Assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Sunday, April 11, 2010

AL-'URF

PENGERTIAN AL-‘URF

Dari segi bahasa al-‘urf bermaksud berikut-ikut atau menurut. Al-‘Urf juga adalah sesuatu yang diketahui oleh manusia dan menjadikan sesuatu itu sebagai tatacara kehidupan. Sama ada dari segi percakapan perbuatan atau warisan yang telah ditinggalkan (Abdul Wahab Khalaf: 89 ). ‘Urf juga didefinisikan sebagai berterusan.
ÏM»n=y™ößJø9$#ur $]ùóãã ÇÊÈ
Maksudnya: Demi (makhluk-makhluk) Yang dihantarkan berturut-turut (menjalankan tugasnya), ( al-Mursalāt 77:1)

Lafaz $]ùóãã membawa makna berturut-turut bersesuaian dengan perihal ‘urf. Manakala dari sudut istilah ahli Usul Fiqh pula, Al-Nasafi di dalam kitabnya Al-Muṣțafā Sharḥ al-Fiqh Al-Nāfi’ mentakrifkan ‘urf sebagai:

ما استقرت في النفوس من جهة العقول وتلقته الصباع السليمة بالقبول
Maksudnya: Perkara yang telah tersemat di dalam jiwa menurut akal fikiran dan diterima baik oleh naluri manusia yang betul. (al-Mustafa: )

Takrifan di atas menunjukkan bahawa ‘urf meliputi perkara sama ada perkataaan atau perbuatan yang sudah menjadi amalan dan diterima oleh masyarakat mengikut pertimbangan akal yang sihat. Secara ringkasnya, ‘urf pada bahasa dan istilah Usul Fiqh mempunyai kaitan yang rapat terutama pada makna berturutan. Ini kerana sesuatu tidak dikira sebagai’urf dari segi istilah kecuali jika ia berturutan dan berulang-ulang sehingga kekal dan sebati dalam kehidupan (Rosmawati Ali @ Mat Zin 2005: 133).

PEMBAHAGIAN AL-‘URF

Di dalam ‘urf terdapat beberapa pembahagian iaitu dari aspek sebab dan pergantungan, aspek sumber dan juga aspek perakuan dan penolakan syarak. Dari aspek sebab dan pergantungan, terdapat dua bahagian yang terkandung di dalam aspek ini iaitu dari sudut perkataan atau lafaz dan juga perbuatan. ‘Urf perkataan ialah ‘urf yang berkaitan dengan penggunaan perkataan untuk makna-makna yang sudah menjadi kebiasaan dan difahami oleh masyarakat setempat atau orang ramai (Badrān Abu al-‘Unayn 1965:318).
Dengan kata lain sesuatu perkataan itu telah bergantung menjadi satu kebiasaan ataupun sesuatu masyarakat telah biasa menggunakannya. Misalnya:

يوْصِيْكُمُ اللّٰهُ فِىْۤ اَوْلَادِكُم لِلذَّكَرِ مِثْلُ حَظِّ الْاُنْثَيَيْنِ‌ۚ
Maksudnya: Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan. ( al-Nisā 4: 11 )

Di sini diambil kira dari sudut lafaz dan perkataan ٲولادكم . Daripada ayat ini, lafaz tersebut adalah lafaz yang merujuk kepada lelaki dan perempuan. Namun mengikut ‘urf dan adat ia hanya terbatas kepada lelaki sahaja.
Manakala contoh yang kedua dapat dilihat melalui ayat al-Quran:-

وَهُوَ الَّذِىْ سَخَّرَ الْبَحْرَ لِتَاْكُلُوْا مِنْهُ لَحْمًا طَرِيًّا
Maksudnya: Dan Dialah yang memudahkan laut, supaya kamu dapat makan daripadanya daging yang lembut hidup-hidup. (an-Nahl 16:14)
Melalui ayat ini penggunaan lafaz لحم dalam al-Quran menyatakan ia adalah daging. Namun, mengikut adat kebiasaan dimaksudkan adalah ikan dan ia terkeluar daripada kategori daging. ( Rosmawati Ali @ Mat Zin 2005: 136 ).
Selain itu,‘Urf ‘amaliyy ialah ‘urf yang berkaitan dengan perbuatan ataupun amalan yang telah menjadi kebiasaan manusia dan orang ramai. Perbuatan atau amalan itu sememangnya sentiasa diamalkan. ( Rosmawati Ali @ Mat Zin 2005: 136 ).
Contoh ‘urf perbuatan ialah amalan jual beli dilakukan dengan keadaan hanya berunjuk tanpa sighah ijab dan qabul. Hal ini menunjukkan bahawa perbuatan berunjuk-unjuk tanpa sighah ijab dan qabul adalah dibenarkan oleh syarak memandangkan ia merupakan sesuatu perkara yang menjadi kebiasaan dan ‘urf masyarakat setempat.
Seterusnya, aspek kedua ialah aspek sumber. Di dalam aspek ini, terdapat tiga bahagian yang akan menjadi tajuk perbincangan iaitu ām,khāṣ dan shar’iyy.
‘Urf ām ialah sesuatu perbuatan atau perkataan yang sememangnya menjadi kebiasaan di seluruh pelusuk dunia dan semua negara dan perkara ini akan berkekalan sepanjang zaman (Badrān Abu al-‘Unayn 1965:318).
Antara contoh ‘urf am ialah tidak kira mengambil tempoh penggunaan bilik air. Di dalam situasi ini, semua orang akan membayar dengan kadar dan harga yang sama serta tidak dikira sama ada lama atau sekejapnya seseorang itu menggunakan bilik air. Hal ini telah menjadi suatu perkara biasa di seluruh pelusuk dunia. Tidak ada satu pun negara di dunia akan menetapkan bahawa seseorang itu perlu membayar berdasarkan tempoh penggunaan bilik air.
Selain itu, memasuki masjid tanpa menanggalkan kasut ataupun selipar dikira telah menghina kemuliaan dan mencemari kesucian masjid. Situasi ini adalah menjadi perkara yang biasa yang diamal oleh masyarakat di seluruh dunia.
Di samping itu,‘Urf khāṣ ialah sesuatu perkara yang telah menjadi kebiasaan atau dikenali hanya di kalangan penduduk dan masyarakat di sesebuah negara atau negeri atau di kawasan serta kempulan-kumpulan tertentu (Badrān Abu al-‘Unain 1965:318).
Contoh ‘urf ini ialah seperti di negara Malaysia. Seseorang yang ingin memasuki rumah orang Islam tanpa menanggalkan kasut atau selipar adalah dianggap sebagai kurang ajar dan menghina tuan rumah. Namun demikian, situasi ini berbeza dengan negara-negara Barat seperti Amerika.
Selain itu, perkataan الدابةtelah dikenali oleh penduduk di Iraq sebagai kuda ( Muhammad Adib bin Samsudin 2010 ). Walaubagaimanapun, istilah itu hanya digunakan di negara Iraq sahaja dan bukan di negara-negara lain. ini menunjukkan bahawa ‘urf khas tidak meliputi kesemua negara akan tetapi hanya melibatkan kawasan-kawasan tertentu.
‘Urf shari’yy pula ialah suatu lafaz yang telah digunakan oleh syarak dengan makna yang khusus ( Muhammad Adib bin Samsudin 2010 ). Hal ini dapat dilihat melalui makna yang terdapat di dalam sesuatu lafaz.
Contohnya lafaz sembahyang. Sembahyang dari sudut bahasa bermaksud berdoa untuk kebaikan manakala dari segi istilah syarak pula bermaksud perkataan dan perbuatan tertentu yang dimulai dengan takbiratul ihram dan diakhiri dengan salam. Melalui kedua-dua pengertian ini, makna dari segi bahasa dan istilah adalah berlainan. Namun, istilah syarak menunjukkan makna tertentu iaitu bukan sekadar doa, tetapi ada perbuatan lain yang perlu dilakukan sehingga sah perbuatan tersebut.
Manakala perkataan puasa dari segi bahasa ialah menahan diri. Istilah syarak pula bermaksud menahan diri daripada sesuatu perkara yang boleh membatalkan puasa dari terbit fajar hingga ke terbenam matahari. Ini menunjukkan bahawa berpuasa perlulah merangkumi perbuatan yang menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa bagi membolehkan perbuatan puasa itu sah dan diterima.
Akhir sekali ialah dapat dilihat melalui aspek perakuan dan penolakan syarak, ia terbahagi kepada dua iaitu dari segi ṣaḥiḥ dan fāsid.
‘Urf yang ṣaḥiḥ di sini bermaksud segala adat yang berkaitan dengan perbuatan, perkataan, sama ada ia khas atau am itu tidak bercanggah dengan nas syarak mahupun ijmak (Badrān Abu al-‘Unain 1965:318). Selain itu, ia juga membawa maksud sesuatu perkara yang menjadi kebiasaan orang ramai untuk melakukannya tanpa membatalkan perkara wajib serta tanpa mengharamkan yang halal dan tanpa menghalalkan yang haram ( Rosmawati Ali @ Mat Zin 2005: 137 ).

Contoh ‘urf ṣaḥiḥ adalah seperti perlunya sekufu di dalam perkahwinan, tiada syarat tersebut pada asalnya di dalam nas namun syarat ‘urf itu diterima . Di dalam hal ini, tiada hukum pada asalnya, namun ‘urf ada menetapkan dan ia tidak bercanggah dan boleh diterima. ( Rosmawati Ali @ Mat Zin 2005: 137 ).
Manakala, ‘urf fāsid adalah segala adat yang berlaku dalam masyarakat dan didapati bertentangan dengan syariat Islam. ( Rosmawati Ali @ Mat Zin 2005: 136 ).
Contoh ‘urf fasid ialah tawaf dalam kedaan tidak berpakaian. Hal ini jelas bertentangan dengan syarak kerana Islam sama sekali melarang umatnya tidak berpakaian apatah lagi ketika beribadat kepada Allah. Di samping itu, pergaulan bebas dan tidak menutup aurat di antara perempuan dan sepupu lelaki yang sering berlaku di dalam masyarakat adalah sama sekali bercanggah dengan nas iaitu mengharamkan mendedahkan aurat kepada bukan mahram.


KEHUJAHAN AL-‘URF

Terdapat perselisihan di antara ulama usul fiqh sama ada menerima atau menolak ‘urf sebagai salah satu daripada sumber untuk mengeluarkan hukum dalam permasalahan fiqh. Golongan yang menerima ialah ulama Hanafi dan Maliki. Mereka menerima ‘urf sebagai hujah atau dalil hukum. Malah Imam Malik mengguna pakai hukum ‘urf dalam kitabnya Al-Muwatta’ . Ulama Hanbali juga berpegang kepada ‘urf sebagai sumber hukum bahkan meluaskan penggunaannya. (Muhammad bin Ibrahim 2007)
Mereka mengiktiraf ‘urf sebagai sumber hukum syarak kerana ia adalah selari dengan nas syarak. Oleh itu mereka menetapkan bahawa wajib beramal dengan hukum yang diistinbat melalui ‘urf. Ini adalah berdasarkan kepada ayat Allah :
خُذِ الْعَفْوَ وَأْمُرْ بِالْعُرْفِ وَأَعْرِضْ عَنِ الْجَاهِلِين        
Maksudnya :Terimalah apa yang mudah engkau lakukan, dan suruhlah dengan perkara yang baik, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang yang jahil (yang degil dengan kejahilannya). (Surah al-A’raaf : 199)

Berdasarkan ayat ini Allah mengambil kira ‘urf dan adat sebagai salah satu untuk dijadikan sumber hukum manakala ‘urf sememangnya adalah suatu perkara yang dan boleh dijadikan sumber hukum. Ia menjadi kehujahan Mazhab Hanafi dan Maliki.
Manakala golongan yang tidak menerima ‘urf sebagai hujah ialah Imam Syafie. Imam Syafie tidak menerima ‘urf sebagai sumber hukum secara jelas dan nyata. Mazhab Zahidiah dan Syiah juga tidak menerima ‘urf sebagai sumber hukum. (Ibnu Ibrahim Muhammad, 2007). Golongan ini menolak kehujahan ‘urf kerana ia bercanggah dengan nas-nas syarak. Contohnya seperti amalan riba yang berlaku dalam adat masyarakat jahiliyyah terus diharamkan oleh syarak (Rosmawati Ali @ Mat Zin 2005: 139). Hal ini jelas bertentangan dengan syarak.


SYARAT-SYARAT ‘URF

Untuk memastikan ‘urf dalam syariat Islam tidak disalahgunakan, para ulama telah mengemukakan beberapa syarat yang mesti dipenuhi. Syarat-syarat tersebut adalah : (Mohamad Zaini bin Yahaya 1999: 67 )

i. Bersifat Muțțarid atau Ghalib
Maksud muțțarid di sini ialah ‘urf hendaklah menjadi amalan berterusan di kalangan pengamalnya. Jika sesuatu perkara itu kurang diamalkan oleh pengamalnya, ia tidak dikira sebagai ‘urf muttarid atau ghalib. Umpamanya menyegerakan sebahagian mas kahwin serta menangguhkan sebahagiannya dikira sebagai ‘urf muțțarid jika ia adalah amalan bagi setiap perkahwinan dalam sesuatu kawasan atau negara. Jika ia adalah amalan bagi sebahagian besar perkahwinan yang diadakan ia adalah ‘urf yang bersifat ghalib. Persyaratan ini adalah merangkumi ‘urf am dan khas. Jika ‘urf am, ia disyaratkan muttarid atau ghalib dalam ruang lingkupnya yang umum dan jika ia ‘urf khas, ia disyaratkan muttarid dan ghalib dalam ruang lingkupnya yang khusus.
ii. Wujud Semasa Berlakunya Sesuatu Permasalahan
‘Urf yang hendak dirujuk dalam sesuatu permasalahan hendaklah wujud ketika berlakunya permasalahan tersebut. Jika kewujudan ‘urf tersebut terkemudian dari berlakunya permasalahan tersebut, ia tidak diterima sebagai rujukan dalam penetapan hukum bagi permasalahan tersebut.
Tidak Terdapat Persepakatan Ahli Akad Yang Bertentangan Dengan ‘Urf
Syarat ini merupakan syarat utama bagi kaedah المعروف عرفا كالمشروط شرطا . Kaedah ini diiktiraf selagi tidak terdapat persepakatan lain yang bertentangan dengan ‘urf. (Mohammad Zaini bin Yahaya 1999: 67 ). Contohnya kerosakan rumah sewa yang pada asalnya ditanggung oleh tuan rumah sendiri tetapi, mengikut ‘urf, akadnya ialah segala kerosakan akan ditanggung oleh penyewa dan bukan oleh tuan rumah.
iii. Tidak Bertentangan Dengan Kehendak Nas
Ini merupakan syarat terpenting bagi penggunaan ‘urf kerana ‘urf tidak mustahil tersalah berbanding dengan nas. Begitu juga tindakan sebahagian cendiakawan Islam moden yang mengharamkan poligami secara total dengan alasan sukar berlaku adil disebabkan keruntuhan akhlak manusia mutakhir ini, adalah salah kerana bertentangan dengan kehendak nas. Jika diamalkan ‘urf yang bertentangan dengan kehendak nas maka ia mengakibatkan banyak ayat al-Quran dan hadith dicanggah dan dibatalkan kehendaknya.


CONTOH-CONTOH PENGGUNAAN ‘URF DALAM FURUK FIQH

Perselisihan fuqaha ini dikatakan kerana berlainan masa dan keadaan suasana, bukan kerana berlainan hujah dan dalil. Maka, jika seseorang mujtahid mengeluarkan suatu hukum atau fatwa yang berasakan kepada ‘urf di negeri atau negara yang berlainan, ‘urfnya tidak mesti mengikutinya. Contohnya:
- Abu Hanifah menafikan bahawa paksaan tidak diambil kira melainkan paksaan daripada sultan, manakala Abu Yusuf dan Muhamad tidak berpendapat sedemikian, bahkan paksaan boleh terlaksana dan diambil kira sama ada datangnya daripada sultan ataupun tidak
- Fuqaha Malikiyyah pula menetapkan bahawa lelaki yang keluar di khalayak dalam keadaan kepalanya terbuka adalah mencacatkan keadilannya bagi orang-orang Timur, sedangkan bagi orang-orang Barat tidak sedemikian. Ini kerana dilihat kepada ‘urf yang berlainan. ‘Urf sedemikian telah pun berubah dikebanyakan negara di Timur dan oleh sebab itu hukum juga turut berubah.
- Mengikut riwayat Imam Malik, beliau membenarkan dakwaan suami tentang penyerahan mas kahwin apabila berlaku perbalahan di antara suami isteri dalam hal tersebut setelah mereka berdua bersatu, sedangkan pada zahirnya hendaklah dibenarkan dakwaan isteri. Ini adalah kerana pada asalnya tiada penerimaan mas kahwin tersebut. Kemudian fuqaha memberi alasan ke atas hukuman Imam Malik itu bahawa mengikut adat kebiasaan di Madinah, lelaki tidak akan bersatu dengan isterinya melainkan selepas perempuan itu menerima mas kahwinnya. Oleh yang demikian, adat itu telah pun berubah maka hukum juga turut berubah, iaitu dibenarkan dakwaan isteri bersama sumpahnya. (Ahmad Kamaruddin 2003: 64)
- Berdasarkan ulama mutakhir mengharuskan ambil upah mengajar al-Quran, tetapi mengikut keharusan perkara tersebut menyalahi di sisi ulama. Antaranya ulama Hanafiyyah melihat pada perubahan masa, dan tiada lagi bayaran dari Bayt Mal kepada para guru dan sebagainya. Maka sekiranya mereka menumpukan perhatian terhadap bidang lain seperti pertanian, perniagaan atau sebaliknya nescaya akan terabailah pengajaran al-Quran dan syi’ar-syi’ar Islam. Oleh yang demikian, mereka menetapkan bahawa antara syarat ijtihad adalah dengan mengambil kira adat manusia setempat, kerana banyak hukum yang berbeza disebabkan berlainan masa kerana perubahan adat manusia atau kerana berlakunya darurah. Jika dikekalkan juga hukum sebagaimana pada masa awal sebelum berlaku perubahan adat, nescaya membawa kesulitan dan kesukaran kepada manusia dan berlawanan dengan kaedah-kaedah syari’at yang terbina di atas dasar memberi keringanan dan menolak kemudaratan.


PERANAN 'URF TERHADAP PENETAPAN HUKUM FIQH
Terdapat beberapa peranan ‘urf terhadap penetapan terhadap hukum fiqh antaranya ialah:

i) Penyokong kepada dalil-dalil fiqh :
Seperti yang telah ketahui, mudharabah ialah : دفع المالك مالا للعامل ليعمل فيه والربع بينهما yang bermaksud : satu perbuatan perkongsian harta iaitu seorang pemilik harta (pemodal) menyerahkan hartanya kepada pengusaha untuk diusahakan modal tersebut dan keuntungan dibahagikan antara mereka berdua mengikut persetujuan (Nik Abdul Rahim Nik Abdul Ghani : 2010). Mudharabah adalah diharuskan oleh ijmak dan diperakui oleh syarak (Abdul Latif Muda 1997:65). Firman Allah :
        
Maksudnya: …dan yang lainnya orang-orang musafir di muka bumi untuk mencari rezeki dari limpah kurnia Allah. (al-Muzammil 73:20).

Mudharabah juga diperakui oleh Baginda Rasulullah apabila Baginda juga pernah membuat akad mudharabah dengan Saidatina Khadijah, isteri Baginda. Siti Khadijah telah menyerahkan hartanya kepada Rasulullah supaya Baginda berniaga di negara Syam sebelum Baginda menjadi rasul. Di sini perlulah disebutkan bahawa mudharabah telah pun diamalkan dalam masyarakat Arab dan telah menjadi 'urf dalam masyarakat mereka iaitu amalan ini telah menjadi adat kebiasaan masyarakat Arab dahulu dan apabila datang ajaran Islam, maka ia diperakui ( Muhammad Hj. Md.Daud 2006:115).

Meskipun mudharabah diharuskan oleh syarak, namun kadar perkongsian keuntungan antara dua pihak adalah berbeza-beza mengikut adat dan 'urf. Kadar perkongsian keuntungan ini bolehlah diukur melalui nisbah 50:50, 70:30, atau selainnya.

Tuntasnya dapatla difahami di sini bahawa 'urf iaitu adat kebiasaan masyarakat sesebuah tempat berperanan sebagai penyokong dan menguatkan dalil-dalil fiqh yang telah sedia ada.

2) Penghurai kepada hukum-hukum fiqh yang terkandung dalam nas :

Seorang bapa berkewajipan memberi nafkah dari sudut makanan dan pakaian kepada ibu yang menyusukan anaknya. Nafkah yang wajib diberi adalah mengikut kadar keperluan, kemampuan bapa serta mengikut keadaan semasa. Tuntutan supaya bapa memberikan nafkah kepada ibu bertepatan dengan nas syarak (Abdul Latif Muda 2001:231). Firman Allah :

وعلى المولود له رزقهنّ وكسوتهنّ بالمعروف
Maksudnya: dan kewajipan bapa ialah member makanan dan pakaian kepada ibu (yang menyusukan anak) itu menurut cara sepatutnya.

Dalam ayat di atas, Allah telah mewajibkan kepada seorang bapa untuk memberi makanan dan pakaian kepada ibu mengikut ‘urf iaitu mengikut adat kebiasaan sesuatu tempat. Kadar bagi seorang bapa untuk memberikan nafkah makanan dan pakaian adalah tidak dietapkan dengan sesuatu bilangan atau ukuran malahan mengikut adat kebiasaan dalam kehidupan seharian.
Seterusnya bapa mestilah berusaha mencari ibu susuan untuk anaknya supaya ia boleh disusukan. Seterusnya bapa juga perlulah menyediakan upah kepada orang lain yang menyusukan anaknya kerana ia merupakan kewajipan dan tanggungjawab kepada seorang bapa sebagaimana firman Allah (Abdul Latif Muda 2000:288) :

وان ٲردتّم ٲن تسترضعوا أولادكم فلا جناح عليكم إذا سلّمتم مّا ءاتيتم بالمعروف
Maksudnya: Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu serahkan (upah) yang kamu mahu beri itu dengan cara yang patut.

Ayat ini menyatakan bahawa seorang bapa perlu memberi nafkah kepada ibu yang menyusukan anak. Bapa juga perlulah mencari ibu susu untuk anaknya dan memberikan upah yang sewajarnya sekiranya si ibu tidak mampu untuk menyusukan anaknya disebabkan atas kesibukan bekerja. Upah yang diberikan kepada ibu susu juga perlulah mengikut adat kebiasaan masyarakat setempat. Oleh yang demikian jelaslah bahawa 'urf berperanan sebagai penghurai kepada hukum-hukum fiqh yang terkandung dalam nas.


3) Mengkhususkan nas-nas yang bersifat umum :

Pemakaian 'urf sebagai sumber hukum tidak bererti membatalkan nas-nas syarak yang telah sedia ada. Namun 'urf dapat mengkhususkan nas-nas syarak yang bersifat umum. Oleh yang demikian, di sini dapatlah difahami bahawa 'urf dapat membataskan nas-nas syarak yang bersifat umum. Sebagai contoh hadis daripada Baginda Rasulullah yang berbunyi (Hanafi 1977:89) :
لا تبع ما ليس عندك
Maksud : Nabi melarang menjual apa yang tidak ada di tangan seseorang.

Hadis di atas adalah berbentuk umum iaitu telah menegah segala bentuk jual beli tanpa berlakunya penyerahan barangan. Larangan ini seharusnya termasuk dalam jual beli dengan cara pemesanan barangan iaitu Istisna' atau jual salam kerana jual beli dengan cara ini juga tidak mengalami proses penyerahan barangan (Hanafi 1977:89). Namun ‘urf mengkhususkan bahawa jualan bertempah yang berskala kecil atau besar melalui ‘urf dibolehkan.

Tuntasnya di sini telah jelas bahawa u'rf berperanan sebagai pentakhsis kepada nas-nas syarak yang berbentuk umum dan situasi di atas dapat dijadikan contoh iaitu ‘urf masyarakat yang gemar menjalankan jual beli secara pesanan (istisna') telah menjadikan jual beli dengan cara ini terkeluar dari larangan jual beli tanpa barangan ada di tangan pembeli mahupun penjual.


4) Rujukan kepada pemerintah dalam penetapan hukuman (ta'zir) :

Ta'zir membawa maksud, tiap-tiap tindakan atau hukuman daripada pemerintah yang boleh menakutkan orang lain daripada melakukan kesalahan untuk tujuan menjaga kemaslahatan masyarakat. Penetapan hukuman yang dikeluarkan oleh pemerintah hendaklah tidak bercanggahan dengan al-Quran dan sunnah. Pemerintah juga perlu menggubal undang-undang atau hukuman mengikut keadaan masyarakat setempat ataupun adat kebiasaan ('urf).

Oleh yang demikian, akan wujud hukuman ta'zir yang berbeza-beza mengikut perbezaan rakyat setempat dan adat kebiasaan dan perbezaan ini hendaklah dihormati. Masyarakat di negara yang berbeza tidak boleh mempersoalkan hukuman pemerintah yang dikeluarkan oleh negara masing-masing kerana hukuman tersebut digubal mengikut kesesuaian masyarakat setempat.

Penetapan hukum ta'zir berdasarkan 'urf dirasakan penting apabila ia berkaitan dengan penetapan hukum oleh pemerintah di negara yang keseluruhannya terdiri daripada golongan yang kaya. Negara yang mengandungi jenis masyarakat seperti ini adalah tidak relevan menetapkan hukuman bagi sesuatu kesalahan dengan denda wang ringgit. Ini kerana hukuman tersebut tidak akan memberi keinsafan sepenuhnya kepada pesalah dan jauh sekali menakut-nakutkan pesalah untuk mereka meninggalkan kesalah yang pernah dilakukan.

Dari sudut yang lain pula, sesebuah negara berkemungkinan sangat relevan dengan peruntukan hukuman penjara bagi seseorang yang melakukan kesalahan. Hal ini kerana sememangnya hukuman penjara seperti ini dapat memberi kesedaran kepada pesalah kerana seperti yang kita ketahui bahawa hukuman penjara itu sangat menyusahkan apabila seseorang dikurung dan segala pergerakan mereka dibataskan berbanding dengan hukuman membayar denda yang dirasakan lebih mudah seterusnya boleh menyebabkan pesalah mengulangi kesalahan lalu.

Namun ada juga sesetengah masyarakat di sesebuah negara merasakan bahawa hukuman penjara seperti ini masih tidak dapat mengurangkan jumlah pesalah dalam negara mereka. Ada di antara mereka yang merasakan hukuman sebat itu adalah lebih baik dilaksanakan berbanding hukuman penjara kerana sebatan dapat menyakitkan pesalah seterusnya menginsafkan mereka untuk tidak mengulangi semula kesalahan tersebut.

Kesimpulannya, hukuman ta'zir adalah berbeza mengikut setiap tempat dan setiap masyarakat dalam sesebuah negara. Perbezaan ini adalah disebabkan setiap negara memiliki masyarakat yang pelbagai dari segi ragamnya dan kehendaknya dan adalah amat wajar hukuman yang ditetapkan atas mereka yang melakukan kesalahan juga berbeza dari setiap negara. Oleh itu jelaslah di sini bahawa 'urf berperanan dalam menjadi sumber rujukan para pemerintah bagi menetapkan sesuatu hukum untuk rakyat mereka yang dirasakan sesuai mengikut keadaan mereka.
5) Pembantu dalam proses tarjih :

Terdapat nas larangan bagi seorang wanita bermusafir tanpa ditemani oleh mahramnya atau suami (Hanafi 1977:89). Larangan ini bertepatan dengan hadis daripada Ibnu Abbas dan yang lainnya daripada Rasulullah :
لا تسافر المرأة إلا مع ذي محرم
Maksud : Seorang perempuan tidak boleh musafir kecuali bersama-sama mahramnya.(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Jika dilihat pada zaman Rasulullah, hal ini berlaku iaitu larangan wanita bermusafir tanpa diiringi mahram kerana wanita adalah mustahil untuk dibenarkan bermusafir dengan unta melintasi padang pasir yang luar tanpa ditemani oleh mahram mereka. Ini adalah keadaan yang dilihat sebagai illah atau sebab di sebalik larangan daripada hadis Rasulullah tadi.

Ulama' fiqah melihat pada 'illahnya (sebab larangan) kerana selepas kewafatan Rasulullah dan suasana di Arab menjadi aman, maka para wanita termasuk Aisyah r.a telah mengerjakan haji tanpa mahramnya. Maka ulama' fiqh melihat hadis itu tertakluk pada suasana dan keselamatan seseorang wanita ketika bermusafir. Jika perjalanan selamat dan bebas dari gangguan binatang buas, penjahat atau jatuh pada syahwat, maka larangan itu diangkat (Asqalani 7:201).
Menurut Prof. Yusof Abu Abdullah al-Qaradawi, pada masa sekarang suasana sudah aman. Ini ditambah pula dengan wujudnya pelbagai rangkaian lebuhraya dan kemodenan alat pengangkutan seperti : kereta dan kapal terbang serta rangkaian telekomunikasi yang canggih menjadikan sesuatu perjalanan (bermusafir) dalam satu kumpulan lelaki dan perempuan tanpa mahram jika aman dari fitnah adalah diharuskan. Justeru, dengan munculnya pelbagai sistem keselamatan (security) yang hebat dan canggih yang boleh menegah daripada berlakunya benda-benda yang tidak diingini (Ustaz Fauzan : 2007).
Dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Syaikhan diriwayatkan daripada Adi bin Hatim, daripada Rasulullah s.a.w yang bermaksud :

Maksud : Kelak akan ada wanita dari kota Hirah yang pergi mengunjungi Baitullah tanpa disertai suami, dengan tidak merasa takut kecuali kepada Allah.(Riwayat Bukhari dan Muslim)


Hadis ini telah memberitahu adanya petunjuk dari Rasulullah akan hal yang bakal berlaku. Mengikut pandangan Ibn Hazm, hadis ini ada kaitan dengan kemungkinan Islam akan berkembang sehingga serata dunia dan untuk berhijrah atau bermusafir perlu merintangi laut dan bukan setakat padang pasir ( Fauzan : 2007).

Kesimpulannya, 'urf berperanan sebagai pembantu dalam proses tarjih apabila membenarkan seseorang perempuan untuk bermusafir dengan syarat perlu ada tujuan yang baik dan bukanlah untuk bersuka ria. Keharusan ini perlulah dengan adanya alasan yang kuat untuk keluar bermusafir seperti menuntut ilmu, mencari rezeki atau melakukan sesuatu ibadat.



KESIMPULAN

Kesimpulannya, 'urf merupakan sesuatu yang diketahui manusia dan mereka mempraktikkan dalam kehidupan baik berupa perbuatan ataupun percakapan. 'Urf dikira sebagai salah satu sumber hukum yang diterima di kalangan jumhur ulamak meskipun berada di luar ruang lingkup nas.

'Urf terbahagi kepada dua bahagian iaitu 'urf dari segi perbuatan dan percakapan. Seperti yang diketahui, 'urf perbuatan ialah apa sahaja yang berkaitan dengan perbuatan atau tingkah laku yang sudah menjadi kebiasaan orang ramai dalam bermuamalat antara satu sama lain. Antara contoh yang dapat diketengahkan melalui pembahagian ini adalah perbuatan menanggalkan selipar apabila memasuki masjid bagi memelihara kesuciannya. Manakala 'urf percakapan pula adalah yang berkaitan dengan penggunaan perkataan untuk makna-makna yang sudah menjadi kebiasaan orang ramai seperti lafaz : al-Walad. Lafaz ini sememangnya diketahui sebagai makna yang hanya merujuk kepada anak lelaki, bukan anak perempuan.

Seterusnya, pembahagian 'urf dari sudut hukum dapat dilihat dalam dua pengkelasan iaitu 'urf yang benar dan yang salah. 'Urf yang benar ialah segala adat yang tidak bercanggahan dengan nas dan syarak serta tidak mendatangkan kemudaratan kepada manusia. Manakala 'urf yang salah pula ialah segala adat yang berlaku dalam masyarakat dan didapati bertentangan dengan syariat. Sebagai contoh pergaulan bebas antara sepupu lelaki dengan perempuan tanpa batasan aurat telah menjadi adat kebiasaan masyarakat dan merupakan adat yang sangan bertentangan dengan syarak.



Selain itu, untuk menerima penggunaan sesuatu 'urf itu bukanlah mudah namun memerlukan beberapa syarat yang telah ditetapkan antaranya : sesuatu 'urf itu diamalkan secara berterusan dalam semua masalah atau dalam kebanyakan masalah. Hal ini adalah kerana bukan dikatakan 'urf bagi sesuatu yang hanya diamalkan masyarakat dalam tempoh yang terhad. Seterusnya 'urf itu mestilah wujud dan diamalkan ketika berlaku tindakan sama ada berupa 'urf perbuatan ataupun perkataan, tidak menyalahi syarak dan mestilah diamalkan oleh orang ramai.

Akhir sekali, meskipun 'urf berada di luar ruang lingkup nas syarak, namun 'urf mempunyai banyak peranan dalam penetapan hukum fiqh antaranya sebagai penyokong terhadap dalil-dali fiqh, penghurai kepada hukum-hukum fiqh, mengkhususkan dalil-dalil nas yang bersifat umum dan membantu pemerintah dalam menetapkan sesuatu hukum.


RUJUKAN

al-Qurān
Abdul Latif Muda. 1997. Pengantar fiqh. Kuala Lumpur : Pustaka Salam
Abdul Latif Muda. 2000. Huraian hadis-hadis hukum 2. Kuala Lumpur: Pustaka Salam
Abdul Wahab Khalāf. 1956. Ilmu uṣūl al- fiqh. Al-toba’ah wa al-Nashy wa al-Tauzi’. Kaherah
Ahmad Kamaruddin. 2003 Usul fiqh II. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Badrān Abu al-‘Unayn Badran. 1965. Usul al-fiqh. Dar al-Ma’aruf, Jamiah al-Iskandariah
Fauzan. 2007. Hadith wanita. http://cmisiic.informe.com/forum/hadith-mengenai-wanita-dt64.html (28.03.2010)
Hanafi. 1977. Pengantar dan sejarah hukum Islam. Jakarta: Penerbit Bulan Bintang
Irfan. 2009. Sumber-sumber hukum Islam. http://irfanaseegaf.multiply.com/journal/item/3. [20.09.2009]
Mohammad Zaini bin Yahya. 1999. Pengaruh ‘urf terhadap penetapan hukum fiqh. Disertasi Sarjana. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Muhammad bin Ibrahim. 2007. Al-ijtihad wal ’urf . Darussalam
Muhammad Hj. Md. Daud. 2006. Fiqh muamalat dan jenayah. Bangi: Pusat Perkembangan Pelajar UKM
Rosmawati Ali @ Mat Zin. 2005. Pengantar ulum hadis. Kuala Lumpur : Pustaka Salam


Disediakan Oleh:

Nor Hafizah Haron
Jamiezrina Jemangin
Nur Farahin Zainul Rashidin
Syafiqah Murat
Adie' Herryzieyanti Abd. Gair

Sem2 09/10

0 comments: