Tuesday, November 10, 2009

MAFHUM AL-MUKHALAFAH

PENDAHULUAN


Ilmu Usul Fiqh adalah suatu ilmu yang mengkaji tentang kaedah-kaedah umum (kulliy) untuk mengeluarkan hukum-hakam dari dalil-dalil tafsiliyy seperti ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Nabawi. Proses pembinaan hukum ini merupakan objektif asas dalam perbincangan ilmu usul fiqh dan perbincangan dalam ilmu ini juga tidak terhad kepada objektif asas itu sahaja bahkan banyak perkara yang berkaitan dengannya.

Terdapat beberapa aspek atau pecahan yang akan dibahaskan melalui Ilmu Usul Fiqh ini. Antaranya ialah mengenai sumber-sumber untuk mendapatkan kaedah-kaedah istinbat hukum seperti al-Quran, al-Sunnah, ijma’, dan qiyas. Ada juga melalui sumber-sumber yang tidak disepakati seperti istihsan, istishab dan lain-lain lagi.

Salah satu daripada pecahan ilmu usul fiqh ialah mafhum. Ia terbahagi kepada dua bahagian iaitu mafhum muwafaqah dan mafhum mukhalafah. Aspek yang hendak dibincangkan dalam tugasan ini ialah mafhum mukhalafah iaitu untuk mengetahui makna difahami daripada lafaz secara berlawanan atau bersalahan.




PENGERTIAN MAFHUM AL-MUKHALAFAH

Dari sudut bahasa mafhum al-mukhalafah bermaksud makna yang difahami daripada lafaz secara bersalahan. Manakala dari sudut istilah pula ia bermaksud makna yang ditunjuk oleh lafaz pada tempat yang tidak disebut bertentangan dengan yang ditunjuk oleh lafaz pada tempat percakapan. Secara umumnya juga mafhum al-mukhalafah ialah makna yang tersirat bertentangan dengan makna daripada lafaz yang tersurat. (Ismail Mahmood et.al 2003 : 202 )

PEMBAHAGIAN MAFHUM AL-MUKHALAFAH
Mafhum al-Mukhalafah terdiri daripada beberapa bahagian iaitu Mafhum al-Sifah, Mafhum al-Shart, Mafhum al-Ghayah, Mafhum al-‘Adad, Mafhum al-Laqab, Mafhum al-Hasr.

1. Mafhum al-Sifah (مفهوم الصفة)

Al-Sifah menurut bahasa ialah keadaan yang sesuatu itu berada padanya. Menurut istilah ahli-ahli usul, mafhum al-sifah ialah mengikat lafaz yang dikongsi maknanya dengan lafaz tertentu bukan dengan syarat dan ghayah. Sifat yang dikehendaki di sini lebih umum daripada al-na’t di sisi ahli nahu. Daripada penjelasan ini maka mafhum al-sifah dapat ditakrifkan dengan dalalah lafaz yang diikat dengan sesuatu sifat kepada lawan hukumnya ketika sifat itu tiada. (Ismail Mahmood et.al 2003 : 204)

Untuk memahami dengan lebih jelas lagi dapat dilihat menerusi ayat al-Quran, dan hadis Rasulullah S.A.W. Firman Allah Ta’ala :
          •      

Maksudnya : Dan sesiapa di antara kamu yang tidak mempunyai kemampuan yang cukup untuk berkahwin dengan perempuan-perempuan yang baik-baik (yang merdeka, yang terpelihara kehormatannya) lagi beriman, maka bolehlah kamu berkahwin dengan hamba-hamba perempuan yang beriman yang kamu miliki (al-Nisa’ 4 : 25).

Dalam ayat tersebut ada perkataan  iaitu hamba-hamba kamu,ia dikaitkan dengan perkataan  yang bermaksud yang beriman. Maka secara mafhum mukhalafahnya tidak boleh dikahwini hamba-hamba yang tidak beriman. (Ismail Mahmood et.al 2003 : 204)

Contoh yang lain boleh dilihat pada sabda Rasulullah s.a.w :
في سائمة الغنم زكاة
Maksudnya : Pada kambing yang dilepaskan secara bebas dikenakan zakat ( riwayat al-Bukhariyy)

Dalam hadis tersebut ada perkataan الغنم dikaitkan dengan sifat سائمة yang bermaksud yang dilepas bebas. Maka secara mafhum mukhalafahnya tidak wajib zakat pada kambing yang diberi makan dan tidak dilepas secara bebas iaitu al-ma’lufah (المعلوفة )

Mafhum al-Sifah terbahagi kepada empat bahagian.

a) Mafhum al-Zaman (مفهوم الزمن) atau Zarf al-Zaman (ظرف الزمن)

Mafhum al-Zaman dapat dilihat menerusi firman Allah Ta’ala :
•         •   • 
Maksudnya : Kamu dihalalkan bersetubuh dengan isteri kamu pada malam puasa. Mereka sebagai pakaian kamu dan kamu pakaian bagi mereka. ( al-Baqarah 2 : 187 )

Menerusi ayat tersebut secara mafhum mukhalafah menunjukkan kepada haram bersetubuh pada siang hari kerana ihlal dikaitkan dengan al-lailah. Al-lailah ialah zarf zaman.

b) Mafhum al-Makan ( مفهوم المكان) atau Zarf al-Makan (ظرف المكان)

Mafhum al-Makan dapat dilihat menerusi firman Allah Ta’ala :
     
Maksudnya : Janganlah kamu setubuhi mereka (isteri-isteri) ketika beriktikaf di masjid (al-Baqarah 2 : 187).

Menerusi ayat tersebut secara mafhum mukhalafah menunjukkan kepada harus menggauli mereka jika orang beri’ktikaf itu tidak di dalam masjid. Namun mafhum ini tidak diambil kerana ia disebut bukan untuk mengikat, bahkan untuk menerang waqi’ atau secara ikutan sahaja. Contohnya : بع هذه البقرة في القاهرة maksudnya : juallah lembu ini di Kaherah. Mafhumnya lembu ini tidak boleh dijual di tempat lain selain Kaherah.

c) Mafhum al-Hal (مفهوم الحال)

Mafhum al-Hal dapat dilihat menerusi firman Allah Ta’ala :
       
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu membunuh binatang-binatang buruan ketika kamu sedang berihram ( al-Maidah 5 : 95 )

Menerusi ayat tersebut secara mafhum mukhalafah menunjukkan kepada harus membunuh buruan semasa tidak ihram. Perkataanوأنتم حرم adalah jumlah haliyyah. (Ismail Mahmood et.al 2003 : 205)

d) Mafhum al-‘illah (مفهوم العلة)

Mafhum al-‘illah dapat dilihat menerusi firman Allah Ta’ala :
       
Maksudnya : Yang menjadi hidup dan mati untuk menguji kamu, yang manakah di kalangan kamu elok amalannya ( al-Mulk 67: 2 )

Menerusi ayat tersebut secara mafhum mukhalafah menunjukkan kepada bahawa Tuhan tidak menjadikan hidup dan mati ketika lidah mahu menguji kamu (manusia) supaya beramal soleh. (Ismail Mahmood et.al 2003 : 206)

2. Mafhum al-Shart (مفهوم الشرط)

Mafhum al-Shart menurut bahasa ialah iltizam, manakala menurut istilah fuqaha ialah :
ما يلزم من عدمه عدم المشروط ولا يلزم من وجوده وجود المشروط
Maksudnya : perkara yang mesti daripada tiadanya tiada mashrut dan tidak mesti daripadanya adanya ada mashrut.


Mafhum al-Shart dapat dilihat menerusi firman Allah Ta’ala :
              •     
Maksudnya : Maka tidak ada kesalahan keatas kamu mengqasarkan sembahyang jika kamu takut difitnahkan oleh orang-orang yang kufur ( al-Nisa’ 4 : 101 )

Menerusi ayat tersebut secara mafhum mukhalafah menunjukkan kepada tidak harus qasar jika bebas daripada fitnah orang-orang kafir. (Ismail Mahmood et.al 2003 : 207)

3. Mafhum al-Ghayah (مفهوم الغاية)

Mafhum al-Ghayah menurut bahasa ialah penghabisan. Menurut istilah pula ialah :
تعليق الحكم بإلى أو حتى
Maksudnya : Menggantung atau mengait hukum dengan ila (kepada) atau hatta (sehingga).

Maksudnya hukum yang ditetapkan setelah adanya suatu ghayah adalah berlawanan dengan hukum dari nas sebelum adanya ghayah .(Ismail Mahmood et.al 2003 : 207)

Mafhum al-Ghayah dapat dilihat menerusi dua firman Allah Ta’ala :
   •              
Maksudnya : Dan makanlah dan minumlah sehingga ternyata benang putih (fajar) daripada benang hitam (gelap malam) (al-Baqarah 2 : 187)


Firman Allah yang kedua :
         
Maksudnya : Maka jika ia menceraikannya (selepas dua talak) maka tidak halal ia kepadanya selepas itu (selepas tiga talak) sehingga ia berkahwin dengan pasangan (suami) lain (al-Baqarah 2 : 230)

Mafhum ayat pertama ialah tidak boleh makan dan minum selepas terbit fajar dan puasa tidak perlu disempurnakan apabila masuk malam. Mafhum ayat kedua pula ialah halal isteri yang ditalak tiga kepada suami pertama selepas ia berkahwin dengan suami kedua.(Ismail Mahmood et.al 2003 : 208)

4. Mafhum al-‘adad (مفهوم العدد)

Definisi mafhum al-‘adad ialah : تعليق الحكم بعدد مخصوص maksudnya menggantung hukum dengan bilangan tertentu. Iaitu mengikat hukum dengan bilangan tertentu menunjukkan kepada ternafi hukum pada perkara selain daripada bilangan tersebut sama ada lebih atau kurang. .(Ismail Mahmood et.al 2003 : 208)

Mafhum al-‘adad dapat dilihat menerusi firman Allah Ta’ala :
          
Maksudnya : Dan orang-orang yang menuduh perempuan-perempuan yang baik dengan zina, kemudian mereka tidak membawa empat saksi maka sebatlah mereka lapan puluh sebatan (al-Nur 24 : 4)

Menerusi ayat tersebut secara mafhum mukhalafah menunjukkan kepada jika mereka membawa empat saksi maka mereka terlepas daripada sebatan tersebut, dan sebatan tidak boleh melebihi atau kurang daripada bilangan tersebut. .(Ismail Mahmood et.al 2003 : 208)

Firman Allah Ta’ala :
• •  •    
Maksudnya : Perempuan yang melakukan zina dan lelaki yang melakukan zina maka sebatlah setiap seorang daripada keduanya seratus kali sebatan (al-Nur 24 : 2)

Mafhum ayat tersebut tidak boleh sebat lebih atau kurang dari bilangan tersebut.

5. Mafhum al-Laqab (مفهوم اللقب)

Mafhum al-Laqab dari sudut bahasa ialah al-Nabdh iaitu memberi gelaran atau menggelarkan. Menurut istilah ahli usul ialah :
ما أشعر بمدح أو ذم ولم يصدر بأب ولا بأم
Maksudnya : Perkara yang menunjukkan kepada puji atau cela dan tidak didahului dengan kalimah أب (bapa) atau أم (ibu). (Ismail Mahmood et.al 2003 : 209)

Namun yang dikehendaki di sini ialah mafhum yang bukan sifat. Takrif di sisi ahli usul ialah :
تعليق الحكم بالإسم علما كان أو اسم جنس
Maksudnya : Menggantungkan atau mengaitkan hukum dengan isim sama ada isim ‘alam atau isim jenis. (Ismail Mahmood et.al 2003 : 209)

Contoh bagi Isim ‘alam : على زيد حج maksudnya wajib ke atas Zaid menunaikan haji, bagi Isim Jenis pula : في الغنم زكاة maksudnya pada binatang ternakan dikenakan zakat. Mafhum dari contoh pertama ialah tidak wajib haji ke atas selain daripada Zaid, manakala mafhum dari contoh kedua ialah tidak wajib zakat pada selain dari binatang ternakan. .(Ismail Mahmood et.al 2003 : 210)

6. Mafhum al-Hasr (مفهوم الحصر)

Mafhum al-Hasr menurut bahasa ialah al-Tadyiq iaitu menyempitkan. Menurut istilah ialah mensabitkan hukum kepada yang disebut dan menafikannya daripada selainnya (yang tidak disebut). (Ismail Mahmood et.al 2003 : 210).


Mafhum al-Hasr mempunyai lima bahagian:

1. Mafhum Innama مفهوم إنما

Mafhum Innama dapat dilihat menerusi firman Allah Ta’ala :
 
Maksudnya : Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah (Taha 20 : 98)

Mafhumnya selain daripada Allah bukan Tuhan kamu. Untuk melihatnya dengan lebih jelas lagi dapat dilihat menerusi sabda Rasulullah s.a.w :
إنما الأعمال بالنيات
Maksudnya : Sesungguhnya amalan itu dengan ada niat.(riwayat Bukhariyy dan Muslim)

Mafhumnya jika tiada niat maka tidak dikira amalan tersebut. .(Ismail Mahmood et.al 2003 : 210)

2. Mafhum al-Nafy Wa al-Istithna’ مفهوم النفى و الإستثناء

Mafhum al-Nafy Wa al-Istithna’ dapat dilihat menerusi contoh ayat :
لا شجاع إلا علي
Maksudnya : Tidak ada yang berani kecuali Ali.

Mafhumnya sifat pengecut sabit pada selain daripada Ali. (Ismail Mahmood et.al 2003:201 )

3. Mafhum Cerai Mubtada’ daripada Khabar dengan Damir Al-Fasl (مفهوم فصل المبتدأ من الخبر بضمير الفصل)

Mafhum Mubtada’ daripada Khabar dengan Damir Al-Fasl dapat dilihat menerusi firman Allah Ta’ala :
        
Maksudnya : Atau patutkah mereka mengambil pelindung-pelindung selain daripadaNya, Maka Allah Dialah (sebenar-benar) pelindung (al-Shura 42 : 9)

Mafhum ayat tersebut ialah sifat pelindung yang sebenar tidak ada selain daripada Allah.

4. Mafhum Batas Mubtada’ pada Al-Khabar (مفهوم حصر المبتدأ في الخبر)
Mafhum Batas Mubtada’ pada al-Khabar maksudnya ialah membataskan mubtada’ hanya kepada khabar sahaja, sama ada dengan dima’rifahkan dengan ال atau الإضافة atau dengan kata lain dima’rifahkan kedua-duanya atau umum pada yang pertama dan khusus yang kedua. (Ismail Mahmood et.al 2003 : 211)

Mafhum ini dapat dilihat menerusi ayat العالم زيد وصديقي عمرو maksudnya orang yang ‘alim itu ialah Zaid dan kawanku ialah Amru. Mafhum menerusi ayat ini ialah selain daripada Zaid adalah jahil dan selain daripada Amru bukan kawanku.

5. Mafhum Taqdim al-Ma’mul (مفهوم تقديم المعمول)

Mafhum Taqdim al-Ma’mul bermaksud makna yang difaham daripada mendahulukan ma’mul daripada ‘amilnya atau daripada mendahulukan perkara yang sepatut dikemudiankan. (Ismail Mahmood et.al 2003 : 211)
Mafhum Taqdim al-Ma’mul dapat dilihat menerusi firman Allah Ta’ala :
   
Maksudnya : Hanya kepadaMu aku sembah dan kepadaMu aku meminta pertolongan (al-Fatihah 1 : 5)

Mafhum ayat ini ialah kami tidak sembah dan tidak meminta pertolongan selain daripada kamu (Allah).

Firman Allah Ta’ala :
      
Maksudnya : Dan sesungguhnya jika kamu meninggal atau dibunuh tentulah kepada Allah saja kamu dikumpulkan (Ali ‘Imran 3 : 158)

Mafhum ayat ini ialah kamu tidak dihimpun kepada selain daripada Allah. Berdasarkan maknanya adalah mendahulukan maksud yang terkemudian iaitu kepada Allah dikumpulkan sekiranya telah meninggal dunia. (Ismail Mahmood et.al 2003 : 212)


PANDANGAN ULAMA TENTANG KEHUJAHAN MAFHUM AL-MUKHALAFAH.

Di dalam menentukan sesuatu bahagian mafhum mukhalafah, terdapat perselisihan pandangan ulama tentang sesuatu bahagian tersebut. Sesetengah ulama tidak berpegang dengan mafhum al-sifah tetapi berpegang dengan mafhum al-istisna’ dan sebagainya. Ia boleh dibahagikan kepada dua golongan atau dua pendapat.

Pertama: Jumhur ulama termasuk Shafie, Malik dan Ahmad dan sekumpulan dari ahli bahasa Arab berhujah dengan mafhum al-mukhalafah kecuali mafhum al-laqab, maka ia tidak menjadi hujah di sisi mereka kecuali Abu Bakar al-Daqqaq dan orang yang sependapat dengannya. (Ismail Mahmood et.al 2003 : 218)
Kedua: Golongan Hanafiyyah, jumhur Mu’tazilah dan sebahagian daripada Shafi’yyah seperti Ibnu Surayj dan al-Qaffal, mereka mengingkari mafhum al-mukhalafah. (Ismail Mahmood et.al 2003 : 218)

Mengikut pandangan yang masyhur dalam kalangan Hanafiyyah ia tidak menjadi hujah di dalam kitab Syarak, tetapi menjadi hujah di dalam istilah manusia, karangan mereka dan uruf mereka. Manakala Mahammad bin al-Hasan menafikan keseluruhannya.

Setengah golongan mutaakhirin daripada Syafi’yyah pula berpendapat sebaliknya, iaitu tidak menjadi hujah pada kalam manusia, menjadi hujah pada kalam Allah dan Rasul-Nya. ( Mukhtar Yahya & Fatchur Rahman 1979 : 348 )

KEHUJAHAN MAFHUM AL-MUKHALAFAH

Sebelum mengetahui tentang dalil-dalil golongan yang berselisih, maka perlu diketahui tempat persepakatan (mahall al-wifaq) dan tempat perselisihan (mahall al-niza’).

i) Mahall al-wifaq: Jika ternyata ada faedah lain selain daripada penafian hukum daripada zat ketika tidak ada sifat atau ikatan tersebut maka mafhum mukhalafah telah disepakati untuk tidak diamalkan.
ii) Mahall al-Niza’: Jika tidak ternyata faedah daripada ikatan itu selain daripada penafian hukum daripada zat ketika tidak ada sifat atau ikatan tersebut, maka inilah tempat yang menjadi perselisihan.


a. Hujah Golongan Pertama

Ia adalah hujah golongan jumhur, mereka berhujah dengan dalil naqli dan aqli.

Abu Ubayd daripada ahli lughah berpegang dengannya pada hadis Nabi S.A.W yang berbunyi:
لى الواجد يحل عرضه وعقوبته

Maksudnya: Berlambat-lambat bayar oleh orang yang berada menghalalkan kehormatannya dan uqubahnya. ( Abu Dawud dan lain-lain daripada al-Sharid bin Suwayd r.a)

Beliau berpendapat bahawa orang yang tidak berada tidak halal kehormatannya dan hukumannya.

Maksud dengan menghalal kehormatannya ialah tuntutannya dan maksud menghalal hukumannya ialah menahannya. (Ismail Mahmood et.al 2003 : 220)

Nabi S.A.W menjawab teguran Umar r.a dengan sabdanya:
إنما خيرني الله فقال: إستغفرلهم أو لا تستغفرلهم إن تستغفرلهم سبعين مرة. وسأزيده على سبعين.
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah memberi pilihan kepadaku dengan katanya mintalah ampun untuk mereka atau jangan meminta ampun bagi mereka, jika kamu minta ampun tujuh puluh kali aku akan menambah lebih daripada tujuh puluh”. (Riwayat Muslim daripada hadis Ibnu Umar r.a).

Di dalam hadis tersebut Baginda memahamkan hukum yang lebih daripada tujuh puluh adalah menambah tuntutan ke atas mereka sebanyak tujuh puluh kali. Oleh itu mereka perlu menyegerakan bayaran sesuatu. (Ismail Mahmood et.al 2003 : 220)

Ada juga persoalan yang timbul berkaitan mengqasarkan sembahyang dan mengapa kita perlu mengqasarkan solat pada masa kita telah aman, sedangkan Allah Ta’ala berfirman:
            
Maksudnya: Maka tidak ada ke atas kamu mengqasarkan sembahyang jika kamu takut. (al-Nisa’ 4: 101)



Maka Umar r.a berkata:
فقد أمن الناس فقال عجبت مما عجبت منه وفسألت النبي (ص) عن ذلك, فقال: صدقة تصدق الله بها عليكم فاقبلوا صدقته.
Maksudnya“Sesungguhnya aku hairan terhadap perkara yang kamu hairan, maka aku Tanya Nabi S.A.W mengenainya, maka Baginda menjawab kepadaku: Ia adalah sedekah yang disedekahkannya oleh Allah kepada kamu, maka terimalah sedekahnya”. (Muslim daripada Ya’la)

Di sini Umar r.a memahami sebagaimana yang Ya’la fahami, iaitu tidak boleh qasar jika tidak di dalam keadaan takut. Ini bererti kedua-duanya berpegang dengan mafhum al-mukhalafah.


b. Hujah Golongan Kedua

Ia adalah hujah daripada golongan Hanafiyyah yang berhujah dengan menggunakan beberapa dalil. Antara hujah mereka ialah :

i. Terdapat banyak ayat dan hadis yang tidak diamalkan dengan cara mafhum mukhalafah, antaranya Firman Allah Ta’ala yang bermaksud :
•                          

Maksudnya : Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) Dalam Kitab Allah semasa ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu pada-Nya.
(al-Taubah 9 : 36)
Mafhumnya boleh melakukan kezaliman pada bulan-bulan lain selain bulan haram ( Rejab, Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharam), sedangkan ia tidak boleh. (Ismail Mahmood et.al 2003 : 222)

ii. Sabda Nabi Muhammad S.A.W:
لا يغتسل أحدكم في الماء الدائم وهو جنب
Maksudnya : Jangan mandi seorang kamu didalam air yang tenang sedangkan ia di dalam keadaan junub. ( Muslim daripada Abu Hurairah R.A)

Mafhum pada hadis ini ialah boleh mandi di dalam air yang tenang pada masa ia tidak berjunub, sedangkan larangan adalah umum meliputi masa berjunub dan tidak berjunub.


iii. Mengaitkan hukum dengan sifat atau qayd tidak menunjukkan ternafinya hukum daripada mawsuf ketika tidak ada sifat kerana sah dikatakan:

في الغنم السائمة زكاة ولا زكاة في المعلوفة
Maksudnya : Dikenakan zakat pada kambing yang dilepaskan secara bebas dan tidak dikenakan zakat pada kambing yang diberi makan dan tidak dilepaskan secara bebas.

Didalam hal ini, jika mafhum diambil kira maka tidak perlu kepada ibarat (ولا زكاة في المعلوفة) kerana tidak ada faedahnya.

HUKUM MAFHUM AL-MUKHALAFAH

Tidak ada perselisihan di sisi golongan yang berhujah dengan mafhum mukhalafah bahawa hukum pada perkara yang didiam(al-maskut) bersalahan dengan hukum perkara yang disebut (al-madhkur) dari sudut ithbat dan nafi.

Manakala golongan yang tidak berpegang dengannya mengatakan bahawa hukum pada yang disebut tidak menunjukkan kepada penafian hukum pada yang didiamkan atau ithbatnya. Bahkan hukumnya didiamkan (maskut ‘anhu). Hukum yang didiami tadi diambil daripada dalil-dalil yang lain. Jika tidak didapati dalil, maka ia dikekalkan pada al-bara’ah al-asliyyah atau al-‘adam al-asliyy. (Ismail Mahmood et.al 2003 : 225)
Contohnya firman Allah S.W.T:

       •
Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman jika datang kepada kamu orang yang fasik membawa sesuatu berita maka hendaklah kamu periksa dengan teliti (mendapatkan bayyinah atau saksi tentang kebenarannya) (al-Hujurat 49 : 6)

Hukum pada yang disebut seperti di atas wajib ditabayyun sekiranya yang membawa berita itu adalah seorang yang fasik, dan hukum pada yang didiamkan yang berlawanan manfiyy (dinafikan). Ia tidak wajib tabayyun jika berita itu dibawa oleh orang yang adil. Ini adalah pendapat golongan yang berpegang dengan mafhum mukhalafah. (Ismail Mahmood et.al 2003 : 225)


SYARAT-SYARAT MAFHUM MUKHALAFAH

1) Madlul daripada mafhum mukhalafahnya tidak boleh bertentangan dengan madlul dari dalil yang kuat, walaupun dalil itu dari mantuq bih mahupun dalil mafhum muwafaqah. Sebagai contoh mafhum mukhalafah yang bertentangan dengan madlul mantuq bih ialah seperti menetapkan hukum dibolehkan membunuh anak sendiri jika tidak takut akan berlakunya kemiskinan. Hukum yang demikian itu diperoleh dari mafhum mukhalafah menerusi firman Allah S.W.T :
    
Maksudnya : Jangan kamu bunuh anak-anakmu kerana takut kepada kemiskinan. (al-Isra’ 17 : 31)

Secara mukhalafahnya difahami perbuatan itu tidak boleh dilakukan kerana berlawanan dengan dalalah mantuq bih dari firman Allah Taala S.W.T:
      
Maksudnya : Janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah kecuali dengan alasan yang hak.(Al-Isra’ 17 : 38)


Oleh yang demikian maka tidak boleh anak sendiri walaupun tidak takut kepada kemiskinan. Ini kerana mafhum yang demikian itu tidak memenuhi syarat malahan berlawanan dengan dalil yang lebih kuat iaitu surah al-Isra’ ayat 38 tersebut.

Bagi contoh mafhum mukahalafah yang berlawanan dengan mafhum muwafaqah seperti ketetapan hukum dibolehkan memukul kedua orang tua lantaran yang dilarang dalam surah al-Isra’ ayat 23 yang menerangkan tentang berkata ‘ah’ kepada mereka. Apa-apa yang difahami dalam mafhum mukhalafah ialah melakukan apa sahaja selain ‘ah’ adalah dibolehkan. Namun, merujuk kepada mafhum muwafaqah ialah segala tindakan yang menyakitkan hati kedua orang tua seperti memaki-maki, menganiaya, memukul dan sebagainya adalah diharamkan. Hal ini kerana tindakan yang sedemikian mempunyai ’illah yang sama dengan menggertak dengan ucapan ‘ah’ iaitu kedua-duanya merupakan tindakan yang menyakitkan hati. Oleh itu membolehkan memukul orang tua adalah berlawanan dengan mafhum muwafaqah.

2). Dalil yang disebutkan itu bukan menerangkan seseuatu kejadian yang khusus. Misalnya dalam Firman Allah Ta’ala:
    
Maksudnya : Janganlah kamu memakan riba dengan berlipat kali ganda. (Al Imran 3 : 130)

Dari dalil yang disebutkan di atas tidak dapat diambil mafhum mukhalafahnya tentang halalnya riba yang tidak berlipat kali ganda. Oleh itu, riba yang tidak berlipat kali ganda pun hukumnya juga dilarang kerana Allah menyebutkan ayat yang berlipat kali ganda itu hanyalah menerangkan kejadian khusus bagi orang jahiliah. Hal ini kerana orang jahiliyyah yang memberi hutang apabila telah sampai waktu pembayarannya berkata kepada orang yang berhutang supaya menyelesaikan hutangnya. Jika tidak menyelesaikan hutangnya dalam tempoh yang ditetapkan maka hutangnya itu akan bertambah berlipat kali ganda. Maka turunlah ayat ini.

4). Dalil yang disebutkan bukan dimaksudkan untuk penghormatan atau menguatkan sesuatu keadaan. Contohnya sabda Rasulullah s.a.w.:
من كان يؤمن بالله واليوم الأخر فليقل خيرا أو ليصمت ومن كان يؤمن بالله واليوم الآخر فليكرم جاره
Maksudnya : Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat berkatalah yang baik atau diam sahaja dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka muliakanlah jiran tetangga. (R.W. Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan hadis di atas telah menyebabkan orang yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat adalah untuk penghormatan dan menguatkan. Oleh sebab itu, tidak ada mafhum mukhalafahnya kerana ertinya tidak dapat difahamkan dari hadis itu bahawa orang yang tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat boleh berkata yang tidak baik atau menggangu jiran tetangga.

5). Dalil yang disebutkan harus berdiri sendiri dan tidak boleh mengikut kepada yang lain. Firman Allah Ta’ala:
ولا     
Maksudnya :…Janganlah kamu campuri mereka mereka(isteri-isteri) itu sedang kamu beri’tikaf di masjid-masjid. (Al-Baqarah 2 : 187)

Larangan mencampuri isteri diwaktu sedang beri’tikaf sudah merupakan ketentuan sendiri, tidak dikaitkan dengan tempat dimana ia beri’tikaf. Oleh itu, tidak dapat diambil mafhum mukhalafahnya bahawa orang yang beri’tikaf di luar masjid dibolehkan mencampuri isterinya. Larangan itu adalah bersifat mutlak bagi orang yang sedang melakukan i’tikaf.

6). Dalil yang disebutkan itu bukan sekadar menerangkan kebiasaan. Firman Allah Taala:
   
Maksudnya :….Anak-anak isterimu yang dalam pemeliharaanmu. (an-Nisa’ 4 : 23)

Dalam ayat tersebut menerangkan bahawa antara wanita-wanita yang tidak boleh dikahwini adalah anak tiri yang dalam pemeliharaan. Ayat ini tidak boleh diambil Mafhum Mukhalafahnya bahawa anak tiri yang tidak berada dibawah pemeliharaannya boleh dikahwini kerana lafaz yang berada dalam pemeliharaanmu disebutkan adalah sekadar menerangkan kebiasaan sahaja . Memang demikian menurut kebiasaan anak tiri itu berada di dalam pemeliharaan ayah tirinya.

















KESIMPULAN

Secara keseluruhannya Mafhum al-Mukhalafah ialah penetapan yang berlawanan dengan hukum yang diambil dari dalil yang disebutkan dalam nas (mantuq bih) kepada sesuatu yang tidak disebutkan dalam nas (maskut ‘anhu). Oleh itu, hukum yang ditetapkan oleh Maskut ‘anhu adalah berlawanan dengan hukum yang ditetapkan oleh Mantuq bih.

Terdapat dua golongan ulama mengenai kehujahan mafhum mukhalafah iaitu golongan jumhur dan golongan Hanafiyyah termasuk beberapa ulama Shafi’iyyah. Di bawa juga hujah masing-masing atau sebahagian hujah-hujah mereka. Daripada perselisihan tersebut, lahirlah perselisihan di dalam beberapa furu’ fiqh seperti berkahwin dengan hamba daripada ahli kitab, hukum air yang kurang daripada dua kolah yang dimasuki najis dan tidak berubah, mengambil cukai daripada bukan ahli kitab dan lain-lain.
Oleh itu, dapat juga kita ketahui hukum sesuatu nas atau hukum di sebalik sesuatu nas berdasarkan pandangan yang diberikan oleh dua golongan ulama ini.















BIBLIOGRAFI

Al-Quran.

Tafsir al-Quran.

Abdul Karim Zaydan. 2009. Al-Wajiz Fi Usul fiqh. Beirut-Lubnan: Resalah Publishers.

Ismail Mahmood, Mohammad Zaini Yahaya & Mat Noor Mat Zain. 2003. Usul fiqh 1. Universiti Kebangsaan Malaysia : Pusat Pengajian Jarak Jauh.

Mukhtar Yahya, Fatchur Rahman. 1979. Dasar-dasar pembinaan hukum fiqh-Islamiy. Jakarta : Sa’adiyah Putra.

http://www.al-eman.com/hadeeth


DISEDIAKAN OLEH:
1)KHAIRUL AZMAN B. MD SAAD
2)MUHAMMAD HAIKAL B. SUBAHIR
3)MOHD LUTFI B. AHMAD KHUZAINI
4)LUQMAN B. MAHADI

0 comments: