Assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Friday, April 9, 2010

FATWA

FATWA

PENGENALAN
Institusi fatwa adalah salah satu institusi kerajaan yang amat penting dalam pentadbiran agama dan mufti adalah antara pegawai agama yang mendapat tempat sebaris bersama-sama da’i muqri’, Imam dan pengurus hal ehwal haji pada zaman Rasullullah s.a.w. (Abdul Ghafar Don et al 2007: 101).

Fatwa sangat penting dalam melayari kehidupan ini dan kewujudan fatwa membolehkan perlaksanaan hukum-hukum syarak ditegakkan berlandaskan kaedah-kaedah syariah. Fatwa memainkan peranan yang sangat penting dalam perkembangan undang-undang Islam atau hukum syarak. Dengan kedudukan itu, institusi fatwa diberikan perhatian yang utama oleh dunia Islam (Zulkifli Mohammad al-Bakri 2008: 1).

Kepentingan fatwa semakin terserlah dalam kehidupan manusia sejagat sebagai satu mekanisme utama bagi menjelaskan hukum syarak dan penyebaran ajaranyan merangkumi aspek akidah serta syariat di dalam kehidupan manusia. Melihat kepentingan institusi fatwa dan juga peranan mufti dalam Islam, maka mufti adalah tokoh terpenting dalam masyarakat dan kerajaan Islam.

Al-Quran dan al-Sunnah pula menjadi sumber utama dalam syariah Islam yang tidak mungkin difahami oleh semua golongan muslim kecuali mereka mengkaji secara mendalam tentang bidang dan ilmu agama. Justeru, para ulama memainkan peranan yang amat penting dalam merialisasikan tuntutan agama bagi memberi kefahaman yang jelas.
Seperti yang diketahui, mengeluarkan fatwa merupakan tugas yang mulia dan agung, tetapi mempunyai risiko yang tinggi kerana seorang mufti seperti pendapat Imam Al-Shatibi adalah pengganti kedudukan Nabi Muhammad s.a.w dalam menyampaikan ajaran Allah, mengajar serta memberi peringatan kepada mereka yang menyeleweng (Zulkifli Mohammad al- Bakri 2008: 1).

Sehubungan itu, kami menyediakan kertas perbincangan ini untuk membincangkan topik fatwa dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya.Oleh kerana perbincangan fatwa ini amat luas,maka penulisan kami ini hanya akan memberi tumpuan kepada definisi, sejarah, rukun fatwa, kategori dan autoriti fatwa, hukum fatwa dan mufti, serta mustafti. Perbincangan ini perlu bagi menjelaskan ruang lingkup fatwa.

DEFINISI FATWA
Definisi fatwa dari segi bahasa adalah penjelasan atau memberi jawapan mengenai sesuatu perkara yang musykil atau mempunyai kesamaran tentang hukum oleh seseorang yang faqih. Fatwa boleh didefinisikan dari segi istilah sebagai jawapan yang dibuat oleh mufti pada perkara yang berlaku apabila diajukan soalan kepadanya (Usamah Umar al-Ashqar 2009: 11).

Manakala, menurut Muhammad Sai’d, pengarang kitab Mazaliq al-Fatwa, fatwa dari segi istilah ialah penjelasan mujtahid berkenaan hukum syarak pada perlaksanaan atau masalah bagi menjawab setiap persoalan yang diutarakan oleh seorang mustafti sama ada secara jelas atau tidak jelas, sama ada mustafti itu tunggal atau ramai. (Muhammad Sa’id Muhammad al-Barawi 2009: 11).

Seperti yang dinukilkan daripada Ensiklopedia Islam, fatwa ialah keputusan tentang sesuatu hukum agama yang belum pernah diputuskan berdasarkan al-Quran, hadis dan sumber hukum lain, termasuk ijtihad oleh mufti atau mereka yang berhak tentang membuat keputusan hukum syarak (Abdul Samad Musa et.al 2006: 57).

Oleh yang demikian, fatwa ialah suatu keputusan yang dibuat oleh mufti atau penjelasan hukum syarak oleh sesuatu kumpulan yang terdiri daripada ulama’ iaitu Jawatankuasa Fatwa atau Jawatankuasa Syariah bagi sesuatu masalah sebagai jawapan kepada sesiapa yang bertanya sama ada secara bersendirian atau berjamaaah (Abdul Samad Musa et al. 2006: 57).


SEJARAH FATWA
Para ulama menerima fatwa sebagai salah satu sumber terpenting dalam perundangan Islam kerana semasa hayat Rasulullah s.a.w, Baginda sendiri pernah melakukan ijtihad dan juga membenarkan para Sahabat melakukannya untuk mengeluarkan fatwa. Rasulullah akan berijtihad untuk mendapatkan hukum sekiranya wahyu tidak diturunkan lebih-lebih lagi jika keadaan memerlukan hukum dengan segera (Kassim Salleh 1989: 7).

Pada zaman Rasulullah s.a.w, mufti yang pertama adalah Rasulullah s.a.w sendiri kerana Baginda adalah penerang dan penjelas yang pertama kepada hukum Islam. Apabila dilihat amalan fatwa pada zaman ini, ia bukanlah hanya dilakukan oleh Baginda secara peribadi bahkan para Sahabat juga diberi keizinan untuk berfatwa dan berijtihad dalam menyelesaikan kes-kes yang dihadapi oleh Baginda (Zulkifli Mohamad al-Bakri 2008: 101). Berhubung dengan ini Allah telah berfirman:
    … 
Maksudnya:
Dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan mereka..
( Surah Ali Imran, 3: 159 )

Berdasarkan ayat ini jelas menggambarkan bahawa kegiatan fatwa bukan sahaja didokong oleh Baginda, namun turut melibatkan para Sahabat yang diyakini kemampuan ilmiahnya. Selepas kawafatan Baginda, tugas berfatwa diamanahkan pula kepada para ilmuan di kalangan para Sahabat (Zulkifli Mohamad al-Bakri 2008: 102).

Para sahabat mengeluarkan fatwa sendiri ketika tidak terdapat hukum di dalam al-Quran dan hadis mengenai sesuatu masalah, dan fatwa yang dikeluarkan oleh mereka itu adalah menjadi hukum bagi masalah-masalah yang timbul. Begitu juga apabila berlaku perubahan zaman atau tempat, maka sudah semestinya timbul pelbagai masalah baru di kalangan masyarakat yang berbeza dan memerlukan kepada ijtihad sendiri untuk mengeluarkan fatwa mengenai sesuatu hukum yang tidak terdapat di dalam al-Quran atau hadis.

Ini dapat dilihat ketika zaman Khalifah Uthman bin ‘Affan, beliau telah mengeluarkan fatwa supaya kuda dikeluarkan zakat. Beliau berpendapat bahawa ketika pada zaman Rasulullah tidak terdapat banyak kuda bahkan kuda sangat diperlukan untuk peperangan, maka sebab itu Rasulullah tidak mewajibkan zakat ke atas kuda. Namun demikian, ketika zaman beliau memerintah, didapati kuda telah banyak dan dijadikan barang perniagaan, maka sebab itulah beliau mengeluarkan fatwa supaya kuda dikenakan zakat (Othman bin Hj Ishak 1981: 3).

Kesemua fatwa yang dikeluarkan oleh sahabat-sahabat tersebut difahami dan dipegang oleh tabi’in dan kemudiannya dipegang pula oleh tabi’ tabi’in. Mereka ini berpegang teguh dengan fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh ulama tempatan sebelum mereka di samping mereka juga berijtihad sendiri sekiranya tidak terdapat hukum di dalam al-Quran, hadis dan fatwa-fatwa yang telah dikeluarkan. Maka fatwa-fatwa yang telah dikeluarkan tersebut menjadi pegangan bagi umat Islam yang terkemudian sama ada di Madinah atau di Kufah (Othman bin Hj Ishak 1981: 3).

RUKUN FATWA
Terdapat empat rukun fatwa iaitu al-sa’il, al-mas’ul, al-‘amaliyyah dan al-madhmun. Rukun pertama, al-sa’il atau juga dipanggil Mustafti adalah orang yang meminta fatwa atau orang yang bertanyakan soalan-soalan yang berkaitan dengan masalah-masalah dalam agama. Seterusnya rukun kedua, al-mas’ul yang juga dipanggil Mufti merupakan orang yang memberi fatwa atau orang yang menjawab soalan-soalan bagi permasalahan tersebut. Manakala rukun yang ketiga, al-‘amaliyyah adalah Fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh Mufti. Rukun terakhir iaitu al-madhmun yang merupakan kebenaran sesuatu fatwa yang terjamin. (Muhammad Sa’id Muhammad al-Barawi 2009:11)


KATEGORI DAN AUTORITI FATWA
Fatwa yang dikeluarkan sama ada oleh mufti atau Majlis Agama melalui Jawatankuasa Syariah boleh dibahagikan kepada tiga kategori. Kategori pertama ialah fatwa rasmi yang dikeluarkan sama ada oleh mufti sendiri atau majlis melalui Jawatankuasa Syariah yang diwartakan di dalam Warta Kerajaaan Negeri. Fatwa yang diwartakan ini merupakan fatwa yang diakui oleh mahkamah dan semua pihak dalam negeri tersebut. (Hasnan Kasan 2008:80).

Kategori yang kedua pula ialah fatwa yang dikeluarkan oleh majlis sama ada melalui Jawatankuasa Syariah atau melalui pendapat yang diberikan oleh mufti secara perseorangan atau fatwa yang dikeluarkan sendiri oleh mufti tanpa melalui Jawatankuasa Syariah tetapi fatwa itu tidak diwartakan di dalam Warta Kerajaan Negeri. Fatwa kategori ini tidak wajib diperakui oleh pihak-pihak lain dan tidak boleh dikuatkuasakan ke atas mana-mana individu, badan atau mahkamah. Ia hanyalah sebagai jawapan atau penjelasan kepada orang yang masih tidak jelas mengenai sesuatu hukum secara peribadi. (Hasnan Kasan 2008:80).

Manakala kategori ketiga pula ialah penjelasan hukum yang dilakukan oleh mufti atau pembantunya. Pada hakikatnya ia hanyalah merupakan penjelasan hukum yang telah sedia ada di dalam syariah Islam dan tercatat dalam kitab-kitab agama tetapi tidak diketahui oleh orang yang bertanya mengenainya. Fatwa kategori ini tidak wajib diterima oleh orang yang bertanya dan ia tidak boleh diproses untuk diwartakan dalam Warta Kerajaan (Hasnan Kasan 2008:80).

HUKUM FATWA DAN MUFTI
Mengikut pandangan kebanyakan ulama, hukum fatwa adalah fardu kifayah. Hal ini adalah kerana fatwa termasuk dalam keperluan-keperluan agama yang sepatutnya wujud bagi manfaat dan maslahat umum. Disebabkan wujudnya fatwa, maka gugurlah dosa ummah terhadapnya. Jika sebaliknya, maka semua ummah akan menanggung dosa kerana menolaknya (Zulkifli Mohamad al-Bakri 2008: 13).

Seperti yang diketahui, amalan fatwa dikeluarkan oleh golongan mufti. Apabila hukum fatwa adalah fardu kifayah, maka hukum mufti juga adalah fardu kifayah kerana antara keduanya berkait rapat antara satu sama lain. Namun demikian, jika tiada yang layak melainkan seorang sahaja, maka ketika itu hukum mufti adalah wajib atau fardu ain (Zulkifli Mohamad al-Bakri 2008: 14).

Fatwa yang dikeluarkan juga hendaklah kerana Allah demi menyelesaikan masalah dan menjawab kemusykilan. Hanya individu yang berilmu dan berwibawa dan didorong oleh niat yang benar boleh mengeluarkan fatwa. Tanpa ilmu dan niat yang benar maka boleh menyebabkan hukum yang dikeluarkan tidak berlandaskan atau bertentangan dengan syarak. Seterusnya, perbincangan ini akan dilanjutkan dengan menyentuh tentang mufti dan yang berkaitan dengannya.

DEFINISI MUFTI
Perkataan mufti dalam bahasa Arab sebagai isim fa’il yang bermaksud pembuat atau pelaku. Ini bermaksud mufti adalah orang yang memberikan jawapan kepada persoalan atau perkara yang dikemukakan oleh seseorang (Zulkifli Mohamad al-Bakri 2008: 10).
Manakala dari segi istilah pula terdapat banyak perselisihan pendapat di kalangan ulama mengenai takrif mufti. Setelah ditarjihkan daripada perselisihan tersebut mufti adalah seorang ahli ijtihad yang faqih dan berwibawa dari segi ilmu agama sehingga tidak perlu bertaqlid. Selain itu, mufti juga adalah seorang yang alim dan warak sehingga fatwanya diterima dan mampu memahami hukum waqi’e yang berlaku secara berdalil dalam menjawab persoalan-persoalan yang timbul (Zulkifli Mohamad al-Bakri 2008: 11).

Menurut ahli usul mufti adalah seorang mujtahid atau faqih iaitu orang yang mempunyai pengetahuan yang mendalam dalam ilmu fiqh dan memahami Islam. Syeikh Muhammad al Muhllawiyy berkata mufti adalah mujtahid yang mutlak. Manakala Ibnu Hamdan Al Hanbali pula berpendapat mufti adalah orang yang menyampaikan hukum Allah dengan pengetahuan tentang dalil-dalilnya. (Muhammad Ibrahim al-Hafnawi 1995: 319-320).

Secara keseluruhannya, dapatlah disimpulkan bahawa takrif mufti dari segi syarak membawa maksud gelaran yang diberikan kepada orang yang menerangkan kepada manusia tentang urusan-urusan agama mereka, benar-benar mengetahui dan memahami tentang ilmu-ilmu yang memerlukanya mengeluarkan hukum agama atau berfatwa. Mufti hendaklah mengetahui tentang am dan khusus al-Quran, mutlak dan muqayyad, a’rif tentang sebab nuzul ayat, a’lim tentang ayat-ayat hukum dan sebagainya seperti yang akan diterangkan dalam subtopik syarat-syarat mufti nanti. (Usamah Muhammad Sulaiman al-Ashqar 2004: 53).

SYARAT MUFTI
Berdasarkan pendapat Imam Syafi’e, tidak harus bagi seseorang memberi fatwa dalam agama Allah melainkan seorang yang arif tentang Kitab Allah berkenaan dengan nasikh mansukhnya, muhkan dan mutasyabihatnya, ta’wil dan tanzilnya dan setiap yang berkaitan dengannya (Asamah Umar al- Ashqar 2009: 26).

Selain itu, seseorang itu hendaklah mempunyai ilmu yang sangat mendalam berkenaan hadis Rasulullah s.a.w, tentang nasikh mansukhnya dan mengetahui mengenai hadis sama seperti pengetahuan yang perlu dimiliki mengenai al-Quran dan juga pengetahuan yang mendalam tentang bahasa Arab (Asamah Umar al-Ashqar 2009: 26).

Apabila seseorang itu telah benar-benar bersedia dengan ilmu pengetahuan di samping akal yang tajam, maka bolehlah beliau mengeluarkan fatwa berkenaan dengan perkara-perkara halal dan haram dalam syariat berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah. Apabila sebaliknya, maka beliau tidak boleh mengeluarkan fatwa (Abdul Samad Musa et al 2006: 8).

Mufti mestilah mengetahui hukum sama ada secara yakin atau zan rajih iaitu sangkaan yang kuat dan jika tidak maka dia mestilah tawaqquf dalam mengeluarkan sesuatu fatwa. Beliau mestilah mendapat gambaran menyeluruh tentang sesuatu soalan supaya dapat mengeluarkan hukum yang jelas.

Seorang Mufti juga tidak dibenarkan berfatwa semasa berfikiran kusut sama ada disebabkan marah, sedih, bosan dan lain-lain. Oleh itu, beliau hendaklah berfikir dalam keadaan tenang tanpa sebarang gangguan ketika mengeluarkan fatwa bagi memastikan hukum yang dikeluarkan tidak dipengaruhi daripada mana-mana unsur yang melibatkan emosi. Selain mufti, fatwa juga berkait rapat dengan mustafti yang akan dijelaskan dengan lebih lanjut lagi di bawah ini.

DEFINISI MUSTAFTI
Al-Mustafti adalah orang yang meminta fatwa dan bertanya tentang hukum syarak . Apabila terdapat permasalahan-permasalahan baru yang memerlukan hukum, maka Al-Mustafti akan meminta fatwa daripada mufti (Muhammad Jamaluddin al-Qasimi 1986: 101). Selain itu, Al-Mustafti adalah mereka yang tidak layak untuk mengeluarkan fatwa dan tidak mencapai taraf sebagai seorang mufti (Wahbah al-Zuhayliyy 1986: 1159)

ADAB MUSTAFTI
Dalam bermu’amalah kebiasaannya kita memerlukan adab dan panduan untuk berhubung atau berkomunikasi dengan manusia lain. Secara ringkasnya di sini akan diterangkan berkenaan dengan adab-adab yang perlu dijaga bagi seorang mustafti. Mustafti hendaklah menjaga adab ketika bertanyakan soalan kepada mufti sama ada dari segi perkataan, gaya bahasa atau gerak tubuh yang digunakan ketika berhadapan dengan mufti (al-Hafnawi Muhammad Ibrahim 1995: 307).

Sebagai contoh, “Apakah pandangan menurut imam mazhab anda berkenaan dengan masalah ini?” Antara adab-adab lain ialah mustafti tidak sepatutnya berada dalam keadaan jemu, dukacita, marah atau dalam keadaan berdiri ketika dia bertanya. Ini adalah kerana dibimbangi hatinya dalam keadaan yang tidak tenteram ketika itu. Di samping itu, sekiranya mustafti masih mempunyai keraguan atau ingin bertanya lebih lanjut tentang persoalanya maka tidak sepatutnya dia bertanya pada ketika itu. Mustafti hendaklah berbuat demikian pada majlis yang lain atau sekiranya ingin bertanya pada majlis yang sama hendaklah setelah dia menerima fatwa beserta dalil dan hujah daripada mufti (al-Hafnawi Muhammad Ibrahim 1995: 307).

PENUTUP
Secara kesimpulannya, fatwa merupakan ijtihad ulama dan salah satu kaedah yang boleh digunakan untuk menentukan hukum. Apabila terdapat permasalahan-permasalahan baru yang tidak terdapat hukumnya melalui sumber-sumber hukum yang ada, maka di sinilah peranan fatwa bagi mengatasi setiap masalah yang timbul.

Seperti yang diketahui, dalam proses mengeluarkan fatwa untuk menentukan sesuatu hukum, ia hanya dilakukan oleh Mufti yang telah dilantik di dalam sesebuah negara berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan. Manakala setiap fatwa yang dikeluarkan hendaklah berlandaskan syarak kerana hukum-hukum yang dikeluarkan adalah bersifat menjaga kemaslahatan umum.

Oleh yang demikian, institusi fatwa sebagai salah satu tempat proses fatwa yang ia perlu dipertahankan dan dihormati kerana dengannya umat Islam dapat memelihara maslahat syar’iah dan kepentingan manusia sejagat berserta mampu untuk mengatasi cabaran masa kini.


RUJUKAN
al-Amidiyy, Saif al-Din Abi al-Hassan ‘Ali. 1332H/1914. al-Hkam fi usul al-ahkam. Beirut: Dar al-Kutub Khuduriyyah.

al-Ashqar, Usamah Muhammad Sulaiman. 2004. Manhaj al-ifta’’inda al-Imam Ibn Qayyim al-Jawziyyah. Jordan: Dar al-Nafais.

al-Ashqar, Usamah Umar. 2009. Fauda al-Iftaq. Dar al-Nafais.

al-Barawi, Muhammad Sa’id Muhammad. 2009. Mazaliq al-fatwa. Kaherah: Dar al-Basa’ir.

al-Hafnawi, Muhammad Ibrahim. 1995. Tabsir al-nujaba’ bi haqiqat al-ijtihad wa al-taqlid wa al-talfiq wa al-ifta’. Kaherah: Dar al-Hadith.

al-Qasimi, Muhammad Jamaluddin. 1986. al-Fatwa fi al-Islam. Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah.

al-Zuhayliyy, Wahbah. 1986. Usul al-fiqh al-Islamiyy. Beirut: Dar al-Fikr al-Mu’asir.

Hasnan Kasan. 2008. Institusi fatwa di Malaysia. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Ibrahim Najib Muhammad ‘Iwad. 1975. al-Qada fi al-Islami. Kaherah: Majma’ al-Buhuth al-Islamiyyah.

Kassim Salleh. 1989. Ijtihad: Sejarah dan perkembangan. Petaling Jaya: al-Rahmaniah.

Othman bin Hj Ishak. 1981. Fatwa dalam perundangan Islam. Selangor: Penerbit Fajar Bakti.

Zulkifli Mohamad al-Bakri. 2008. Fatwa & mufti hukum, etika dan sejarah. Bandar Baru Nilai: Universiti Sains Islam Malaysia.

DISEDIAKAN OLEH:

MADIHAH BT ISMAIL A127676
NORAZIRA BT RAMLI A128020
NOR SINAR SURIA BT SANSUDIN A128057
SITI NURUL HAYU BT RAIKAN A128373
NORHIDAYAH BT MAAT A130822
SITI FAISAH BT ADENAN A130870

0 comments: