Saturday, April 10, 2010

AL-ISTISHAB

1.0 PENGENALAN
Dalam mengeluarkan sesuatu hukum, terdapat pelbagai sumber yang boleh menjadi sandaran kepada mujtahid. Sumber-sumber ini boleh dibahagikan kepada dua jenis sumber iaitu sumber yang disepakati dan sumber yang tidak disepakati.

Jumhur ulama telah bersepakat bahawa ada empat sumber yang disepakati dalam mengeluarkan sesuatu hukum iaitu al-Quran, al-Sunnah, al-ijma’ dan al-qiyas.Manakala sumber-sumber yang tidak disepakati ini ialah al-istihsan, al-istishab, qawl sahabi dan pelbagai lagi.

Tugasan ini akan membincangkan salah satu daripada sumber yang tidak disepakati iaitu al-istishab. Perbincangan mengenai al-istishab ini menyentuh aspek pendefinisian,pembahagian-pembahagiannya, dalil-dalil kehujahan serta contoh-contoh al-istishab.

2.0 PENGERTIAN AL-ISTISHAB
Al-Istishab pada sudut bahasa ialah : bersahabat, bersama, tuntut persahabatan atau sentiasa seiring.( Abd Latif Muda & Rosmawati Ali@Mat Zain 2001)
Manakala al-istishab dari sudut istilah pula ialah:

1) Dalil yang menilai tetapnya suatu perkara selagi tidak ada sesuatu mengubahnya. Erti kata lain, ketetapan pada masa lalu berdasarkan hukum asal terus menerus berlaku untuk masa kini dan akan datang.( Abd Latif Muda & Rosmawati Ali@Mat Zain 2001: 146)

2) Ia turut membawa maksud:

" بقاء الأمر على ما كان عليه ما لم يوجد ما بغيره"

Maksudnya: “ Berkekalan hukum yang ditetapkan terdahulu tetap berlaku (pada masa sekarang) selagi tiada dalil yang merubah keadaannya”. Iaitu mengekalkan suatu hukum berasaskan kepada hukum yang sedia ada selagi tidak ada dalil yang mengubahnya. (Ahmad Kamarudin 2003:70)

3) Begitu juga ia boleh didefinisikan:

" الحكم بثبوت أمر في الزمان الثاني بناء على أنه كان ثابتا في الزمان الأول"

Maksudnya : Menghukum dengan ketetapan suatu perkara ( atau menafikannya) pada masa kini berdasarkan atas ketetapan (atau penafian) pada masa lalu, (kerana tidak ada dalil yang merubah keadaannya).( Ahmad Kamarudin 2003:70)

4) Pengertian al-istishab yang lain ialah sesuatu keputusan yang dibuat oleh ulama mujtahid dalam sesuatu perkara yang telah dikaji daripada al-Quran dan al-Sunnah setelah mereka tidak menemui sesuatu dalil pun yang boleh mengubah hukumnya. Dalam keadaan tersebut, ulama mengekalkan sesuatu hukum itu dengan berasaskan hukum yang telah sedia ada kerana tiada sebarang dalil pun yang dapat mengubah hukum tersebut.( Wahbah al-Zuhayly 1986 : 113)

3.0 PEMBAHAGIAN AL-ISTISHAB
Lanjutan daripada pengertian al-istishab tadi,kita akan lihat pula kepada pembahagiannya. Al-Istishab mengikut klasifikasinya dapat dibahagikan kepada lima bahagian iaitu:

ا)إستصحاب الحكم الأصلى للأشياء
ب) إستصحاب العدم الأصلي أو البراءة الأصلية
ت) إستصحاب الوصف المثبت للحكم الشرعي حتى يثبت خلافه
ث) إستصحاب مادل العقل والشرع على ثبوته واستمراره
ج) إستصحاب حكم الإجماع في محل النزاع

إستصحاب الحكم الأصلى للأشياء 3.1
Al-Istishab bahagian ini membawa maksud pada asalnya sesuatu itu adalah harus ketika tiada dalil yang menyalahinya apabila perkara itu memberi manfaat dan haram apabila sesuatu perkara itu mendatangkan kemudaratan.(Hasan bin Haji Ahmad 1998:351)
Antara dalil yang menunjukkan bahawa hukum asal iaitu harus pada perkara-perkara yang membawa manfaat ialah:

Firman Allah Taala pada surah al-Baqarah ayat 29
    •   
Maksudnya:Dialah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.

Seterusnya firman Allah Taala pada surah al-Jathiyah ayat 13
  •         •     
Maksudnya:Dan ia memudahkan untuk (faedah dan kegunaan) kamu, segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, (sebagai rahmat pemberian) daripadanya; Sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kemurahan dan kekuasaanNya) bagi kaum yang memikirkannya dengan teliti.

Daripada kedua-dua ayat tersebut, dapat difahami bahawa segala yang ada di bumi adalah untuk manusia dan ia diharuskan untuk mereka.Sekiranya perkara tersebut diharamkan ke atas mereka,tentunya Allah tidak menjadikannya untuk manusia.(Hasan bin Haji Ahmad 1998:352)

Selain itu,antara dalil yang menunjukkan bahawa asal pada perkara yang memudaratkan dan tidak dijelaskan oleh syarak hukum yang tertentu mengenainya adalah haram seperti hadis yang diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudri daripada Rasulullah S.A.W dan dikeluarkan oleh al-Dar Qutniyy,al-Bayhaqiyy dan Hakim bahawa Rasulullah bersabda:

لا ضرر ولا ضرار
Maksudnya:Tidak mudarat dan tidak memudaratkan.

Melalui hadis ini,dapat difahami bahawa hadis ini merupakan larangan kepada setiap perkara yang membawa kemudaratan sama ada jiwa mahu pun orang lain kerana setiap yang membawa kemudaratan maka hukumnya adalah haram.(Hasan bin Haji Ahmad 1998:352)

3.2 إستصحاب العدم الأصلي أو البراءة الأصلية
Al-Istishab bahagian ini membawa maksud berterusan ataupun berkekalan. Al-Istishab ini juga didefinisikan sebagai pada asalnya seseorang adalah terlepas daripada bebanan dan kewajipan syarak sehinggalah terdapat dalil atau bukti yang menunjukkan untuk memikul tanggungjawab tersebut.Misalnya ialah lelaki dan wanita tidak ditaklifkan untuk memikul tanggungjawab sebagai suami isteri selagi mereka belum diakad dengan perkahwinan yang sah.( Abd Latif Muda 1997:141).Di antara contoh lain juga ialah jika seseorang mendakwa Muhammad berhutang kepadanya sebanyak RM100 dan tidak mengemukakan bukti sedangkan Muhammad tidak mengakui dakwaan tersebut,maka tertuduh iaitu Muhammad terlepas daripada hutang itu kerana asalnya dia terlepas daripada sebarang bebanan atau tanggungjawab sehingga terdapat dalil yang menunjukkan sebaliknya.(Hasan bin Haji Ahmad 1998:354)

3.3 إستصحاب الوصف المثبت للحكم الشرعي حتى يثبت خلافه
Al-Istishab ini bermaksud hukum itu tetap dengan sifat asalnya,iaitu asal ketetapan syarak pada sesuatu hukum sama ada ia harus atau haram sehingga terdapat dalil yang menunjukkan hukum yang sebaliknya.(Hasan bin Haji Ahmad 1998:354)
Antara contohnya ialah air pada asalnya adalah bersih dan dihukum bersih dan suci kecuali terdapat tanda-tanda yang menunjukkan air tersebut dikotori najis seperti berubah bau,warna atau pun rasa.Contoh lain ialah asal semua makanan di bumi adalah halal tetapi apabila datang ayat al-Quran yang menegahnya dan mengecualikannya maka terdapat makanan yang halal dan haram untuk dimakan.(Abd Latif Muda 1997:142)
Contoh al-istishab ini juga ialah sifat suci adalah berkekalan kerana sifat suci apabila sabit, maka diharuskan untuk mengerjakan sembahyang dan hukum suci tersebut terus kekal sehinggalah sabit sebaliknya iaitu berlaku salah satu daripada perkara-perkara yang membatalkan wuduk.(Hasan bin Haji Ahmad 1998:354)

3.4 إستصحاب مادل العقل والشرع على ثبوته واستمراره
Al-Istishab ini membawa maksud sesuatu ketetapan hukum berlaku menurut syarak dan akal tentang sabitnya dan berkekalannya.Erti kata lain,al-istishab dalam pembahagian yang keempat ini diakui ada kaitannya dengan syarak dan akal.(Hasan bin Haji Ahmad 1998:354)
Antara contohnya ialah hukum halalnya perhubungan lelaki dengan perempuan adalah disebabkan perkahwinan sehingga terdapat dalil yang menunjukkan haramnya perhubungan mereka seperti melalui perceraian atau pun fasakh.(Abd Latif Muda 1997:142)
Contoh lain bagi al-istishab ini ialah punya hak milik apabila terdapat sebab yang mewujudkan demikian, maka ia sabit sehinggalah terdapat perkara yang menghilangkannya iaitu apabila sabit milik sesuatu bagi seseorang dengan mana-mana sebabnya seperti jual beli atau pusaka, maka milik itu berterusan walaupun beberapa lama tempohnya sehingga terdapat dalil yang menunjukkan ternafinya kerana sebab yang baru timbul.(Hasan bin Haji Ahmad 1998:355)

3.5 إستصحاب حكم الإجماع في محل النزاع
Al-Istishab ini bermaksud hukum yang disabitkan melalui ijmak pada tempat yang diperselisihkan di kalangan ulama.
Di antara contohnya ialah para ulama telah berijmak bahawa sah sembahyang seseorang yang bertayamum apabila ia melihat air selepas memulakan sembahyang atau pun selepas selesai sembahyang.Namun,telah wujud perselisihan di kalangan ulama,adakah sah atau tidak sembahyang seseorang itu apabila melihat air ketika dalam sembahyangnya?(Idris 1918:471)
Menurut pendapat Imam Syafi’e dan Imam Malik,keadaan di atas tidak membatalkan sembahyang kerana ijmak menetapkan sah sembahyang sebelum menemui air.Justeru itu,hukum sah itu akan berterusan berdasarkan ijmak sehingga ada dalil yang menunjukkan sembahyang seseorang itu menjadi batal apabila melihat air ketika sembahyang.(Abd Latif Muda 2001 : 150)
Menurut pendapat Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad pula,sembahyang seseorang itu menjadi batal dalam keadaan tersebut.Hal ini kerana mereka mengatakan bahawa ijmak mngenai sah sembahyang sebelum melihat atau menemui air hanya terpakai dalam keadaan ketiadaan air,bukan ketika dalam keadaan ada air.(Abd Latif Muda 2001 : 150)

4.0 KEHUJAHAN AL-ISTISHAB
Ulama bersepakat bahawa wajib beramal dengan al-istishab bahagian pertama iaitu hukum asal iaitu harus berterusan selagi tiada dalil yang menyalahinya. Walau bagaimanapun, yang diperselisihkan oleh ulama ialah empat bahagian terakhir. (Abd Latif Muda & Rosmawati Ali@Mat Zain 1997:142). Secara ringkasnya, perselisihan itu terbahagi kepada tiga mazhab iaitu:

a) Mazhab pertama:
Pendapat majoriti ulama Mazhab Maliki, Syafi’e, Hanbali dan sebahagian kecil ulama Hanafi. Mereka mengatakan al-istishab sebagai hujah, sama ada pada nafi atau isbat.

b) Mazhab kedua:
Pendapat segelintir ulama Hanafi yang terkemudian. Ulama ini berpendapat al-istishab hanya sebagai hujah pada nafi sahaja tetapi tidak pada isbat. Contohnya, dihukum lepas daripada taklif sehingga ada dalil yang menunjukkan ditaklifkan. Huraiannya akan dijelaskan secara panjang lebar dalam hujah mereka yang akan dinukilkan pada muka surat seterusnya.

c) Mazhab ketiga
Pendapat majoriti ulama Hanafi dan sebahagian daripada ulama al-kalam. Mereka berpendapat al-istishab tidak dianggap sebagai hujah sama sekali. (Abd Latif Muda & Rosmawati Ali@Mat Zain 1997:143)

Hujah Ketiga-Tiga Mazhab

Ulama ketiga-tiga mazhab tersebut membawa hujah mereka seperti berikut:

1. Hujah Mazhab Pertama
Ulama dari kalangan al-Syafi’e, Hanbali dan Zahiri berpendapat bahawa al-istishab adalah hujah secara mutlak bagi menetapkan hukum yang telah ada sehingga ada dalil yang mengubahnya. Oleh itu, al-istishab menjadi hujah bagi mendapat hak-hak baru, iaitu ia menjadi hujah bagi mengekalkan hak-hak yang telah sedia ada. Sebagai contoh, orang yang hilang dan tidak diketahui sama ada hidup atau mati, ia dihukum masih hidup berdasarkan al-istishab, sehingga ada bukti yang menunjukkan kematiannya. Selagi tiada bukti berkenaan kematiannya, maka ia dihukum masih hidup dan baginya hak-hak sebagaimana orang yang hidup, seperti ia berhak mendapat harta pusaka dari harta peninggalan pewarisnya yang telah mati, berhak ke atas wasiat dan berhak terhadap harta yang diwakafkan kepadanya. Selain itu, dikekalkan harta yang berada dalam miliknya dan tidak boleh diambil oleh pewarisnya sebagai pusaka. Bukan itu sahaja, malahan jika dia sudah berkahwin maka isterinya tidak harus berkahwin dengan lelaki lain selagi tiada dalil kematiannya ataupun dihukum oleh kadi sebagai seorang yang telah mati. Hak-haknya seperti itu dikekalkan berdasarkan al-istishab.(Ahmad Kamarudin,et. al 2003:76)

Pendirian bagi mazhab ini tentang kehujahan al-istishab secara mutlak adalah seperti berikut:

i. Berdasarkan firman Allah S.W.T pada surah al-Anam ayat 145:

       •          ••        •           •    

Maksudnya: Katakanlah (Wahai Muhammad): "Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi - kerana sesungguhnya ia adalah kotor - atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, Iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah". kemudian sesiapa yang terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak melampaui batas, maka sesungguhnya Tuhan mu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Berdasarkan ayat tersebut,makanan yang diharamkan oleh Allah ialah bangkai,darah yang mengalir atau daging babi.Hal ini membuktikan bahawa selain daripada perkara-perkara yang disebutkan pada ayat di atas adalah kekal harus dan tidak diharamkan oleh Allah.Jadi hukum ini kekal sehingga ada dalil yang menjadikan hukum itu berubah kepada yang sebaliknya dan inilah al-istishab. (Ab. Latif Muda & Rosmawati Ali@Mat Zin 2001:153)

ii. Selain itu mereka juga berhujah berdasarkan hadis. Antaranya, hadis riwayat Abbad Bin Tamim daripada bapa saudaranya, Baginda Nabi Muhammad S.A.W bersabda:

لا ينصرف حتى يسمع صوتا أو يجد ريحا

Maksudnya: Janganlah sekali-kali ia berhenti (daripada sembahyang) sehinggalah ia mendengar suara atau mencium bau.

(Hadith Riwayat Bukhari)

Hadis ini bermaksud ketika seseorang dalam keadaan syak sama ada wuduknya batal atau pun tidak,Nabi mengatakan bahawa wuduknya itu boleh diteruskan sehingga dia mendengar bunyi atau mencium bau.Hal ini bermaksud hukum wuduk itu akan kekal sah dan berterusan sehingga terdapat sesuatu yang mengubah hukum tersebut seperti mendengar bunyi atau mencium bau dan inilah al-istishab.(Adib bin Samsudin 2010)

iii. Mereka juga berhujah dengan ijmak ulama. Sebagai contoh, seseorang yang telah menunaikan solat Maghrib, kemudian ragu-ragu akan wuduknya sama ada adakah masih kekal atau terbatal untuk meneruskan sembahyang Isyak? Dalam keadaan ini, dia dikira berwuduk, kerana dia sembahyang Maghrib dalam keadaan berwuduk itu merupakan suatu keyakinan. Justeru itu, sekiranya al-istishab al-asl atau kembali pada asal tidak ada dalam masalah tersebut, sudah tentu tidak harus sembahyang Isyak dan tentunya bercanggah dengan ijmak. (Ab. Latif Muda & Rosmawati Ali@Mat Zin 2001:153)

iv. Selain itu, mereka juga berpendapat bahawa fitrah manusia menghukum sesuatu dengan panduan yang telah lepas selagi tidak ada tanda-tanda yang menunjukkan berubah atau telah diubah. Sebagai contoh, seseorang sebelum kehilangannya masih hidup, maka selama ketiadaannya atau kehilangannya dia dikira masih hidup, kecuali ada berita yang menyatakan bahawa dia telah meninggal dunia. (Ab. Latif Muda & Rosmawati Ali@Mat Zin 2001:153)

v. Terdapat juga hadis lain yang digunakan untuk menguatkan hujah pendapat mazhab ini iaitu hadis daripada Abu Said al-Khudri:

إذا شك أحدكم في صلاته ، فلم يدر : كم صلي : ثلاثا ، أو أربعا ؟ فليطرح الشك ، وليبن على ما استيقن ، ثم يسجد سجدتين قبل أن يسلم

Maksudnya: "Apabila seorang kamu syak dalam solatnya, tidak mengetahui berapa rakaat dia sudah solat, tiga atau empat, hendaklah dibuangkan syak, dan hendaklah membina atas apa yang dia yakini. Kemudian, sujud dua kali sebelum memberi salam".

(Hadis riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis ini,Nabi menyuruh sesiapa yang berasa ragu atau syak pada bilangan rakaat supaya membuang perasaan ragu tersebut dan memilih rakaat yang paling sedikit kerana ia telah diyakini.Oleh itu,bilangan rakaat itu akan kekal dengan mengambil yang lebih sedikit bilangannya sehingga terdapat dalil lain yang mengubah kepada yang sebaliknya dan ini adalah al-istishab.(Adib bin Samsudin 2010)

2. Hujah Mazhab Kedua
Kebanyakan ulama mutakhir daripada Mazhab Hanafi menetapkan bahawa al-istishab menjadi hujah bagi penolakan, bukan bersifat bagi penetapan suatu hukum baru. Dalam erti kata lain, al-istishab adalah menjadi hujah untuk mempertahankan hak-hak yang sedia ada dan tidak menjadi hujah untuk menerima masuk hak-hak yang baru, yakni menolak akibat hukum-hukum yang timbul dari ketetapan yang berlawanan dengan ketetapan yang telah ada. Sebagai contoh, orang orang yang hilang dihukum masih hidup berdasarkan al-istishab. Justeru itu, dikekalkan segala haknya yang wujud sebelum dia hilang. Harta bendanya masih dianggap miliknya dan isterinya masih tetap berada dalam tanggungjawabnya sampai ada bukti yang menunjukkan kematiannya ataupun kadi menghukumkan kematiannya. Namun, ia tidak berhak mendapat hal-hak yang baru selama dalam masa ghaibnya dan dia juga tidak berhak mewarisi harta peninggalan ahli warisnya yang telah meninggal dunia kerana hidupnya orang yang hilang itu ditetapkan berdasarkan anggapan hukum , bukan hidup yang hakiki. Oleh itu, dia hanya dapat mempertahankan hak dirinya, tetapi tidak layak untuk mendapat hak dari orang lain, kerana al-istishab di sisi mereka tidak layak menjadi hujah bagi penetapan hak-hak baru. Orang yang hilang di sisi mereka adalah hidup pada hak dirinya dan mati pada hak orang lain, kerana al-istishab di sisi mereka hanya menjadi hujah bagi penolakan dan menghukumkan yang dia sudah mati dan akibat hukum yang timbul setelah dihukumkan kematiannya, iaitu seperti dipusakai harta peninggalannya, diputuskan perjanjian sewa-menyewanya yang telah diadakan dan sebagainya. .(Ahmad Kamarudin,et al. 2003:78)

Mereka berhujah bahawa dalil yang menunjukkan wujud hukum pada masa lepas tidaklah menunjukkan hukum itu berkekalan dengan dalil tersebut, kerana al-istishab menjadi hujah bagi penolakan sahaja.. Dalam erti kata lain, mereka menyatakan bahawa al-istishab sebagai hujah pada nafi sahaja. Antara alasan mereka ialah:

i. Akal tidak menunjukkan hukum syarak yang telah sabit itu kekal. Demikian juga dalil-dalil syarak seperti al-Quran, Hadis,ijmak dan al-qiyas tidak menunjukkan pengekalan hukum setelah sabitnya.

ii. Dalil hanya menunjukkan sabit hukum pada zaman pertama sahaja dan tidak semestinya pensabitan hukum pada zaman pertama itu boleh mensabitkan hukum pada zaman kedua.Oleh itu,kewujudan hukum masa dahulu tidak semestinya menyebabkan hukum itu terus kekal dipakai pada masa yang akan datang.


iii Sesuatu hukum itu perlu kepada dalil sejak dari mula lagi, begitu juga hukum untuk berkekalan perlu juga pada dalil.Namun, adalah tidak memadai dalil yang menunjukkan hukum yang tetap itu membawa hukum yang berpanjangan dan berkekalan. . (Abd Latif Muda & Rosmawati Ali@Mat Zain 1997:144)

3. Hujah Mazhab Ketiga
Jika diperhatikan hujah golongan mazhab ketiga pula, mereka terdiri daripada jumhur ulama Hanafi dan sebahagian daripada ulama al-kalam. Menurut kebanyakan ulama mutakallimin, mereka menafikan al-istishab sebagai hujah secara mutlak. Hal ini kerana, mereka berpendapat bahawa wujud sesuatu hukum tertentu pada masa yang lepas tidak semestinya kewujudan hukum itu berkekalan pada masa yang akan datang. Justeru itu menetapkannya dengan berkekalan adalah suatu hukuman yang tidak berasas dan tanpa dalil. (Abd Latif Muda & Rosmawati Ali@Mat Zain 1997:145)

Selain itu, mereka berpendapat bahawa dalam perundangan Islam, keterangan oang yang mendakwa adalah diutamakan daripada penafian orang yang didakwa. Justeru itu, seandainya al-istishab menjadi hujah sudah tentu penafian orang yang didakwa lebih diutamakan berdasarkan istishab al-baraah al-asliyyah. Ia menunjukkan bahawa al-istishab tidak boleh diamalkan. Secara lebih jelas lagi mereka berhujah bahawa:


i. Bersuci, halal dan haram adalah hukum syarak. Oleh itu, ia tidak sabit kecuali melalui dalil yang ditegakkan daripada syarak. Dalil-dalil syarak yang disepakati oleh ulama hanya terbatas kepada al-Quran, hadis, ijmak, dan qiyas. Manakala al-istishab tidak termasuk dalam kategori tersebut. Justeru itu, tidak harus berhujah dengannya mengenai hukum syarak. (Abd Latif Muda & Rosmawati Ali@Mat Zain 1997:145)

Secara ringkasnya, daripada ketiga-tiga alasan mazhab tersebut dapatlah difahami bahawa al-istishab menjadikan hukum sedia ada tetap dan terus digunakan sampai sekarang sehingga ada dalil atau bukti yang nyata untuk mengubah hukum yang dipakai itu. Dalam masalah hukum yang telah sabit secara pasti melalui dalil-dalil nas qat’i, ia tidak termasuk dalam takrif al-istishab kerana hukum itu tidak akan berubah selama-lamanya.

5.0 KAEDAH-KAEDAH FIKAH YANG TERBINA DARIPADA AL-ISTISHAB
Terdapat beberapa dasar kaedah tertentu yang terbina atas dasar al-istishab, antaranya ialah :

1. (الأصل بقاء ما كان على ما كان )

Asal sesuatu kekal berdasarkan sesuatu yang ada sebelumnya sehinggalah ada dalil atau bukti yang menetapkan perubahan atau mengubahnya. Contohnya orang yang yang hilang dikira seperti keadaan asalnya masih hidup sehingga ada bukti menunujukkan dia meninggal dunia. Justeru itu ulama sepakat bahawa hartanya tidak boleh diwarisi. Mengenai hak mewarisi pula, menurut ulama mazhab Hanafi haknya itu ditangguhkan sehingga disahkan ia masih hidup atau mati. ( Abd Latif Muda & Rosmawati Ali@Mat Zain 2001: 154)

2. ( الأصل في الأشياء ألإباحة )

Asal terhadap sesuatu itu adalah harus hukumnya. Contohnya sah semua bentuk akad yang tidak terdapat petunjuk syarak tentang batal atau haramnya.

3. (الأصل في الذمة البراءة)

Asalnya seseorang bebas daripada tanggungjawab. Dalam erti kata lain ia juga dikenali dengan istilah al-istishab al-baraah iaitu merupakan salah satu kaedah yang disepakati oleh jumhur ulama fiqh. Antara lain ialah bebas daripada bebanan taklif dan hak-hak yang tidak harus sama sekali menetapkan terhadap seseorang atau disandarkan kepadanya sesuatu tanggungjawab melainkan ada dalil harus berbuat demikian.

4. (اليقين لا يزول بالشك )

Sesuatu keyakinan atau perkara yang diasaskan atas dasar keyakinan tidak terhapus dengan sebab ada syak atau keraguan yang datang kemudiannya. Sebagai contoh sesiapa yang yakin berwuduk kemudian ia syak berhadas hukumnya dikira masih kekal berwuduk menurut jumhur selain mazhab Maliki. Selain itu contoh lain seorang suami menceraikan salah seorang dari dua isterinya dan dia syak isteri yang mana diceraikan maka semua isterinya tidak jatuh talak kerana tiap-tiap orang isteri itu dihalalkan kepada suami adalah yakin apa yang berlaku ialah syak tentang tidak wujudnya atau tamatnya halal tersebut. Namun mengikut mazhab Maliki jatuh talak atas kedua isterinya kerana tidak dapat menentukan yang mana satu dari isterinya itu. Justeru itu maka keduanya jatuh talak berasakan al-istishab terhadap hukum talak yang benar-benar berlaku dengan yakin. (Wahbah al-Zuhayly 1986 : 116)


6.0 KESIMPULAN
Secara tuntasnya,al-istishab tetap menjadi sandaran kepada kebanyakan mujtahid dan digunapakai sebagi sumber hukum apabila tidak ditemui dalil lain. Walau bagaimanapun, ia bukanlah merupakan satu dalil berasingan yang berdiri sendiri bagi menetapkan hukum baru, bahkan ia memperlihatkan berterusan hukum yang lepas apabila mujtahid merasakan sangkaan tidak ada dalil yang mengubah hukum itu. Oleh itu, apabila ia bertentangan dengan dalil lain maka dalil yang lain itu didahulukan.

Justeru, al-istishab merupakan bidang yang dinamik bagi para mujtahid dan ia diambil kira dalam sesetengah undang-undang moden dan dasar-dasar perundangan kerana ungkapan bahawa ”orang tertuduh tidak bersalah sehingga terbukti kesalahannya” adalah berdasarkan istishab al-baraah al-asliyyah.


RUJUKAN

Ahmad Kamarudin, Hamzah & Mohammed Zaini Yahya . 2003 . Usul Fiqh II . Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Abdul Latif Muda & Rosmawati Ali @Mat Zin . 1997 . Pengantar Usul Fiqh . Kuala Lumpur:Pustaka Salam Sdn Bhd.

Abdul Latif Muda & Rosmawati Ali @ Mat Zin . 2001 . Perbahasan usul al-ahkam . Kuala Lumpur: Pustaka Salam Sdn Bhd.

Ahmad Hasan Ahmad . 1998 . Usul fiqh . Kuala Lumpur: Pustaka Haji Abdul Hamid.

Idris Jam’ah Bashir . 1918 . al-Ra’y wa atharah fi al-fiqh al-Islamiyy . Kaherah : Dar Ihya’ al-
Kutub al-‘Arabiyyah.

al-Zuhayly, Wahbah. 1986 . Usul al-fiqh al-Islamiyy . Damsyik: Darul Fikr.

DISEDIAKAN OLEH:

MUHAMAD IZWAN BIN SAMSUDIN A128351
MUHAMMAD IZHAR BIN SULTAN A126959
MOHAMAD AZRI BIN RAZALI A129662
MOHD MUSTAQIM BIN NORDIN A128214
MOHAMAD IZZUDIN BIN AMDAN A128344
LUQMAN NULHAKIM BIN SAMAD A130052

0 comments: