Assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Tuesday, November 3, 2009

IJMAK

PENGENALAN

Segala puji dan syukur bagi Allah S.W.T yang telah melimpahkan ke atas kita berbagai-bagai nikmat yang tidak terhingga, memuliakan kita atas sekalian umat dengan iman dan Islam dan memandu kita melalui syariat-Nya ke jalan keselamatan dan kebahagiaan dunia dan akhirat.

Selawat dan salam dipohonkan bagi junjungan kita Muhammad s.a.w yang telah diutus sebagai rahmat bagi semesta alam dan sebagai cahaya yang menerangi segala kegelapan, begitu juga bagi seluruh keluarga, para Sahabat dan pengikut-pengikutnya hingga ke akhir zaman. Tugasan yang telah diberikan kepada kami bertajuk “ Ijmak” dan seperti mana yang diketahui ijmak merupakan muafakat pendapat ulama mujtahid mengenai suatu masalah yang merupakan sumber perundangan Islam yang ketiga selepas al-Quran dan al-Sunnah. Persepakatan ulama mujtahid ialah mereka yang mempunyai kebolehan mengeluarkan hukum syarak daripada dalil yang teperinci dan mestilah dilakukan oleh umat Nabi Muhammad sahaja. ijmak ulama tersebut adalah hasil ijtihad yang merupakan peranan penting dalam menetapkan sesuatu hukum.

Oleh itu, para ulama yang memandang ijmak sebagai hujah hendaklah menetapkan bahawa ijmak itu perlu kepada sandaran dari Kitabullah atau Sunnah Rasul atau qiyas yang benar dan ia tidak boleh menyalahi al-Quran dan tidak mendahului al-Quran.

Akhir kata, kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada Ustaz. Muhammad Adib bin Samsudin kerana telah banyak mengajar dan membantu kami dalam mata pelajaran usul fiqh ini. Terima kasih juga kepada rakan seperjuangan yang turut membantu dalam menyelesaikan tugasan ini. Sekiranya ada kesilapan diharap Ustaz dapat memberi teguran agar kami dapat memperbaikinya di masa akan datang.
Sekian, Wasalam.

DEFINISI IJMAK

Ijmak dari segi bahasa adalah kesepakatan atau sebulat suara. (Mohd Khairi et.al 2008: 73)
Abd Latif et. al (1997: 91) menurut istilah, ijmak ulama dapat diberikan dengan beberapa pengertian iaitu:
a. Muafakat pendapat ulama mujtahid mengenai sesuatu masalah.
b. Sepakat ulama mujtahid daripada umat Islam sama ada dalam bentuk i’tiqad, kata-kata atau perbuatan untuk mengeluarkan hukum yang berlaku selepas kewafatan Nabi.
c. Persepakatan ulama mujtahid daripada umat Nabi Muhammad selepas kewafatan Nabi Muhammad dalam perkara yang berhubung dengan hukum syarak.
Abd Latif et. al (1997: 91) menjelaskan lagi pengertian tersebut iaitu setiap yang dimaksudkan dengan persepakatan ulama mujtahid ialah mereka yang mempunyai kebolehan mengeluarkan hukum syarak daripada dalil yang teperinci dan mestilah dilakukan oleh umat Nabi Muhammad sahaja. ijmak ulama tersebut adalah hasil ijtihad yang merupakan peranan penting dalam menetapkan sesuatu hukum.

KEHUJAHAN IJMAK

Ulama sepakat mengatakan ijmak adalah sumber ketiga dalam perundangan. Abd Latif et. al (1997: 91) Hal tersebut kerana terdapat beberapa nas dan ayat yang dapat difahami bahawa perkara yang diperselisihkan oleh ulama wajib dirujuk kepada kitab Allah dan al-Sunnah. Ini bererti bahawa perkara yang disepakati mereka adalah kebenaran yang diakui oleh Allah serta wajib diamalkan. Tentang penggunaan ijmak dan diterima sebagai sumber hukum ialah sebagaimana dalil yang terdapat dalam al-Quran dan Hadis seperti berikut:

Al-Quran
a) Al-Quran menjelaskan bahawa umat Islam adalah umat yang sederhana dan menjadi saksi terhadap orang lain. Firman Allah:

وَكَذَالِكَ جَعَلْنَكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِّتَكُونُواْ شَُهَدَآءَ عَلََى ٱلنَّاسِ
( al-Baqarah 2: 143 )
Maksudnya: Dan demikianlah ( sebagaimana kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), kami jadikan kamu( wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia ( tentang yang benar dan yang salah).

Perkataan wasatan di dalam ayat ini bermaksud adil iaitu setiap keputusan yang lahir daripada umat yang adil adalah adil seperti wajib menerima kesaksian individu yang adil maka wajib mengikut keputusan yang dikeluarkan oleh umat yang adil sama seperti wajib menerima kesaksian individu yang adil. (Muhammad Adib 2009: 6)
Berdasarkan ayat tersebut apa sahaja yang disepakati oleh ulama mesti diikuti. Oleh itu pemimpin yang ditaati ialah mereka yang berilmu dan adil serta ulama yang mengeluarkan fatwa. (Abd Latif et. al 1997: 91).

b) Al-Quran menyatakan hendaklah mengikut jalan orang-orang yang mukmin. Firman Allah:

وَمَنْ يُشَاقِقِ الرَّسُولَ مِنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُ الْهُدَى وَيَتَّبِعْ غَيْرَ سَبِيلِ الْمُؤْمِنِينَ نُوَلِّهِ مَا تَوَلَّى وَنُصْلِهِ جَهَنَّمَ وَسَاءَتْ مَصِيراً
(al-Nisa 4: 115)
Maksudnya:“Dan barang siapa menentang Rasul (Muhammad) setelah jelas kebenaran baginya dan mengikuti jalan yang bukan jalan orang-orang mukmin, kami biarkan dia dalam kesesatan yang telah dilakukannya itu dan akan kami masukkan dia ke dalam neraka Jahannam dan itu seburuk-seburuk tempat kembali.”

Ayat ini merupakan ayat yang dipegang oleh Imam Syafi’iyy terhadap hujah ijmak dalam kitab al-Risalah. Sesungguhnya Allah menjadikan orang-orang yang mengikut jalan selain mukmin sama seperti orang yang menentang Allah dan Rasulnya. Allah menjanjikan janji yang buruk iaitu ancaman neraka. Mengikut orang-orang mukmin adalah wajib. Haram mengikuti jalan selain daripada orang mukmin. (Wahbah al-Zuhaili 1998 :541).

al-Sunnah:
a)
لا تجتمع أمتي على الخطأ
(Riwayat Tarmizi, Ibnu Majah dan Abu Daud)
Maksudnya: Umatku tidak akan bersepakat dalam perkara yang salah.
Keadaan ini berkaitan umat Nabi Muhammad s.a.w. . Baginda memberi jaminan mereka tidak akan bersepakat ke atas sesuatu yang salah. Oleh yang demikian, ini menunjukkan kepada kesepakatan atau ijmak adalah hujah. Ini ditambah dengan banyak hadis yang sama makna dengannya, dan kerana banyaknya ditambah dengan ayat-ayat al-Quran yang mengharuskan berpegang kepada jama’ah dan tidak memisahkan diri darinya, menjadi dalil yang cukup untuk menunjukkan kehujahan ijmak dalam menetapkan hukum. Ijmak selalu bersandar kepada dalil meskipun tidak disebutkan, kerana para ulama tidak mungkin bersepakat kalau tidak bersandar kepada dalil syarak. Oleh kerana itu, sesuatu yang dijadikan kajian oleh para ulama mutaakhirin apabila ingin mengetahui ijmak adalah kebenaran riwayatnya bukan mengkaji dalilnya. Ini adalah kerana jika yang harus dikaji itu adalah dalilnya tentulah dalil itu sendiri yang akan dipegang bukan ijmak, sekalipun ijmak itu sendiri dapat dijadikan sebagai hujah maka ijmak selalu bersandar kepada dalil, tetapi untuk mengakuinya sebagai hujah tidak perlu mengetahui dalilnya. (Musthafa Ahmad, 2000: 5)
b)
لت الله تعالى أن لا تجتمع أمتى على ضلالة فأطانيها سأ
Maksudnya: Aku telah pohon kepada Allah taala supaya umatku tidak akan bersepakat ke atas kejahatan, maka Allah telah kabulkannya.
( Riwayat Ahmad dan al-Tabrani )
Melalui hadis ini dapat kita fahami bahawa umat Islam terpelihara dari kesalahan. Terpelihara dari kesalahan iaitu tidak bersepakat tentang perkara kejahatan. Oleh itu jika terpelihara dari bersepakat di atas jalan kejahatan, sudah tentulah mengikuti jalan yang baik dan persepakatan itu adalah suatu ijmak. (Wahbah al-Zuhaili, 1998: 543).

RUKUN-RUKUN IJMAK

Wikipedia.org (2009). Rukun-rukun al-Ijmac menurut pendapat ulama usul fiqh adalah seperti berikut:

1. Harus ada beberapa orang mujtahid dikala terjadinya peristiwa dan para mujtahid itulah yang melakukan kesepakatan (menetapkan hukum peristiwa itu) Seandainya tidak ada beberapa orang mujtahid di waktu terjadinya suatu peristiwa tentulah tidak akan terjadi ijmak, kerana ijmak itu harus dilakukan oleh beberapa orang.

2. Yang melakukan kesepakatan itu hendaklah seluruh mujtahid yang ada dalam dunia Islam. Jika kesepakatan itu hanya dilakukan oleh para mujtahid yang ada pada suatu tempat sahaja, maka kesepakatan yang demikian belum dapat dikatakan suatu ijmak.

3. Kesepakatan itu harus dinyatakan secara tegas oleh setiap mujtahid bahawa ia sependapat dengan mujtahid-mujtahid yang lain tentang hukum (syarak) dari suatu peristiwa yang terjadi pada masa itu. Jangan sekali-kali tersirat dalam kesepakatan itu unsur-unsur paksaan, atau para mujtahid yang diharapkan kepada suatu keadaan, sehingga ia harus menerima suatu keputusan.

4. Kesepakatan itu dapat dilakukan dengan berbagai cara, seperti dengan pernyataan lisan, dengan perbuatan atau dengan suatu sikap yang menyatakan bahawa ia setuju atas suatu keputusan hukum yang telah disetujui oleh para mujtahid yang lain. Tentu sahaja keputusan yang terbaik ialah keputusan sebagai hasil suatu musyawarah yang dilakukan para mujtahid.

5. Kesepakatan itu hendaklah merupakan kesepakatan yang bulat dari seluruh mujtahid. Seandainya terjadi suatu kesepakatan oleh sebahagian besar mujtahid yang ada maka keputusan yang demikian belum pasti ke taraf ijmak. Ijmak yang demikian belum dapat dijadikan sebagai hujah syariah.

PEMBAHAGIAN IJMAK

Ash. Shiddiegy (1967: 140 ) menjelaskan ijmak boleh dibahagikan kepada dua bahagian :
1. Ijmak qat’iyy, atau ijmak bayani atau ijmak qauli, ijmak sarih, iaitu: jika segala mujtahid bersepakat secara perkataan atau tulisan, menerangkan persetujuannya atas fahamannya yang diberikan oleh seseorang mujtahid pada masanya.

2. Ijmak zann’iyy atau ijmak sukuti, iaitu: jika mujtahid-mujtahid itu berdiam diri tidak berterus terang mengeluarkan fahamnya, tetapi diamnya itu bukan kerana takut, segan atau malu.

Kehujahan ijmak sukuti berdasarkan kenyataan Abd Latif et al.(1997: 92) di dalam buku Pengantar usul fiqh adalah seperti yang dihuraikan berikut:
Ulama berselisih pendapat tentang kehujahan ijmak sukuti. Walaubagaimanapun kebanyakan ulama usul fiqh berpendapat ijmak sukuti boleh dibuat hujah dan dalil dalam mengeluarkan hukum. Perselisihan pendapat ulama adalah sebagaimana berikut:
a. Ulama yang menerima
b. Ulama yang menolak
a. Ulama yang menerima

Ulama yang menerima ijmak sukuti dapat dibahagikan kepada dua bahagian pula, iaitu:
i. Hujah zann’iyy
ii. Hujah qat’iyy

i. Pendapat hujah zann’iyy
Ulama yang menerima ijmak sukuti sebagai hujah zann’iyy, iaitu pendapat al-Kurkhi daripada mazhab Hanafi dan Iman Amidi daripada mazhab Shafi’iyy. Abd Latif et al.(1997: 95) menambah lagi penerangannya di dalam buku Pengantar usul fiqh iaitu alasan mereka ialah berdiam diri sebahagian daripada ahli mujtahid bukan semestinya kerana muafakat dengan pendapat yang telah dikeluarkan, bahkan diam diri itu mungkin kerana setuju dengan pendapat yang dikeluarkan atau gerun dengan kehebatan ulama yang telah mengeluarkan pendapatnya. Oleh itu, ijmak sukuti adalah hujah zann’iyy.

ii. Pendapat hujah qat’iyy
Mazhab yang berpendapat ijmak sukuti adalah hujah qat’iyy ialah ulama Hanafi, Imam Ahmad dan sebahagian ulama Shafi’iyy.Alasan mereka ialah, dalil yang menunjukkan kehujahan ijmak tidak membezakan di antara ijmak sarih dan sukuti. Jika ditentukan dalil tersebut kepada ijmak yang sarih sahaja mungkin tidak berlaku ijmak, sedangkan ijmak telah berlaku. Abd Latif et al.(1997: 95).

b. Ulama yang menolak

Antara ulama mazhab yang menolak ijmak sukuti ialah, Imam Malik dan Imam Shafi’iyy. Berdasarkan penjelasan Abd Latif et al.(1997: 96) di dalam buku Pengantar usul fiqh, alasan mereka tidak boleh dikatakan orang yang diam itu bersetuju, kerana mungkin mereka takut kepada kemudaratan diri atau harta atau berdiam diri untuk melakukan ijtihad.

Syarat ijmak sukuti

Ijmak sukuti yang diterima sebagai hujah dengan bersyarat, iaitu :
a. Mestilah melalui suatu masa yang cukup untuk berfikir atau membuat kajian dan rumusan tentang masalah yang diputuskan itu.
b. Tidak ada sebab untuk menakut-nakutkan mujtahid lain dalam mengeluarkan pendapat.
c. Semata-mata diam, bukan menolak.

CONTOH-CONTOH IJMAK

Berikut merupakan beberapa contoh hukum yang ditetapkan ijmak.
1. Berkenaan pewarisan datuk jika bersama anak. (Mustafa Ahmad 2000: 6) menjelaskan apabila seorang meninggal dunia dan ahli warisnya adalah terdiri dari datuk dan anak, maka datuk sebagaimana bapa mendapat 1/6 harta warisan apabila adanya anak.

2. (Mustafa Ahmad 2000: 6 ) menjelaskan iaitu ijmak menganggap sah transaksi istishna’ (pesanan). Jumhur fuqaha menetapkan dan memegang pendapat tersebut. Begitu juga ijmak amali (kebiasaan) telah menjalankan transaksi istishna’.

3. Ijmak sahabat tentang pemerintahan. Wajib hukumnya mengangkat seorang imam atau khalifah untuk menggantikan Rasulullah dalam mengurusi urusan Daulah Islamiah yang menyangkut urusan agama dan dunia yang disepakati oleh para Sahabat di Saqifah Bani Sai’idah.

4. Muhammad.et.al (2009: 10) dalam menerangkan ijmak mengenai kesahihan nikah yang dilakukan untuk memenuhi keperluan biologi seorang lelaki seperti mendapat keturunan, membina sebuah keluarga, berbaur menjadi sebahagian dari sebuah masyarakat adalah dengan mengatakan bahawa pernikahan yang disyariatkan sejak masa Nabi Adam a.s hingga berlangsung ke seluruh masa kenabian. Bahkan kaum muslimin telah sepakat akan keberlangsungan pernikahan hingga sampai ke syurga kelak. Selain itu, seluruh para ulama dari masa ke semasa telah bersepakat ke atas kesahihan pernikahan di dalam agama Islam.

5. Ijmak berkenaan kesahihan khuluk merupakan perbuatan yang disyariatkan oleh Islam dan boleh untuk dilakukan berdasarkan kesepakatan seluruh sahabat Rasulullah s.a.w ke atas bolehnya hukum melakukan khuluk dan tidak ada salah satu dari mereka yang menentangnya. Muhammad et.al (2009: 285) menyatakan lagi bahawa dengan demikian kesepakatan tersebut menjadi ijmak mereka atas hukum khuluk yang dibolehkan. Alasannya adalah kerana khuluk adalah perbuatan yang mencabut pernikahan dengan saling rela di antara kedua pasangan suami isteri. khuluk disyariatkan bertujuan untuk menghindari sejumlah masalah dan bahaya di antara kedua pasangan suami isteri dan diberlakukan tanpa menimbulkan masalah dan bahaya bagi mereka berdua. Kerana kewujudan khuluk tersebut dapat menghilangkan bahaya dari diri si wanita secara umum.

KEMUNGKINAN BERLAKU IJMAK MASA KINI

Abd Latif et al.(1997: 100) menyatakan di dalam buku Pengantar usul fiqh, setelah dibuat penelitian dan kajian, dapat dibuat rumusan di sini bahawa ijmak pada masa kini tidak mungkin berlaku. Sebab dan alasannya seperti berikut:

1) Para ulama mujtahid tidak berada pada suatu tempat, malahan mereka tinggal berselerak dan berada di seluruh pelusuk dunia. Lantaran itu, sukar untuk memastikan dan untuk mendapatkan pendapat setiap daripada mereka terhadap sesuatu masalah.
Selain itu, tidak mungkin ulama sepakat dalam mengeluarkan hukum sesuatu masalah.

2) Adalah menjadi kesukaran untuk mengenal pasti mujtahid dan yang bergelar mujtahid itu kerana setengah orang mengaku ia sebagai mujtahid, sedangkan sebenarnya ia belum mencapai tahap tersebut. Hal tersebut kerana ijmak itu ialah persepakatan para ulama mujtahid.

HUKUM MENGINGKARI IJMAK

Abd Latif et al.(1997:101) menjelaskan, ijmak sebagai mengambil tempat sumber ketiga di dalam sumber perundangan. Ulama berselisih pendapat tentang mengingkari hukum yang berdasarkan ijmak, iaitu:

1) Sebahagian ulama berpendapat, mengingkari ijmak adalah kufur, kerana ia termasuk dalam hujah yang disepakati (qat’iyy). Contohnya: mengingkari ijmak Sahabat yang diriwayat secara mutawatir. Kerana mengingkarinya bererti megingkari dalil qat’iyy.

2) Sebahagian ulama lain, seperti Imam al-Haramain mengatakan, mengingkari hukum ijmak tidak kufur, kerana dalil kehujahan ijmak adalah zanniyy. Seterusnya mengingkari kehujahan dalil tidak kafir.

Biarpun ada perselisihan ulama tentang pengingkaran ijmak, namun ijmak ulama merupakan ijtihad ulama yang secara tidak langsung ia adalah keputusan yang dibuat bersumberkan al-Quran dan as-Sunnah. Oleh itu segala ijmak yang disepakati serta dinyatakan oleh ulama mujtahid terhadap sesuatu hukum syarak mestilah dengan berdasarkan kepada al-Quran dan as-Sunnah. Dari situlah ijmak itu dapat diterima sebagai suatu dalil dan hujah yang muktamad.

KESIMPULAN

Ijmak merupakan sumber perundangan Islam yang telah diakui kebenarannya. Sebagai kesimpulan daripada keseluruhan perbincangan mengenai ijmak ini dapatlah kita simpulkan ijmak itu merupakan kesepakatan sekalian mujtahid setelah kewafatan Rasulullah s.a.w, pada satu masa di atas apa-apa pekerjaan sama ada daripada pekerjaan agama dan pekerjaan dunia atau perkara yang dinisbahkan kepada akal atau lughah.

Ijmak tidak akan berlaku melainkan setelah adanya kesepakatan ulama yang berijtihad pada sesuatu zaman tanpa dikecualikan seorangpun dari kalangan mereka. Ini bermakna, jika seorang sahaja yang membangkang maka tidaklah dianggap ijmak. Para mujtahidin biasanya berselisih pendapat dalam sesuatu hukum tetapi dalam sesuatu hukum tertentu (yang sedia ada) tidak seorangpun di kalangan mereka berbeza pendapat, maka terjadilah ijmak dan wajib beramal dengannya apabila ijmak itu mengikut segala rukun-rukun seperti yang telah ditetapkan.

RUJUKAN

Al-Quran.
Abdul Latif Muda & Rosmawati Ali@Mat Zin. 1997. Pengantar usul fiqh. Kuala Lumpur:
Pustaka Salam Sdn.Bhd.
Al-Zarqha Mustafa Ahmad. 2000. Hukum Islam dan perubahan sosial. Terj. Ade Dedi
Rohayana. Jakarta: Perpustakaan Nasional. Katalog Dalam Terbitan.
Al-Zuhaili Wahbah. 1998. Usul fiqh al-Islami. Damsyik: Darul Fikri.
Mohd Khairi Zainuddin, Mohd Nazri Zainuddin & Mohd Fuad Mohd Isa. 2008. Al-Miftah.
Selangor: Angkatan Edaran Enterprise Sdn. Bhd.
Muhammad Adib bin Samsudin. 2009. Nota kuliah usul fiqh. UKM Bangi: T.pt.
Muhammad, Muhammad Yusuf & Muhammad Harun Zain. 2009. Fikah Imam Syafi’i. Terj.
Yusuf Sinaga & Muhammad Harun Zain. Selangor: Berlian Publication Sdn.Bhd.
T.M. Hasbi Ash-Shiddieqy 1967. Pengantar hukum Islam. Jogjakarta: t.pt.
2009. Ijmak. 1-2. Http:// ms. Wikipedia.org/wiki/Ijmak. [ 23 Oktober 2009 ]

Disediakan oleh:
SITI JUWAIRIAH BINTI ZAKARIA
NOORHANA BINTI TUKIRAN
RAJA NORATIAH BINTI RAJA SULAIMAN
TENGKU MAIZURA BINTI TENGKU YAHYA

0 comments: