Tuesday, December 1, 2009

DALALAH AL QURAN

PENGENALAN

Al-Quran merupakan salah satu kitab yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad bagi memandu kehidupan manusia ke jalan kebenaran dan diredhai oleh Allah. Quran menurut pendapat yang paling kuat seperti yang dikemukakan Dr.Subhi Al Salih bererti “bacaan” yang berasal daripada perkataan qara’a. Kata Al-Quran itu berbentuk masdar dengan erti isim maf’ul iaitu maq’ru(dibaca). (Tafsir Quran)

Al-Quran adalah salah satu sumber perundangan manusia yang disepakati. Hal ini demikian adalah kerana al-Quran adalah bersifat syumul dan di dalamnya terkandung pelbagai jenis hukum iaitu dari sudut akidah, akhlak dan amalan. Sesungguhnya ayat-ayat al-Quran ini sangat cermat dan teliti, jelas dan terperinci yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. Kitab ini mempunyai mukjizat dari segi keindahan bahasa, isi kandungan dan dari segi ilmu. Hal ini terbukti apabila ayat-ayat yang terkandung di dalamnya tidak dapat ditandingi oleh mana-mana makhluk.

Penurunan al-Quran juga telah menasakhkan kitab-kitab samawi yang turun sebelumnya. Kedudukan al-Quran itu amat tinggi dan mulia disisi Allah. Firman Allah:
       
(Al-Zukhruf 43:4)
Maksudnya: Dan sesungguhnya Al-Quran itu dalam ibu suratan di sisi kami - sangat tinggi (kemuliaannya), lagi amat banyak mengandungi hikmat-hikmat dan kebenaran yang tetap kukuh.

Al-Quran turut juga menjelaskan mengenai cara dan bentuk al-Quran menunjukkan hukum. Cara dan bentuk al-Quran menunjukkan dalam hukum adalah dalam dua keaadan iaitu, terdapat hukum yang di terima secara qat’iyy dan zanniyy.

Kesimpulannya al-Quran merupakan sumber perundangan yang pertama dalam menentukan hukum-hukum.


PENGERTIAN AL-QURAN


Al-Quran dapat diberikan dengan beberapa pengertian, antaranya ialah:

1) Kalam Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad dalam bahasa Arab, tidak boleh dicabar walaupun dengan surah yang paling pendek, ditulis pada mashaf, diriwayatkan secara mutawatir, membacanya adalah ibadat, dimulakan dengan surah al-Fatihah dan diakhiri dengan surah al-Nas.(Abdul Karim Zaidan 2009:119)

2) Al-Quran ialah kitab yang diturunkan kepada Nabi Muhammad, ditulis dalam mashaf dan dipindahkan kepada kita secara mutawatir tanpa ada keraguan lagi.(Abdul Karim Zaidan 2009:119)

3) Al-Quran ialah lafaz di dalam bahasa Arab yang diturunkan kepada Nabi Muhammad melalui perantaraan malaikat Jibril. Al-Quran menjadi mukjizat kepada Baginda dan dipindahkan kepada umatnya secara mutawatir dan dikira ibadat apabila membacanya.(Abd. Latif Muda 1997:63)

4) Al-Quran ialah kalam Allah yang azali dan sekali gus berfungsi sebagai mukjizat untuk membuktikan kebenaran kerasulan Nabi Muhammad yang mana ia diturunkan kepada baginda melalui perantaraan malaikat Jibril, yang ditulis di dalam mashaf, kemudiannya diriwayatkan secara mutawatir dan dikira ibadat apabila membacanya.(Abd. Latif Muda 1997:63)

5) Al-Quran ialah suatu lafaz yang boleh difahami, iaitu bahasa Arab yang diturunkan kepada Nabi Muhammad yang dapat melemahkan musuhnya dengan sesuatu ayat dan surah yang terkandung dalamnya, yang dipindahkan dengan cara mutawatir dan sesiapa yang membacanya merupakan ibadat.(Abd Latif Muda 1997:63)

Sebagai rumusan daripada beberapa pengertian seperti yang dinyatakan di atas, al-Quran boleh didefinisikan sebagai lafaz dalam bahasa Arab yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w melalui perantaraan malaikat Jibril, menjadi mukjizat kepada Baginda, dipindahkan secara mutawatir, dikira ibadat apabila membacanya, bermula dari surah al-Fatihah dan diakhiri dengan surah al-Nas.

CIRI-CIRI AL-QURAN

Berdasarkan takrif yang dinyatakan sebelum ini, maka dapat disimpulkan bahawa al-Quran mempunyai ciri-ciri tertentu yang membezakannya dengan kitab-kitab yang lain. Antara ciri-ciri al-Quran ialah:

i. Lafaz dan makna al-Quran datang daripada Allah, manakala Rasul adalah sebagai penyampai lafaznya dalam bahasa Arab Fusha.(Mohd Nasran Mohamad 2001:78)

ii. Ia dipindahkan (diriwayatkan) secara mutawatir. Oleh kerana periwayatan-periwayatan sebagai al-Quran, tetapi bilangan perawinya sedikit tidak dianggap sebagai al-Quran, sebaliknya ia dianggap sebagai riwayat yang shadh. (Mohd. Nasran Mohamad 2001:78)

iii. Ia sampai kepada kita tanpa berkurangan atau bertambah kandungannya, kerana Allah telah menjamin akan memeliharanya, seperti firman Allah : (Mohd Nasran Mohamad 2001:78)


  •     
(Al-Hijr 15:9)
Maksudnya: Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.


iv. Ia mengandungi mukjizat. Maksudnya, semua makhluk tidak akan dapat membuat ayat-ayat seumpama al-Quran. (Mohd Nasran Mohamad 2001:79)



KEHUJAHAN AL-QURAN

Pada zaman Rasulullah s.a.w. , Baginda menyelesaikan sesuatu masalah dan menjatuhkan ketetapan hukum melalui wahyu sama ada dalam bentuk menjawab pertanyaan yang diajukan kepada Baginda atau ketetapan yang ditentukan oleh Allah serta melalui ijtihad dan dibetulkan oleh al-Quran seandainya ada ijtihad yang dilakukan oleh Baginda kurang tepat. (Abd Latif Muda 1997 : 67)

Kedudukan dan peranan al-Quran dalam perundangan merupakan sumber pertama dalam penetapan hukum yang disampaikan kepada kita secara mutawatir. Oleh itu, al-Quran juga merupakan wahyu yang mengandungi pengajaran dan petunjuk kepada manusia. (Abd Latif Muda 1997 : 67)

Firman Allah :
•            •    
( Al-Isra’ 17 : 9)
Maksudnya: Sesungguhnya al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang betul (agama Islam), dan memberikan berita yang menggembirakan kepada orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar.

Penerimaan al-Quran sebagai hujah sememangnya tidak dapat dipertikaikan. Hal ini demikian adalah kerana al-Quran diturunkan secara mutawatir iaitu, diriwayatkan oleh ramai perawi yang mustahil mereka berpakat untuk berdusta. Selain itu, akal manusia juga tidak dapat menolak dan menafikan kebenaran yang di sampaikan dan yang terkandung di dalam al-Quran.

Penerimaan al-Quran sebagai hujah sememangnya tidak dapat dipertikaikan. Hal ini demikian adalah kerana al-Quran diturunkan secara mutawatir iaitu, diriwayatkan oleh ramai perawi yang mustahil mereka berpakat untuk berdusta. Selain itu, akal manusia juga tidak dapat menolak dan menafikan kebenaran yang di sampaikan dan yang terkandung di dalam al-Quran.

Para ulama juga telah bersepakat bahawa al-Quran adalah hujah dan beramal dengannya adalah wajib. Oleh itu, tidak boleh menggunakan dalil yang lain selain dalil al-i kecuali tidak terdapat di dalamnya setelah dicari. Hal ini demikian kerana al-Quran datangnya daripada Allah s.w.t. , dan diturunkan melalui perantaraan Jibril. Al-Quran juga merupakan satu mukjizat, iaitu ayat-ayat yang terkandung di dalamnya tidak boleh ditandingi oleh mana-mana makhluk. Diantara syarat-syarat mukjizat al-Quran ialah :

i) Melontar cabaran, firman Allah :
     •               
Maksudnya : Dan jika kamu tetap dalam keraguan tentang al-Quran yang kami wahyukan kepada hamba kami (Muhammad) buatlah satu surah sahaja yang menyamai al-Quran dan ajaklah penolong-penolongmu selain Allah, jika kamu orang-orang yang benar.

ii) Wujudnya asas untuk mencabar, iaitu nabi memberitahu bahawa agama selain daripada agama Islam adalah terbatal.

iii) Tiada halangan untuk dicabar. Hal ini demikian adalah kerana bahasa Arab adalah amat difahami dan dapat dikuasai dengan baik oleh pihak Quraisy.

Dapatlah disimpulkan bahawa mukjizat al-Quran telah membuktikan bahawa al-Quran merupakan sumber utama dalam pengeluaran sumber-sumber hukum dan ayat-ayat yang terkandung di dalamnya adalah hujah.

BENTUK I’JAZ AL-QURAN

Faktor terpenting tentang kehujahan al-Quran ialah bersifat i’jaz. Mukjizat al-Quran terbahagi kepada beberapa bahagian, antaranya mukjizat dari segi bahasa, isi kandungan dan dari segi ilmu.

Al-Quran mempunyai berbagai mukjizat. Antara mukjizat al-Quran ialah sentiasa dijamin oleh Allah daripada ditokok tambah atau dikurangkan kandungan di dalamnya untuk dijadikan pedoman atau panduan umat manusia sehingga hari akhirat. Mukjizat al-Quran secara lebih khusus dapat dibahagikan kepada beberapa bahagian berikut :(Rosmawati Ali @Mat Zin 1997:35)

1) Mukjizat dari segi bahasa
2) Mukjizat dari segi isi kandungan
3) Mukjizat dari segi ilmu

Mukjizat Dari Segi Bahasa

Bahasa al-Quran amat indah, padat dan tidak dapat ditandingi oleh pakar bahasa daripada semua peringkat dan zaman. Antara lain mukjizat al-Quran dari segi bahasa ialah melalui keindahan dari susunannya, gaya bahasanya dari segi fasahah dan balaghah. (Rosmawati Ali @ Mat Zin 1997:35)

Kelebihan al-Quran melalui ketinggian gaya bahasanya tidak dapat ditandingi oleh sesiapa, dibawa oleh Nabi Muhammad yang bersifat ummi. Hal tersebut untuk membuktikan dan mengukuhkan Nabi Muhammad adalah pesuruh Allah. Al-Quran adalah kalam Allah dan bukan ciptaan atau ucapan Nabi Muhammad. (Rosmawati Ali @ Mat Zin 1997:35)

Mukjizat Dari Segi Isi Kandungan

Al-Quran mengandungi peristiwa dan kisah yang telah berlaku pada zaman lampau dan zaman sebelum Nabi Muhammad. Peristiwa tersebut benar-benar berlaku dan bukan mitos atau dongeng. Selain itu, ayat serta surah yang terdapat di dalam al-Quran mempunyai hubung kait antara satu dengan lain dan tidak ada sedikit pun percanggahan sama ada dari aspek berita, pengajaran dan apa sahaja yang terkandung dalamnya. (Rosmawati Ali @Mat Zin 1997: 36-37)

Al-Quran merupakan mukjizat yang lengkap dan sempurna dan tidak dapat ditandingi oleh sesiapa pun. Antara lain mukjizat al-Quran ialah di dalamnya meliputi berita alam ghaib. Mengenai cerita alam ghaib ialah perkara yang tidak dapat difikir oleh akal seperti azab dan kenikmatan dalam kubur, malaikat, syurga, neraka dan sebagainya. (Rosmawati Ali @ Mat Zin 1997:38)

Isi kandungan al-Quran juga tidak bertentangan antara hakikat dan realiti. Isi kandungan al-Quran mencakupi serta meliputi segala bidang ilmu pengetahuan, baik ilmu keduniaan dan akhirat dan ia bersesuaian dengan tempat,masa dan keadaan. Di samping itu juga sebagai khazanah ilmu pengetahuan yang tepat dan betul. (Rosmawati Ali @ Mat Zin 1997:38)

Mukjizat Dari Segi Ilmu

Al-Quran mengandungi serta meliputi semua bidang ilmu pengetahuan, antaranya: (Rosmawati Ali @Mat Zin 1997:40)
1. Ilmu ibadat, seperti sembahyang, puasa, zakat serta haji.
2. Ilmu tentang akidah dan menyeru semua manusia supaya mentauhidkan Allah dan mengabdikan diri kepadaNya semata-mata.
3. Pengetahuan tentang muamalat dan perhubungan dengan manusia lain, contohnya tentang gadaian, hutang-piutang dan jual beli.
4. Di dalam bidang ekonomi, Islam sentiasa menggalakkan umatnya mencari kebahagiaan untuk bekalan di hari akhirat, di samping tidak mengabaikan urusan keduniaan dan mencari harta.
5. Dalam al-Quran mengandungi ilmu Balaghah, Nahu, Sastera dan lainnya, Sejarah, Politik, Pentadbiran dan semua ilmu yang tidak terhitung.

KEDUDUKAN AL-QURAN SEBAGAI SUMBER HUKUM

Kemukjizatan al-Quran dapat dilihat dari sudut bahasa, isi kandungan serta ilmu. Keadaan ini menunjukkan bahawa al-Quran mempunyai kedudukan yang tinggi sebagai sumber hukum.

Al-Quran adalah asas bagi syariah Islam yang lain. Firman Allah :
             •           
(Al-An’am 6:38)

Maksudnya: Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan).

Maksudnya semua perkara pokok yang diperlukan oleh manusia mengenai agama atau pun perkara duniawi tersebut dalam al-Quran sama ada secara terperinci atau secara ijmaliyy. (Siti Zalikhah Md.Nor 1999:24)

Firman Allah:
    •            •          
(Al-Nahl 16:89)
Maksudnya: Dan (ingatkanlah tentang) hari kami bangkitkan dalam kalangan tiap-tiap umat, seorang saksi terhadap mereka, dari golongan mereka sendiri; dan kami datangkanmu (wahai Muhammad) untuk menjadi saksi terhadap mereka ini (umatmu); dan kami turunkan kepadamu al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan berita yang mengembirakan, bagi orang-orang Islam.

Maksud ayat ini ialah al-Quran membawa hukum yang memaparkan kaedah-kaedah umum dan dasar yang menyeluruh yang dapat dijadikan panduan kepada manusia dalam kehidupan seharian. (Siti Zalikhah Md.Nor 1999:25)

Al-Quran menyatakan pelbagai perkara yang merangkumi semua asas dan kaedah yang seharusnya ada dalam setiap undang-undang dan peraturan seperti Islam mewajibkan keadilan, mengadakan musyawarah, menghilangkan kesempitan, menolak kemudaratan, menunaikan amanah dan merujuk kepada orang yang berkebolehan serta mempunyai kepakaran dalam sesuatu bidang pengkhususan. (Siti Zalikhah Md.Nor 1999:25)

Semua dalil syarak lain iaitu al-Sunnah, al-Ijma’dan al-Qiyas adalah bersandarkan al-Quran seperti firman Allah:
•                                 •   •    
(Surah Al-Hashr 59:7)
Maksudnya: Apa yang Allah kurniakan kepada RasulNya (Muhammad) dari harta penduduk negeri, bandar atau desa dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah, dan bagi kaum kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir (yang keputusan). (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu. dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksanya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya).

Ayat ini menunjukkan bahawa al-Sunnah adalah satu sumber daripada sumber perundangan Islam.

HUKUM-HUKUM DALAM AL-QURAN

Al -Quran adalah asas bagi syariat Islam dan merupakan asal bagi sumber-sumber syariah Islam. Oleh itu, terdapat beberapa hukum yang terdapat dalam al-Quran iaitu hukum yang berkaitan dengan akidah, hukum yang berkaitan dengan akhlak dan hukum yang berkaitan dengan amalan.

Hukum Yang Berkaitan Dengan Akidah

Hukum yang berkaitan dengan akidah ialah mempercayai rukun iman iaitu percaya kepada Allah, percaya kepada malaikat, percaya kepada kitab, percaya kepada para Rasul, percaya kepada hari kiamat, percaya kepada qada’ dan qadar. Kepercayaan dan i’tiqad itu bersangkutan dengan perbahasan ilmu Tauhid yang juga dikenali dengan ilmu Usul al-Din, ilmu Kalam, ilmu Sifat dan ilmu Akidah. ( Abdullah Ishak 1997 : 53)
Firman Allah:
               
( Al-Mukmin 40:65)
Maksudnya: Dialah yang tetap hidup; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; maka sembahlah kamu akan Dia dengan mengikhlaskan amal agama kamu kepadaNya semata-mata. Segala puji tertentu bagi Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.

Hukum Yang Berkaitan Dengan Akhlak

Hukum yang berkaitan dengan akhlak ialah hukum yang bersangkutan dengan segala sifat terpuji bagi seseorang, sama ada pada jasmani ataupun rohani seperti sifat sabar, ikhlas, pemurah, rajin, sopan dan tingkah laku yang baik. Hukum yang membicarakan permasalahan tersebut adalah bersangkutan dengan ilmu akhlak atau dikenali sebagai ilmu Tasawwuf. (Abdullah Ishak 1997 : 53)

Contohnya berkenaan dengan berbuat baik kepada kedua ibu bapa sebagaimana firman Allah:
                           •       • 
(Al-Nisa 4 : 36)

Maksudnya: Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri.

Hukum Yang Berkaitan Dengan Amalan

Hukum yang berkaitan dengan amalan terbahagi kepada dua bahagian iaitu ibadat dan muamalat. Hukum berkaitan dengan ibadat seperti melakukan ibadat terhadap Allah sama ada ibadat khusus dan ibadat umum. Melakukan muamalat seperti melaksanakan urusan jual beli, sewa menyewa, gadai menggadai, bersyarikat dan melakukan riba. (Abdullah Ishak 1997:54)

Contohnya ayat yang berkaitan dengan muamalat, firman Allah :
                      •                       •     
(Al-Baqarah 2:275)
Maksudnya:Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: "Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba". Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu ia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.

Kesimpulannya, bahagian pertama iaitu hukum yang berhubung dengan kepercayaan atau iktikad menjadi asas kepada agama Islam. Manakala bahagian kedua, iaitu perkara yang berkaitan dengan akhlak dan bahagian ketiga berkaitan dengan perbuatan mukallaf. Ketiga-tiga bahagian ini adalah saling berkaitan antara satu dengan yang lain yang berperanan sebagai intisari terpenting yang termaktub dalam al-Quran.

DALALAH AL-QURAN

Seperti yang diketahui al-Quran membincangkan hukum melalui tiga aspek iaitu hukum yang berkaitan dengan akhlak, akidah serta amalan. Namun apa yang ingin dibincangkan di sini bukanlah hukum dari sudut akhlak dan akidah, tetapi apa yang ingin dibincangkan adalah lebih kepada hukum yang berkaitan dengan amalan dan perbuatan mukallaf. Perundangan islam menetapkan hukum-hukum tersebut sama ada berbentuk qat’iyy atau zanniyy

Berdasarkan penerangan mengenai hukum-hukum dalam al-Quran, kita dapat mengetahui hukum bagi sesuatu perkara yang telah ditetapkan oleh Allah kepada hambanya. Al-Quran turut juga menjelaskan mengenai cara dan bentuk al-Quran menunjukkan hukum. Cara dan bentuk al-Quran menunjukkan hukum dalam dua keadaan, iaitu dalam al-Quran terdapat hukum yang diterima secara qat’iyy dan zanniyy. Justeru itu, al-Quran menerangkan hukum dalam perundangan dapat dibahagikan kepada dua bentuk : (Abdul Latif Muda 1997:68-69)
1) Hukum secara qat’iyy
2) Hukum secara zanniyy

Hukum secara Qat’iyy

Qat’iyy ialah makna yang difaham daripada sesuatu lafaz hanya satu atau tiada kebarangkalian makna lain yang boleh difahami daripada lafaz. Antara ayat yang hukumnya diterima secara qat’iyy seperti firman Allah:
• الزَّانِيَةُ وَالزَّانِي فَاجْلِدُوا كُلَّ وَاحِدٍ مِنْهُمَا مِائَةَ جَلْدَة
(Al-Nuur 24:2)
Maksudnya: Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina maka sebatlah tiap seorang dari keduanya seratus sebatan.

Lafaz penzina dalam ayat tersebut adalah penetapan secara qat’iyy atau pasti yang tidak dapat dipertikaikan lagi maksudnya serta hukumnya. Iaitu penzina perempuan dan lelaki mestilah disebat dengan seratus sebatan.

Hukum secara Zanniyy

Zanniyy ialah suatu lafaz yang mempunyai kebarangkalian makna lebih daripada satu. Contohnya tentang hukum iddah perempuan yang diceraikan, sama ada tiga kali haid atau tiga kali suci, disebabkan kekeliruan perkataan quru’, yang boleh ditafsirkan dengan erti suci atau haid. Seperti firman Allah:
وَالْمُطَلَّقَاتُ يَتَرَبَّصْنَ بِأَنْفُسِهِنَّ ثَلَاثَةَ قُرُوءٍ
(Al-Baqarah 2:228)
Maksudnya: Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (haid).

Lafaz quru` dalam ayat tersebut adalah zanniyy kerana ia memberi dua makna, iaitu haid atau suci.

BENTUK PENERANGAN HUKUM AL-QURAN

Ada tiga cara al-Quran menerangkan mengenai hukum. Cara-cara itu ialah:
1) Memberikan keterangan secara keseluruhan (kulliyy) iaitu dengan menyebut kaedah dan prinsip umum yang akan menjadi asas kepada hukum-hukum terperinci selanjutnya. Antara contoh keterangan seperti ini ialah:

a. Perintah berpegang dengan dasar syura sebagaimana yang diterangkan dalam firman Allah:
وَأَمْرُهُمْ شُورَى بَيْنَهُم
(Al-‘Imran 3:159)
Maksudnya: Bermesyuaratlah dengan mereka tentang masalah berkenaan.
Syura yang dimaksudkan di sini hanya melibatkan perkara-perkara yang boleh diijtihadkan kerana perkara-perkara qat’iyy adalah bersifat thabat.

b. Perintah berlaku adil seperti mana yang terdapat dalam firman Allah:
 •     
( Al-Nahl 16: 90)
Maksudnya: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu berlaku adil dan berbuat kebajikan

c. Hukum haram menggunakan harta milik orang lain. Hal itu sebagaimana
dijelaskan dalam firman Allah : وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ
(Al-Baqarah 2:188)
Maksudnya: Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu secara tidak sah (batil).

d. Perintah menunaikan janji. Hal tersebut sebagaimana dinyatakan dalam firman Allah:
     
(Al-Maidah 5:1)
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, tunailah janji


e. Kaedah keseksaan mesti sepadan dengan kesalahan sebagaimana dijelaskan dalam
firman Allah:
     
(Al-Shura 42: 40)
Maksudnya: Perbuatan jahat balasannya jahat seperti itu juga.

2) Menerangkan hukum secara umum (ijmaliyy) sehingga memerlukan keterangan dan perincian. Contoh-contoh hukum dari bentuk ini ialah:

a. Hukum wajib bersembahyang dan membayar zakat. Kewajipan ini diterangkan secara umum oleh Allah dalam firmannya:
   •     
(Al-Nur: 56)
Maksudnya: Hendaklah kamu bersembahyang dan tunaikan zakat

Dalam ayat ini Allah tidak menerangkan berapa rakaat sembahyang itu dan bagaimana ianya harus dilakukan. Begitu juga Allah tidak menerangkan dalam ayat ini bagaimana dan berapa kadar yang harus dikeluarkan sebagai zakat.

Keterangan-keterangan secara terperinci mengenai masalah ini telah dijelaskan oleh Sunnah kemudiannya.

Mengenai sembahyang Rasulullah bersabda :
صلوا كما رايتمونى أصلى
( Bukhari dan Ahmad dan Darami )


Maksudnya : Bersembahyanglah sebagaimana kamu melihat aku sembahyang”.

Mengenai zakat pula Rasulullah menjelaskan perintah yang dibuat secara umum ini dengan menerangkan kadar dan cara mengeluarkannya dalam beberapa hadis baginda.

b. Kewajipan mengerjakan ibadat haji seperti mana yang terdapat dalam firman Allah:
  ••        
(Al-‘Imran 3:97)
Maksudnya : Bagi Tuhan atas manusia ( kewajipan ) menunaikan haji bagi sesiapa sahaja yang mampu berbuat demikian

Bagi menerangkan perintah yang dibuat secara umum ini Rasulullah memberitahu melalui hadis baginda yang mana beliau bersabda :
عنى منا سككمخذوا
(Muslim Abu Daud Ibn Majah Al-Nasai)
Maksudnya : Contohilah diriku, gerak kerja haji kamu semua.

c. Kewajipan melaksanakan hukum qisas sebagaimana dijelaskan dalam firman Allah:
        
(Al-Baqarah 2:178)

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman, kamu semua diwajibkan melaksanakan qisas.
Syarat-syarat qisas itu kemudiannya diterangkan oleh hadis-hadis nabi.

d. Pengharaman riba. Hal itu sebagaimana diterangkan dalam firman Allah:
•      
(Al-Baqarah 2: 275)
Maksudnya : Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba.

Kemudian datang Sunnah Baginda s.a.w menerangkan apa maksud dan bentuk jual beli serta apa bentuk riba itu.

3) Keterangan secara terperinci, sebagaimana yang terdapat pada ayat-ayat mengenai bahagian pusaka, cara melakukan talak, li’an, mereka yang haram berkahwin dengannya dan begitu juga setengah keseksaan yang diistilahkan sebagai “hudud”, seperti hukuman terhadap penzina, pencuri, perompak dan sebagainya.

Kebanyakan keterangan secara terperinci atau tafsilyy ini terdapat dalam ayat-ayat mengenai hukum akidah dan akhlak. Adapun hukum-hukum amali, keterangan mengenainya biasanya dibuat secara prinsip atau secara umum.

Dalam menerangkan hukum-hukum ini al-Quran menggunakan berbagai-bagai gaya. Ini mungkin sebagai suatu cara untuk menarik minat supaya hukum-hukum yang diterangkan itu dihormati dengan sebaik-baiknya dan tidak melanggari begitu sahaja.

Dalam sesetengah keadaan al-Quran menerangkan hukum wajib dengan menggunakan kata suruh seperti mana dalam
firman Allah:
  
(Al-Nur 24:56)
Maksudnya: Hendaklah kamu bersembahyang

Kadang-kadang untuk tujuan yang sama, al-Quran menjanjikan pembalasan yang baik serta pahala kepada mereka yang melakukan sesuatu itu atau memuji si pelakunya. Sebaliknya untuk menerangkan pengharaman, al-Quran kadang-kadang menggunakan kata larangan seperti yang terdapat dalam firman Allah :
          
(Al-Baqarah 2:195)
Maksudnya: Janganlah kamu mencampakkan diri kamu sendiri ke lembah kehancuran.

Dalam sesetengah hal ia mencerca orang yang melakukan perbuatan yang dimaksudkan itu atau menjanjikan azab dan neraka serta laknat ke atas orang yang melakukannya.

Ada juga hukum-hukum seperti itu diterangkan dengan cara menyifatkan sesuatu perbuatan itu sebagai cemar atau fasik dan sebagainya. Perbuatan-perbuatan tersebut biasanya harus diterangkan dengan cara menyebut dan ianya harus dilakukan, diizin melakukannya serta tidak mengapa melakukannya atau sebagainya.

Kadang-kadang sesuatu hukum yang sama itu disebut beberapa kali di tempat yang berlainan. Ini bertujuan untuk mengingatkan dan menegaskan. (Mahmood Zuhdi b. Abdul Majid 1988: 50-52)

KESIMPULAN

Al-Quran mempunyai pelbagai pengertian namun maksud yang ingin disampaikan adalah sama, iaitu kalam Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad melalui perantaraan malaikat Jibril, diriwayatkan secara mutawatir dan dikira ibadat bagi sesiapa yang membacanya.

Ciri-ciri al-Quran yang dapat dikelaskan disini ialah lafaz dan makna al-Quran datang daripada Allah, dipindahkan secara mutawatir, isi kandungannya terpelihara daripada penambahan dan pengurangan serta ayat-ayatnya tidak dapat ditandingi oleh sesiapa pun.

Mukjizat al-Quran turut juga dibincangkan disini dan ia dipecahkan kepada tiga sudut iaitu bahasa, isi kandungan dan ilmu. Melalui mukjizat yang diceritakan ini maka sudah tentu al-Quran mempunyai kedudukan yang tinggi sebagai sumber hukum. Hukum-hukum yang dibincang di dalam al-Quran dapat dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu dari sudut akidah, amalan dan akhlak.

Al-Quran merupakan salah satu daripada sumber-sumber perundangan yang diwahyukan oleh Allah kepada Nabi junjungan kita iaitu Nabi Muhammad selama 23 tahun. Berdasarkan apa yang telah dijelaskan sebelum ini al-Quran merupakan sumber perundangan yang pertama yang perlu diikuti oleh umat Islam.

RUJUKAN

Abdul Karim Zaidan. 1430H/2009. Al-Wajiz fi usul al-fiqh. Beirut : Resalah Publishers.

Abdul Latif Muda & Rosmawati Ali @ Mat Zin. 1997. Pengantar usul fiqh. Kuala Lumpur : Penerbit Pustaka Salam Sdn. Bhd.

Abdullah Ishak. 1997. Sumber perundangan Islam dan tanggungjawab muslim. Kuala Terengganu : Aspirasi Teras Sdn. Bhd.

Mohd. Nasran Mohamad, Anwar Fakhri Omar, Mohd. Zamro Muda, Mohammad Zaini Yahaya. 2001. Metodologi Fiqh. Bangi : Universiti Kebangsaan Malaysia.


Coretan :

1. YASMIN YUSOFF(A126782)

2. KHALILAH SALLEH(A127110)

3. NUR HAYATI RASMIN(A127403)

4. NOR ROSNANI AHMAD(A129689)

5. NUR HIDAYAH ABU YAZIZ(A127702)

0 comments: