Monday, October 26, 2009

Kehujahan Hadis Ahad

PENGENALAN


Dalam membincangkan tentang hadis dan pembahagiannya, ia akan melibatkan bidang yang amat luas kerana perbincangan ini perlu dilihat dari berbagai-bagai sudut dan aspek.Antaranya ialah dari sudut kesempurnaan syarat ke atas sanad dan matannya,dari sudut bilangan perawi dan sebagainya. Hadis juga adalah salah satu sumber rujukan dalam perundangan islam,fiqh dan sebagainya. Ia adalah sumber kedua selepas daripada Al-Quran.Hadis dapat dibahagikan kepada beberapa jenis iaitu fi'liyyah,qawliyyah dan taqririyyah.Skop perbahasan ini adalah mengenai hadith ahad.Kertas ini akan membincangkan mengenai definisi,hukum,kedudukan dan sebagainya yang berkaitan dengan hadith ahad .

DEFINISI

Hadith ahad ialah hadis yang tidak mencapai jumlah perawi seperti perawi dalam hadith mutawatir di samping tiada keseimbangan jumlah perawi dalam peringkat Sahabat,tabi'in dan tabi' tabi'in.(Asmawi Haji Ehsan 2003:137)

Menurut ilmu Mustalah Hadith, hadith ahad ialah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh seorang atau dua orang perawi sahaja khasnya di peringkat pertama iaitu peringkat para Sahabat.(Hafiz Firdaus Abdullah 2004: 169)

Selain itu , ia juga bermaksud hadis yang terbatas jalan-jalan riwayatnya dan tidak sampai kepada peringkat hadith mutawatir atau bilangan perawi hadith ahad tidak sampai kepada bilangan perawi hadith mutawatir.(Abd. Latif Muda 1997 : 87)

Al-Qasimiyy mentakrifkan hadith ahad adalah hadis yang tidak mencapai darjat mutawatir sama ada dari segi perawinya seorang atau ramai.(Abd. Latif Muda 1997 : 87)

Muhammad Abu Zahrah mentakrifkan hadith ahad sebagai hadis yang diriwayatkan seorang perawi,dua atau ramai daripada Rasulullah tetapi tidak mencapai syarat hadith mashhur.Ini adalah kerana beliau membahagikan hadith kepada tiga kategori iaitu hadith mutawatir, mashhur dan ahad .(Abd. Latif Muda 1997 : 88)

Ibn Hajar berpendapat hadith ahad adalah hadis yang tidak memenuhi syarat hadith mutawatir.(Abdul Latiff Muda 2001: 88)

PEMBAHAGIAN HADITH AHAD

Dalam klasifikasi hadith ahad , ia terbahagi kepada kepada tiga jenis hadis berdasarkan jumlah perawi pada setiap hadis yang diriwayatkan iaitu hadith mashhur, hadith 'aziz dan hadith gharib.Sebahagian ulama membahagikan hadith ahad kepada dua iaitu mashhur dan ghair mashhur.Hadith mashhur terbahagi pula pada dua jenis iaitu mashhur mutlaq dan mashhur muqayyad. Mashhur mutlaq ialah hadis yang masyhur di kalangan ulama hadis dan juga selain dari mereka seperti ulama usul,fiqh dan orang awam.Sementara hadith mashhur muqayyad ialah hadis yang masyhur di kalangan ulama hadis sahaja.Hadis ghair mashhur pula terbahagi kepada hadith 'aziz dan hadith gharib.Hadith ahad juga dilihat dari sudut kesempurnaan syarat-syarat sanad dan matannya terbahagi kepada tiga iaitu hadith sahih,hadith hasan dan hadith dhaif.(Asmawi Haji Ehsan 2003:137)

Hadith mashhur

Hadith mashhur dari segi bahasa bermaksud terkenal manakala dari segi istilah hadith mashhur ialah satu hadis yang diriwayatkan oleh sekumpulan tiga orang atau lebih perawi dan tidak dapat mencapai taraf mutawatir daripada peringkat Sahabat hingga ke peringkat tabi' tabi'in tersebut.Selain itu , tiada keseimbangan dalam jumlah perawi yang meriwayatkan hadis tersebut dalam setiap peringkat.Kebiasaannya hanya seorang sahaja bagi setiap peringkat tersebut tetapi pada peringkat terakhir iaitu peringkat tabi' tabi'in terdapat ramai perawi yang meriwayatkannya.(Asmawi Haji Ehsan 2003 : 138) .Antara contoh hadith mashhur ialah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.

قال رسول الله صلى الله عليه وسلمٍ إنما الأعمال بالنيّات وإنما لكل امريء مانوى

(رواه البخاري والمسلم)
Maksudnya : Rasulullah S.A.W bersabda :”Sesungguhnya setiap amalan itu dengan niat dan setiap orang itu bergantung pada perkara yang diniatkan”.

Hadith mashhur terbahagi kepada tiga jenis iaitu sama ada masyhur dalam kalangan ahli hadis,masyhur dalam kalangan ahli usul dan masyhur dalam kalangan orang awam.Ini disebabkan ada sebahagian hadis tersebut hanya disebut dan diterima dalam kalangan ahli hadis sahaja dan tidak diakui oleh dua kumpulan yang lain malah ada yang tidak mensahihkan atau diterima oleh dua kumpulan sementara kumpulan yang ketiga tidak menerimanya atau sebaliknya.Kadangkala hadis itu diriwayatkan oleh kumpulan ahli usul yang hanya masyhur dalam kalangan ahli usul sahaja.(Asmawi Haji Ehsan 2003 : 138)

Contoh hadith mashhur dalam kalangan ahli hadis ialah:

قَنَتَ النَبِىُّ صَلىَ اللهُ عَليْهِ وَسَلَّمَ بَعْدَ الرُكُوْعِ شَهْرًا يَدْعُوا عَلى رِعْلٍ وَزَكْوَان

(رواه انس بن مالك )

Maksudnya : “Bahawa Rasulullah S.A.W membaca qunut selepas ruku' selama sebulan bagi mendoakan celaka pada keluarga Ri'lin dan keluarga Zakwan”.

Contoh hadith mashhur dalam kalangan ahli usul ialah:

رفع عن أمتي الخطأ والنسيان وما استكرهوا عليه

(رواه عبدالله بن عباس)
Maksudnya : “Terhapus(dosa) umatku,disebabkan oleh kekeliruan,lupa dan perbuatan yang mereka lakukan kerana terpaksa”.

Contoh hadith mashhur dalam kalangan orang awam ialah:
لِلسَّائِلِ حَقٌّ وَإِنْ جَاءَ عَلَى فَرَسٍ

(رواه علي بن ابي طالب)
Maksudnya : “Bagi si peminta sedekah itu ada hak walaupun dia datang dengan menaiki kuda”.

Contoh hadith mashhur dalam kalangan ulama fiqh ialah :

لا صلاة لجار المسجد إلا في المسجد

(رواه علي بن ابي طالب)

Maksudnya : “Tidak sah sembahyang bagi orang yang berdekatan dengan masjid melainkan dalam masjid”.

Contoh hadith mashhur dalam kalangan ahli hadis dan juga selain daripada mereka ialah:
المُسلم من سَلِمَ المُسلمون من لسانه ويده
(رواه ابو موسى)

Maksudnya : “Seorang Islam ialah orang yang menyelamatkan orang-orang dengan lidahnya dan juga dengan tangannya”.

Hadith 'Aziz

Dari segi bahasa,hadith 'aziz bermaksud kuat atau gagah manakala dari segi istilah pula 'aziz bermaksud hadis yang diriwayatkan oleh dua orang perawi pada satu peringkat dan kemudiannya diriwayatkan oleh ramai perawi.(Asmawi Haji Ehsan 2003 : 140)

Contoh hadith 'aziz ialah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.

لاَ يُوءْمِنُ أَحَدَكُمْ حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَلَدِهِ وَوَالِدِهِ وَالنَّاسِ أجمعين

(رواه البخاري والمسلم)

Maksudnya : “Tidak sempurna iman salah seorang daripada kamu melainkan aku dikasihinya lebih daripada mengasihi dirinya,orang tuanya,anak-anaknya dan manusia seluruhnya.

Hadis tersebut diriwayatkan oleh seorang sahaja di peringkat pertama(Sahabat) iaitu Anas Bin Malik.Daripada Anas,ia telah diriwayatkan oleh dua orang Tabi'in iaitu Abdul Aziz bin Suhaib dan Qatadah.Selepas itu , hadis ini telah diriwayatkan oleh ramai perawi pada peringkat selanjutnya.Dalam istilah lain,hadis ini disebut sebagai hadith 'aziz pada peringkat awal tetapi hadith mashhur pada peringkat akhir.(Asmawi Haji Ehsan 2003 : 140)

Hadith Gharib

Dari segi bahasa bererti ganjil atau pelik.Dari segi istilah pula bererti satu hadis yang tersendiri dalam periwayatan sesebuah hadis.(Asmawi Haji Ehsan 2003: 140)

الإِيمَانُ بِضْعٌ وَسَبْعُونَ شُعْبَة وَالْحَيَاءُ شُعْبَةٌ مِنَ الإِيمَانِ

(رواه ابي هريرة)

Maksudnya : “Iman mempunyai lebih daripada 70 cabang dan malu ialah salah satu daripada cabang iman”.

HUKUM HADITH AHAD

Seperti yang dinyatakan sebelum ini bahawa hadith ahad ada yang bertaraf sahih,hasan dan ada juga dhaif.Hadith ahad sama ada mashhur,'aziz ataupun gharib dapat dijadikan hujah dan beramal dengannya jika memenuhi syarat-syarat sah periwayatannya( hadith sahih) dan begitu juga sebaliknya.Ahli Muhaqqiqin berpendapat bahawa, hadith ahad hanya wajib diamalkan dalam bab-bab ibadah,kifarah dan hudud sahaja,tidak dalam bab aqidah kerana bab aqidah memerlukan dalil-dalil yang qat'i(pasti).(Asmawi Haji Ehsan 2003 : 141)

Sebelum ini dinyatakan bahawa hadith ahad telah dibahagikan kepada dua bahagian iaitu dilihat dari sudut bilangan periwayatannya dan kesempurnaan syaratnya.Semua hadith ahad sekiranya dinilai dari segi kesempurnaan syarat-syarat periwayatan dan dinilai periwayatannya terbahagi kepada tiga iaitu hadith sahih, hadith hasan dan hadith dhaif.(Asmawi Haji Ehsan 2003 : 141)

CIRI-CIRI HADITH AHAD

Hadith ahad mempunyai beberapa ciri tertentu iaitu:(Abd. Latif Muda 1997 : 88)

a) Mempunyai jalan-jalan riwayat yang berhubung hingga sampai kepada Rasulullah S.A.W .

b) Sanadnya tidak sampai tahap mutawatir.

c) Sanadnya diriwayat menerusi berbagai peringkat perawi,ada perawi yang thiqah,perawi yang kurang thiqah dan ada yang perawinya diterima dengan syarat- syarat tertentu serta ada perawinya yang ditolak riwayatnya.

d) Jumlah perawinya tidak mencapai jumlah perawi hadith mutawatir.Ada yang mengatakan jumlahnya tidak melebihi kepada sepuluh orang perawi dalam satu tabaqah,dan ada yang mengatakan 100 perawi dan sebagainya iaitu tidak sampai kepada bilangan hadith mutawatir.

e) Jalan- jalan riwayatnya adalah terbatas.Ia berlawanan dengan jalan riwayat hadith mutawatir yang mana ia diriwayatkan oleh perawi yang ramai dengan jalan riwayat yang banyak. Hadith ahad melalui proses periwayatan yang tehad dengan bilangan sanad yang sedikit . Hadith ahad dibahagikan mengikut kategorinya sedangkan mutawatir semuanya sama tanpa dihadkan kepada sahih,hasan dan dhaif.

f) Jika disetengah tabaqah sampai ke bilangan mutawatir dan setengahnya tidak,ia juga dipanggil hadith ahad .

DALIL KEHUJAHAN HADITH AHAD

Terdapat beberapa kehujahan mengenai penerimaan hadith ahad ini.Antaranya daripada Imam Abu Hanifah,Imam Malik bin Anas,Imam Shafi'e dan Imam Ahmad bin Hanbal.

IMAM ABU HANIFAH

Imam Abu Hanifah dikenali sebagai imam ahl al-Ra’y pada zamannya. Dengan erti lain, Abu Hanifah mengistinbatkan hukum hanya menggunakan pendapat dan mengenepikan hadis. Daripada ungkapan Abu Hanifah dalam membangunkan mazhabnya, dijelaskan bahawa beliau mengambil kitab Allah dan sunnah Nabi serta memilih pendapat Sahabat. Namun,ternyata Abu Hanifah menggunakan hadith ahad meskipun sanadnya dhaif. Ini kerana yang menjadi kriteria penerimaan hadith ahad bukan hanya pada penilaian sanadnya. (al-Zuhaily 1987 : 1/470)

Abu Hanifah menerima hadith ahad sebagai sumber hukum Islam apabila memenuhi kriteria yang ditetapkan iaitu:

1) Kandungan hadis tersebut tidak bertentangan dengan amalan periwayatnya. Ini kerana ketika perkataan berbeza dengan perbuatan, maka perbuatanlah yang diperhatikan sementara perbicaraan diabaikan.(al-Zuhaily 1987 : 1/470)

Contoh yang dapat dilihat, tidak diterimanya hadis tentang cara membersihkan jilatan anjing yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah:

عن أبي هريرة قالا: قال رسول الله (ص) إذا ولغ الكلب في إناء أحدكم ، فليغسله سبع مرات إحداهن بالتراب الطهار.

(رواه ابو هوريرة)

Maksudnya: Apabila anjing menjilat salah satu bekasmu, maka basuhnya sebanyak tujuh kali dan salah satunya dengan tanah yang suci.

Menurut Abu Hanifah, Abu Hurairah dalam amalannya membersihkan bekas jilatan anjing hanya sebanyak tiga kali, bukan tujuh kali. Dengan demikian, hadis yang diriwayatkannya (7 X) bertentangan dengan amalannya sendiri (3 X). Oleh sebab itu, hadis tersebut tidak dapat dijadikan sebagai sumber dalam menetapkan hukum dan tidak diamalkan.

Sebagaimana hadis yang menyatakan membasuh sebanyak 3 kali:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : " إِذَا وَلِغَ الْكَلْبُ فِي إِنَاءِ أَحَدِكُمْ فَلْيَغْسِلْهُ ثَلاثَ مَرَّاتٍ

(رواه ابي هريرة)

Maksudnya: Apabila anjing menjilat salah satu bekasmu,maka basuhnya sebanyak tiga kali.

2) Hadith ahad tersebut tidak ada masalah umum al-balwa (masalah yang banyak terjadi dan ingin diketahui oleh masyarakat pada masa itu).

Sebagai contoh mengenai hal yang membatalkan wudhu’:

عن بسرة بنت صفوان انها سمعت رسول الله (ص) يقول: من مس ذكره فليتوضاء

(رواه بسرة بنت صفوان)

Maksudnya: Diriwayatkan dari Busrat binti Marwan ia mendengar Rasulullah S.A.W bersabda: siapa yang menyentuh kemaluannya maka ia harus berwudhu’.

Hadis ini menurut Abu Hanifah seharusnya diriwayatkan oleh banyak orang, sementara periwayatan hadis ini secara ahad. Kenyataan seperti ini merupakan kecacatan terhadap taraf hadis itu . Oleh sebab itu, menurut Abu Hanifah hadis ini tidak dapat diamalkan atau dijadikan dasar dalam beramal.

3) Hadith ahad tersebut tidak bertentangan dengan qiyas dan periwayat hadis seorang faqih.

قال رسول اللة (ص): لا تصروا الاءبل ولا الغنم فمن ابناعها بعد فهو يخير النظرين بعد ان يحلبها ان شاء امسك وان شاء ردها وصاعامن تمر

Maksudnya : Rasulullah S.A.W bersabda: janganlah kamu menahan perahan air susu unta dan kambing, siapa yang menjualnya dalam keadaan seperti itu dan pembeli telah memerah susunya, maka ia boleh dipilih antara dua kemungkinan iaitu mempertahankannya atau mengembalikannya dengan serahkan satu gantang tamar.

Menurut Abu Hanifah, menyerahkan kurma sebagai pengganti air susu tidak sama dengan qiyas terhadap penggantian barang yang hilang, iaitu barang yang sama atau dengan harganya. Di samping itu, periwayat hadith ahad tersebut harus faqih. Tidak faqihnya periwayat dapat membawa kepada tidak diterimanya hadith ahad yang diriwayatkannya. Dengan itu, Abu Hanifah memberikan pensyaratan bahawa orang harus memahami semua yang disampaikannya, bukan hanya berfungsi sebagai penyampai hadis sahaja. Hadis-hadis yang berhubungan dengan masalah fiqh tentu hanya akan dapat difahami oleh orang yang faqih. Pembahagian hadis hukum hanya dapat difahami oleh orang yang mempunyai intelektual yang tinggi tentang itu. Apabila ketiga-tiga pensyaratan di atas dipenuhi, maka Abu Hanifah menerima hadith ahad, meskipun pada kenyataannya ditemukan sanad yang bertaraf dha’if. Abu Hanifah tidak melihat sanadnya, tetapii kepakarannya dalam bidang fiqh. Dalam penggunaannya, Abu Hanifah mendahulukan hadith ahad tersebut daripada qiyas. Jika pensyaratannya tidak dipenuhi, Abu Hanifah menggunakan qiyas dan meninggalkan hadis tersebut.Pada dasarnya, Abu Hanifah tetap mendahulukan hadis yang sahih menurut kriterianya daripada qiyas. Yang membezakannya dengan imam yang lain adalah dalam penentuan kriteria hadis yang diterima.

IMAM MALIK BIN ANAS

Imam Malik bin Anas merupakan imam ahl al- hadith pada masanya. Imam Malik memakai semua hadis yang sampai kepadanya dan meninggalkan ra’yu. Imam Malik bukan hanya menggunakan hadis dalam memberikan fatwa, akan tetapi beliau juga menggunakan ra’yu. Sebagai periwayat hadis, Imam Malik mempunyai kriteria khusus dalam menerima hadis. Daripada sepuluh ribu hadis yang telah dikumpul olehnya hanya lima ratus hadis sahaja yang layak. Untuk kepentingan tersebut, Imam Malik memberikan pensyaratan untuk menerima hadith ahad sebagai sumber hukum.(al-Zuhaily 1987 : 1/470)
Antaranya:

Hadis tersebut hanya diriwayatkan oleh orang yang thiqah.

Hadis tersebut mengandungi maslahat.

Kandungan hadith ahad tersebut tidak bertentangan dengan amalan penduduk Madinah.

Sebagai contoh ialah menolak hadis mengenai khiyar majlis:

عنِ ابْنِ عُمَرَ رَضِي اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْبَيِّعَانِ بِالْخِيَارِ مَا لَمْ يَتَفَرَّقَا أَوْ يَقُولُ أَحَدُهُمَا لِصَاحِبِهِ اخْتَرْ وَرُبَّمَا قَالَ أَوْ يَكُونُ بَيْعَ خِيَارٍ
(رواه ابي عمر)

Maksudnya : Dari Ibn Umar: Rasulullah SAW bersabda: dua orang yang bertransaksi boleh melakukan khiyar selama keduanya belum berpisah atau salah satu darinya menyatakan pilihan.

Hadis di atas ditolak oleh Imam Malik dengan alasan bahawa khiyar majlis dalam kalangan penduduk Madinah tidak diperkenalkan. Hal ini dapat difahamkan kerana kedudukan amalan penduduk Madinah tersebut dapat menduduki tempat mut awatir. Apabila suatu hadis yang termasuk kategori hadith ahad bertentangan dengan hadith mutawatir. maka hadith ahad tidak dapat diamalkan Apabila ketiga syarat di atas dipenuhi, maka hadith ahad dapat dijadikan sebagai dasar dalam me netapkan hukum suatu masalah. Berbeza dengan Abu Hanifah, Imam Malik mengamalkan hadis meskipun kandungan hadis tersebut berbeza dengan per buatan periwayatnya.

IMAM SYAFI’E

Dalam masalah hadis, Imam Syafi’e juga sama seperti halnya dengan Imam Abu Hanifah, beliau dikenali sebagai nasir al-sunnah al-thani. Apabila Abu Hanifah menyelamatkan sunnah dari kaum Mu’tazilah,, Imam Syafi’e mempertahankan kedudukan sunnah dari kelompok yang cuba ingin mengingkari hadis. Pada masa Imam Syafi’e telah muncul beberapa kelompok pengingkar sunnah, ada kelompok yang mengakui al-Quran dan menolak keseluruhan hadis. Ada pula yang hanya mengakui hadith mutawatir sahaja dan tidak mengakui kehujahan hadith ahad dan kelompok yang menolak hadis yang tidak jelas landasannya dalam al-Quran. Menghadapi tiga kelompok ini, Imam Syafi’e memberikan penjelasan bahawa hadis rasul tidak dapat ditinggalkan kerana banyak masalah ibadah yang tidak dapat dilaksanakan tanpa penjelasan sunnah.(al-Zuhaily 1987 : 1/472)

Ada beberapa pensyaratan untuk menerima hadith ahad iaitu:

Periwayat thiqah dalam agamanya, diketahui benar dalam hadisnya dan semua periwayatnya thiqah dari awal hingga akhir.

Baligh ketika menyampaikan hadis dan juga memahami makna hadis. Jika tidak memahaminya secara hafal yang berasal dari Nabi S.A.W.

Periwayatnya menghafal hadis dan menjaga kitabnya jika ia meriwayatkannya secara kitab.
Periwayatnya tidak berbeza dengan riwayat orang thiqah.

Periwayatnya tidak mudallis seperti ia meriwayatkan sesuatu yang tidak didengarnya daripada orang yang ditemuinya.

IMAM AHMAD BIN HANBAL

Imam Ahmad bin Hanbal merupakan salah seorang mukharrij hadis. Terdapat kitab hadisnya yang berjudul Musnad al-Imam Ahmad bin Hanbal yang diterbit sebanyak enam jilid. Sebagai periwayat hadis, Ahmad bin Hanbal mempunyai prinsip bahawa apa yang berasal daripada Rasululah S.A.W lebih baik daripada semua pemikiran.(al-Zuhaily 1987 : 1/473)

Dalam perjalanan hidupnya, Ahmad bin Hanbal berhijrah ke berbagai tempat untuk mencari hadis dari guru-guru hadis. Hadis yang berjaya terhasil tidak sahaja dihafal tetapi juga ditulis olehnya. Tidak seperti tiga imam mazhab sebelumnya yang menggunakan banyak pensyaratan untuk menerima hadith ahad.(al-Zuhaily 1987 : 1/473)

Ahmad bin Hanbal telah menerima hadith ahad Menurut beliau, hadith ahad yang dhaif dapat dijadikan sebagai dasar dalam beramal. Meskipun demikian, beliau telah meletakkannya selepas fatwa Sahabat. Periwayat yang dhaif tetap diterima riwayatnya. Selama periwayat tersebut tidak diketahui berdusta. Begitu juga hadis yang telah diriwayatkan oleh orang yang kurang dabit dapat diterima dan juga bagi periwayatan yang salah dalam meriwayat dan menetapkan hadis. Ternyata bahawa Ahmad bin Hanbal menjadikan hadis dhaif sebahagian daripada hadis sahih. Menurutnya juga hadith dhaif lebih baik daripada ra’yu. Berbeza dengan imam mazhab lain, Ahmad bin Hanbal tidak terlalu memberikan pensyaratan yang ketat terhadap sanad hadis. Namun ini bukan bererti Imam Ahmad tidak berhati-hati dalam menerima hadis.(al-Zuhaily 1987 : 473)

KESIMPULAN

Yang dapat dikatakan mengenai kesemua perkara di atas, dapat disimpulkan bahawa para ahli usul masa kini juga berpegang kepada hadith ahad. Dan menjadikannya sebagai dalil qat'iyy. Ini kerana tidak ada hadith ahad yang berdiri dengan sendirinya melainkan semua termasuk dalam salah satu atau lebih daripada perkara-perkara yang telah dibahaskan di atas. Dalam erti kata lain, perbincangan sama ada hadith ahad menghasilkan ilmu qat'iyy, atau zanniyy hanyalah merupakan perbincangan teori semata-mata. Sedangkan secara praktikalnya semua hadith ahad diamalkan sebagai satu sumber yang qat'iyy.

Secara keseluruhannya, dapat dirumuskan pembahagian hadith ahad dan mutawatir, masih lagi tidak dikenali pada zaman awal islam.Hal ini kerana selagi sesuatu hadith itu mempunyai sanad yang sahih, umat Islam pada zaman tersebut akan beramal dengan hadith tersebut sama ada dalam urusan aqidah atau selainnya.Pembahagian hadith kepada ahad dan mutawatir adalah kerana pengaruh pemikiran yang mengunggulkan akal manusia di atas nas wahyu. Pemikiran ini mendakwa hadith ahad tidak mungkin dapat menghasilkan ilmu yang pasti berkenaan hal ghaib, khususnya dalam bab aqidah, melainkan ilmu sangkaan semata-mata. Para ilmuan terkemudian pula berbeza pendapat sama ada hadith ahad dapat menghasilkan ilmu yang pasti atau sangkaan. Namun jika hadith ahad tersebut menjadi amalan orang ramai, maka perbezaan ini tidak akan wujud lagi. Dengan itu juga perbezaan pendapat tentang kedudukan hadith ahad dalam kalangan ilmuan terkemudian hanyalah bersifat perbincangan teori manakala daripada sudut praktikalnya, mereka semua beramal dengannya. Hal ini kerana di sisi ahli ilmu yang mendalam lagi luas pengetahuannya, tidak ada hadith ahad yang berdiri dengan sendirinya melainkan semuanya menjadi pegangan umat Islam. Dan yang terakhirnya, segelintir golongan yang mempertikaikan dan menolak hadith ahad masa kini tidak terlepas daripada dua kemungkinan, sama ada mereka sendiri tidak mempunyai ilmu yang mendalam mengenai hadith ahad atau mereka sengaja ingin menolak hadith Rasulullah S.A.W dengan alasan ianya hanyalah termasuk dalam kategori hadith ahad yang tidak membawa apa-apa faedah dan manfaat.

Disediakan oleh :
Muhamad Izwan Bin Samsudin
Muhammad Izhar Bin Sultan
Muhammad Syazwan Bin Karim

0 comments: