Assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Tuesday, April 13, 2010

taqlid

TAJUK: TAQLID

PENGENALAN


Menurut pendapat sesetengah pengkaji, zaman taqlid bermula pada pertengahan kurun ke-4 hijrah dan berakhir pada penghujung kurun ke-13 hijrah. Pada zaman tersebut, kecenderungan semangat ijtihad di kalangan ulama fiqh telah menurun secara mendadak. Sebaliknya tersebar secara meluas budaya taqlid dan berpegang kepada mazhab-mazhab fiqh tertentu serta menyokong para imam ikutan mereka ( Ab Latif Muda & Rosmawati 2001 : 430 ).

Justeru, ulama yang ada pada masa itu majoritinya hanya berpegang, mengikuti dan mengembangkan hukum yang telah diistinbatkan oleh para mujtahid sebelumnya tanpa berusaha untuk melaksanakan kajian baru. Hakikatnya, zaman kelesuan serta bertaqlid kepada imam-imam mazhab tertentu menjadi meluas pada zaman tersebut kesan daripada pengaruh politik, budaya hidup, suasana, juga disebabkan wilayah kekuasaan Islam telah berpecah menjadi beberapa wilayah. Keadaan tersebut berterusan hinggalah tercetusnya Perang Salib yang diketuai oleh Salahuddin al-Ayyubi yang dibangkit untuk mengembalikan serta menyatukan semula seluruh kaum muslimin dan kekuasaan negara Islam ( Ab Latif Muda & Rosmawati 2001 : 430 ).
DEFINISI TAQLID

Taqlid dari segi bahasa diambil daripada perkataan al-qiladah القلادة, iaitu sesuatu yang diletakkan di leher. Ia boleh didefinisikan sebagai kalung atau rantai yang digantung di leher ( Amir Abd Aziz 1997 : 770 ).

Manakala dari segi istilah pula, terdapat beberapa pengertian taqlid. Antaranya ialah:

1- Nukilan daripada al-Imam al-Ghazali pula mentakrifkan taqlid sebagai menerima sesuatu pendapat tanpa mengetahui alasan atau hujah ( al-Ghazaliyy 1997 : 542 ).
2- Nukilan daripada Ibn al-Humam pula, taqlid bermaksud mengamalkan pendapat orang lain tanpa hujah atau dalil ( Amir Abd Aziz 1997 : 770 ).
3- Manakala menurut jumhur ulama usul, taqlid diertikan sebagai mengikuti perkataan atau perbuatan orang lain tanpa meneliti dalilnya atau penerimaan hukum-hukum daripada seorang imam tertentu ( Amir Abd Aziz 1997 : 772 ).


Di samping itu juga taklid menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga ( 2002 : 1349 ) pula ialah:
1- Pegangan pada pendapat ahli hukum yang terdahulu.
2- Percaya sepenuhnya kata-kata orang, menurut ( meniru dan meneladani orang lain ).
3- Buta dan hanya menurut ( mengikut ) sahaja.

HUKUM TAQLID

Ulama berselisih pendapat mengenai hukum taqlid, khususnya dalam perkara yang berkaitan dengan hukum syariat berbentuk amali yang ditetapkan menerusi dalil zanni. Penjelasan mengenai pendapat ulama terbahagi kepada dua bahagian ( Abdul Latif Muda 2003 : 446 ) iaitu:

Pendapat Pertama: Tidak Harus Bertaqlid

Pendapat pertama ini mengatakan bahawa tidak harus bertaqlid dan wajib berijtihad. Maka, wajib ke atas setiap mukallaf berijtihad untuk dirinya pada perkara-perkara agama dan beramal dengannya. Pendapat ini adalah berdasarkan pendapat Zahiri, Muktazilah yang berada di Baghdad dan sekumpulan daripada Syiah Imamiyyah ( Hassan 2002 : 543 ). Hujah mereka antaranya ialah:

a. Firman Allah s.w.t:


Maksudnya: (Katakanlah kepada mereka Wahai Muhammad), turutlah apa yang telah diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu dan janganlah kamu menurut pemimpin-pemimpin yang lain dari Allah.
( Surah al-‘Araf 7 : 2 )


Ayat di atas menunjukkan bahawa Allah s.w.t memerintahkan Nabi Muhammad s.a.w supaya menyampaikan pesanan kepada semua umat Islam agar mengikut segala ajaran dan perintah daripada Allah s.w.t. Oleh itu, jelas menunjukkan bahawa tidak harus untuk bertaqlid.



b. Manakala firman Allah s.w.t yang menunjukkan wajib berijtihad ialah:

Maksudnya: Sesungguhnya kami menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) kitab (al-Quran) dengan membawa kebenaran, supaya engkau menghukum di antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadamu (melalui wahyuNya).

( Surah al-Nisaa’ 4 : 105 )

Ayat ini menjelaskan tentang pensyariatan ijtihad yang mengatakan bahawa di dalam al-Quran mengandungi penyelesaian supaya umatnya mengkaji dan meneliti hukum yang terdapat di dalam al-Quran. Ini menunjukkan bahawa hukum ijtihad itu adalah wajib.

Selain itu, terdapat pendapat lain yang mengatakan haram bertaqlid dalam semua urusan agama. Ini merupakan pendapat yang dikemukakan oleh Ibn Arabi. Oleh itu, setiap mukallaf hendaklah berijtihad serta mengetahui kaedah istinbat dan dalilnya. Beliau berpendapat sedemikian dengan membawa alasan dan hujah ( Abdul Latif Muda 2003 : 447 ). Antara hujahnya ialah :

a. Allah s.w.t sentiasa memerintahkan manusia supaya berfikir dan berusaha untuk mengetahui perkara yang disyariatkan oleh Allah s.w.t seperti dalam aspek ibadah. Oleh itu, bertaqlid merupakan perkara yang benar-benar bercanggah dengan dasar syariat Islam ( Abdul Latif Muda 2003 : 447 ).
Selain itu, ada juga pendapat ulama lain yang mengatakan bahawa haram hukumnya bertaqlid bagi orang yang berilmu dan mereka yang mampu berijtihad, iaitu mereka yang membuat kajian sendiri secara terperinci serta memenuhi syarat sebagai seorang mujtahid ( Abdul Latif Muda 2003 : 448 ). Hujah mereka antaranya ialah:

Firman Allah s.w.t:

Maksudnya: Dan ( menyuruh ) supaya kamu berkata ( dusta ) terhadap Allah s.w.t, apa yang kamu tidak ketahui ( salah benarnya ).
( Surah al-Baqarah 2 : 169 )

Ayat ini menunjukkan haram memperkatakan sesuatu yang tidak diketahui. Memperkatakan sesuatu secara bertaqlid adalah termasuk di dalam memperkatakan sesuatu yang tidak diketahui. Oleh yang demikian, bertaqlid adalah haram ( Hassan 2002 : 544 ).

Pendapat Kedua: Harus Bertaqlid

Pendapat ini mengatakan harus bertaqlid, sama ada orang awam atau mereka yang mampu berijtihad. Ini merupakan pendapat Abu Yaakub Ishaq ibn Makhlad al-Marwizi al-Naisaburi. Menurut pendapat Muhammad ibn al-Hasan al-Shaibani al-Hanafi, harus hukum bertaqlid bagi orang alim kepada mereka yang lebih alim daripadanya. Namun, orang alim tidak harus bertaqlid kepada orang yang setaraf dengannya dari sudut ilmu ( Abdul Latif Muda 2003 : 447 ).
Selain itu, ulama yang mengharuskan taqlid mengatakan tidak semua manusia mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi. Untuk itu, bagi mereka yang tidak mempunyai kemampuan tersebut hendaklah bertaqlid kerana mereka tidak berupaya memahami nass dan tidak dapat mengistinbat hukum sendiri ( Abdul Latif Muda 2003 : 448 ). Mereka berpendapat sedemikian dengan membawa dalil antaranya ialah:

i. Firman Allah s.w.t:

Maksudnya: Bertanyalah kamu ( wahai golongan musyrik ) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.
( Surah al-Nahl 16 : 43 )

Ayat ini jelas menunjukkan bahawasanya diperintahkan orang yang tidak mengetahui supaya bertanya kepada mereka yang lebih mengetahui. Orang yang tidak mengetahui iaitu muqallid akan bertanya kepada orang yang lebih mengetahui. Selain itu, orang yang jahil juga dikehendaki bertanya kepada yang alim mengenai perkara yang tidak diketahuinya. Ini menunjukkan bahawa hukum taqlid itu diharuskan.


Menurut hujah akal pula, ijtihad merupakan sifat atau bakat yang hanya dimiliki oleh sekelompok manusia yang bilangannya terlalu sedikit. Jika diperintahkan kesemua orang untuk berijtihad, maka ia bererti diperintahkan melakukan perkara yang di luar kemampuan manusia dan ia dilarang oleh Islam ( Hassan 2002 : 545 ). Ini bertepatan dengan firman Allah s.w.t:

Maksudnya: Allah tidak memberkati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.
( Surah al-Baqarah 2 : 286 )

Ayat ini menunjukkan bahawasanya Allah s.w.t melarang umatnya melakukan sesuatu yang di luar kemampuannya dan mereka diharuskan untuk bertaqlid sekiranya mereka tidak mampu kerana kebolehan berijtihad hanya berlaku kepada segelintir manusia sahaja.

LAPANGAN TAQLID

Seterusnya perbincangan mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan lapangan taqlid. Hukum-hukum syariat serta lapangan yang harus atau tidak harus bertaqlid dapat dibahagikan kepada dua kategori iaitu taqlid dalam akidah dan taqlid pada furu’ fiqhiyyah ( Abd Latif Muda & Rosmawati 2001 : 433 ).

i. Taqlid Dalam Akidah
Iaitu perkara yang berkaitan dengan akidah seperti mengenal Allah s.w.t serta perkara yang sememangnya perlu diketahui oleh setiap mukallaf. Ulama berselisih pendapat tentang hukum bertaqlid dalam hal seperti ini iaitu:

1. Tidak harus bertaqlid
Jumhur ulama tidak mengharuskan bertaqlid dalam urusan berkaitan dengan akidah. Setiap individu wajib berpegang dengan pegangan yang kukuh berdasarkan penelitian dan pengkajian, iaitu bukan atas dasar kesamaran atau mengikuti orang lain semata-mata ( Abd Latif Muda & Rosmawati 2001 : 433 ). Di antara hujah jumhur ialah:

a. Mengkaji dan meneliti dalil-dalil adalah wajib hukumnya sedangkan bertaqlid bererti meninggalkan tuntutan wajib, oleh itu ia tidak harus. Hal ini berdasarkan dalil naqliyy, antaranya:

Firman Allah s.w.t:

žcÎ) ’Îû È,ù=yz ÏNºuq»yJ¡¡9$# ÇÚö‘F{$#ur É#»n=ÏF÷z$#ur È@øŠ©9$# Í‘$pk¨]9$#ur ;M»tƒUy ’Í<'rT[{ É=»t6ø9F{$# ÇÊÒÉÈ Maksudnya: Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal. ( Surah al-Imran 3 : 190 ) Ayat di atas menunjukkan bahawa mengkaji dan meneliti kejadian alam diwajibkan bagi orang yang berakal. Oleh itu, wajib bagi mereka berpegang dengan kukuh berdasarkan kajian dan penelitian yang telah dibuat dan ia tidak harus untuk bertaqlid. 2. Harus bertaqlid Sesetengah ulama mengharuskan bertaqlid dalam perkara akidah. Ubaidullah bin al-Hasan al-‘Anbariyy dan segolongan al-Ta’limiyah dari ajaran Batiniyyah serta al-Mujassimah mengatakan: “Sekiranya meneliti dan mengkaji merupakan suatu tuntutan wajib, sudah tentu para Sahabat melakukan serta menyuruhnya, sebaliknya mereka tidak berbuat begitu. Selain itu juga, jika para Sahabat bertindak sedemikian, sudah tentu terdapat riwayat yang menyatakannya”. Sebagai rumusannya, sekiranya perkara itu wajib, sudah tentu dilakukan oleh Sahabat dan Sahabat akan menyuruh orang lain membuatnya, tetapi Sahabat tidak berbuat demikian dan ini menunjukkan taqlid ini diharuskan ( Abd Latif Muda & Rosmawati 2001 : 433 ). ii. Taqlid pada Furu’ Fiqhiyyah Taqlid dalam masalah furu’ fiqhiyyah serta hukum amali yang ditetapkan melalui dalil zanni atau ruangan yang harus berijtihad dan bertaqlid, ulama berselisih pendapat mengenainya. Ia dapat dibahagikan kepada dua: 1. Golongan Zahiri, Muktazilah dan majoriti Syiah Imamiyyah berpendapat, berijtihad dalam lapangan furu’ fiqhiyyah adalah wajib dan sekaligus tidak harus bertaqlid. Justeru, setiap mukallaf hendaklah berijtihad dalam urusan agama mereka dan beramal dengan setiap yang diperoleh melalui ijtihadnya sendiri. Pendapat ini disokong oleh Ibn ‘Arabiyy dengan katanya yang bermaksud: “Taqlid dalam urusan agama tidak harus” ( Abd Latif Muda & Rosmawati 2001 : 434 ). Seterusnya pendapat ini juga disokong oleh Ibn Hazm dengan katanya yang bermaksud: “Taqlid adalah haram hukumnya dan tidak harus seseorang berpegang atau mengambil pendapat sesiapa pun selain Rasulullah s.a.w tanpa dalil” ( Abd Latif Muda & Rosmawati 2001 : 434 ). Golongan ini berpendapat sedemikian berdasarkan firman Allah s.w.t:
Maksudnya: Sesungguhnya kami mendapati bapak- bapak kami menganut suatu agama dan sesungguhnya kami adalah pengikut jejak-jejak mereka. ( Surah al- Zukhruf 43 : 23 )
Ayat di atas menunjukkan bahawa Allah s.w.t mencela golongan yang bertaqlid dan sifat mencela itu tidak diharuskan untuk bertaqlid. Sifat mencela bagi golongan yang mengikut nenek moyang tanpa memeriksa dalil dan hujah. Oleh itu, jelas menunjukkan bahawa hukum bertaqlid itu adalah haram. 2. Jumhur ulama berpendapat bahawa berijtihad tidak ditegah, namun bagi ulama mujtahid, haram baginya bertaqlid. Manakala masyarakat awam, wajib bertaqlid. Khasnya mereka yang tidak memenuhi syarat ijtihad. Di antara hujah dan dalil mereka ialah: Pertama: Firman Allah s.w.t:

Maksudnya: Dan kami tidak mengutus sebelum kamu, kecuali orang-orang lelaki yang kami memberi wahyu kepada mereka, maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui.
( Surah al-Nahl 16 : 43 )


Ayat ini jelas menunjukkan kepada manusia bahawasanya diperintahkan orang yang tidak mengetahui supaya bertanya kepada mereka yang lebih mengetahui. Lafaz al-‘Amr iaitu ( (#þqè=t«ó¡sù ) di dalam ayat ini menunjukkan kepada wajib. Ini menunjukkan bahawa hukum taqlid itu wajib bagi orang yang tidak berpengetahuan.

Kedua: Para Tabi’in dan Sahabat berfatwa kepada golongan awam yang bertanya kepada mereka tentang sesuatu masalah, tanpa menafikan dan tanpa ada sebarang bantahan dari para Sahabat dan tanpa menegah daripada bertanya.

Ketiga: Berdasarkan logik akal. Kebolehan berijtihad hanya berlaku terhadap segelintir manusia sahaja, selaras dengan kemampuan dan pemikiran mereka yang berbeza. Selain itu, syariat juga tidak membebankan mereka yang tidak mampu untuk berijtihad ( Abd Latif Muda & Rosmawati 2001 : 433 ).
Firman Allah s.w.t:


Maksudnya: Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.

( Surah al-Baqarah 2 : 286 )


Ayat ini menunjukkan bahawasanya Allah s.w.t melarang umatnya melakukan sesuatu yang di luar kemampuan seseorang manusia. Sekiranya seseorang itu terbatas untuk mengeluarkan ijtihad atau tidak mampu untuk berijtihad, maka dia perlu bertaqlid. Ini bermakna bertaqlid itu hukumnya harus.

ISU-ISU BERKAITAN TAQLID

Seterusnya perbahasan lanjut berkaitan dengan taqlid dapat dibahagikan kepada dua bahagian iaitu:
i) Terikat dengan mazhab tertentu
Ulama berselisih pendapat berkenaan permasalahan sama ada seseorang individu itu terikat atau tidak terikat dengan mazhab tertentu. Pendapat-pendapat ini dapat dibahagikan kepada tiga antaranya ialah pendapat pertama mengatakan bahawa wajib terikat sepenuhnya dengan mazhab tertentu. Pendapat kedua pula mengatakan tidak wajib terikat dengan mazhab tertentu manakala pendapat ketiga mengatakan harus terikat jika mereka belum beramal dan tidak harus terikat sekiranya mereka sudah beramal. Antara hujah pendapat-pendapat mereka ialah ( Hassan 2002 : 549 ):

1. Sebahagian daripada mereka berpendapat bahawa wajib terikat dengan mazhab tertentu kerana mereka beriktikad bahawa mazhab yang diikuti itu adalah benar, maka wajib ke atasnya berpegang dengan kehendak iktikadnya.

2. Sebahagian pula berpendapat tidak wajib bertaqlid kepada mazhab tertentu di dalam kesemua masalah, malah harus bertaqlid kepada mana-mana mujtahid yang dikehendaki. Jika seseorang beriltizam dengan mazhab tertentu seperti mazhab Hanafi atau Syafie, tidak semestinya seseorang itu kekal dengan mazhab itu selama-lamanya, malah harus mereka berpindah dari mazhab tersebut kepada mazhab yang lain kerana tidak wajib ke atas mereka kecuali perkara yang diwajibkan oleh Allah s.w.t dan RasulNya.


Firman Allah s.w.t:


Maksudnya: Bertanyalah kamu ( wahai golongan musyrik ) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.

( Surah al-Nahl 16 : 43 )


Ayat ini menunjukkan bahawasanya Allah s.w.t mengarahkan kepada sesiapa yang tidak tahu supaya bertanya kepada yang lebih mengetahui. Ini menunjukkan bahawasanya manusia terbahagi kepada dua golongan iaitu alim dan jahil. Yang jahil dikehendaki bertanya kepada yang alim mengenai perkara yang dia tidak ketahui mengenainya. Ini bermakna, harus bagi seseorang yang tidak mengetahui itu bertaqlid.

3. al-Amidi dan al-Kamal bin al-Humam berpendapat, sekiranya sudah beramal dengan hukum mengenai sebahagian dari masalah-masalah berdasarkan kepada mazhab tertentu, oleh itu tidak harus bertaqlid dengan mazhab lain mengenainya. Manakala jika belum beramal dengan hukum mengenai sesuatu masalah, harus bertaqlid kepada mazhab lain mengenainya.

Daripada kesemua pendapat itu, pendapat yang kedua yang mengatakan tidak wajib bertaqlid kepada mazhab tertentu di dalam kesemua masalah dan harus bertaqlid kepada mana-mana mujtahid yang dikehendaki merupakan pendapat yang kuat di sisi ulama. Hal ini disebabkan, kesemua pendapat empat mazhab itu mempunyai pegangan yang sama tetapi kefahaman mereka sahaja yang berbeza mengikut tahap kemampuan masing-masing. Walau bagaimanapun kefahaman mereka masih lagi berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah. Oleh itu, setiap individu bebas memilih mana-mana mazhab yang ingin diikutinya.


ii) Tidak terikat dengan mazhab tertentu atau talfiq

Talfiq berasal daripada kata dasar lafaqa (لفق) yang bermaksud mengait antara dua tepi kain atau menghiasi. Menurut pengertian istilah antaranya ( Hassan 2002 : 552 ):

a) Mengikuti lebih daripada satu mazhab dalam perkara ibadat atau tidak terikat dengan mana-mana mazhab.
b) Mencampuradukkan pendapat ulama mazhab yang berbeza-beza untuk menangani sesuatu permasalahan.

Contohnya, seseorang berwuduk mengikut mazhab Syafie yang hanya menyapu sebahagian kecil daripada kepala. Kemudian, dia menyentuh perempuan yang bukan mahram dengan bertaqlid mengikut mazhab Maliki yang berpendapat tidak batal wuduk dengan sebab menyentuh perempuan tanpa berlapik yang harus dikahwini. Selepas itu dia sembahyang. Dengan perbuatan tersebut, tidak ada seorang pun daripada kalangan imam-imam mujtahid memperakui sah sembahyangnya, kerana Imam Syafie menganggap wuduknya terbatal dengan sebab menyentuh perempuan, manakala Imam Malik tidak menganggap sah wuduk kerana dia tidak menyapu kesemua kepalanya.

PEMBAHAGIAN TALFIQ

Talfiq boleh berlaku dalam dua keadaan iaitu:
i) Memilih hukum-hukum secara keseluruhan untuk beramal, mengetahui dan berasa selesa dengan melihat dalil yang lebih rajih tanpa mengambil kira juzu’-juzu’ hukum tersebut dan implikasi yang mungkin timbul daripada beramal dengannya pada peristiwa-peristiwa yang berlainan. Bagi yang mengharuskan taqlid sebegini, tiada sebarang syarat diletakkan untuk diamalkan.

ii) Memilih hukum-hukum untuk beramal dengannya pada keadaan-keadaan tertentu sahaja. Bahagian kedua inilah yang dilarang oleh sebahagian ulama kerana talfiq akan terealisasi dengan menghimpun dan memakai dua pendapat yang berbeza pada sesuatu kes pada satu masa yang sama. Misalnya, berwuduk dengan menerima pakai pendapat sebahagian mujtahid pada perkara yang sah wuduk dan menerima pakai pendapat mujtahid yang lain pada perkara yang membatalkannya, lalu bersolat dengan wuduk tersebut.

Begitu juga talfiq akan menjadi kenyataan apabila beramal pada satu-satu peristiwa, pandangan kedua akan menjadi kenyataan. Sebagai contoh, seorang wanita yang baligh bernikah tanpa wali dengan mengikut mazhab Hanafi, kemudian suami kepada wanita tersebut menceraikan isterinya dengan lafaz ba’in menurut mazhab Hanafi tetapi taqlid kepada mazhab Syafie dalam masalah ini dan menganggap lafaz talak ini hanya talak raj’iyy lalu dia rujuk tanpa perlu kepada akad dan mahar yang baru.

Walau bagaimanapun, jika dia tidak beramal dengan kedua-dua pendapat ini sekaligus tetapi secara berasingan tanpa kesan daripada pendapat yang pertama, maka tidak dinamakan talfiq. Begitu juga beramal dengan kedua-dua pendapat tetapi pada peristiwa yang berlainan, turut tidak dinamakan talfiq ( Muhammad Adib bin Samsudin t.th : 11 ).

SYARAT TALFIQ

Biarpun terdapat golongan ulama memberi kelonggaran kepada muqallid beramal dengan mazhab lain dan talfiq, tetapi talfiq perlu memenuhi syarat-syarat yang tertentu. Antaranya: ( Abd Latif Muda & Rosmawati 2001 : 431 )

a) Menurut Imam al-Qarafi: Amalan tersebut tidak membawa kepada perkara tidak sah atau batal menurut semua ulama mazhab dan mujtahid yang diikutinya. Ini bermaksud tidak boleh amalan itu telah disepakati oleh ulama tentang batalnya, sama ada daripada mazhab yang diikutinya ataupun mazhab yang mereka berpindah kepadanya.

b) Hendaklah dua atau lebih pendapat yang diamalkan itu tidak menimbulkan kesan kepada hakikat amalan yang satu. Contohnya, seseorang berwuduk dengan mengikut mazhab Syafie, namun kes membatalkan wuduk mereka berpegang dengan mazhab Hanafi yang mengatakan bahawa tidak batal wuduk jika bersentuhan antara lelaki dan perempuan ajnabi. Kemudian mereka berpegang pula dengan mazhab Syafie bahawa keluar darah daripada anggota badan tidak menyebabkan batalnya wuduk. Dalam keadaan ini, amalan yang dilakukannya tidak diterima di sisi kedua-dua mazhab tersebut. Ini kerana dalam mazhab Syafie, wuduk seseorang lelaki terbatal apabila tersentuh antara lelaki dan perempuan ajnabi. Manakala dalam mazhab Hanafi, terbatal wuduk disebabkan keluar darah daripada badan. Justeru itu, wuduk seseorang yang bertalfiq seperti itu tidak dikira kerana tidak boleh bercampur antara mazhab dalam ibadat. Oleh yang demikian, sembahyangnya juga tidak diterima kerana wuduknya itu tidak sah.

c) Talfiq diharuskan ketika dalam keadaan darurat dan terdesak, seperti yang terdapat dalam mazhab Maliki juga sebahagian ulama mazhab Hanafi. Oleh itu, talfiq hanya diharuskan atas dasar rukhsah dalam urusan syariat yang diberikan bukan sewenang-wenangnya, tetapi ketika keuzuran yang berat dan waktu tertentu.

d) Orang yang bertalfiq dengan niat sengaja mengumpulkan segala perkara yang mudah sahaja yang terdapat dalam sesuatu mazhab adalah salah dan tidak dibenarkan. Hal ini merupakan salah satu usaha untuk mengelakkan diri daripada ketetapan urusan agama dan kewajipan serta hukum-hukumnya.

Sebagai rumusannya, pada zaman Sahabat, Tabi’in serta ulama mujtahid, mereka beramal dengan pelbagai mazhab serta berpindah daripada satu mazhab kepada mazhab yang lain. Walau bagaimanapun, bagi masyarakat awam yang tidak mempunyai ilmu, lebih baik dan lebih selamat mereka mengikuti pendapat dan mazhab tertentu. Namun begitu, tidak mengikat diri mereka berbuat demikian secara mutlak. Ini kerana dalam keadaan tertentu, masih lagi diharuskan untuk keluar daripada mazhab tertentu yang mereka berpegang itu berdasarkan keperluan yang ditetapkan serta syarat yang ditentukan oleh syarak.


PERBEZAAN TAQLID DAN ITTIBA’ SECARA RINGKAS


DEFINISI TAQLID

• Dari segi bahasa:
- Daripada perkataan al-qiladah ((القلادة, iaitu sesuatu yang diletakkan di leher.
- Kalung atau rantai yang digantung di leher.
DEFINISI ITTIBA'
• Dari segi bahasa:
- Mengikut dan menurut.

• Dari segi istilah:
- Menerima sesuatu pendapat tanpa mengetahui alasan.
- Mengamalkan pendapat orang lain tanpa hujah atau dalil.
• Dari segi istilah :
- Mengikuti pendapat orang lain dengan mengetahui dasarnya atau mengikuti pendapat dalam sesuatu urusan dengan mengetahui dalilnya sama ada daripada al-Quran dan al-Sunnah.
- Mengikuti setiap yang diperintahkan oleh Allah s.w.t serta meninggalkan setiap yang ditegah oleh Allah s.w.t seperti yang disampaikan oleh Baginda Rasulullah s.a.w.


DASAR TAQLID

• Taqlid berlaku pada dua tempat:

1) Sekiranya muqallid ( orang yang bertaqlid ) itu seorang awam yang tidak dapat mengenal pasti sesuatu hukum dengan sendiri.

2) Sekiranya seseorang mujtahid ( orang yang berijtihad ) itu menghadapi sesuatu masalah yang memerlukan penyelesaian segera dalam keadaan dia tidak sempat membuat kajian, tetapi dengan bersyarat.

• Menurut pendapat yang rajih, dibolehkan bertaqlid berdasarkan kepada dua perkara iaitu:
i. Orang yang tidak mempunyai ilmu.
ii. Seseorang awam itu tidak mampu mengistinbat hukum syarak melalui dalil-dalilnya.


DASAR ITTIBA’

• Dalam al-Quran, terdapat banyak petunjuk nass yang mengajak supaya mengikut setiap yang diperintah dan menjauhi setiap yang ditegah.


• Allah s.w.t menyeru umatnya supaya merujuk setiap permasalahan berpandukan kepada al-Quran dan al-Sunnah yang telah diturunkan oleh Allah s.w.t.


• Orang yang bertaqlid atau muqallid boleh beramal dengan salah satu daripada dua pendapat atau berpegang dengan mana-mana mazhab jika mereka tidak mampu mengeluarkan hukum sendiri.


PENERANGAN SECARA TERPERINCI MENGENAI PERBEZAAN TAQLID DAN ITTIBA’
Terdapat perbezaan yang jelas di antara taqlid dan ittiba’. Antaranya ialah dari sudut pengertian dan dasar.

Perbezaan Dari Sudut Pengertian:
Taqlid dari segi bahasa diambil daripada perkataan al-qiladah ((القلادة, iaitu sesuatu yang diletakkan di leher. Ia boleh didefinisikan sebagai kalung atau rantai yang digantung di leher ( Amir Abd Aziz 1997 : 770 ).

Manakala Ittiba’ dari segi bahasa bererti mengikut dan menurut.

Maksud taqlid dari segi istilah pula, terdapat beberapa pengertian taqlid seperti mana telah disebutkan sebelum ini . Antaranya ialah :

1- Nukilan daripada al-Imam al-Ghazali pula mentakrifkan taqlid ialah menerima sesuatu pendapat tanpa mengetahui alasan atau hujah ( al-Ghazaliyy 1997 : 542 ).
2- Nukilan daripada Ibn al-Humam pula, taqlid bermaksud mengamalkan pendapat orang lain tanpa hujah atau dalil ( Amir Abd Aziz 1997 : 770 ).
3- Manakala menurut jumhur ulama usul, taqlid diertikan sebagai mengikuti perkataan atau perbuatan orang lain tanpa meneliti dalilnya atau penerimaan hukum-hukum daripada seorang imam tertentu ( Amir Abd Aziz 1997 : 772 ).

Di samping itu juga, taklid menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga ( 2002 : 1349 ) pula ialah:
1- Pegangan pada pendapat ahli hukum yang terdahulu.
2- Percaya sepenuhnya kata-kata orang, menurut ( meniru dan meneladani orang lain).
3- Buta dan hanya menurut ( mengikut ) sahaja.
Manakala ittiba’ dari segi istilah ialah ( Abd Latif Muda & Rosmawati 2001 : 429 ) :
i. Mengikuti pendapat orang lain dengan mengetahui dasarnya atau mengikuti pendapat dalam sesuatu urusan dengan mengetahui dalilnya sama ada daripada al-Quran dan al-Sunnah.
ii. Mengikuti setiap yang diperintahkan oleh Allah s.w.t serta menghindarkan setiap yang ditegah oleh Allah s.w.t seperti yang disampaikan oleh Baginda Rasulullah s.a.w.

PERBEZAAN DARI SEGI DASAR :
Dasar Taqlid
Taqlid berlaku pada dua tempat:
1. Sekiranya muqallid ( orang yang bertaqlid ) itu seorang awam yang tidak dapat mengenal pasti sesuatu hukum dengan sendiri. Oleh itu, dia mestilah bertaqlid. Berdasarkan firman Allah s.w.t:

Maksudnya: Maka tanyakanlah olehmu kepada orang-orang yang berilmu, jika kamu tidak mengetahui.
( Surah al-Anbiyaa’ 21 : 7 )

Ayat ini menunjukkan bahawasanya Allah s.w.t mengarahkan kepada sesiapa yang tidak tahu supaya bertanya kepada yang tahu. Ini menunjukkan bahawasanya manusia terbahagi kepada dua golongan iaitu alim dan jahil. Yang jahil dikehendaki bertanya kepada yang alim mengenai perkara yang dia perlukan tetapi tidak mengetahui mengenainya. Dia hendaklah bertaqlid kepada sebaik-baik orang yang alim dan warak. Sekiranya didapati dua orang yang serupa, maka dia boleh memilih antara mereka berdua.

2. Sekiranya seseorang mujtahid ( orang yang berijtihad ) itu menghadapi sesuatu masalah yang memerlukan penyelesaian segera dalam keadaan dia tidak sempat membuat kajian, di sini dia dibenarkan bertaqlid. Sesetengah ulama membolehkan bertaqlid di sini dengan syarat masalah tersebut bukan merupakan masalah dasar agama yang wajib dii’tiqadkan ( dipercayai ) kerana i’tiqad mesti berasaskan kepada keyakinan, manakala taqlid hanya berasaskan kepada zann sahaja.

Menurut pendapat yang rajih, dibolehkan bertaqlid berdasarkan kepada dua perkara iaitu:
i. Orang yang tidak mempunyai ilmu.
Firman Allah s.w.t:
Maksudnya: Maka tanyakanlah olehmu kepada orang-orang yang berilmu, jika kamu tidak mengetahui.
( Surah al-Anbiyaa’ 21 : 7 )

Ayat ini di dalam konteks penetapan risalah yang merupakan salah satu dasar agama, dan Allah s.w.t menyuruh umatnya yang tidak mengetahui ( tidak berilmu ) supaya bertanya kepada orang yang lebih mengetahui ( orang berilmu ).

ii. Seseorang awam itu tidak mampu mengistinbat hukum syarak melalui dalil-dalilnya. Apabila dia tidak dapat mengenal pasti sesuatu kebenaran dengan usahanya, tiada yang tinggal kecuali bertaqlid ( al-Syaikh Muhammad t.th : 134 ).

Firman Allah s.w.t:

Maksudnya: Maka bertakwalah kamu kepada Allah menurut kemampuanmu.

( Surah al-Taghaabun 64 : 16 )

Ayat ini jelas menunjukkan bahawasanya Allah s.w.t menyeru umatnya supaya bertaqwa kepadaNya setakat yang terdaya. Allah s.w.t tidak membebankan umatnya dengan perkara yang di luar kemampuan manusia.

Dasar Ittiba’
Dalam al-Quran, terdapat banyak petunjuk nass yang mengajak supaya mengikut setiap yang diperintah dan menjauhi setiap yang ditegah, khasnya yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Antaranya ialah:

i. Firman Allah s.w.t:
Maksudnya: Dan al-Quran itu adalah kitab yang kami turunkan yang diberkati, maka ikutilah dia dan bertakwalah agar kamu diberi rahmat.
( Surah al-A’raf 7 : 2 )

ii. Firman Allah s.w.t yang lain:

Maksudnya: Dan bahawa ( yang kami perintahkan ini ) adalah jalanKu yang lurus, maka ikutilah Dia, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan ( yang lain ), kerana jalan-jalan itu mencerai beraikan kamu dari jalannya. Yang demikian itu diperintahkan Allah agar kamu bertakwa.
( Surah al-An’am 6 : 153 )


iii. Firman Allah s.w.t yang lain pula:


Maksudnya: Katakanlah: "Inilah jalan ( agama ) Aku, Aku dan orang-orang yang mengikutiKu mengajak ( kamu ) kepada Allah dengan hujah yang nyata, Maha Suci Allah, dan Aku tiada termasuk orang-orang yang musyrik".
( Surah Yusuf 12 : 108 )


iv. Firman Allah s.w.t lagi:


Maksudnya: Katakanlah: "Jika kamu ( benar-benar ) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
( Surah al-Imran 3 : 31 )

Kesemua ayat di atas menunjukkan bahawa Allah s.w.t menyeru umatnya supaya merujuk setiap permasalahan berpandukan kepada al-Quran dan al-Sunnah yang telah diturunkan oleh Allah s.w.t. Al-Quran merupakan sumber utama rujukan manusia dan menjadi petunjuk ke arah jalan yang lurus. Manakala al-Sunnah merupakan sumber rujukan yang utama selepas al-Quran. ( Abd Latif Muda & Rosmawati 2001 : 430 ).


KESIMPULAN

Taqlid bukanlah ittiba’, kerana ittiba’’ ialah jika seseorang mengikuti perkataan orang lain yang nampak kesahihan perkataannya, dan taqlid adalah jika seseorang mengikuti perkataan orang lain dalam keadaan tidak tahu dari segi makna perkataannya. Para imam melarang para pengikutnya bertaqlid dan memerintahkan mereka agar selalu ittiba’.

Dalam masalah talfiq, tidak harus dan ditegah daripada bertalfiq jika perkara- perkara atau perbuatan itu boleh membawa kepada kepada keruntuhan asas- asas syariah dan menghapuskannya. Jika sebaliknya maka diharuskan bertalfiq untuk memberi kebahagiaan kepada manusia di dunia dan akhirat dengan mempermudahkan manusia dalam soal ibadat dan menjaga kepentingan manusia dalam soal muamalah.

Allah s.w.t mengharuskan kepada umatnya yang tidak mampu untuk berijtihad seperti orang awam supaya bertanya kepada orang lebih mengetahui ( mufti ) untuk mendapatkan sesuatu kebenaran. Fatwa yang dikeluarkan daripada mufti itu mesti diterima pakai tanpa mengambil kira fatwa tersebut bersumber daripada mana-mana mazhab.

Dabit atau kawalan yang menjadi perkiraan kepada pengharusan atau pengharaman taqlid ialah setiap yang membawa kepada pengukuhan syariat Islam dan memelihara setiap tuntutan syariat serta yang mendatangkan kebahagiaan kepada manusia, maka talfiq adalah harus bahkan dituntut. Manakala, setiap talfiq yang menjurus kepada melemahkan agama dan mendedahkan syariat kepada kelemahan, maka talfiq itu adalah haram.


RUJUKAN

Abdul Kadir Hasan. 1977. Usul fiqh. Kelantan: Pustaka Aman Press Sdn. Bhd.

Abdullah bin Ahmad. 1997. Raudah al-nazir wa jannat al-manazir fi usul al-fiqh. Saudi: Maktabah al-Rashd al-Riadiyy.

Abd. Latif Muda. 2003. Perbahasan sejarah perundangan Islam dan mazhab fiqh. Kuala Lumpur: Pustaka Salam Sdn. Bhd.

Abd. Latif Muda & Rosmawati Ali@Mat Zin. 2001. Perbahasan usul al-ahkam. Kuala Lumpur: Pustaka Salam Sdn. Bhd.

Abi Zaid Ubaidillah bin Umar. 2001. Taqwim al-dilalah fi usul al-fiqh. Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah.

Amir Abd Aziz. 1997. Usul al-fiqh al-Islami. t.tp: Dar al-Salam.

Asep Saefullah FM & Kamaluddim Sa’diyulharamain. 2000. Panduan hukum Islam. Indonesia: Pustaka Azzam.

al-Ghazaliyy. 1997. al-Mustasfa min ilmi al-usul sunt. Sulaiman al-Ashqar. Beirut: al- Resalah Publishing House.

Hassan bin Haji Ahmad. 2002. Usul fiqh. Kuala Lumpur: Pustaka Haji Abdul Majid.

Muhammad Adib bin Samsudin. t.th. Taqlid dan talfiq satu tinjauan ringkas. t.tp.
DISEDIAKAN OLEH:
ABDUL HAFIZ ABDUL RAZAK
NURHIDAYAT MUSTAKIM MUHAMED
SYARIFAH ABD MANAN
NURUL ASYIKIN MOHD ISA
SYAMIMI AB RAHMAN
HAYATI YAH




0 comments: