Friday, October 23, 2009

KEHUJAHAN HADIS MURSAL


SEJARAH PERKEMBANGAN ILMU HADIS


Ulama berselisih pendapat mengenai bilakah bermulanya hadis dalam diri Rasulullah s.a.w. Sebahagian ulama berpendapat bahawa hadis ini bermula semenjak baginda kecil lagi atau sebelum Baginda dilantik menjadi Nabi. Ini merangkumi riwayat hidup Baginda ketika dilahirkan, berniaga, mendamaikan perbalahan dengan orang-orang Quraisy dan ketika Baginda bersendirian di Gua Hira’. Selain itu, ada juga ulama yang mengatakan bahawa hadis Nabi bermula hanya setelah Baginda dilantik menjadi Nabi dan Rasul. Mereka berpendapat sebegini kerana setiap kejadian dan juga amalan Baginda sebelum Baginda dilantik menjadi Nabi tidaklah dituntut ke atas umat Islam melaksanakannya, sedangkan hadis merupakan satu perkara yang wajib diambil dan ditaati. Atas alasan inilah para ulama lebih bersetuju untuk mengatakan bahawa hadis bermula dengan perlantikan Baginda sebagai Nabi dan Rasul dan bukan sebelum Baginda dilantik. ( Asmawi Haji Ehsan 2003 : 13 )

Setelah sesuatu wahyu dibacakan oleh Rasulullah s.a.w kepada para Sahabat dan kemudian disebarkan kepada seluruh kaumnya lalu umat Islam berlumba-lumba mengambil dan menghafaznya. Setiap perkataan yang diucapkan oleh Rasulullah s.a.w diperhatikan dan dihafaz serta tidak kurang pula yang mencatat setiap kata-kata yang diluahkan oleh Rasulullah s.a.w lebih-lebih lagi tentang wahyu Al-Quran iaitu perintah supaya menuliskan Al-Quran amat jelas dinyatakan oleh para Sahabat seperti hadis yang berikut :

كان رسول الله صلى الله عليه وسلم اذا عرض عليه سورة دعا بعض من يكتبه فقال : ضعوا هذه السورة في الذي يذكر فيه كذا وكذا.

( رواه البخاري )

Maksudnya : “Apabila dibentangkan kepada Rasulullah s.a.w sesuatu surah Al-Quran, Baginda meminta penulis-penulis menulisnya. Baginda bersabda : “Tulislah olehmu, surah ini di tempat yang dinyatakan padanya begini dan begini.”

( Riwayat Al-Bukhari )


Kata-kata Rasullullah s.a.w yang berupa perintah seperti yang dinyatakan di dalam hadis ini adalah salah satu daripada setiap yang diistilahkan sebagai hadis. Inilah proses terjadinya hadis. Dengan kata lain hadis terjadi dalam aspek-aspek perkataan, perbuatan dan ikrar Nabi s.a.w sebaik sahaja Baginda bertindak walaupun sedikit sama ada berupa perintah, larangan, teguran, nasihat, pengajaran dan sebagainya yang pastinya hasil dari wahyu, ilham dan mimpi. Para Sahabat yang berada di sekeliling Baginda ketika Baginda menuturkan sesuatu akan mengingati setiap lafaz yang keluar dari mulut Baginda. Oleh sebab Baginda insan yang mulia, maka setiap kalimah yang lahir dari mulutnya pasti menjadi perhatian setiap pengikutnya. Setiap Sahabat yang hadir dan mendengar kata-kata Baginda sudah pasti berasa amat bertuah dan akan memberitahu sahabat-sahabat lain yang tidak dapat bersama Nabi ketika itu. ( Asmawi Haji Ehsan 2003 : 14 )

Terdapat juga Sahabat-sahabat yang tidak hadir pada hari-hari tertentu akan sentiasa bertanya kepada Sahabat lain tentang apa sahaja perkara yang diperkatakan oleh Nabi s.a.w pada setiap hari. Begitulah sesebuah hadis itu disampaikan dan diperdengarkan dari seorang Sahabat yang lain. Setiap Sahabat yang mendengar akan menceritakan tentang hadis yang didengar dan diterimanya kepada seorang Sahabat lain dengan menyatakan sumber hadis yang diterima itu seorang demi seorang hingga sampai kepada Nabi tanpa syak dan terputus sanadnya. ( Asmawi Haji Ehsan 2003 : 15 )



Ilmu Hadis Pada Zaman Sahabat

Sebaik sahaja kewafatan Baginda s.a.w, umat Islam mula menghadapi masalah dan cuba mengatasi masalah yang berlaku di sekeliling mereka. Mereka terpaksa bertungkus lumus membuat rujukan dalam Al-Quran dan hadis-hadis Nabi s.a.w yang selama ini ditanam dalam fikiran mereka. Kemudian, hadis mula diriwayatkan semula untuk mendapatkan hukum-hukum baru bagi pelbagai masalah yang timbul. ( Arifin Omar 2005 : 14 )

Walaubagaimanapun, dalam kalangan para Sahabat besar, mereka masih berpegang dengan larangan Rasullullah s.a.w agar tidak meriwayatkan sesuatu hadis terutama semasa pemerintahan Abu Bakar dan Umar kerana mereka khuatir terdapat pendustaan dalam periwayatan yang menyandarkannya kepada Rasullullah s.a.w. Hal ini telah membantutkan perkembangan hadis dan ilmunya daripada wujud sebagai ilmu yang tersendiri sifatnya. ( Arifin Omar 2005 : 15 )


Ilmu Hadis Pada Zaman Tabi’in

Memandangkan keadaan begitu serius, Khalifah Umar bin Abdul Aziz sebagai khalifah Bani Umaiyyah berasa bertanggungjawab untuk memelihara hadis dan mempertahankan kemuliaan Rasullullah s.a.w. Beliau telah mengarahkan agar hadis -hadis sebenar dikumpul dan dibukukan serta diedar ke seluruh wilayah Islam untuk dijadikan rujukan. Tindakan berani dan bijak beliau ini merupakan asas kepada perkembangan ilmu hadis. Semenjak daripada itu, maka tampil ulama-ulama untuk membahaskan ilmu tersebut dan mengembangkannya dari satu peringkat ke satu peringkat sehingga ianya wujud sebagai satu ilmu pada hari ini dan semakin berkembang. ( M. ‘Ajaj Al-Khatib 1996 : 299 )


PENGERTIAN HADIS

Perkataan hadis adalah berasal dari perkataan Arab. Dari segi bahasanya, hadis bermaksud perkhabaran, cerita ataupun perbualan, tanpa dikecualikan sedikit ataupun banyak sama ada dari sudut keagamaan, keduniaan, ataupun peristiwa sejarah mahupun perkara Sunnah. ( Arifin Omar 2005 : 16 )

Manakala dari segi istilah pula hadis bermaksud apa yang disampaikan kepada Nabi Muhammad s.a.w sama ada dari segi perkataan, perbuatan, ikrar dan juga sifat. Ibn Hajar pula dalam memberi pengertian tentang hadis berpendapat bahawa hadis ialah apa-apa yang disandarkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. ( M. ‘Ajaj Al-Khatib 1996 : 300 )

Hadis juga boleh diertikan sebagai sesuatu yang baru iaitu lawan kepada qadim, seperti kata-kata Al-Jauhari :

حديث السن

Maksudnya : Umur yang baru (muda)

Menurut istilah ulama hadis pula, hadis bermaksud apa sahaja (perkara-perkara) yang disandarkan kepada Nabi Muhammad s.a.w sama ada kata-kata, perbuatan, perkataan, perakuan ataupun sifat-sifat Nabi Muhammad s.a.w. Menurut pengertian ini perkataan hadis sama erti dengan perkataan Sunnah. Namun demikian para ulama hadis berselisih pendapat berhubung pengertian hadis ini. ( Arifin Omar 2005 : 18 )


Al-Tibi berpendapat bahawa perkataan hadis bersifat umum iaitu termasuk kata-kata, perbuatan dan perakuan yang datang daripada Nabi Muhammad s.a.w, para Sahabat dan para T
abi’in. Pendapat ini sejajar dengan pendapat jumhur yang menyatakan bahawa hadis merupakan perkara-perkara yang disandarkan kepada Nabi Muhammad s.a.w, para Sahabat dan Tabi’in. ( M. ‘Ajaj Al-Khatib 1996 : 289 )

Jika diteliti dari pengertian tersebut ternyatalah hadis adalah sesuatu yang bertitik tolak dari diri Rasulullah s.a.w yang berupa kata-kata, tindakannya atau juga ikrarnya untuk dijadikan sebagai satu sumber hukum ataupun tujuan. ( Asmawi Ehsan 2003 : 13 )


PEMBAHAGIAN HADIS

Hadis terbahagi kepada dua iaitu hadis yang diterima ataupun hadis yang ditolak. Hadis yang diterima adalah hadis sahih manakala hadis yang ditolak adalah hadis da’if. Namun para muhaddithin lebih mengutamakan pembahagian hadis ini kepada tiga bahagian berbanding dengan bahagian yang dinyatakan di atas. Ini bermakna, kesemua hadis tidak akan terkeluar daripada tiga bahagian yang utama, iaitu hadis sahih, hasan, dan da’if. ( M. ‘Ajaj Al-Khatib 1996 : 290 )


i. HADIS SAHIH

Hadis sahih seperti yang ditakrifkan oleh para ulama ialah hadis musnad yang mempunyai sanad yang bersambung dan diriwayatkan oleh perawi yang adil lagi dabit daripada perawi yang adil lagi dabit hinggalah sampai kepada Rasulullah s.a.w, Sahabat, atau generasi selepas Sahabat dan hadis berkenaan bukan hadis shadh atau hadis mua’allal.

Hadis sahih terbahagi kepada dua bahagian iaitu Sahih lidhatih dan Sahih lighairih. Hadis Sahih lidhatih ialah hadis yang memiliki sifat-sifat qabul yang paling tinggi. Hadis Sahih lighairih ialah hadis yang dikira sahih berdasarkan kepada perkara luar dan hadis berkenaan tidak mempunyai syarat-syarat qabul yang paling tinggi.

Hadis sahih bukan sahaja boleh disifatkan sebagai musnad dan muttasil, tetapi juga harus disifatkan sebagai mutawatir, ahad, gharib, atau masyhur. Oleh yang demikian kita dapat lihat di sini bahawa hadis sahih mempunyai berbagai-bagai panggilan yang ada padanya. ( Arifin Omar & Zaini Nasohah 2005 : 154 )

ii HADIS HASAN

Hadis hasan ialah hadis yang sanadnya bersambung dan diriwayatkan oleh perawi yang adil tetapi ingatannya kurang sempurna serta terselamat daripada sebarang shadh dan ‘illah.

Dalam takrif ini terdapat beberapa perkara penting yang boleh menghilangkan kesamaran antara hadis sahih dan hadis hasan iaitu perawi yang adil dalam hadis hasan kurang sempurna ingatannya sementara perawi dalam hadis sahih sempurna ingatannya. Walaubagaimanpun, kedua-dua mereka adalah terselamat daripada sebarang shadh dan ‘illah. ( Rosmawati Ali @ Mat Zin 2005 : 170 )

Hadis hasan juga mempunyai dua bahagian iaitu hadis hasan lighairih dan hadis hasan lidhatih. ( Arrifin Omar & Zaini Nasohah 2005 : 154 )

iii HADIS DA’IF

Hadis da’if ialah hadis yang di dalamnya tidak wujud sifat hadis sahih dan hasan. Ini bermaksud, hadis da’if ialah hadis-hadis yang baik dan hampir memiliki syarat-syarat untuk menjadi sahih tetapi terdapat beberapa kekurangan di dalam syarat-syarat tersebut terutama syarat untuk menjadi sahih tetapi terdapat beberapa kekurangan di dalam syarat-syarat tersebut terutama syarat yang berkaitan dengan para perawinya. Keda’ifan bagi mana-mana hadis berbeza-beza berdasarkan kepada sejauh mana hadis tersebut tidak menepati syarat-syarat hadis hasan.


Sebab-Sebab Hadis Menjadi Da’if

Terdapat dua sebab utama yang menjadikan sesuatu hadis itu menjadi da’if untuk diamalkan:

Pertama ialah disebabkan kecacatan yang ada pada perawinya sama ada yang melibatkan sifat ‘adlu, dari segi perhafalan, atau dari segi ketetapan riwayatnya. Antara kecacatan yang disenaraikan ialah berdusta, tertuduh berdusta, disifatkan sebagai fasiq, didapati banyak melakukan kesalahan, berlengah-lengah dalam menghafal, banyak prasangka, menyalahi riwayat orang yang dipercayai, riwayat tidak tersusun, perawi bertukar, perawi tidak dapat dikenali, perawi mengamalkan bidah dan juga hafalan yang kurang baik. ( Rosmawati Ali @ Mat Zin 2005 : 175 )

Kedua ialah kecacatan yang ada pada hadis sama ada pada sanad atau matannya. Dari segi sanadnya terhenti atau tiada kesinambungan sanad. Sekiranya gugur sanad yang pertama, hadis tersebut dinamakan معلق, jika gugur sanad yang terakhir dinamakan sebagai مرسل, gugur dua orang perawi berturut-turut dinamakan مضلل, dan jika tidak berturut-turut ialah منقطع. ( Rosmawati Ali @ Mat Zin 2005 : 175 )

Kecacatan dari aspek matan ialah apabila matan hadis tersebut hanya berupa perkataan, perbuatan atau ikrar Sahabat sahaja dan ia dinamai hadis قوفمو sementara jika matan hadis tersebut bersumberkan tabi’in maka hadis tersebut dinamakan sebagai hadisمنقطع ( Salih Subhi 1969 : 158 )

Maka di sini jelaslah terdapat berbagai pecahan dalam hadis da’if mengikut sebab-sebab kecacatan dan juga kekurangan yang ada padanya. Dalam tugasan ini akan dibincangkan dengan lebih terperinci berkenaan pecahan hadis mursal dan juga kehujahannya.


TAKRIF HADIS MURSAL

Hadis mursal menurut ulama fiqh dan usul ialah hadis yang perawinya melepaskannya tanpa menjelaskan Sahabat yang diambil riwayatnya. ( M. ‘Ajaj Al-Khatib 1996 : 304 )

Takrif hadis mursal yang masyhur ialah hadis-hadis yang tergugur seorang Sahabat daripada sanadnya. Sebagai contoh : “Sabda Rasulullah s.a.w begini dan begini, Rasulullah melakukan begitu dan begini”. “Dilakukan di hadapan Rasulullah s.a.w begitu dan begini” atau sebagainya. Ini bermakna hadis mursal ialah hadis marfu’ al-tabi’in (hadis yang disandarkan oleh al-tabi’in kepada Rasulullah s.a.w) sama ada al-tabi’in yang muda atau tua. ( Salih Subhi 1969 : 162 )

Oleh itu jelaslah bahawa hadis mursal ialah hadis yang digugurkan Sahabat (perawi pada peringkat Sahabat) daripada sanadnya. Hal ini bererti seorang tabi’in meriwayatkan hadis secara terus menerus daripada Nabi Muhammad s.a.w sama ada perawi tersebut terdiri daripada sighar al-tabi’in ataupun kibar al-tabi’in.

Berhubung dengan hadis mursal ini, kibar al-tabi’in ialah tabi’in yang banyak meriwayatkan hadis daripada para Sahabat walaupun umur mereka masih muda seperti Ibn al-Musayyab dan Qais bin Abi Hazim. Manakala sighar al-tabi’in ialah tabi’in yang lebih banyak meriwayatkan hadis daripada perawi yang lain daripada Sahabat walaupun umur mereka lebih tua seperti Abu Hatim dan Yahya bin Sa’id. ( Ariffin Omar & Zaini Nasohah 2005 : 68 )


Hadis mursal dikatakan da’if kerana sanadnya tidak bersambung dan perawi berkenaan telah membebaskan hadis berkenaan dengan tidak menyatakan nama Sahabat yang menerima hadis berkenaan daripada Rasulullah s.a.w. Dalam erti kata lain, perawi Sahabat digugurkan atau tidak disebut dalam rangkaian sanad. ( Rosmawati Ali @ Mat Zin 2005 : 222 )

Ahli hadis juga berpendapat bahawa hadis yang diriwayatkan oleh Sahabat-sahabat muda seperti Ibn Abbas dan lain-lain yang mana mereka tidak mendengar ataupun melihat secara terus dari Nabi Muhammad s.a.w. Namun, mereka meriwayatkan dari Sahabat lain dari Rasulullah s.a.w. ( M. ‘Ajaj Al-Khatib 1996 : 304 )


PERINGKAT DALAM HADIS MURSAL:

i. Peringkat pertama ialah hadis mursal yang diriwayatkan oleh Sahabat yang sabit mendengarnya daripada Nabi s.a.w peringkat ini ialah peringkat yang tertinggi sekali dalam bahagian hadis mursal.

ii. Peringkat kedua ialah hadis mursal yang diriwayatkan oleh para Sahabat yang sabit hanya berjumpa dengan Rasulullah s.a.w tetapi tidak mendengarnya.

iii. Peringkat seterusnya adalah orang yang hidup dalam dua zaman, iaitu zaman Jahiliyah dan zaman Islam, tetapi tidak beriman semasa zaman Rasulullah s.a.w masih hidup. Kemudian dia beriman semasa zaman Sahabat.

iv. Kemudian, diikuti pula oleh hadis mursal yang diriwayatkan oleh mereka yang benar-benar mantap (dalam bidang hadis) seperti Sa’id bin Musayyab. Ini diikuti pula oleh hadis-hadis mursal yang diriwayatkan oleh mereka yang benar-benar mengkaji latar belakang syeikhnya seperti Al-Sha’bi dan Mujahid.

v. Hadis-hadis mursal yang paling rendah tarafnya ialah diriwayatkan oleh mereka yang mengambil hadis daripada orang yang diperkatakan sebelum ini seperti Al-Hasan. Hadis mursal yang dibuat oleh sighar al-tabi’in seperti Qatadah, Al-Zuhri dan Humaid al-Tawil, kebanyakannya diambil daripada al-tabi’in. ( Arrifin Omar & Zaini Nasohah 2005 : 160 )

Hadis mursal yang diriwayatkan dengan sanadnya oleh perawi yang thiqah dan sahih, kerana mempunyai dua bahagian iaitu bahagian mursal dan bahagian musnad (bersambung sanad). Apabila hadis dalam kedua-dua itu bertentangan dengan hadis musnad yang lain, maka hadis daripada dua bahagian tersebut adalah lebih rajih daripada sudut mursal berkenaan dan telah disokong oleh hadis musnad yang muttasil (bersambung) sanadnya sehingga kepada Nabi Muhammad s.a.w. ( M. ‘Ajaj Al-Khatib 1996 : 304 )


MURSAL AL-SAHABIYY

Mursal al-sahabiyy ialah hadis yang diriwayatkan oleh mana-mana Sahabat daripada Nabi Muhammad s.a.w tetapi Sahabat tersebut tidak mendengar, tidak melihat dan tidak tahu sendiri hadis tersebut secara langsung daripada Nabi Muhammad s.a.w sama ada disebabkan umurnya yang muda, lambat menganut agama Islam atau tidak hadir bersama Nabi Muhammad s.a.w. Hadis mursal ini kebanyakannya datang daripada sighar al-sahabah seperti Ibn ’Abbas, Ibn Al-Zubair dan sebagainya. ( Muhammad Mustafa Azami 1989 : 177 )


KEHUJAHAN BERAMAL DENGAN HADIS MURSAL

Pada dasarnya hadis mursal ini da’if. Hal ini adalah disebabkan oleh beberapa perkara seperti berikut:

i. Tidak bersambung sanad.

ii. Tidak dapat dikesan terhadap kedudukan perawi yang dibuang daripada rangkaian sanad.

iii. Berkemungkinan perawi yang dibuang daripada rangkaian sanad itu bukan daripada Sahabat. ( Asmawi Haji Ehsan 2003 : 180 )

Walaubagaimanapun, para ulama telah berselisih pendapat tentang kehujahan hadis mursal iaitu berdasarkan kepada tiga pendapat seperti berikut:


i. Da’if dan ditolak

Pendapat ini dikemukakan oleh jumhur ulama hadis dan sebilangan besar daripada kalangan ulama usul dan fikah. Alasan mereka ialah berkemungkinan besar perawi yang dibuang daripada rangkaian sanad itu bukan daripada generasi Sahabat.


ii. Sahih dan boleh dijadikan hujah (dalil bagi hukum syarak)

Pendapat ini dikemukakan oleh Abu Hanifah, Malik dan Ahmad, menurut riwayat yang masyhur dan juga sebahagian ulama lain. Penerimaan tersebut dengan syarat bahawa perawi yang meriwayatkan hadis sacara mursal ini terdiri daripada perawi yang thiqah dan ia tidak meriwayatkan hadis melainkan daripada orang yang thiqah, kerana seseorang tabi’in yang thiqah tidak mungkin berkata, “Rasulullah s.a.w bersabda : Begitu dan begini, melainkan dia mendengar hadis tersebut daripada orang yang thiqah”. ( Rosmawati Ali @ Mat Zin 2005 : 199 )

iii. Diterima dengan syarat

Pendapat ini dikemukakan oleh Al-Shafi’iyy dan sebahagian ulama yang lain. Syarat-syarat yang dimaksudkan adalah seperti berikut:

a) Perawi yang meriwayatkan hadis secara mursal itu terdiri daripada kibar al-tabi’in. Apabila perawi tersebut menyebutkan nama perawi yang dibuang daripada rangkaian sanad itu didapati terdiri daripada perawi yang thiqah.

b) Sekiranya hadis tersebut diriwayatkan juga oleh huffaz lain yang boleh dipercayai, maka mereka tidak menyalahi perawi-perawi mursal tersebut.

c) Disamping mempunyai syarat-syarat tersebut, hendaklah terdapat pada hadis mursal tersebut mana-mana satu daripada syarat berikut :

· Hadis tersebut diriwayatkan secara mursal menerusi saluran (turuq) lain.

· Hadis tersebut diriwayatkan secara mursal melalui saluran lain dengan rangkaian perawi yang lain.

· Hadis tersebut sesuai dengan pendapat dan pandangan Sahabat.

· Maksud hadis tersebut dipersetujui oleh sebilangan besar para ilmuwan. ( Ariffin Omar & Zaini Nasohah 2005 : 70 )

Hadis mursal tidak boleh dijadikan hujah dalam agama. Inilah pendapat yang telah ditetapkan oleh para huffaz dan pengkritik hadis. Pendapat ini jugalah yang mereka utarakan dalam penulisan masing-masing. ( Rosmawati Ali @ Mat Zin 2005 : 201 )

Imam Muslim dalam mukaddimah kitab Sahih ada menyebut tentangnya : ”Bahawa hadis mursal menurut pendapat yang asal madrasah ahli al-hadis bahawa hadis mursal tidak dapat dijadikan sebagai hujah.” ( Ariffin Omar 1993 : 163 )

Ulama tidak bersepakat mengenai hukum beramal dengan hadis mursal. Antara pendapat mereka ialah:

I. Pendapat pertama mengatakan hadis mursal ini tidak boleh dibuat hujah dan tidak boleh beramal dengannya, kerana ia di dalam kategori hadis da’if. Alasannya adalah kerana perawi yang digugurkan sanadnya itu tidak diketahui kedudukannya.

II. Pendapat kedua pula mengatakan boleh berhujah dengan hadis ini. Alasannya adalah kerana perawi yang thiqah tidak akan melakukan pendustaan terhadap Nabi s.a.w dan seterusnya zaman antara Sahabat dan tabi’in terdiri daripada perawi yang adil dan thiqah.

III. Menurut pendapat yang ketiga pula, hadis mursal ini boleh diterima pakai berdasarkan beberapa syarat :

a) Tabi’in yang meriwayatkan hadis mursal hendaklah dari kalangan tabi’in besar yang mana kebanyakan daripada mereka sebenarnya meriwayatkan dari Sahabat dan sedikit sahaja yang meriwayatkan bersama tabi’in.

b) Perawi yang digugurkan pada sanadnya telah diketahui sebagai perawi yang thiqah.

Hadis mursal tersebut mestilah menepati syarat-syarat yang telah ditetapkan. Antara syarat-syaratnya ialah rangkaian sanad mursal ini disokong oleh rangkaian sanad lain yang bertaraf sahih dan terdapat tabi’in lain yang juga meriwayatkan secara mursal hadis berkenaan melalui syeikh lain iaitu bukan syeikh kepada tabi’in yang pertama tadi. Hadis tersebut juga mestilah tidak bersalahan dengan pendapat Sahabat, tidak bercanggah dengan fatwa ahli ilmu dan tidak bercanggah dengan konsep qiyas. Ianya juga mestilah tidak bercanggah dengan perbuatan dan amalan para Sahabat serta tidak bercanggah dengan pendapat ulama sezaman. ( Salih Subhi 1969 : 582 )

Kebanyakan ulama yang berhujah dengan hadis mursal, mereka menganggapnya bukan da’if kerana Sahabat yang meriwayatkan hadis berkenaan tidak mendengarnya daripada Rasulullah s.a.w sendiri dan kebiasaannya hadis seperti ini diriwayatkan daripada Sahabat lain. Beliau mengambil hadis berkenaan daripada Rasulullah s.a.w. Ini bermakna gugurnya seorang Sahabat daripada sanad hadis tidak membawa sebarang kemudharatan kepada hadis berkenaan seperti jahilnya hal ehwal Sahabat (yang meriwayatkan sesuatu hadis) tidak membolehkan hadis berkenaan menjadi da’if. Maka, sabitnya taraf persahabatan seseorang itu dengan Nabi s.a.w itu sudah cukup untuk menta’dilkannya. ( Salih Subhi 1969 : 159 )

Al-Suyutiyy dalam kitabnya Al-Tadrib ada mengatakan : “Terdapat dalam kedua-dua kitab sahih hadis seperti itu hadis mursal para Sahabat banyak sekali, kerana kebanyakan riwayat mereka (Sahabat) daripada para Sahabat yang adil dan jarang sekali meriwayatkannya daripada bukan Sahabat. Sekiranya mereka meriwayatkan dari bukan Sahabat mereka akan menyatakan hal ini. Malahan kebanyakan hadis yang diriwayatkan oleh para Sahabat daripada al-tabi’in, adalah bukan hadis marfu, sebaliknya banyak perkara israilliyat, cerita-cerita atau hadis Mauquf”.

Tidak dapat dinafikan bahawa hadis mursal para Sahabat ini, kerana kebanyakan hadis yang diriwayatkan oleh Ibn ’Abbas adalah hadis mursal. Ini kerana semasa Rasulullah s.a.w hidup beliau masih kanak-kanak lagi. Malahan sewaktu kewafatan Baginda s.a.w beliau berusia tidak melebihi 13 tahun. ( M. ‘Ajaj Al-Khatib 1996 : 304 )

Ada juga sebahagian ulama hadis menolak hadis mursal dan memandangnya hanya hadis da’if yang mana ia tidak dapat diterima sebagai hujah dalam beramal. Dalam metodologi Abu Hanifah, beliau menggunakan hadis mursal dan akan meninggalkan qiyas jika berlaku konflik dengan hadis sahih. Berbeza pula dengan metodologi dalam Mazhab Shafi’iyy, beliau tidak menerima hadis mursal kecuali Mursal Ibn Al-Musayyib kerana beliau berpegang kuat dengan hadis sahih. ( Rosmawati Ali @ Mat Zin 2005 : 220 )

Manakala dalam bab mursal al-sahabiyy, jumhur ulama berpendapat bahawa hadis mursal al-sahabiyy ini sahih dan boleh dijadikan hujah (dalil), kerana hampir tidak berlaku Sahabat meriwayatkan hadis daripada tabi’in. Tetapi terdapat sebahagian ulama yang lain yang berpendapat bahawa hadis mursal biasa dan ia diberi hukum yang sama dengan hadis mursal yang biasa. Antara kitab hadis mursal adalah seperti berikut : ( Rosmawati Ali @ Mat Zin 2005 : 221 )

I. Al-Marasil oleh Abu Daud.

II. Al-Marasil oleh Ibn Abu Hatim.

III. Jami’ al- Tahsil li Ahkam al-Marasil oleh ‘Alla’i.



CONTOH-CONTOH HADIS MURSAL

عن أبي هريرة قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم يا أيها الناس إنما أنا رحمة مهداة.

( رواه البخاري ومسلم )


Maksudnya: Abu Hurairah meriwayatkan katanya : Nabi s.a.w bersabda “Wahai manusia, aku adalah rahmat dan mendapat petunjuk”.

( Riwayat Al-Bukhari dan Al-Muslim )

عن نافع عن ابن عمر قال : نهى رسول الله صلى الله عليه وسلم عن المزابنة.

( رواه المسلم )


Maksudnya : Daripada Nafi’ daripada Ibn Umar telah meriwayatkan bahawasanya : “Rasulullah s.a.w melarang (jual beli) muzabanah.”

(Riwayat Al-Muslim)



KESIMPULAN


Dalam menghadapi cabaran semasa, umat Islam harus merenung kembali panduan hidup yang telah dibekalkan kepada mereka oleh Allah melalui kitabNya, Al-Quran dan RasulNya melalui Sunnahnya sejak berabad yang lampau.

Sekalipun Sunnah Rasulullah s.a.w merupakan sebahagian daripada wahyu Allah, namun ia amat berbeza jika berbanding dengan Al-Quran kerana Sunnah Rasulullah s.a.w bersumberkan kata-kata Baginda. Oleh yang demikian, para ulama telah meletakkan martabat hadis di tempat yang kedua selepas Al-Quran.

Hadis ialah setiap yang disampaikan kepada Nabi Muhammad s.a.w sama ada dari segi perkataan, perbuatan, ikrar dan juga sifat. Dalam memahami ilmu hadis, perlulah kita mengetahui ilmu-ilmunya secara lebih mendalam supaya tidak terpesong untuk beramal dengannya sama ada dari segi periwayatannya ataupun sanadnya.

Hadis mursal adalah salah satu daripada pembahagian dalam ilmu hadis yang mana ia berada di bawah furu hadis da’if. Hadis mursal ialah hadis yang tergugur seorang Sahabat daripada sanadnya. Terdapat pelbagai peringkat dalam hadis mursal. Peringkat hadis mursal yang paling tinggi sekali ialah hadis mursal yang diriwayatkan oleh Sahabat yang thabit mendengarnya daripada Nabi s.a.w. Peringkat ini ialah peringkat yang tertinggi sekali dalam bahagian hadis mursal.

Terdapat berbagai hujah ataupun perbahasan para ulama dalam beramal dengan hadis mursal. Ada yang menolak dan ada yang menerima hadis ini dengan bersyarat. Namun, pendapat yang telah ditetapkan oleh para huffaz dan pengkritik hadis adalah hadis mursal tidak boleh dijadikan hujah dalam agama. Pendapat ini jugalah yang mereka utarakan dalam penulisan masing-masing. Oleh yang demikian, jelaslah kepada kita kedudukan hadis mursal dalam beramal dengannya.



DISEDIAKAN OLEH:
LIYANA BT YUSOF
SITI FAISAH ADENAN
NOR FATIHAH ABU BAKAR
SYAMIMI BINTI AB RAHMAN
AZMANIRA BT ISMAIL@ZANUDIN

0 comments: