Sunday, November 8, 2009

AL-AMR

PENGENALAN

Bahasa Al-Quran dan al-sunnah sangat berbeza dengan bahasa moden sekarang kerana al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab. Kandungan al-Quran bukan sahaja terhad kepada perintah, larangan dan akibat hukumnya sahaja, tetapi juga dalam bentuk seruan moral untuk kesedaran setiap individu. Seruan mungkin berbentuk pujukan, peringatan, kelebihan dan keburukan membuat atau meninggalkan sesuatu perintah juga ancaman atau balasan di akhirat kelak. Perintah dan larangan al-Quran terdapat dalam pelbagai bentuk. Al-Amr merupakan salah satu asas hukum syarak, kerana melaluinya kita dapat memahami dan mengeluarkan sesuatu hukum, walaupun pada dasarnya hukum asal bagi setiap perintah adalah wajib. Di sini, dihuraikan dengan panjang lebar perbahasan mengenai al-amr sama ada dari sudut definisi, sighah-sighah yang menunjukkan perintah, hukum yang boleh diistinbat daripada sighah-sighah al-amr, kedudukan bentuk perintah selepas tegahan atau pengharaman, hujah-hujah para ulama, kedudukan sighah al-amr dari sudut pengulangan tuntutan serta hujah ulama mengenainya dan kesan daripada perselisihan pendapat para ulama.




AL-AMR
Al-Amr pada bahasa adalah perintah atau suruhan. Pengertian al-amr dari segi istilah ialah tuntutan melakukan sesuatu daripada orang yang kedudukannya lebih tinggi terhadap orang yang lebih rendah. Dengan kata lain perintah Allah terhadap hambaNya yang mukallaf melalui al-Quran dan Hadis. Manakala melalui nukilan Abdul Latif Muda mengatakan, menurut pendapat Imam Baidawi al-amr ditakrifkan sebagai perkataan yang menuntut melakukan sesuatu perbuatan. (Abdul Latif Muda 1997: 151)

SIGHAH-SIGHAH AL-AMRTerdapat beberapa bentuk perintah yang diperintahkan terhadap mukallaf, antaranya melalui sighah fi’l al-amr, ini dapat dilihat melalui firman Allah pada surah al-Nur ayat 33 :
أَقِيمُوا الصَّلَاة
Maksudnya: Dirikanlah solat..
Lafaz أَقِيمُوا di atas merupakan fi’l al-amr, tiap-tiap perintah menunjukkan wajib, maka hukum yang diistinbat daripada sighah al-amr tersebut menunjukkkan perbuatan tersebut wajib dilaksanakan.
Bentuk perintah juga hadir melalui fi’l mudari’ yang disertai lam al-amr’. Contoh ini dapat dilihat melalui firman Allah pada surah al-Baqarah ayat 185 :
فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ
Maksudnya: Barang siapa di antara kamu ada di bulan itu, maka berpuasalah.
Lafaz فَلْيَصُمْهُ merupakan gandingan fi’ l mudari’ dan lam al-amr yang menunjukkan perintah supaya melakukan kerana disertai lam al-amr. Maka hukum yang diistinbat darinya adalah wajib.

Seterusnya sighah al-amr juga hadir dalam bentuk ayat khabariyyah tetapi bermaksud insha’iyyah , contohnya melalui firman Allah pada surah al-Baqarah ayat 233 :
وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلادَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ
Maksudnya : Dan ibu-ibu hendaklah menyusui anak-anaknya dua bulan penuh, bagi yang ingin menyusui secara sempurna.

Yang dimaksudkan dengan sighah ini adalah tuntutan supaya para ibu menyusukan anak-anak mereka, bukan untuk memberitahu tempoh penyusuan tersebut, maka ayat ini wajib melalui lafaz insha’iyyah yang dimaksudkan di sebalik lafaz khabariyyah, iaitu para ibu wajib menyusukan anak mereka.
Sighah al-amr juga boleh hadir dalam bentuk kata terbitan yang menggantikan fi’l al-amr, ini dapat dilihat melalui firman Allah pada surah al-Baqarah ayat 283 :
فَرِهَانٌ مَقْبُوضَةٌ
Maksudnya: Maka hendaklah ada barang jaminan yang dipegang.
Lafaz فَرِهَانٌ merupakan kata terbitan perkataan رهن yang bermaksudkan fi’l al-amr. Maka hukum yang diistinbat daripada lafaz ini menunjukkan perbuatan itu adalah wajib.
Seterusnya lafaz al-amr juga hadir dalam bentuk yang menunjukkan wajib seperti farada dan kutiba , contohnya dapat dilihat sebagaimana firman Allah pada surah al-Tahrim ayat 2 :
قَدْ فَرَضَ اللَّهُ لَكُمْ تَحِلَّةَ أَيْمَانِكُمْ وَاللَّهُ
Maksudnya: Sesungguhnya Allah telah menetapkan bagi kamu (wahai Nabi dan umatmu, untuk) melepaskan diri dari sumpah kamu (dengan membayar denda-kaffarah)
Lafaz فَرَضَ secara jelas menunjukkan perbuatan itu difardukan. Maka hukum yang diistinbat daripada lafaz tersebut adalah wajib.
Contoh lain juga boleh dilihat melalui firman Allah pada surah al-Baqarah ayat 183 :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman ! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa.
Lafaz كُتِبَ adalah lafaz yang secara jelas menunjukkan diwajibkan berpuasa, maka hukum berpuasa adalah wajib. (Abdul Latif Muda1997:152)

HUKUM YANG DIISTINBAT DARIPADA SIGHAH AL-AMR
Ulama telah berbeza pendapat dalam menentukan makna hakiki lafaz al-amr ketika tidak ada tanda yang menunjukkan salah satu dari maknanya. Terdapat beberapa pendapat ulama mengenai makna hakiki tersebut. Ulama usul berpendapat makna asal al-amr adalah wajib berdasarkan dalil ‘Aqliyy pada surah al-Nur, ayat 63 :
فَلْيَحْذَرِالَّذِيْنَ يُخَالِفُونَ عَنْ اَمْرِهِ اَنْتُصِيْبَهُمْ فِتْنَةٌ اَوْيُصِيْبِهُمْ عَذَابٌ أَلِيْمَ
Maksudnya : Oleh itu, hendaklah mereka yang mengingkari perintahNya beringat serta berjaga-jaga supaya mereka tidak ditimpa bala bencana atau ditimpa azab siksa yang tidak terperi sakitnya.
Ayat di atas menerangkan, orang yang melanggar perintah Allah akan ditimpa azab yang pedih. Dari itu ulama berpendapat azab yang menimpa mereka adalah kerana meninggalkan perintah wajib. Ayat ini juga menunjukkan asal perintah adalah wajib, kecuali ada qarinah yang memalingkan makna asal tersebut.
Melalui dalil ‘aqliyy pula menurut jumhur sebelum penetapan hukum syarak diketahui melalui pakar bahasa, mereka yang menghina dan memarahi hamba-hambanya yang tidak menurut perintah dikira menderhaka dan meninggalkan kewajipan terhadap dirinya.
Al-Amr asalnya menunjukkan wajib dengan adanya tanda-tanda tertentu, sebagaimana pada surah al-Nur, ayat 56 :
أقيمُوا الصَّلاةَ وآتُوا الزَّكَاةَ
Maksudnya: Dirikanlah solat dan tunaikanlah zakat..
Lafaz أقيمُوا merupakan fi’l al-amr yang bermaksud perintah, tiap-tiap perintah adalah wajib. Maka, sembahyang adalah wajib.

Namun demikian terdapat juga beberapa hukum yang dapat dikeluarkan atau diistinbat daripada sighah-sighah al-amr selain daripada wajib mengikut kesesuaian qarinah yang hadir bersamanya. Antaranya hukum hakiki wajib tadi boleh menjadi sebaliknya dengan adanya qarinah atau petunjuk yang memalingkan makna tersebut kepada sunat, harus, Irshad, Ta’dib, Indar (amaran), ta’jiz (melemahkan atau mencabar), Doa’, Ikram, al-Taskhir, al-Taswiyyah, al-Imtinan, al-Takwin, al-Tafwid, al-Takzib, al-Talhip, al-Iltimas, al-Tamanni, al-Ihanah, dan al-Ihtiqar. (Abdul Latif Muda 1997 : 154-159)
Sighah al-amr juga boleh bermaksud sunat dengan terdapatnya qarinah yang menunjukkan sunat, ini dapat dilihat melalui firman Allah pada surah al-Nur, ayat 33 :
فَكَاتِبُوهُمْ إِنْ عَلِمْتُمْ فِيهِمْ خَيْرًا
Maksudnya : Hendaklah kamu melaksanakan perjanjian itu dengan mereka jika kamu mengetahui ada sifat-sifat yang baik pada diri mereka (yang melayakkannya berbuaat demikian)
Ayat di atas telah memalingkan maksud asal hukum tersebut melalui qarinah yang difahami berdasarkan ayat itu sendiri, iaitu selepas fi’l mudari’ diberi pilihan samada untuk menulis atau tidak hutang tersebut, bermakna lafaz ini tidak menunjukkan wajib tetapi hanyalah sunat.
Seterusnya sighah al-amr juga boleh menjadi harus, ini dapat dilihat sebagaimana pada surah al-A’raf ayat 31 :
كُلُوا وَاشْرَبُوا مِنْ رِزْقِ اللَّهِ
Maksudnya: Makanlah dan minumlah daripada rezeki Allah..
Perkataan كُلُوا وَاشْرَبُوا, kedua-duanya adalah perintah dari Allah, tiap-tiap perintah adalah wajib. Maka melalui ayat ini hukum makan dan minum adalah wajib, tetapi oleh kerana makan dan minum adalah urusan keduniaan serta Allah dan Rasul tidak menyatakan banyak atau sedikit malahan tiada paksaan, jadi perintah ini tidak boleh dikatakan wajib. Sesuatu yang tidak wajib berkaitan hal keduniaan dinamakan mubah, iaitu harus makan dan minum. (Abdul Qadir Hassan 1971:29)

Setelah menghuraikan sighah-sighah al-amr dan hukum yang boleh diistinbat daripadanya, beralih pula kepada kedudukan sighah al-amr yang datang selepas tegahan atau pengharaman.

KEDUDUKAN SIGHAH AL-AMR YANG DATANG SELEPAS TEGAHAN ATAU PENGHARAMAN

Dalam menentukan kedudukan hukum berdasarkan sighah al-amr yang datang selepas tegahan atau pengharaman, terdapat tiga pendapat dari kalangan ulama.

i. Menurut pendapat pertama iaitu pendapat al-Shafi’iyy, al-Hanabilah dan sebahagian
al-Malikiyyah pada ‘urf syarak dan kesepakatan ulama, kebiasaannya perintah-perintah yang datang selepas tegahan menunjukkan kepada hukum harus. Contohnya firman Allah pada surah al-Ma’idah ayat 2 :
وَإِذَا حَلَلْتُمْ فَاصْطَادُوا
Maksudnya : ..tetapi apabila kamu telah menyelesaikan ihram, maka bolehlah kamu berburu..


Ayat ini mengandungi sighah al-amr, iaitu فَاصْطَادُوا. Maka ulama berselisih pendapat dari segi kedudukan sighah ini sama ada membawa maksud harus atau wajib sedangkan ayat sebelumnya menunjukkan pengharaman berburu iaitu, firman Allah pada surah al-Ma’idah ayat 1:

غَيْرَ مُحِلِّي الصَّيْدِ وَأَنْتُمْ حُرُم
Maksudnya : dengan tidak menghalalkan berburu ketika kamu sedang berihram (haji atau umrah)..

Persepakatan ulama ini menyatakan bahawa perintah berburu menunjukkan keharusan sahaja, dan tidak menunjukkan perintah wajib.



Contoh lain, dapat dilihat melalui firman Allah pada surah al-Jum’ah ayat 10 :

فَإِذَا قُضِيَتِ الصَّلَاةُ فَانْتَشِرُوا فِي الْأَرْضِ وَابْتَغُوا مِنْ فَضْلِ اللَّهِ
Maksudnya : Apabila solat telah dilaksanakan, maka bertebaranlah kamu di bumi, carilah kurnia Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak agar kamu beruntung.

Ayat ini merupakan satu ayat yang datangnya selepas pengharaman berjual beli ketika panggilan azan solat Jumaat. Sighah al-amr ini menunjukkan hukum harus mengikut kesepakatan ulama, walaupun datangnya selepas pengharaman berjual beli. Dalam erti kata lain, hukum jual beli menjadi harus selepas selesai solat Jumaat.

Contoh lain juga daripada hadis yang diriwayatkan oleh Muslim:
فزوروها تذكركم الآخرة كنت نهيتكم عن زيارة القبور
((رواه المسلم
Maksudnya : Sebelum ini aku menegah kamu menziarahi kubur, maka sekarang ziarahilah
Berdasarkan hadis tersebut, peringkat pertama Nabi menegah sahabat-sahabat menziarahi kubur, selepas itu demi kepentingan umat dan kesedaran, Nabi mengharuskannya.

Pada ‘urf syarak dan kesepakatan ulama, kebiasaanya perintah-perintah (الأوامر) yang datang selepas tegahan adalah dihukumkan harus.

ii. Pendapat kedua pula mengatakan sighah al-amr yang datang selepas tegahan adalah wajib. Pendapat tersebut adalah pendapat al-Hanafiyyah, al-Shafi’iyyah dan al-Malikiyyah. Pendapat ini menyatakan demikian dengan hujah bahawa asal al-amr menunjukkan kepada perintah wajib. Maka ia perlu dikekalkan seperti biasa atau permulaannya. Hujah mereka berdasarkan dalil firman Allah pada surah al-Taubah ayat 5:

فَإِذَا انْسَلَخَ الْأَشْهُرُ الْحُرُمُ فَاقْتُلُوا الْمُشْرِكِينَ حَيْثُ وَجَدْتُمُوهُمْ
Maksudnya : Kemudian apabila habislah (masa) bulan-bulan yang di hormati itu, maka bunuhlah orang-orang musyrik itu dimana sahaja kamu menemui mereka..


Perintah membunuh orang-orang musyrik dalam ayat tersebut adalah selepas diharamkan daripada membunuh mereka dalam bulan-bulan haram dan ia menunjukkan suruhan wajib sebagaimana disepakati oleh para ulama.

Asal perkataan al-amr adalah menunjukkan kepada perintah wajib dan ia perlulah dikekalkan seperti biasa atau permulaanya.

iii. Pendapat ketiga pula adalah pendapat daripada al-Kamal Ibn al-Humam. Pendapatnya menyatakan bahawa ada ketikanya sighah al-amr yang datang selepas tegahan menjadi wajib dan adakalanya menjadi harus. Beliau menggunakan kaedah al-Istiqra’, iaitu meneliti juzuk-juzuk tertentu, kemudian membuat kesimpulan umum daripada pemerhatian itu.

Contoh ayat yang mengekalkan hukum harus selepas datangnya tegahan adalah pada surah al-Ma’idah ayat 2 :
وَإِذَا حَلَلْتُمْ فَاصْطَادُوا
Maksudnya : Dan apabila kamu telah selesai dari ihram maka bolehlah kamu berburu..

Hukum berburu pada mulanya diharuskan, kemudian ditegah pada masa berihram, selepas itu diperintahkan melakukanya setelah selesai berihram.
Menurut sepakat jumhur ulama, ayat tersebut menjelaskan bahawa seseorang yang selesai daripada ihram dengan bertahallul diharuskan berburu. Hukum harus berburu merupakan hukum asal, sebelum ia ditegah.
Contoh ayat yang mengekalkan hukum wajib selepas datangnya tegahan dapat dilihat pada surah al-Taubah ayat 5.
فَإِذَا انْسَلَخَ الْأَشْهُرُ الْحُرُمُ فَاقْتُلُوا الْمُشْرِكِينَ حَيْثُ وَجَدْتُمُوهُمْ
Maksudnya : Kemudian apabila habislah (masa) bulan-bulan yang di hormati itu, maka bunuhlah orang-orang musyrik itu dimana sahaja kamu menemui mereka..

Hukum membunuh orang-orang musyrik asalnya diharamkan pada bulan-bulan yang dihormati, tetapi apabila berlalunya bulan-bulan tersebut, maka perintah membunuh orang-orang musyrik dikekalkan kepada hukum asal, iaitu wajib.
Seterusnya, dibahaskan pula sighah-sighah al-amr dari sudut pengulangan tuntutan secara terperinci.

KEDUDUKAN SIGHAH AL-AMR DARI SEGI PENGULANGAN TUNTUTAN
Terdapat beberapa perbezaan pendapat antara ulama mengenai kedudukan sighah al-amr dari segi pengulangan tuntutan, iaitu sama ada ia menunjukkan wajib ditunaikan sekali atau berulang kali seperti berikut:

i. Pendapat pertama daripada al-Hanafiyyah, al-Shafi’iyyah dan al-Hanabilah :
al-amr jika tidak dikaitkan dengan sesuatu, ia menunjukkan tuntutan untuk menunaikan perkara yang diperintah itu tidak terikat dengan sekali mahupun berulang-ulang. Ia dilaksanakan sama ada sekali atau beberapa kali, tetapi paling kurang atau minimanya perintah tersebut dilaksanakan sekali. Pendapat ini merupakan pendapat yang lebih tepat.
ii. Pendapat kedua daripada al-Malikiyyah dan al-Shafi’iyyah : al-amr jika ia tidak dikaitkan dengan sesuatu, menunjukkan kepada salah satu daripada keduanya secara khusus iaitu sama ada dilakukan dengan sekali dan mungkin berulang-ulang berdasarkan kepada qarinah yang menentukannya.
iii. Pendapat ketiga pula daripada sebahagian fuqaha’ dan ulama al-kalam seperti al-Asfarayiniyy, al-Shiraziyy dan Ahmad bin Hanbal : al-amr jika dikaitkan dengan sesuatu yang menunjukkan kepada berulang kali, penunaian perkara yang diperintah itu boleh dilakukan berulang-ulang kali seumur hidup dengan syarat perkara yang diperintah itu mampu dilakukan. (Abd Latiff Muda 1997: 160)
Perbezaan pendapat ulama mengenai pengulangan tuntutan melakukan adalah berdasarkan hujah masing-masing. Hujah yang diutarakan oleh al-Hanafiyyah, al-Shafi’iyyah dan al-Hanabilah tidak terikat dengan sekali mahupun berulang-ulang, minimanya adalah sekali. Hal ini kerana tuntutan supaya dilaksanakan berulang-ulang kali bergantung kepada qarinah iaitu al-amr yang berkaitan dengan syarat kepada sesuatu yang diperintahkan. Contoh ayat pada surah al-Ma’idah ayat 6:
إِنْ كُنْتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَّرُو
Maksudnya : Sesungguhnya sesiapa yang berjunub maka bersucilah
Berdasarkan kepada ayat di atas, lafaz فَاطَّهَّرُوا adalah sighah al-amr yang berbentuk fi’l al-amr yang menunjukkan perintah wajib bersuci apabila berjunub. Lafaz إِن menujukkan syarat supaya bersuci iaitu mandi wajib setiap kali berjunub.
Antara hujah ahli-ahli bahasa Arab bersepakat bahawa al-amr tidak menunjukkan kepada sesuatu melainkan tuntutan pada ‘masa hadapan’. Mereka juga bersepakat bahawa al-amr yang mutlak kadang-kadang menunjukkan kepada berulang-ulang iaitu solat, puasa dan zakat. Kadang kala juga ia menunjukkan kepada sekali seperti haji dengan sebab berkongsi pada tuntutan melaksanakan perbuatan tanpa mengambil kira jumlah bilangan tuntutan. (Mohd Adib bin Samsudin : 2009)
Hujah kedua pula diutarakan oleh al-Malikiyyah dan al-Shafi’iyyah iaitu pengulangan tuntutan boleh jadi sekali dan mungkin berulang-ulang. Contohnya hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad, seperti di bawah,
عن أبي هريرة عن النبي قال يا أيها الناس؛ قد فرض عليكم الحج فحجوا
( ورواه احمد في مسنده )
Maksudnya : Dari Abu Hurairah bahawa Nabi berkata, "Wahai manusia, telah difardhukan ke atas kamu agar melakukan Haji, maka kerjakanlah haji.

Berdasarkan hadis ini, al-Aqra’ bertanya kepada Nabi (s.a.w), adakah haji itu difardhukan pada setiap tahun? Pada ayat di atas, dapat difahami bahawa al-Aqra’ tertanya-tanya bahawa adakah haji perlu dilakukan pada setiap tahun.
Namun Nabi s.a.w tidak memberikan jawapan. Ini menunjukkan bahawa haji perlu dilakukan sekali dan mungkin berulang-ulang kerana keraguan Al-Aqra’ itu. Pertanyaan Al-Aqra’ itu hanyalah untuk memastikan sama ada haji itu dilakukan sekali atau berulang-ulang kali.
Hujah ketiga menurut al-Asfarayiniyy, al-Shiraziyy dan Ahmad bin Hanbal, kedudukan sighah al-amr dari segi pengulangan tuntutan, mengikut pandangan mereka berulang-ulang dengan syarat boleh dilaksanakan. Seperti dalam kes Saidina Abu Bakar dalam memerangi golongan yang enggan membayar zakat. Hal ini menunjukkan al-amr itu berulang-ulang.
Hal ini juga boleh diaplikasikan dalam sighah al-nahy yang menetapkan kepada berulang-ulang sesuatu tuntutan yang ditegah. Ini kerana faktor sepunya kedua-dua lafaz ini adalah dari segi tuntutan (الطلب).

Perselisihan ulama yang telah dibahaskan memberikan kesan dari sudut pengulangan tuntutan. Antaranya, kesan tersebut dapat dilihat pada lafaz طلقي نفسك yang bermaksud ceraikan diri kamu sendiri. (Muhammad Adib Samsudin 2009)
Menurut pendapat pertama dan ketiga, al-amr menunjukkan berulang-ulang. Hal ini bermakna, seorang isteri yang telah diwakilkan oleh suaminya untuk lafaz cerai boleh melafazkan cerai lebih daripada satu sama ada talak satu, talak dua atau talak tiga. Sekiranya isteri melafazkan talak satu, maka jatuhlah talak satu. Jika isteri melafazkan talak secara berulang-ulang sebanyak dua kali, maka jatuhlah talak dua, manakala jika isteri melafazkan talak secara berulang-ulang sebanyak tiga kali, maka jatuhlah talak tiga.

Menurut pendapat kedua pula, al-amr menunjukkan kepada sekali. Hal ini menunjukkan bahawa seorang isteri yang diwakilkan oleh suaminya untuk menceraikan dirinya sendiri boleh melafazkan cerai hanya sekali sahaja. Ini bermakna walaupun isteri melafazkan cerai talak satu secara berulang-ulang, maka tetap jatuh talak satu. Jika isteri melafazkan talak dua, maka jatuh talak dua dan sekiranya isteri melafazkan talak tiga, maka jatuh talak tiga.

Kesan perselisihan yang lain adalah berkaitan dengan sembahyang fardhu dengan sekali tayammum.
Menurut pandangan pertama dan ketiga, boleh sembahyang lebih daripada satu hanya dengan sekali tayammum sahaja.

Menurut pandangan kedua pula hanya satu sembahyang sahaja untuk sekali tayammum. Hal ini bermakna, sekali tayammum hanya untuk satu waktu sembahyang sahaja.

Setelah membincangkan tentang kedudukan bentuk perintah dari segi pengulangan tuntutan berserta pendapat dan hujah-hujah ulama mengenainya, kini dibahaskan pula tentang
دلالة الأمر على الفور أو التراخى.

دلالة الأمر على الفور أو التراخى
Al-Amr kadangkala perlu dilaksanakan pada waktu yang tertentu dan terbatas. Contohnya puasa pada bulan Ramadhan. Hal ini kerana, puasa tersebut telah ditetapkan oleh Allah waktu pelaksanaannya. Oleh yang demikian, setiap mukallaf wajib menunaikan tuntutan tersebut pada waktu yang telah ditetapkan. (Muhammad Adib Samsudin 2009)
Selain itu, al-amr kadangkala boleh dilakukan pada pada tempoh masa yang lebih panjang. Contohnya dalam perkara yang berkaitan dengan haji. Sebagaimana yang telah diketahui bahawa haji wajib dilakukan oleh setiap mukallaf. Namun begitu, mereka mestilah berkemampuan dan boleh dilakukan pada masa yang telah ditetapkan oleh syarak iaitu pada bulan Zulhijjah.
Jika al-amr itu secara mutlak, maka ia tidak dikaitkan dengan kedua-dua tempoh tersebut iaitu sama ada dengan kadar segera atau lambat. Keadaan ini telah menyebabkan ahli usul berselisih pendapat. Pendapat pertama mengatakan bahawa al-amr itu mesti disegerakan. Manakala pendapat kedua pula mengatakan al-amr boleh dilewatkan dan pendapat ketiga pula menyatakan bahawa al-amr boleh disegerakan atau dilewatkan.

Berdasarkan hujah di atas, wujud perselisihan berkaitan dengan pelaksanaan haji iaitu :
i. Pendapat pertama diutarakan oleh Malikiyy dan Hanbaliyy, haji mesti ditunaikan segera. Pendapat mereka ini adalah berdasarkan kepada firman Allah pada surah al-Baqarah ayat 196 :
وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّهِ
Maksudnya : Dan sempurnakanlah ibadah haji dan umrah kerana Allah

ii. Menurut pendapat Hanafiyy dan Shafi’iyy pula haji boleh dilewatkan. Pendapat mereka ini adalah berdasarkan kepada perbuatan Nabi. Berdasarkan kepada sirah Nabi, haji telah mula difardhukan pada tahun ke-6 Hijrah. Namun begitu, Nabi tidak menunaikan haji pada tahun tersebut tetapi baginda menunaikan haji pada tahun ke-10 Hijrah. Tindakan baginda ini turut dilakukan oleh para sahabat. Tindakan Nabi ini menunjukkan bahawa haji wajib ditunaikan, tetapi tidak dibataskan dengan waktu yang tertentu. (Wahbah al-Zuhayliyy 1986 : 232)



KESIMPULAN

Kesimpulannya, sighah-sighah al-amr terbahagi kepada beberapa bentuk iaitu sighah bentuk fi’l al-amr, sighah fi’l al-mudari’ yang digandingkan dengan huruf ‘lam’, sighah bentuk ayat khabariyyah tetapi bermaksud insha’iyyah dan sighah bentuk masdar iaitu kata terbitan yang menggantikan fi’l al-amr. Selain itu, melalui kaedah pengistinbatan hukum, sighah al-amr juga merupakan asas pengeluaran sesuatu hukum sama ada wajib, sunat, harus, irshad, ta’dib (adab), indar (amaran) serta ta’jiz (melemahkan). Terdapat juga perselisihan dalam kalangan ulama yang berselisihan pendapat terhadap kedudukan sighah al-amr yang datang selepas tegahan atau pengharaman dan juga kedudukan sighah al-amr dari segi pengulangan tuntutan. Terdapat juga perselisihan bahawa al-amr mesti ditunaikan segera atau boleh dilewatkan.

0 comments: