Assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Thursday, October 22, 2009

al-mujmal & al-mubayyan

Al-mujmal

Al-Mujmal
pada bahasa ialah daripada perkataan al-jaml yang bermaksud percampuran. Manakala dari segi istilah pula bermaksud sesuatu (lafaz) yang mempunyai dalālah lebih daripada satu yang tiada kelebihan antara satu sama lain ( Muhammad Adib bin Samsudin 2009 ). Selain itu, al-Mujmal juga membawa maksud ungkapan yang mengandungi banyak makna, namun makna yang dimaksudkan di antara makna-makna tersebut tidak jelas sehingga diteliti dan dikaji secara mendalam( Abd Latif Muda dan Rosmawati Ali 2001 : 352 ).

Di samping itu mujmal membawa maksud yang terjumlah, yang terkumpul dan yang tersembunyi. Di dalam ilmu usul fiqh, ditujukan kepada satu perkataan dalam satu susunan yang mempunyai dua erti yang sama beratnya. Tegasnya di sini, mujmal itu merupakan satu lafaz dalam satu susunan yang maksudnya tidak dapat ditentukan melainkan mesti ada yang menentukannya ( Abdul Kadir Hassan 1977 : 76 ).

Seperti firman Allah yang berbunyi;
وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ
Maksudnya : Dan hendaklah kamu sapu kepala-kepala kamu. ( al-Māidah 5: 6 )

Ayat di atas memperjelaskan bahawa perkataan ‘hendaklah kamu sapu’ itu, dikatakan ‘mujmal’ kerana mempunyai dua erti: iaitu sapu banyak dan sapu sedikit, ‘sapu sedikit’ dan ‘sapu banyak’ ini tentang erti sama beratnya ( Abd Latif Muda dan Rosmawati Ali 2001: 352 ).

Tambahan pula, perkataan قرء dalam satu susunan حيض dikatakan قرء ‘bersih dari haid’ juga disebut quru’. Kedua-dua erti ini sama beratnya. Untuk menentukan salah satu maknanya, perlu kepada keterangan. Sebagaimana tidak boleh beramal dengan umum dan mutlak sebelum memeriksa yang menentukannya dan yang mengikatnya, maka begitu juga tidak boleh beramal dengan erti ‘mujmal’ sebelum memeriksa keterangannya.



Sebab-sebab al- mujmal

Berlakunya al-Ijmāl melalui salah satu daripada tiga perkara iaitu :
1. الإشتراك مع عدم القرينة - Al-ishtirāk dan tiada qarinah ( Abd Latif Muda dan Rosmawati Ali 2001 : 352 ). Tidak dapat ditarjiḥkan salah satu daripada makna lafaz al-musytarak tersebut disebabkan tiada qarinah yang menjelaskan makna yang dikehendakinya. Justeru itu, ia dikira mujmal. Seperti lafaz, al-mawlā bererti hamba yang dimerdekakan atau tuan yang memerdekakan hamba.
غرابة اللفظ لغة kalimah gharīb atau asing yang tidak difahami makna dikehendaki sehinggalah ada penjelasan daripada Allah. Contohnya lafaz al-Ḥāqqah dalam firman Allah.
الْحَاقَّةُ
Maksudnya : Hari Kiamat. ( Surah al-Ḥāqqah 69: 1 )

Kalimah itu tidak difahami makna maknanya melainkan setelah dijelaskan oleh Allah iaitu Hari Kiamat.

النقل من المعنى اللغوي إلى معنى إصطلاحي شرعي iaitu pindahan daripada makna bahasa kepada istilah syarak. Seperti lafaz: al-Ribā’. Lafaz yang dipindahkan kepada syarak daripada bahasa dan digunakan untuk makna syarak tidak sama dengan makna bahasa. Pengertian yang dikehendaki pada penggunaan syarak dijelaskan melalui al-Sunnah.
Al-Mujmal ialah lafaz yang tidak mungkin dapat diketahui perincian daripada lafaznya yang tersendiri, bahkan ia hanya dapat difahami melalui pentafsiran dan ijtihad. Terdapat banyak lafaz nas al-Quran mengandungi hukum taklifi yang berbentuk mujmal yang ia kemudiannya dijelaskan oleh al-Sunnah. Contohnya, berkenaan dengan perintah solat yang dibawa dalam bentuk mujmal, kemudian ia dijelaskan melalui al-Sunnah. Sebagaimana Sabda Baginda:
صلوا كما رأيتموني أصلي

Maksudnya: Sembahyanglah kamu sebagaimana kamu melihat aku sembahyang ( Riwayat Malik bin Al-Huwarith) .

Pada mulanya, terdapat nas di dalam firman Allah :

وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ
Maksudnya : Dirikanlah solat ( al-Baqarah 2: 43 )

Perkataan وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ merupakan ayat mujmal iaitu tafsiran dari sudut cara untuk bersolat masih lagi dalam keadaan samar. Namun ia telah dijelaskan oleh al-Sunnah bahawa cara untuk bersolat hendaklah dikuti sebagaimana cara Rasulullah bersolat. Hal ini telah menjelaskan ayat mujmal.


Hukum Al-Mujmal

Jumhur ulama sepakat bahawa sememangnya lafaz al-mujmal terdapat di dalam al-Quran dan al-Sunnah. Berkaitan dengan hukum beramal dengannya adalah ditangguhkan sehingga ditafsirkan dan dijelaskan maksudnya yang sebenar. Oleh itu, lafaz al-mujmal memerlukan penjelasan atau al-bayan agar ia dapat ditentukan apakah sebenarnya yang dimaksudkan daripada lafaz tersebut untuk dapat beramal dengannya ( Abd Latif Muda dan Rosmawati Ali 2001: 354 ).


AL-MUBAYYAN

Al-Mubayyan dari sudut bahasa bererti nyata, jelas dan terang. Manakala dari sudut istilah pula ialah setiap yang menjelaskan ke atas makna sesuatu daripada sesuatu yang lain ( Abdul Kadir Saibat Akmal 2001: 79 ).

Di samping itu, terdapat dua maksud lain bagi al-mubayyan iaitu:

Dari segi bahasa المظهر والموضح, maksudnya : Ditampakkan dan yang dijelaskan.
Manakala maksud lain dari segi istilah pula : ما يفهم المراد منه، إما بأصل الوضع أو بعد التبيين, yang membawa maksud : Setiap yang dapat difahami maksudnya, baik dengan asal peletakannya atau setelah adanya penjelasan.

Dengan kata lain, al-mubayyan juga merupakan sesuatu yang jelas tentang dirinya sendiri atau dengan sesuatu yang lain ataupun sesuatu lafaz yang jelas dan tiada kesamaran sama ada penjelasan tersebut datang dari dirinya sendiri atau dari yang lain ( ‘Uthaīmin 2009: 78 ).

Contoh yang dapat difahami maksudnya dengan asal peletakannya dapat dilihat melalui lafaz langit (سماء), bumi (أرض), gunung (جبل), adil (عدل), zalim (ظلم) dan jujur (صدق). Maka kata-kata ini dan yang contoh-contoh lafaz tersebut dapat difahami dengan asal peletakannya, dan tidak memerlukan dalil yang lain dalam menjelaskan maknanya ( ‘Uthaīmin 2009: 78 ).

Contoh yang dapat difahami maksudnya setelah adanya sesuatu penjelasan adalah melalui Firman Allah :
وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ وَارْكَعُوا مَعَ الرَّاكِعِين
Maksudnya : Dan dirikanlah solat dan tunaikanlah zakat dan rukuklah bersama orang-orang yang
rukuk. ( al-Baqarah 2: 43 )

Maka mendirikan solat dan menunaikan zakat, keduanya adalah mujmal, tetapi pembuat syari’at iaitu Allah Ta'ala telah menjelaskannya, maka lafaz keduanya menjadi jelas setelah adanya penjelasan ( ‘Uthaīmin 2009:79 ).
JENIS-JENIS AL-MUBAYYAN

Terdapat beberapa jenis al-mubayyan. Di antaranya ialah mubayyan dengan perbuatan, mubayyan dengan tulisan dan mubayyan dengan isyarat.

1. Mubayyan dengan perbuatan

Antara contoh yang dapat dijelaskan mengenai mubayyan dengan perbuatan melalui perbuatan sembahyang dan haji. Firman Allah :

وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ
Maksudnya : Dirikanlah solat ( al-Baqarah 2:43 )

Melalui al-Quran, Allah telah memerintahkan kita untuk bersembahyang tetapi cara-caranya yang tertentu tidak terdapat dalam al-Quran. Maka ayat-ayat berkaitan sembahyang di dalam al-Quran itu dikatakan mujmal. Cara sembahyang itu diterangkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. melalui perbuatannya, iaitu Baginda mengerjakan begini dan begitu sambil menyuruh orang menirunya. Oleh kerana cara-cara itu dilakukan melalui perbuatan maka dinamakan mubayyan dengan perbuatan ( Hasan Abdul Kadir 1972: 72 )

2. Mubayyan dengan tulisan (surat)

Antara perkara yang dapat menjelaskan mubayyan dengan tulisan (surat) ialah zakat. Firman Allah :

أَقَمْتُمُ الصَّلَاةَ وَآتَيْتُمُ الزَّكَاةَ

Maksudnya : Melaksanakan solat dan menunaikan zakat ( al-Māidah 5: 12 )

Di dalam al-Quran terdapat perintah untuk mengeluarkan zakat, tetapi kadar dan waktu mengeluarkannya tidak dinyatakan. Maka kebanyakan kadar dan waktunya itu dinyatakan oleh Nabi Muhammad s.a.w melalui tulisan atau surat. Maka ini dinamakan mubayyan dengan surat ( Hasan Abdul Kadir 1972: 72 ).

3. Mubayyan dengan isyarat

Contoh mubayyan dengan isyarat yang dapat diberikan adalah melalui bersuci dengan cara bertayamum. Firman Allah :

فَلَمْ تَجِدُوا مَاءً فَتَيَمَّمُوا صَعِيدًا طَيِّبًا
Maksudnya : Sedangkan kamu tidak mendapat air, maka bertayamumlah kamu dengan debu yang
baik (suci) ( al-Māidah 5: 43).


Dalam al-Quran membolehkan kita bertayamum sekiranya tidak terdapat air untuk kita membersihkan diri daripada hadas kecil mahupun besar seperti berwudhuk dan sebagainya.

Rasulullah s.a.w menunjukkan kepada seorang sahabatnya yang bernama Umar Bin Yasir cara bertayamum yang betul. Oleh kerana Nabi menunjukkan isyarat yang betul tentang cara bertayamum maka ini dinamakan mubayyan dengan isyarat ( Hasan Abdul Kadir 1972: 72 ).

PEMBAHAGIAN AL-MUBAYYAN

Selain jenis-jenis mubayyan, terdapat beberapa pembahagian bagi al-Mubayyan iaitu الواضح بنفسه (Al-Wāḍih binafsiḥ) dan الواضح بغيره (Al-Wāḍih bighairiḥ).

1) الواضح بنفسه (Al-Wāḍih binafsiḥ)

Al-Wāḍih binafsiḥ membawa maksud sesuatu yang mencukupi untuk menunjukkan kepada makna dan tidak memerlukan faktor luaran bagi menjelaskan makna yang dikehendaki. Pembahagian dari sudut ini hanya melihat kepada bahasa dan akal ( Muhammad Adib bin Samsudin 2009 ) .

Peruntukan dari sudut bahasa dapat dilihat melalui contoh والله بِكلِّ شيْء عليم yang membawa maksud : Sesungguhya Allah Maha Mengetahui tiap-tiap sesuatu. Ayat ini tidak memerlukan kepada bantuan lain untuk memahami maksud tiap-tiap lafaz dalam ayat tersebut. Ini kerana secara amnya kita dapat memahami bahawa sememangnya Allah memiliki sifat Maha Mengetahui bagi tiap-tiap perkara yang berlaku mahupun yang belum berlaku dan tidak dapat disangkal lagi kenyataan tersebut . ( Muhammad Adib bin Samsudin 2009 )

Seterusnya, peruntukan dari sudut akal pula dapat dilihat melalui penyataan وأسأل القرية yang bermaksud : tanyalah akan kampung. Penyataan ini jika dilihat adalah dari makna hakiki adalah suatu penyataan yang tidak rasional kerana adalah mustahil untuk kita bertanya kepada kampung akan sesuatu perkara. Ini kerana sesungguhnya kampung itu adalah nama tempat dan sememangnya ia tidak bernyawa. Namun, jika dilihat dari segi ucapan kebiasaan manusia, ia adalah suatu penyataan yang dapat difahami dengan jelas bahawa “kampung” yang dimaksudkan itu adalah penduduk kampung itu sendiri ( Muhammad Adib bin Samsudin 2009 ).
2) الواضح بغيره (Al-Wāḍih bighairiḥ)

Al-Wāḍih bighairiḥ membawa maksud sesuatu yang memerlukan kepada gabungan faktor lain untuk memahami maksud sebenar sesuatu lafaz ( Muhammad Adib bin Samsudin 2009 ). Pembahagian ini dapat dilihat melalui firman Allah iaitu :

وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ

Maksudnya : Dan dirikan solat dan tunaikanlah zakat ( al-Baqarah 2: 83).

Lafaz الصلوة dalam ayat di atas merupakan lafaz mujmal iaitu Allah memerintahkan umatNya mendirikan solat namun tidak dijelaskan cara-cara solat. Rasulullah telah melakukannya dan sahabat telah memerhatikannya sebagaimana sabda Baginda saw:

صلوا كما رأيتموني أصلّ

Maksudnya : Solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku solat (Riwayat Malik bin Al-Huwarith).

Oleh yang demikian dapatlah difahami bahawa solat merupakan perintah Allah ke atas setiap muslim dan perintah itu adalah mesti dipatuhi. Namun Allah tidak menjelaskan secara terperinci tentang cara-cara untuk menunaikan solat. Dengan itu, perbuatan Rasulullah itu sendiri telah menjelaskan akan perlakuan solat itu secara terperinci dan ini membolehkan manusia memahami akan maksud solat itu iaitu bermula dengan takbiratul ihram dan diakhiri dengan salam ( Muhammad Adib bin Samsudin 2009 ).





BENTUK-BENTUK AL-MUBAYYIN

Al-Mujmal itu merupakan sesuatu yang maknanya adalah tidak jelas ataupun adanya kesamaran dalam memahami sesuatu lafaz. Dan al-Mubayyan pula merupakan sesuatu yang jelas tentang dirinya sendiri atau dengan sesuatu yang lain. Penjelasan dengan sesuatu yang lain ini dikenali sebagai al-Mubayyin.

1) Penjelasan ayat Al-Quran yang mujmal oleh ayat Al-Quran itu sendiri :

Al-Mubayyin dari ayat Al-Quran yang menjelaskan ayat Al-Quran yang mujmal dapat dilihat melalui contoh firman Allah :

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تَذْبَحُوا بَقَرَةً
Maksudnya : Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu menyembelih seekor lembu ( al-baqarah 2:
67)


Ayat al-Qur'an ini adalah berbentuk mujmal melalui lafaz بقرة yang hanya memberitahu akan suruhan menyembelih lembu. Namun tidak dijelaskan bahawa lembu yang diharuskan untuk membuat penyembelihan sama ada yang berwarna hitam, coklat dan sebagainya. Ayat mujmal ini telah dijelaskan oleh sabda Baginda :

صفرأ فاقع لونها تسرّ الناظرينَ
Maksudnya : Kuning yang terang itu tidak seronok melihatnya (Riwayat Abu Hurairah).

Rasulullah telah menjelaskan bahawa lembu yang berwarna kuning terang yang diharuskan dalam sembelihan kerana warna terang tersebut tidak enak dipandang.


2) Penjelasan ayat Al-Qur'an yang mujmal melalui perkataan Nabi :

Sesuatu ayat Al-Qur'an yang mujmal dapat dijelaskan maksudnya melalui perkataan Nabi sendiri bagi memahami maksud sebenar yang dikehendaki. Firman Allah :

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً
Maksudnya : Ambillah sebahagian daripada harta mereka sebagai zakat ( al-Taubah 9:103 ).


Ayat al-Qur'an ini adalah berbentuk mujmal. Di sini tidak dijelaskan secara terperinci berkaitan jenis harta yang dikenakan zakat serta kadarnya. Oleh itu Rasulullah telah menjelaskan kepada umatnya antara harta yang diwajibkan keluar zakat ialah : binatang ternakan seperti unta dan lembu. Manakala tanaman yang diwajibkan keluar zakat ialah : buah tamar dan gandum ( Rosmawati Ali @ Mat Zin 2005: 102 ).

Sebagai contoh untuk penjelasan ini ialah dapat dilihat melalui hadis Rasulullah mengenai perbezaan di antara zakat tanaman yang tumbuh melalui siraman air hujan dengan tanaman yang disirami dengan menggunakan tenaga manusia. Ia dinyatakan sebagaimana sabda Rasulullah:

فيما سقتْ السمأ والعيون أو كان عثريا العشر وما سقِيَ بالنضح نصف العشْرِ

Maksudnya : Tanaman yang disirami oleh air hujan atau mata air atau menyerap air sendiri melalui akarnya, zakatnya 1/10, manakala tanaman yang tumbuh dengan disiram tenaga menggunakan (kos),zakatnya 1/20 ( ibn ‘Umar ).


3) Penjelasan yat Al-Qur'an yang mujmal melalui perbuatan Nabi :

Sesuatu ayat Al-Qur'an yang mujmal itu juga dapat dijelaskan melalui perbuatan Nabi bagi memahami akan maksud sebenar yang dikehendaki. Firman Allah :

إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَوْقُوتًا

Maksudnya : Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang- orang yang beriman yang tertentu waktunya ( al-Nisā 4: 103 ) .

Apabila diteliti serta ditinjau terhadap ayat tersebut, ia dibawa dalam bentuk mujmal melalui lafaz الصلوة iaitu tidak diterangkan cara, bentuk, syarat dan masa untuk menunaikan sembahyang secara khusus. Oleh sebab itulah apa-apa sahaja keadaan yang berkaitan tentang cara mengerjakan sembahyang akan ditunjukkan oleh Rasulullah melalui sunnah 'amaliah atau perbuatan Baginda sendiri ( Rosmawati Ali @ Mat Zin 2005: 102 ).

Antara contohnya sabda Rasulullah kepada salah seorang Sahabat lelaki yang tidak tahu mendirikan sembahyang dengan cara yang sempurna dan betul melalui hadis Baginda:

ارفعْ اذا قمْتَ الى الصلاةِ فكبّر ثمَّ اقرأ ما تيسّر مَعَكَ مِن القرءان ثمَّ اركعْ حتّى تطمئِنّ راكعا ثمَّ
كله صلاتك فى حتى تَعْدِل قائما ثمَّ اسجدْ حتى تطمئِنَّ ساجِدا ثمَّ ارفعْ حتى تطمئِنَّ جالسا وافعل

Maksudnya : Apabila kamu berdiri betul maka takbirlah, kemudian bacalah mana-mana ayat al-Qur'an yang mudah bagi kamu, kemudian rukuklah hingga tetap rukuk kamu,kemudian angkat kepala hingga kamu berdiri betul, kemudian kamu sujud hingga tetap sujud kamu, kemudian kamu angkat kepala kamu hingga duduk tetap. Lakukanlah demikian dalam semua sembahyang kamu. ( Riwayat Abu Hurairah )


MENDAHULUKAN AL-MUBAYYIN PERKATAAN ATAU PERBUATAN

Jika berlakunya percanggahan antara penjelasan sesuatu ayat yang mujmal melalui perkataan dan perbuatan Nabi, salah satu dari keduanya perlulah didahulukan. Ini dapat diketahui melalui dua bentuk iaitu dari sudut dalālah yang sama dan dari sudut kedua iaitu dalālah yang berbeza.

1) Dalālah sama :

Apabila berlakunya percanggahan antara perkataan dan perbuatan Nabi dalam dalālah yang sama, penjelasan yang datang dahulu adalah dinamakan mubayyin manakala penjelasan yang datang kemudian pula dinamakan mu'akkid iaitu yang menguatkan penjelasan yang datang dahulu.

Namun jika tidak dapat dikenalpasti penjelasan yang mana yang datang dahulu dan yang terkemudian antara perbuatan Nabi dan perkataan Nabi, haruslah dibuat andaian ke atas kedua-duanya yang mana salah satu darinya perlu dianggap datang dahulu dan selainnya adalah datang kemudian ( Muhammad Adib bin Samsudin 2009 ).

2) Dalālah berbeza :

Dan apabila berlakunya percanggahan antara perkataan dan perbuatan Nabi dalam dalālah yang berbeza, penjelasan melalui perkataan Nabi akan diutamakan sama ada ia datang dahulu atau datang kemudian. Ini adalah bertepatan dengan pendapat Jumhur selain Mazhab Hanafi. Mazhab Hanafi berpendapat bahawa penjelasan melalui perbuatan Nabi haruslah didahulukan kerana beranggapan bahawa setiap yang dikatakan oleh Nabi tidak semestinya diperakui kerana kadang-kala Rasulullah terlupa akan apa yang diperkatakan. Dan apa yang dilakukan oleh Rasulullah sudah tentulah diperakui kerana ia sendiri telah dilakukan oleh Rasulullah ( Muhammad Adib bin Samsudin 2009 ).

Percanggahan penjelasan makna ini dapat dilihat dalam Haji Qiran. Haji Qiran ialah haji yang ditunaikan haji dan umrah secara serentak. Seperti yang kita ketahui bahawa tawaf dan sa'i merupakan rukun bagi kedua-dua haji dan umrah (Muhammad Zaini bin Yahya 2004: 180 ). Oleh itu di sini berlakunya percanggahan antara penjelasan melalui perbuatan dan perkataan Nabi di mana bagi menunaikan Haji Qiran adakah perlu menunaikan satu tawaf dan satu sa'i atau dua tawaf dan dua sa'i? Penjelasan tentang Haji Qiran melalui perkataan Nabi dapat dilihat melalui sabda Nabi:


من أحرم بالحج والعمرة جميعا كفاه طواف واحد, ولم يحل حتى يقضى حجته ويحل منهما جميعا

Maksudnya : Sesiapa yang berniat haji dan umrah sekali memadai memadai satu tawaf dan tidak halal baginya sehingga selesai hajinya dan halal bagi kedua-duanya sekali. (Riwayat Abu Hurairah).

Manakala penjelasan tentang Haji Qiran melalui perbuatan Nabi dapat dilihat melalui sabda Baginda:

وقد روِيَ عَنْ النَبِيِّ صَلَّى الله عليهِ وسلَّم : أَنَّه طاف طوافين, وسعى سعيين

Maksudnya : Dan sesungguhnya aku melihat Nabi s.a.w : sesungguhnya dia tawaf dengan dua
tawaf, dan sa'i dengan dua sa'i. ( Riwayat Abu Hurairah ).

Apabila melihat kedua-dua hadis Baginda ini dapat dikenalpasti bahawa antara kedua-duanya telah berlaku percanggahan. Jika dilihat melalui penjelasan dari perkataan Baginda, Nabi telah mengatakan bahawa Haji Qiran itu adalah memadai ditunaikan satu tawaf dan satu sa'i. Namun melalui perbuatan Baginda adalah sebaliknya apabila Baginda sendiri telah menunaikan Haji Qiran dengan dua tawaf dan dua sa'i.

Di sini terdapat perbezaan pendapat antara Jumhur dan Mazhab Hanafi. Bagi pandangan Jumhur, Haji Qiran dibuat dengan satu tawaf dan satu sai’. Hal ini kerana dari segi perbuatan yang dilakukan kadang-kadang berlainan daripada perkataan. Berbeza dengan pendapat Mazhab Hanafi, yang berpandangan perlu dilakukan dua tawaf dan dua sai’ iaitu perbuatan yang perlu diambil kira dahulu.


Oleh yang demikian, perkataan Nabi adalah didahulukan sebagai mubayyin iaitu yang menjelaskan manakala perbuatan Nabi adalah sebagai mu'akkid iaitu yang menguatkan kata-kata oleh Nabi. Sekiranya tidak diketahui, boleh diandaikan bahawa satu mubayyin dan satu mu’akkid kerana kedua-dua adalah sama ( Muhammad Adib bin Samsudin 2009 ).

KESIMPULAN

Kesimpulannya tugasan ini adalah bagi memberi sedikit ilmu pengetahuan tentang apa yang dimaksudkan dengan al-mujmal dan al-mubayyan. al-Mujmal merupakan sesuatu lafaz yang mengandungi kesamaran yang tersirat di dalamnya pelbagai ketentuan makna yang tidak dapat difahami yang dikehendaki melainkan adanya penyataan lain yang menjelaskannya. Manakala al-mubayyan pula bermaksud apa yang dapat difahami maksudnya, baik dengan asal peletakannya atau setelah adanya penjelasan. Dengan kata lain, al-mubayyan merupakan sesuatu yang jelas tentang dirinya sendiri atau dengan sesuatu yang lain ataupun sesuatu lafaz yang jelas dan tiada kesamaran sama ada penjelasan tersebut datang dari dirinya sendiri atau dari yang lain.

Melalui pengertian ini dapatlah diketahui bahawa al-mujmal dan al-mubayyan adalah mempunyai perkaitan yang sangat kuat dan antara keduanya adalah tidak mungkin dapat dipisahkan. Ini adalah kerana al-mujmal iaitu lafaz yang mempunyai kesamaran akan maknanya adalah memerlukan al-mubayyan sebagai penjelas lafaz mujmal tersebut bagi mencapai makna yang dikehendaki.

Contoh-contoh ayat mujmal ini banyak didapati dalam al-Qur'an sendiri yang Allah memerintahkan untuk melakukan sesuatu perbuatan ke atas umatnya tanpa diterangkan dengan terperinci akan cara-caranya, syarat-syaratnya dan sebagainya. Oleh itu bagi memudahkan hamba-hambanya menunaikan dan mematuhi apa yang diperintahkan, al-mubayyan adalah diperlukan bagi menerangkan akan maksud-maksud yang dikehendaki Allah dalam suruhanNya. Dan al-mubayyan atau penjelasan ini datangnya dari Nabi sendiri sama ada melalui perbuatan Baginda ataupun perkataannya.

Oleh itu jelaslah bahawa al-mujmal dan al-mubayyan itu mempunyai hubungan yang sangat rapat dan antara keduanya jika dipisahkan, manusia tidak dapat memahami makna segala perintah Penciptanya dan ini adalah bertentangan dengan tanggungjawab seorang hamba terhadap Penciptanya.

0 comments: