). no. (19026)).

Manakala menurut pandangan Imam Shaficiyy mazhab jadid, isteri tidak layak menerima pewarisan harta kerana hukum talak adalah sama ketika dalam keadaan sihat mahupun sakit. Bukti kepada perkara ini ialah: Sesungguhnya suami tidak mewariskan harta kepada isteri setelah ditalakkan dalam keadaan suaminya sihat. Begitu juga isteri yang ditalakkan dalam keadaan suaminya sakit hampir mati. Hal ini bermaksud tidak boleh memiliki harta pewarisan kerana tiada ikatan perkahwinan antara mereka. Sesungguhnya Allah telah mewujudkan pewarisan harta di antara suami isteri adalah kerana wujudnya hubungan perkahwinan yang sah. (cAli Jumcah 2004 : 119)

Masalah potong tangan khadam dan hamba.
Ulama berbeza pendapat dalam masalah menjalankan hukuman potong tangan ke atas khadam dan hamba yang mencuri harta tuannya.
Pendapat pertama mengatakan bahawa tidak dikenakan hukuman potong tangan kepada khadam dan hamba yang mencuri harta tuannya menurut pandangan jumhur ulama yang antaranya terdiri daripada empat imam mazhab tetapi Imam Malik mensyaratkan setiap dari keduanya memberi perkhidmatan kepada tuannya tanpa upah. (cAli Jumcah 2004 : 121)
Pendapat kedua pula mengatakan bahawa khadam dan hamba yang mencuri harta tuannya hendaklah dipotong tangannya seperti pendapat oleh Daud dan Abi Thur. (cAli Jumcah 2004 : 121)
Bukti-bukti dari setiap pendapat:

a. Bukti bagi pendapat pertama yang mengatakan bahawa tidak disabitkan hukuman potong tangan ke atas khadam dan hamba.

Imam Malik meriwayatkan di dalam kitabnya al-Muwatta’ sebuah kisah yang diceritakan oleh al-Zuhriyy kepada beliau tentang al-Saib ibn Yazid yang telah mencuri harta tuannya iaitu cAbd Allah bin cAmru bin al-Khadramiyy. Kemudian cAbd Allah bin cAmru bin al-Khadramiyy telah membawanya berjumpa Saidina cUmar bin al-Khattab. cAbd Allah bin cAmru meminta kepada Saidina cUmar untuk dijatuhkan hukuman keatas al-Saib ibn Yazid. Maka cUmar berkata: “Tidaklah jatuh hukuman potong tangan ke atas hamba kamu dalam mencuri barang-barang kamu.” (cAli Jumcah 2004 : 121-122)
Mengikut ijtihad Saidina cUmar bin al-Khattab di atas, seorang hamba tidak akan dikenakan hukuman potong tangan jika hamba tersebut mencuri harta tuannya sendiri.

b. Bukti bagi pendapat kedua yang mengatakan bahawa wajib dijatuhkan hukuman potong tangan berdasarkan firman Allah taala di dalam al-Quran:
              
Maksudnya: “Laki-laki yang mencuri dan perempuan yang mencuri, potonglah tangan keduanya (sebagai) pembalasan bagi apa yang mereka kerjakan dan sebagai siksaan dari Allah. dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Maidah, 5 : 38)

Ayat al-Quran di atas merupakan ayat ‘am yang menunjukkan hukuman had potong tangan tidak menentukan sama ada pesalah seorang lelaki, perempuan, merdeka ataupun hamba. Maka hukuman had potong tangan tetap dilakukan kepada semua individu yang disabitkan salah walaupun terhadap seorang hamba.

Masalah mengeluarkan zakat daripada harta kanak-kanak dan orang gila.
Ulama bercanggah dalam masalah mengeluarkan zakat daripada harta kanak-kanak dan orang gila. Terdapat tiga perbezaan pendapat dalam permasalahan ini.
Pendapat pertama menyatakan bahawa wajib mengeluarkan zakat daripada harta kanak-kanak dan orang gila secara mutlak. Ini merupakan pendapat dari Imam Malik, Imam Shaficiyy dan Imam Ahmad.
Manakala pendapat kedua mengatakan bahawa tidak wajib mengeluarkan zakat daripada harta mereka secara mutlak.
Berlainan pula dengan pendapat yang ketiga yang menyatakan bahawa wajib ke atas mereka mengeluarkan satu persepuluh atau separuh daripada hasil tanah mereka. Dan tidak wajib bagi mereka mengeluarkan zakat selain daripada hasil tanah. Dan ini ialah pendapat daripada Abu Hanifah dan pengikutnya. (cAli Jumcah 2004 : 98)
Bukti-bukti bagi setiap pendapat:

a) Bukti bagi pendapat yang pertama ialah: (cAli Jumcah 2004 : 99)
عن حبيب بن أبي ثابت عن بعض ولد أبي رافع قال: كان على رضي الله عنه: "يزكى أموالنا ونحن يتامى."
Maksudnya: Daripada Habib bin Abi Thabit, daripada sebahagian anak Abi Rafiyy telah berkata: “Mengeluarkan zakat daripada harta kami dan kami anak yatim.”

Kata-kata Sahabat di atas menunjukkan zakat wajib dikeluarkan oleh semua individu walaupun terhadap anak yatim.

b) Bukti bagi pendapat yang kedua yang mengatakan tidak wajib zakat ke atas kanak-kanak dan orang gila. Ini kerana zakat merupakan ibadat yang khusus seperti solat dan tidak diwajibkan ke atas kanak-kanak dan orang gila kecuali ke atas mukallaf. (cAli Jumcah 2004 : 100)

Sabda Rasulullah s.a.w:

رفع القلم عن ثلاث: عن الصبي حتى يبلغ, وعن النائم حتى يستيقظ, وعن المحنون حتى يفيق.

Maksudnya: Terbatalnya pengtaklifan itu ada tiga: dari kanak-kanak sehingga baligh, dari orang yang tidur sehingga terjaga, dan orang yan gila sehingga sedar.

Hadith di atas menunjukkan bahawa tidak wajib kanak-kanak dan orang gila mengeluarkan zakat kecuali apabila telah mencapai peringkat baligh bagi kanak-kanak dan apabila orang yang gila itu sedar dan sembuh dari gilanya.

c) Bukti bagi pendapat yang ketiga ialah diwajibkan zakat bagi kanak-kanak dan orang gila hanyalah pada tanaman dan tumbuhan berbuah sahaja. (cAli Jumcah 2004 : 100)

Pendapat yang paling tepat daripada ketiga-tiga pendapat ialah pendapat yang pertama, iaitu pendapat daripada jumhur ulama berdasarkan kepada kanak-kanak dan orang gila mempunyai ahliyyah al-ada’ iaitu kelayakan dalam menguruskan harta, dan zakat termasuk dalam bahagian harta.

KESIMPULAN

Maka dapat difahami daripada tugasan kami ini bahawa qawl al-sahabiyy merupakan sebahagian daripada dalil-dalil yang tidak disepakati oleh para ulama. Dalil-dalil tidak disepakati ini menjadi hujah apabila para mujtahid tidak menjumpai hukum sama ada di dalam al-Quran, al-Sunnah, ijmak ulama dan qiyas. Qawl al-sahabiyy ini merupakan ijtihad individu para sahabat yang mendengar daripada Rasulullah s.a.w, dan ini lebih membawa kepada sunnah Rasulullah s.a.w.

Akan tetapi qawl al-sahabiyy tidak secara keseluruhannya menjadi hujah bagi imam-imam mazhab dalam mengistinbatkan hukum syariat. Dan Imam Shaficiyy di dalam mazhab jadid, beliau berpendapat bahawa qawl al-sahabiyy tidak menjadi hujah. Ini kerana pensabitan qawl al-sahabiyy memerlukan kepada dalil yang kuat dan benar.

Oleh yang demikian, qawl al-sahabiyy tidak menjadi hujah bagi semua umat Islam sama ada untuk menerimanya sebagai hujah atau tidak. Sedangkan para mujtahid selepas para sahabat tidak diwajibkan untuk menjadikan qawl al-sahabiyy sebagai hujah.

RUJUKAN
Al-Quran
Abd Latif Muda & Rosmawati Ali @ Mat Zin. 2001. Perbahasan usul al-ahkam. Kuala Lumpur: Pustaka Salam Sdn Bhd.
cAbd al-Karim bin Zaidan. 2009. al-Wajiz fi al-usul al-fiqh. Beirut: Resalah Publishers.
cAbd al-Wahhab Khallaf. 1970. cIlm usul al-fiqh. Kuwait: Dar al-Kalam.
cAli Jumcah. 2004, Qawl al-sahabiyy cinda usuliyyin. Kaherah: Dar al-Risalah.
Al-Zuhailiyy Wahbah. 2005. Al-Wajiz fi al-usul al-fiqh. Damsyiq: Dar al-Fikr.

DISEDIAKAN OLEH:
Ahmad Syakir bin Rozlan
Mohd Redzwan bin Hamzah
Mohd Sollehin bin Mohd Hair
Muhammad Syazwan bin Karim
Abdul Basit bin Hodari

0 comments: